Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang industri batik dan usaha mempopularkannya. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Industri Batik
Tema : Pelestarian Budaya Warisan ii) Industri batik iii) Usaha-usaha mempopularkannya Pendahuluan: •
Industri batik dikaitkan dengan industri desa.
•
Sejarahnya bermula sejak berzaman dahulu
•
Satu warisan budaya yang tidak ternilai
•Rangka isi: • Perkembangan industri batik dahulu • Perkembangan industri batik sekarang • Usaha-usaha untuk mempopularkannya. Contohnya: i)Kempen daripada pihak kerajaan dan swasta. -Mewajibkan kakitangan kerajaan memakai pakaian batik setiap satu dan lima belas haribulan setiap bulan. -Promosi ke peringkat antarabangsa contohnya mengadakan pertunjukkan fesyen dan pameran batik. -Mempelbagaikan barangan daripada batik dalam bentuk kraftangan lain seperti beg tangan, kasut, lukisan dinding, alas meja dan barangan hiasan rumah lain. - Datin Sri Hendon Mahmood penggalak utama industri batik negara - Peranan syarikat-syarikat milik persendirian.Contohnya, Batik Nor Arfa, Batik Razali mempromosikan industri batik secara komersial.
ii) Peranan media massa -Menyiarkan rencana dan dokumentari tentang industri batik -Mempamer dan mempromosikan fesyen-fesyen batik dalam majalah. - Masyarakat pengguna mendapat pengetahuan dan pendedahan tentang asal usul, perkembangan terkini industri batik.Ini dapat mengukuhkan industri batik negara. - Perkembangan industri batik melahirkan ramai pereka fesyen yang menggunakan motif batik dalam rekaan masing-masing contohnya, Tom Abang Saufi, Salikin Sidek dan ramai lagi.
Penutup: •Harapan agar industri batik terus dilestarikan sebagai seni warisan bangsa. •Generasi akan datang dapat terus mengenali dan berbangga dengan seni warisan ini.
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang industri batik dan usaha mempopularkannya. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Sejak zaman- berzaman lagi, batik telah lama mendapat tempat di hati masyarakat di Kepulauan Nusantara. Umum mengetahui batik sering dikaitkan dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan secara kecilkecilan. Jika dahulu batik seolah-olah ‘hidup segan mati tak mahu’, namun masyarakat kini telah menganggap industri ini sebagai satu warisan budaya yang tidak ternilai harganya. Suatu ketika dahulu, batik ialah pakaian yang popular bagi kaum wanita tidak kira lapisan umur dan kaum. Di Malaysia, negeri Kelantan dan Terengganu ialah negeri yang giat mempromosikan industri batik ini. Antara jenis batik yang diusahakan ialah batik lukis, batik cetak atau batik blok dan batik pelangi atau lebih dikenali sebagai batik ikat dan celup. Mutakhir ini, perkembangan industri batik sejajar dengan perkembangan industri- industri sekunder yang lain. Pada awal penubuhan IKS, industri batik ini hanya tertumpu secara kecil-kecilan. Hal ini demikian kerana pasaran agak terhad kerana kurang mendapat pendedahan dari segi kaedah pemasaran dan industri ini diusahakan secara tradisional terutamanya dalam perusahaan batik blok dan batik lukis.
Rentetan itu, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memartabatkan
industri batik yang hampir lenyap ditelan arus modenisasi. Antaranya lahir corak-corak batik kontemporari yang memenuhi kehendak dan pasaran semasa. Apatah lagi disokong dengan penggunaan peralatan berteknologi moden dapat menghasilkan produk batik yang dapat memenuhi permintaan pasaran yang kian bertambah. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mempopularkan industri batik negara. Antaranya, kerajaan mengadakan kempen pemakaian batik dalam kalangan kakitangan kerajaan pada setiap satu dan lima belas haribulan setiap bulan. Usaha ini bertujuan untuk mengekalkan identiti warisan bangsa supaya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Usaha yang dilaksanakan tidak terhad dalam negeri sahaja malah telah melangkah ke peringkat antarabangsa. Contohnya, pihak-pihak tertentu telah mempromosikan batik dengan mengadakan pertunjukan fesyen di luar negara seperti Perancis, England, Itali dan negara-negara luar lain. Kemunculan pereka-pereka fesyen seperti Tom Abang Saufi, Salikin Sidek dan beberapa orang lagi pereka fesyen yang mengetengahkan motif batik pada rekaan mereka menjadikan batik kian popular dalam kalangan semua lapisan masyarakat. Antara syarikat yang turut mempopularkan industri ini ialah Batik Nor Arfa ,Batik Razali, Batik Atikah dan Butik Embun.
Media massa juga turut memainkan peranan dalam usaha mempopularkan industri batik Malaysia ke persada dunia. Menerusi paparan rencana yang dimuatkan dalam akhbar dan majalah tentang industri batik ini secara tidak langsung dapat merancakkan perkembangan industri ini. Filem-filem dokumentari juga turut mempopularkan industri ini dengan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang sejarah perkembangan industri batik negara. Contohnya dalam rekaan fesyen banyak menonjolkan motif-motif batik yang masih mengekalkan keasliannya dari segi penggunaan media dan teknik penghasilannya. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, industri batik semakin berkembang tidak hanya tertumpu pada rekaan pakaian sahaja tetapi telah berkembang seiring dengan perubahan arus pembangunan negara. Banyak produk yang dihasilkan menggunakan motif batik seperti barang-barang hiasan rumah, beg tangan dan kasut wanita, tudung saji dan lain-lain. Natijahnya, perkembangan industri ini diharap akan terus utuh dan gah di persada dunia sebagai warisan budaya bangsa yang perlu dilestarikan sebagai tatapan generasi akan datang. Oleh itu, industri ini dapat menjadi pemangkin kepada industri-industri kraf yang lain sejajar dengan misi dan visi Wawasan 2020.
AHLI KUMPULAN 3: Pn. Hjh. Fatimah Omar Pn Robiatul Adawiah Ripin Cik Rozita Abdullah Pn Rozila Mat Pn Helen anak Albert Ala Pn Asmah Tayeb TERIMA KASIH