KONSERT NYANYIAN DARI SUDUT HUKUM ISLAM (Bilangan 122 Bahagian Pertama) Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari hiburan. Ada antara mereka yang mencari hiburan itu dengan melancung, makan angin, bersiar-siar, bersukan, memancing ikan, menari, mendengar nyanyian dan sebagainya. Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, makan minum, pakai dan lain-lain. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Hal ini telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Tafsirnya: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan" (Surah Al-An‘am: 32) Jauhi Perkara Syubhah Islam menggariskan ketetapan mengenai perkara halal dan haram dengan jelas dan terang melalui Al-Qur‘an, hadith, ijma‘ dan qiyas. Para ulama juga telah meletakkan kaedah-kaedah umum mengenai halal haram apa yang disebut sebagai qawaid fiqhhiyyah.
Jika kedudukan suatu perkara itu telah jelas, tidak ada kesamaran, hatta dalam kesamarannya pun (syubhah) maka kewajipan kita ialah mengikut dan taat menurut perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: "Daripada Abu Abdullah bin An-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma, katanya: "Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (juga) jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (belum diketahui halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan tergelincir ke dalam perkara haram pula, laksana seorang pengembala yang sedang mengembala di sekitar tempat larangan, akhirnya lalai, lalu memasuki tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja itu, ada tempat larangannya dan tempat larangan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Dan ketahuilah bahawa pada setiap jasad itu ada seketul daging. Sekiranya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak, rosaklah seluruh jasad itu. Ia itulah hati". (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Berdasarkan hadis di atas adalah selamat bagi setiap orang Islam menurut petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang samar-samar atau syubhah agar tidak terjebak kepada haram. Begitulah juga apabila bercakap mengenai perkara halal atau haram hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada orang yang ahli mengenainya. Ditakuti perkara yang halal disangkakan haram dan begitulah sebaliknya. Jika perkara sedemikian berlaku dikhuatiri akan menjejaskan aqidahnya. Yang paling mendukacitakan dan merasa kesal jika perkara haram itu dipromosikan maka jadilah perkara haram (mungkar) itu suatu yang dibanggakan dan perkara yang halal (ma‘ruf) dipandang mungkar. Inilah peringatan sebagaimana yang disebut oleh kitab Mau‘izah Al-Mukminin min Ihya Ulum Al-din: Maksudnya: "Cubalah anda perhatikan (lihat) bagaimana yang mungkar itu menjadi perkara ma‘ruf dan yang ma‘ruf itu pula menjadi mungkar". Maka dalam ruangan irsyad hukum kali ini akan menjelaskan mengenai konsert nyanyian dari sudut Islam, sama ada ia perkara halal atau sebaliknya yang banyak dipetik dari Fatwa Mufti Kerajaan mengenai Islam dan Muzik. Sejarah Konsert
Konsert ialah satu persembahan muzik di hadapan penonton. Istilah ini pada kebiasaannya dikhaskan untuk persembahan yang dipertunjukkan oleh suatu kumpulan ahli muzik. Manakala persembahan yang dilakukan oleh seorang atau lebih pemuzik biasanya dipanggil retical. Perkataan konsert pada asalnya bermakna gabungan ahli persembahan suatu kensert viol bukan persembahan itu sendiri dan istilah itu tidak mempunyai makna seperti sekarang sehingga abad ke 17. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215) Menurut Ensiklopedia Malaysiana, sebelum abad ke 17, muzik hanya diperdengarkan di gereja, di dewan persendirian orang bangsawan atau di perjumpaan akademi yang tertutup atau kumpulan lain. Walau bagaimanapun dengan perkembangan opera pada abad ke 17 seni muzik buat pertama kalinya menjadi satu institusi orang ramai. Konsert orang ramai yang terawal pernah direkodkan dan mengenakan bayaran masuk adalah konsert yang diadakan di London oleh pemain biola John Bawister pada tahun 1672. Pada abad ke 18 pula konsert orang ramai mula terbentuk kukuh di seluruh Eropah dan Amerika. (Ensiklopedia Malaysiana Jilid 7/215) Berdasarkan penjelasan di atas konsert adalah suatu persembahan oleh ahli gabungan muzik. Muzik pula ialah gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama. Muzik tidak boleh lari daripada alat-alatnya kerana daripada alatalat inilah timbul alunan bunyi dan irama, sama ada ia berbentuk: (1) Dipukul atau dipalu seperti gendang atau rebana. (2) Ditiup seperti seruling, serunai atau trompet. (3) Dipetik seperti kecapi, gambus, gitar atau biola. Apabila disebut alat-alat muzik terbayang kepada kita tentang alat-alat hiburan yang dibuat oleh manusia untuk menghasilkan alunan bunyi-bunyian. Alat-alat muzik itu pada kebiasaannya dimainkan untuk mengiringi lagu-lagu, sama ada untuk majlis-majlis keagamaan ataupun semata-mata hiburan. Dalam masyarakat moden sekarang ini, pelbagai irama muzik yang dimainkan sama ada melalui radio, televisyen ataupun mengadakan konsert secara langsung. Persoalan yang hendak dihuraikan ialah adakah bermain muzik itu harus atau bertentangan dengan hukum syara‘? Hukum Muzik
Kedudukan hukum muzik itu akan tergantung kepada apa jenis alat yang digunakan kerana ada di antara alat muzik itu yang diharamkan oleh syara‘ dan ada pula tidak. Jadinya kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut: (1) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘, maka kedudukan muzik itu adalah haram. (2) Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘, maka kedudukannya adalah harus. (3) Bermain atau menggunakan alat muzik yang harus, tetapi dicampur dengan perkara-perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram. Bersambung