Mahasiswa sebenarnya adalah golongan terpilih untuk memenuhi dunia IPT bagi mendalami bidang keilmuan secara formal. Secara automatik golongan inilah disandarkan harapan oleh masyarakat untuk memimpin dan membimbing mereka. Sedar atau tidak, setiap mahasiswa wajib memikul amanah ini, sekurang-kurangnya dengan menjadikan kampus sebagai tempat persediaan ke arah mempersiapkan diri untuk terjun dalam masyarakat setamatnya pengajian di IPT.
Mahasiswa seharusnya menggunakan peluang yang terhidang untuk mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menjadi seorang yang berguna yang mana dapat kita berikan untuk manfaat masyarakat. Rasulullah s.a.w ada bersabda : "Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara, masa muda sebelum tua, masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin dan masa lapang sebelum sibuk". Sesungguhnya usia mahasiswa di IPT adalah masa dan tempat yang terbaik untuk menjana minda, merevolusikan dan mencetuskan wadah pemikiran, melatih kepimpinan, mencerna pengalaman dan
banyak lagi terutamanya untuk menyahut seruan alaf baru yang pastinya menjanjikan suatu corak kehidupan yang sukar diramalkan. Tahukah anda wahai mahasiswa, bahawasanya anda semua adalah bakal pemimpin pada masa hadapan. Janganlah hendaknya apabila sudah berada dalam lapangan masyarakat, barulah anda mula insaf dan sedar akan kesilapan tidak menggunakan opportuniti yang melambak di IPT. Marilah kita sama- sama kembali memuhasabahkan diri akan matlamat kita berada dalam golongan yang dilabelkan sebagai mahasiswa ini. Apa sekalipun matlamat utama yang perlu ada dan disedari
oleh kita ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata. Ini haruslah menjadi sandaran utama bagi kita untuk terus menerokai alam kemahasiswaan seterusnya. Sesungguhnya hubungan kita dengan pencipta Allah adalah paksi utama dalam persediaan membina kekuatan buat menempuh cabaran seterusnya. IPT bukanlah tempat untuk menimba ilmu secara formal semata-mata, sebagai contoh pelajar- pelajar di seluruh IPT tanah air kita sensiri yang hanya mempelajari bidang berkaitan dengan kursus dan jurusannya sahaja. Benarlah itu matlamat kita, hanyalah untuk mendapatkan sekeping diploma atau ijazah. Namun amatlah rugi
seandainya apabila tamatnya pengajian, hanya sekeping pengiktirafan yang dapat dicapai sedangkan masih terlalu luas lagi peluang di IPT yang tidak diterokai sebagai persediaan untuk berdepan dengan masyarakat, memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Sebagai pelapis kepada pemimpin masyarakat, mahasiswa perlu menghayati budaya membaca. Didapati majoriti mahasiswa sememangnya menghayati budaya membaca tetapi malangnya mereka hanya membudayakan pembacaan bercorak bacaan ringan seperti komik, makalah hiburan, novel picisan dan sebagainya yang tidak mempunyai nilai tambah dan ilmiah bahkan adakalanya
merosakkan pemikiran mereka. Sememangnya mahasiswa amat tekun mambaca bahan akademik, contohnya bacaan berkaitan kursus yang dipelajarinya. Tetapi biasanya ianya adalah pembacaan yang bersifat sekadar untuk menyiapkan tugasan atau kerja-kerja akademik atau lebih tepat lagi adalah untuk lulus peperiksaan. Amat kurang sekali mereka yang membaca bahan akademik yang tiada dalam silibus pelajaran, apatah lagi yang tiada kaitan dengan kursus yang diikutinya.
Tidak dinafikan bahawa kekuatan ilmiah yang menjana kekuatan mahasiswa untuk lebih bertenaga dalam perjuangannya. Tanpa ilmu, agak sukar bagi kita untuk mendekati dan menyelami permasalahan, apatah lagi untuk menyelesaikannya. Ilmu adalah bekalan utama untuk mahasiswa menjadi agen maklumat kepada masyarakat. Ringkasnya ilmu adalah wasilah untuk berdampingan dengan sosial. Dengan ilmulah seseorang itu dapat membezakan antara kebenaran dan kesesatan. Dan adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk menegakkan kebenaran dan membanteras sebarang bentuk
kesesatan yang wujud dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Masalah sosial yang melanda muda-mudi hari ini adalah suatu situasi yang seharusnya tidak dijebaki oleh mahasiswa. Mahasiswa seharusnya berganding fikiran dan tenaga bersama masyarakat untuk memulihkan kembali keruntuhan sosial, moral dan nilainilai kemanusiaan khususnya di kalangan belia hari ini dan seterusnya mengislahkannya ke arah melahirkan masyarakat yang tinggi nilai sosialnya berakhlak mulia. Namun adalah amat malang sama sekali seandainya hal yang sebaliknya yang berlaku iaitu tiada beza di antara mahasiswa dan "sampah" masyarakat..
Yang dimaksudkan IPT sebagai tempat untuk menjana minda dan merevolusikan pemikiran ialah mahasiswa menjadikan IPT sebagai medan untuk mencari dan mempelajari sesuatu yang mana dapat mengusulkan suatu anjakan paradigma. Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan input-input yang positif dan berpaksikan kebenaran. Dengan pemikiran yang berasaskan kebenaran, Insya Allah hal ini akan melahirkan mahasiswa yang mempunyai peribadi serta identiti yang sukar diganggugugat. Andainya mahasiswa tidak dapat membina suatu pendirian dan imej yang mapan, maka
mudahlah mereka dikalahkan musuh seterusnya menimbulkan ketidakyakinan masyarakat terhadapnya sekaligus tidak melayakkan mereka untuk memimpin. Ringkasnya kehidupan mahasiswa bolehlah diibaratkan bermula di IPT, sekaligus menyangkal slogan yang biasa kita dengar "Life begin at fourty". Jadi bolehlah kita ubah slogan itu kepada "Life begin at IPT". Moga-moga dengan ini dapat menambahkan lagi semangat dan iltizam mahasiswa untuk bersedia memenuhkan safsaf hadapan pimpinan Islam seterusnya mengorak langkah menuju ke arah perjuangan yang telah dijanjikan SYURGA abadi.
Insya Allah…..
Hasil Nukilan, AFANAJ (30/10/08)