KONSEP HOSPITAL MESRA IBADAH Oleh: USTAZ HJ AHMAD MARZUK HJ. SHAARY Penolong Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Hospital Universiti Sains Malaysia
Pengertian Perspektif Islam adalah holistik dan menyeluruh dalam kesempurnaan sesuatu perkhidmatan. Kemuliaan perkhidmatan dan kesejahteraan pelanggan yang dikaitkan dengan keikhlasan dan keihsanan para pelaksananya adalah pelengkap bagi sesuatu tugasan yang berkualiti tinggi. Kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada proses dan sistem struktur yang diwujudkan tetapi juga lebih penting dikaitkan dengan niat murni para pekerja organisasi tersebut. Hospital Mesra Ibadah adalah satu nama yang diberikan bagi sesebuah hospital yang mengamalkan keseluruhan aktivitinya dengan kecemerlangan perkhidmatan yang berteknologi terkini dan berpandukan kepada syariat Islam dan sunnah Rasulullah S.A.W. Amalan yang wujud menunjukkan keharmonian suasana kerja, beradab, bersopan dan bermatlamatkan kesejahteraan pelanggannya. Strategi yang digunakan adalah kepada setiap individu pekerjanya yang diterapkan dengan kefahaman ilmu-ilmu agama asas dan mendalam untuk memainkan peranan sebagai khalifah Allah berkesan dalam tempat kerja. Dalam konteks ini, setiap pekerja disemua peringkat diberikan kesedaran mengenai tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja Islam yang menuntut kepada penyebaran ilmu dan beribadah serta berdakwah dalam kemahiran profesional dan teknikal masing-masing. Terdapat banyak organisasi cemerlang didunia ini yang mempunyai pendekatan mementingkan kerohanian organisasi. Program latihan berterusan dalam membina pekerja diberikan perhatian serius dengan harapan pelaburan manusia ini akan menghasilkan produktiviti duniawi dan ukhrawi. Kecemerlangan dikecapi diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan organisasi sekaligus. Strategi Beberapa strategi pendekatan boleh digunakan dalam melaksanakan projek HMI. Ini boleh dibahagikan kepada beberapa perkara iaitu: 1) 2) 3) 4) 5)
Penerapan Nilai Kecemerlangan Perkhidmatan Kesejahteraan Pelanggan Mesra Alam dan Infrastruktur Perhubungan Manusia
1
Penerapan Nilai Penerapan nilai adalah aspek terpenting dan asas dalam melaksanakan projek HMI di HUSM. Semua program latihan telah direkabentuk semula untuk memuatkan pengisian kerohanian dan kefahaman agama asas dan mendalam untuk memberikan kesedaran kepada para pekerja. Ilmu yang yang diberikan adalah berbentuk dimana ianya akan dijadikan alat yang berkesan untuk mereka mengamalkan pembaharuan ditempat kerja mereka. Kursus dan bengkel berterusan ini akan memberikan keyakinan diri yang tinggi dalam memikul tanggungjawab baru – iaitu pekerja adalah khalifah Allah yang melakukan ibadah ditempat kerja. Didahului dengan niat dan dilakukan dengan penuh keikhlasan, hasil dan produktiviti kerja terjamin berada ditahap tinggi. Beribadah ditempat kerja bermula dari langkah pertama dari rumah lagi. Dari menuntut kerelaan suami bagi pekerja perempuan, digalakkan sentiasa menyimpan wuduk, perbanyakkan berzikir dan mengawal pancaindera supaya tidak terbuka kepada hasutan dan dugaan syaitan, hinggalah menjaga adab dan tata susila perhubungan diantara jantina samada dikalangan rakan sekerja atau dengan pelanggan. Sebarang punca cuitan perasaan dengan insan yang berhubung kerja dengan pekerja perlulah dijaga sama, sentiasa sedar dengan unsur-unsur pembaziran sumber (masa, peralatan dan bahan), sentiasa bersikap ramah mesra dan menunjukkan kemahuan ingin menolong dan semua tugasan disempurnakan dengan penuh rasa kesyukuran. Sebarang kesusahan dilalui dengan penuh kesabaran tetapi gigih berusaha dengan berdoa dan mengharapkan pertolongan Illahi. Takdir, qada’ dan qadar Allah SWT sentiasa diterima dengan penuh kerelaan dan kesyukuran; begitu juga dengan kenikmatan kejayaan dan kesempurnaan tugas. Sebarang bentuk perhubungan diantara insan sentiasa mengingati batasan hukum hakam agama. Dalam suasana tempat kerja, sebarang bentuk muslihat, kemungkaran dan yang menjemput keburukan perlu dielakkan dan dihapuskan sama sekali. Pelaksanaannya bergantung kepada tahap kefahaman dan keyakinan masing-masing. Tidak ada arahan atau peraturan tertentu oleh pengurusan atau majikan dalam mengamalkan yang maaruf dan meninggalkan yang mungkar. Hukumnya adalah jelas. Yang samar boleh diyakinkan bersama kumpulan yang arif. Yang penting adalah keikhlasan dalam melakukan perubahan. Dalam bidang kuasa dan rangka tugas masingmasing telah terdapat banyak perkara yang boleh diubah. Pokoknya adalah kemahuan hati dan niat yang memulakan ibadah dalam pekerjaan tersebut. Sekiranya pelaksanaan adalah dengan arahan atau mewujudkan peraturan, ianya akan memadamkan pengibadahan tersebut. Keberkesanan penuh Program Latihan Penerapan Nilai ini, sebenarnya sudah cukup untuk pelaksanaan projek HMI. Sekiranya semua pengurus dan penyelia diberikan penerapan yang berkesan, selaku agen pengubah sudah boleh memainkan peranan untuk mengubah keseluruhan organisasi. Peraturan, polisi dan amalan yang jelas membatasi hukum, boleh diubah terus oleh pengubal peraturan. Yang baik adalah tetap baik dari sudut apa sekalipun, walaupun berlainan agama. Setiap pekerja yang sedar akan tuntutan baru ini akan memperolehi kepuasan kerja yang berlebihan oleh kerana ianya akan membawa kepada ganjaran akhirat jua. Perubahan yang dilaksanakan oleh setiap pekerja ini akan mewujudkan satu budaya baru dalam organisasi. Mereka mempunyai nilai kongsi (shared values) yang sentiasa mahukan kecemerlangan perkhidmatan, kesejahteraan pelanggan, keharmonian dikalangan rakan. Sudah 2
tentu inilah organisasi cemerlang mutlak. Budaya cemerlang yang baru ini akan menebal dalam organisasi, akan dirasai oleh keluarga pekerja dan juga dinikmati bersama pelanggan yang berurusan. Apabila dicontohi oleh pihak lain, berkat akan berganda untuk dunia dan akhirat. Kecemerlangan Perkhidmatan Profesyen perubatan adalah satu profesyen yang mulia dan tinggi nilainya disisi Allah SWT. Semua pekerja dalam sektor perubatan, kesihatan, pergigian atau yang berkaitan, samada di hospital, klinik atau dimana-mana sahaja telah dianugerahkan dengan ilmu untuk menjadi perawat dalam kemahiran dan bidang masing-masing. Pesakit tidak mahu sakit dan sekiranya mereka telah sakit, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk berusaha mendapatkan rawatan. Penyakit adalah hikmah kepada pesakit. Perawat bukan sahaja berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan pesakit dengan pelbagai bentuk perawatan tetapi juga memberikan keyakinan bahawa penyembuh mutlak adalah hanya datang dari Allah SWT. Usaha rawatan yang diberikan adalah usaha sematamata. Tidak ada penyembuhan yang datang selain daripada Allah. Ungkapan ini diucapkan dalam bacaan doa harian pagi yang berkumandang dari setiap pembesar suara sistem siaraya di HUSM. Setiap pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan menaruh harapan penuh untuk dipulihkan. Setiap perawat samada doktor, jururawat, dan yang lainnya dalam pasukan perawat telah diberikan oleh ilmu Allah untuk digunakan kepada pesakit-pesakit ini. Sememangnya antara 4 perkara pertama yang disoalkan diakhirat nanti adalah apa yang dilakukan dengan ilmu yang kita ada. Adakah kita gunakan dengan sepenuhnya? Atau kita salah gunakan? Atau kita tidak gunakan langsung? Sesungguhnya, ilmu yang kita miliki ini perlu kita gunakan dijalan Allah, untuk amal makruf, untuk menolong insan lain dan yang seumpamanya. Walaupun kita digajikan untuk bekerja dengan menggunapakai ilmu yang kita ada, ianya tidak termasuk dalam definasi yang kita bincangkan disini. Kemahiran, kepakaran dan ilmu didada kita adalah untuk diamalkan, ianya satu tuntutan, gaji mungkin sebagai motivasi sahaja. Teknologi perkhidmatan perubatan sentiasa dinamik dan berubah-ubah. Teknologi baru sentiasa diterokai untuk mencari kaedah perawatan yang lebih berkesan, pendek jangka tempohnya, lebih selesa dan tidak memerlukan kaedah invasif, tetapi tidak selalunya lebih murah. Apa juga kaedah baru yang terdapat, usaha dari kalangan perawat Islam tidak boleh ketinggalan. Teknologi baru perlu dikejari jika tidak perawat Islam sendiri yang menerokainya melalui penyelidikan. Setiap penerokaan yang lebih mendalam akan menunjukkan keagungan Illahi yang mencipta semuanya, dan meninggikan keyakinan perawat atau saintis perubatan terhadap Tuhannya. Penerokaan dan penemuan kaedah baru dari saintis perubatan Islam akan menjaminkan kita bahawa landasan Islam itu dipatuhi. Halal haram bahan pengubatan diteliti, kesejahteraan insan dijagai, pembaziran dan penindasan tidak berlaku. Syarat-syarat sah penyucian dititkberatkan samada dibahagian linen, pemakanan atau pun peralatan. Pada amnya, perawat Islam perlu ikut rapat dengan perubahan teknologi perubatan moden. Hanya etika Islam yang akan membezakan penerimaan yang baru itu betul-betul baik dan berpetatutan untuk masyarakat Islam. Kecemerlangan perkhidmatan tidak boleh lari dari penerokaan bidangbidang baru. Penghayatan Islam itu adalah cemerlang dengan sendirinya. Islam akan membataskan penerimaan dan pemilihan kepada yang baru itu dengan tapisan yang berpandukan kepada syariah. Sasaran perawat Islam seharusnya bukan untuk umat Islam sebagai pengikut kepada teknologi moden tetapi sebagai pencipta dan peneroka kepada bidang-bidang baru ini. 3
Kesejahteraan Pelanggan Sememangnya perkhidmatan dihospital dan klinik itu adalah yang melibatkan perhubungan diantara insan. Perawat yang mempunyai ilmu dan kemahiran memberikan rawatan kepada pesakit yang mengharapkan. Dalam kacamata kasar, ianya mungkin hanya dilihat sebagai doktor mengubati pesakit. Sebenarnya, kita semua sudah mula sedar bahawa ubat itu adalah sekadar perantara sebagai penyembuh. Pokoknya adalah hanya Allah SWT Yang Maha Penyembuh. Selain daripada itu, proses dan usaha perawatan itu melibatkan lebih dari kaedah dan prosedur perawatan itu sahaja. Perawat merupakan penyampai perkhidmatan kepada pesakit pelanggannya. Disinilah bermulanya perhubungan diantara insan yang menjadi nadi kepada perkhidmatan berkualiti. Perhubungan diantara insan ini adalah faktor kritikal dalam menentukan tahap kualiti sesuatu perkhidmatan. Ianya bukan sekadar pelengkap kepada sistem dan proses kerja yang perlu juga mantap dan efisyen. Pekerja ialah pelaksana kepada sesuatu sistem. Sesuatu perkhidmatan yang ditujukan kepada insan lain memerlukan perhubungan dari insan juga. Pelanggan insan tidak boleh berpuas hati menerima sesuatu perkhidmatan dalam bentuk robotik atau mekanikal. Perhubungan diantara insan inilah yang telah dipandang berat oleh Islam. Makhluk dunia telah diminta untuk menjaga perhubungannya kepada dua perkara iaitu perhubunganya dengan Tuhan dan dengan insan yang lain. Pengertiannya bergantung rapat diantara dua ini dan saling menguji. Perhubungan manusia dengan Tuhannya adalah tuntutan individu, tetapi perhubungan manusia dengan manusia adalah satu arena ujian pelbagai yang menentukan aspek akidah dan keimanan masing-masing. Al-Quran dan Rasul telah menggariskan panduan untuk kita sama-sama memahami dan melaksanakan perhubungan diantara insan ini. Didalam tempat kerja, kita berhubung dengan rakan sekerja, kita berhubung dengan penyelia dan staf bawahan, kita berhubung dengan pelanggan dan kita berhubung dengan keluarga atau waris pelanggan. Kita juga tidak boleh lari menghubungi segenap lapisan manusia dalam masyarakat untuk memudahkan tugasan kita. Kita menggunakan hampir semua pancaindera kita dalam perhubungan termasuk penggunaan lidah dalam pertuturan yang boleh dipelbagaikan nadanya. Kita menggunakan mata, air muka, gaya pergerakan anggota, lenggok jalan dan macam-macam lagi. Setiap pergerakan boleh diberikan makna tertentu. Jelingan mata yang sinis, jalanan kaki yang menghentak semuanya boleh dimaknakan. Dalam erti kata lain, insan yang kedua ini boleh merasai hasil dari kesan perhubungan yang ditujukan dari insan pertama. Islam berkehendakkan kita memperbaiki perhubungan diantara satu sama lain dengan sebaik mungkin. Kita perlu saling bantu membantu, hormat menghormati, saling bertegur sapa, dan sama-sama mengusahakan kepada yang baik dan menolak kepada kemungkaran. Semua kaedah perhubungan yang disebutkan diatas tadi perlu mencerminkan hasrat ini supaya satu budaya harmoni dapat diwujudkan dalam suasana kerja. Harapan pesakit yang memerlukan dari gulungan yang arif dalam profesyennya adalah tinggi. Tuntutan disisi Allah SWT bagi sipemberi perkhidmatan ini adalah lebih tinggi dan harapan pelanggan ini perlu ditatang seperti minyak yang penuh. Mereka perlu diberikan layanan lebih dari yang mereka harapkan. Mereka perlu disayangi. Islam juga telah memberikan panduan yang jelas kepada umatnya bilamana perhubungan diantara lelaki dan perempuan wujud dalam suasana tempat kerja, samada dikalangan rakan sekerja atau 4
pun dengan pelanggan. Sebarang bentuk subahat yang boleh membuka jalan kepada angkara syaitan perlu dilindungi dari awal lagi. Pengasingan jantina dimana patut perlu dilaksanakan. Isu darurat tidak boleh berlanjutan dan segala usaha patut dilakukan untuk menghormati aspek perbezaan jantina dalam pekerjaan. Isu aurat amat mendugai profesyen perubatan dan ini seharusnya dapat ditangani. Matlamat akhirnya dalam komunikasi berhemah mengikuti lunas-lunas Islam ini adalah kearah kesejahteraan dan penghormatan sesama manusia juga. Penindasan dan eksploitasi akan terhakis dengan sendirinya, produktiviti kerja akan meningkat, rahmat dan keberkatan akan dilimpahkan. Mesra Alam dan Infrastruktur Islam mementingkan isu alam dalam tanggungjawab kita memakmurkan dunia ini. Keseluruhan isi alam adalah hak Allah SWT dan perlu dibela dan dijaga demi kemakmuran umat. Dalam membina dan menyenggara infrastruktur perkhidmatan perubatan, kepentingan seharusnya diberikan kepada aspek penjagaan alam sekitar. Sebarang bentuk pencemaran alam, udara, langit, tumbuhtumbuhan dan bumi patut dielakkan sama sekali. Kebersihan persekitaran seharusnya dijadikan contoh, apatah lagi dalam sektor kesihatan ini. Manusia dan alam adalah kejadian Tuhan yang dicipta dengan tujuannya masing-masing. Allah SWT mencipta alam ini dengan tujuan dan hikmah-hikmah yang tertentu. Ini jelas terbukti dalam firman-Nya yang bermaksud: “ Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan….”. Tujuan penciptaan alam boleh dibahagikan kepada tiga iaitu tujuan kebendaan, tujuan pembangunan intelek dan tujuan kerohanian. Tujuan kebendaan manusia adalah seperti makanan, pakaian, peralatan, tempat perlindungan, perhiasan, pengangkutan dan sebagainya. Bagi memenuhi keperluan kebendaan manusia ini, Allah SWT telah menjadikan segala yang ada dalam alam ini supaya tunduk kepada manusia dan Allah SWT telah memudahkan segala yang ada di langit dan bumi untuk dimanfaatkan oleh manusia. Fungsi pembangunan intelek pula merujuk kepada kejadian alam sebagai bahan untuk difikirkan dan direnungkan oleh manusia. Manusia diciptakan dengan kebolehan berfikir. Dengan adanya alam serta segala persekitaran isi kandungannya, manusia boleh menggunakan akalnya untuk mengkaji, meneliti, memerhati dan memahami segala kejadian untuk dimanfaatkan dalam membina tamadun manusia itu sendiri. Fungsi kerohanian pula merujuk kepada bagaimana segala bentuk kejadian di alam ini dapat menjadi unsur yang membuktikan kewujudan Tuhan dan kekuasaan-Nya. Dengan adanya bukti yang jelas ini maka manusia akan lebih mengenali Penciptanya dan dengan itu dapat beriman kepada-Nya. Alam ini adalah tanda kekuasaan Allah. Al-Quran adalah sebuah kitab yang terkandung di dalamnya ayat-ayat Tuhan yang diturunkan untuk mengajar manusia tentang makna dan tujuan hidup mereka sebenarnya. Alam ini adalah
5
juga sebuah kitab yang mengandungi berbagai makhluk dan fenomena alam yang juga merupakan ayat-ayat Tuhan yang dapat mengingatkan manusia tentang matlamat hidup mereka. Ternyata Allah SWT tidak mencipta alam dan isi kandungannya termasuk teknologi-teknologi perubatan yang sedia ada tanpa tujuan apa-apa. Dari penelitian membangunkan infrastruktur sehinggalah menyediakan prosedur canggih perubatan dan penerokaan kaedah-kaedah baru melalui penyelidikan, suasana pewujudan dan penciptaannya adalah untuk memenuhi tiga fungsi utama iaitu fungsi kebendaan, pembangunan intelek dan kerohanian. Setiap satu unsur yang terdapat dalam suasana kerja kita itu adalah amat dalam tujuan maknanya dan boleh memaknakan lagi perhubungan pekerja dengan Tuhannya. Setelah melihat tujuan penciptaan alam dan persekitarannya, kita beralih kepada tujuan penciptaan manusia. Menurut Al-Quran, manusia diciptakan dengan dua tujuan utama iaitu pertama, untuk mengabdikan diri kepada Allah dan kedua, untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, yang ketiga memikul amanah Islam. Ibadat yang dituntut ke atas golongan jin dan manusia ialah untuk memuliakan apa yang diperintah oleh Allah dengan mengikuti syariat dan menuruti apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan menyayangi ciptaan Allah. Allah memudahkan manusia dalam menjalankan ibadat ini dengan mengutuskan para Rasul untuk menunjukkan jalan atau cara melakukan jenis ibadat itu. Tujuan kedua manusia diciptakan ialah untuk menjadi Khalifah di muka bumi ini. Apa yang dimaksudkan dengan ‘Khalifah’ ialah seseorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi berdasarkan kepada wahi dan syariat Allah supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah ‘Azza wa jalla’. Manusia dikehendaki mentadbir dan memakmurkan muka bumi mengikut kehendak Allah. Ini adalah satu amanah besar yang diserahkan kepada manusia yang mesti dilaksanakan olehnya. Diperingkat ini, bolehlah kita merenung sejenak, sejauh manakah tanggungjawab yang dituntut ini dilaksanakan oleh para perawat kita. Firman Allah dalam Surah al-Ahzaab (33) : 72 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya), sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakkan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakannya. Melihat kepada tujuan penciptaan alam serta isi kandungannya dan tujuan penciptaan manusia ini didapati bahawa kedua-duanya mempunyai hubungan yang saling memerlukan antara satu sama lain. Alam dengan segala isi kandungannya, memerlukan manusia untuk dibangunkan manakala manusia sebagai makhluk Allah yang terdiri dari roh dan jasad, memerlukan tuntutan rohani dan jasmaninya. Tuntutan rohani merujuk kepada keperluan kerohanian setiap individu yang merupakan unsur yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Kepentingan ini bukan sahaja berkisar tentang kekuatan rohani yang dapat menjadi panduan hidup bagi setiap manusia, tetapi juga santapan rohani ini penting untuk dijadikan bekalan di akhirat nanti.
6
Sepertimana yang disebutkan awal tadi, alam dicipta untuk tujuan kerohanian. Dengan memerhati, meneliti dan mengkaji alam dan segala fenomena yang ada disekelilingnya, yang penuh dengan manifestasi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, kita akan lebih mengenali Pencipta kita, lebih mengagungkan kekuasaan-Nya, mensyukuri nikmat-Nya dan seterusnya dengan penuh khusyuk dan tawaduk ingin menyembah dan sujud kepada-Nya. Inilah keperluan rohani yang harus dipenuhi oleh setiap individu perawat dan suasana serta persekitaran pekerjaan memainkan peranan penting untuk tujuan ini. Tuntutan jasmani pula merujuk kepada keperluan jasmani manusia seperti makanan, tempat perlindungan, pakaian dan sebagainya. Jadi, sekali lagi manusia perlu kepada alam untuk membekalkan sumber atau bahan ini bagi memenuhi segala tuntutan kebendaannya. Yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain ialah manusia dapat memikirkan segala kejadian dan fenomena alam, membentuk dan menuntut ilmu dan dari situ memanfaatkan ilmu tersebut untuk digunakan dalam memenuhi tuntutan rohani dan jasmaninya. Jelas bahawa alam dan manusia mempunyai hubungan saling memerlukan antara satu sama lain. Persoalannya ialah bagaimanakah manusia yang dicipta sebagai Khalifah untuk menguruskan alam ini, seharusnya bertindak agar hubungan ini berjalan dengan lancar. Perhubungan Manusia Manusia diciptakan oleh Allah sebagai Khalifah namun tidak semua itu sama. Mereka berbeza dari segi jantina, bangsa, agama dan sebagainya. Perbezaan sesama manusia ini ada hikmatnya. Allah menjadikan perbezaan ini bukan untuk memecah belahkan kita, sebaliknya Dia mengkehendaki agar kita saling kenal-mengenali, menerima perbezaan tersebut disamping mengambil manfaat dari perbezaan yang ada itu. Manusia adalah makhluk yang sosial. Ada kecenderungan dikalangan manusia ini untuk membentuk kumpulan. Dalam al-Quran, disebutkan nilai atau perbuatan yang harus ditekankan dalam berintegrasi sesama manusia agar keharmonian dapat tercapai. Diantara nilai moral yang digalakkan kita mengamalkannya seperti yang disebutkan di dalam al-Quran ialah membuat kebajikan, membalas kejahatan dengan kebaikan, bercakap benar dan menegakkan kebenaran, memegang janji dan sumpah, bersikap amanah, adil, sabar dan bertoleransi, mempertahankan diri, bersederhana, bersedekah, mengamalkan sikap ihsan, pemurah, pemaaf, merendah diri, menjaga maruah diri, menjaga kesucian diri, berbudi bahasa, menjaga hak untuk bersendirian bagi orang lain dan memiliki sifat bergantungan terhadap Tuhan. Norma yang harus dipegang apabila kita berinteraksi dengan orang lain, seperti yang disebutkan dalam al-Quran adalah perpaduan, persaudaraan, saling bantu-membantu dan bekerjasama, menghormati nyawa, menghormati perasaan orang lain, adab dalam majlis, campurtangan dan mendamaikan pihak yang berbalah dan mendoakan orang Islam yang lain. Satu Tuntutan Realiti Jelas dengan fakta-fakta yang telah dihujahkan diatas ini bahawa pengibadahan dalam tugasan perawat adalah satu tuntutan realiti. Tuntutan ini bukan sahaja bagi profesyen perubatan bahkan bagi apa jua bidang profesyen, sekiranya ia dilakukan oleh pekerja Islam, maka pengibadahan 7
semasa ditempat kerja adalah satu tuntutan. Setiap individu Islam tidak boleh lari dari dipertanggungjawabkan dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk dipergunakan sebaik mungkin sebagai ibadah. Bahkan keseluruhan kehidupan dimukabumi ini selagi hayat dikandung badan adalah satu pentas aktiviti yang berterusan dinilai oleh Allah SWT tentang kebaikan dan keburukannya, untuk diganjarkan diakhirat kelak. Pengalaman di Hospital USM Hospital USM mula menggiatkan aktiviti pengibadahan dalam tempat kerja ini sejak 2001. Sebagai sebuah hospital rujukan, Hospital USM perlu sentiasa rapat dengan perubahan teknologi perubatan baru untuk mempastikan harapan dan tanggapan masyarakat dapat dipenuhi. Sebagai sebuah hospital pengajar pula, kemudahan yang disediakan adalah optima untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Untuk para perawat beramal, ianya adalah tempat yang amat mulia, pertama untuk para perawat memberikan perkhidmatan perawatan kepada pesakit yang memerlukan dan kedua sebagai tempat untuk menyebarkan ilmu dan menerokai ilmu baru melalui penyelidikan. Merawat pesakit dan menyebar ilmu adalah dua kerjaya yang mulia disisi Allah SWT. Sudah tentu para perawat yang putih hati akan nampak peluang untuk beramal dan menanam saham untuk akhirat ditempat mereka bekerja. Dimulai dengan satu bengkel dengan para pesertanya dari pengurusan tertinggi Hospital USM, satu kefahaman telah didedahkan untuk semua peringkat pengurus memahami dan menerima konsep yang diutarakan. Kefahaman ini diberikan penekanan supaya setiap individu pengurus dapat merancang dan mendahului aktiviti bahagian masing-masing. Beberapa bengkel susulan telah diadakan yang melibatkan lebih ramai peserta dari kalangan pengurus pertengahan untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti dibahagian masing-masing. Matlamat bengkel adalah supaya kefahaman ini dapat dihayati sedalam yang mungkin, kepercayaan kepada konsep dapat diyakini dan perancangan pelaksanaan adalah diperingkat masing-masing dalam bidang masing-masing. Berbeza dari peringkat kefahaman dimana ianya lebih kepada dari peringkat atasan dan diperturunkan (top-down), prinsip pelaksanaan tidak lagi dipusatkan. Pengurus bahagian akan menentukan dalam bidang kerja masing-masing supaya semua aktiviti dilihat semula dari perspektif keislamannya. Ianya melibatkan polisi, peraturan, amalan, infrastruktur, kemudahan, komunikasi dan lain-lain yang tiada sudut dikecualikan. Bagi setiap pekerja, mereka akan dimuhasabbahkan untuk melihatkan dirinya sebagai seorang Islam dahulu sebelum menentukan semua bidang tugasnya diterapkan dengan ciri-ciri Islam. Yang perlu dipertontonkan adalah nilai keislamannya dan bukan kepada nama islam itu sendiri. Dengan cara ini, ianya boleh diterima sejagat tanpa menyentuh sensistiviti bangsa dan agama lain. Bahagian Latihan, Unit Pengurusan Sumber Manusia, Hospital USM memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek Hospital Mesra Ibadah. Setiap aktiviti latihan dalam bentuk seminar, kursus dan sebagainya yang diadakan dalam kekerapan sehingga dua atau tiga kali seminggu akan diterapkan dengan pengisian kerohanian. Kebiasaannya waktu siang dipenuhi dengan objektif utama kursus seperti kemahiran, motivasi, kecemerlangan diri dan sebagainya. Kesempatan diambil pada waktu-waktu sembahyang yang diwajibkan berjemaah dan diikuti dengan kuliah-kuliah dan tazkirah agama. Waktu malamnya juga diisi dengan aktiviti kerohanian. Keberkesan keatas setiap peserta kursus dari aspek penerapan nilai diukur dari sistem penilaian 8
berkala yang dinilaikan oleh penyelia masing-masing. Penilaian yang berformat ini baru sahaja dinaiktarafkan dalam bentuk website terhad untuk dimantau oleh unit latihan. Penilaian dilakukan pada tiga bulan pertama selepas kursus dan selepas itu setiap enam bulan. Adalah diharapkan setiap individu pekerja yang melalui sekurang-kurangnya satu kursus setahun akan dapat berubah untuk penghasilan kerja yang lebih produktif lagi kreatif dan memenuhi keperluan dan ekspektasi pelanggan. Dalam peringkat pelaksanaan, pengurusan tidak memberikan arahan atau menggubal peraturan baru untuk menjayakan prinsip Hospital Mesra Ibadah. Melalui kefahaman yang diberikan dan dengan niat individu yang mahukan sendiri melakukan perubahan, pengurusan hanya memberikan sokongan berterusan dalam apa jua bentuk sekalipun. Misalnya, bagi Unit Kejuruteraan dan Penyenggaraan, pengubahsuaian kemudahan infrastuktur yang lebih mesra pelanggan berumur dan kelainan upaya dilakukan, tempat wuduk diasingkan dari tandas, kemudahan bersolat dikenalpasti, sistem siaraya yang menyiarkan azan, bacaan al-Quran, tazkirah dan doa pada masa-masa tertentu. Seni bentuk bangunan dan corak-corak jubin dimana sesuai, tanpa pembaziran akan diterapkan dengan bentuk dan corak keislaman. Mengikut bidang dan unit masing-masing, semua aspek telah dilihat semula untuk mengubah kepada yang bercirikan islam. Ini termasuk pakaian seragam bagi staf dan pesakit yang lebih mementingkan penutupan aurat, lebih ramai jururawat lelaki telah dilatih untuk satu masa nanti pengasingan wad lelaki dan perempuan boleh dilakukan secara keseluruhan. Pendidikan solat dan ibadah semasa sakit juga dilaksanakan oleh kumpulan-kumpulan ziarah sukarela dari kalangan staf. Halal haram bahanbahan ubat-ubatan dan rawatan, penyucian makanan, bekas makan dan linen juga diberi perhatian. Lebih penting dari segalanya adalah pewujudan suasana dan budaya keislaman dalam pekerjaan, khususnya dari segi perhubungan diantara insan, diantara sesama staf dan diantara perawat dengan pesakit. Peradaban komunikasi disemua sudut telah digariskan oleh islam dari segi pertuturan, gerak geri, bahasa, air muka, nada suara dan sebagainya. Pengukur kesebatian keislaman dan pekerjaan adalah dalam menghasilkan produktiviti kerja. Disini adalah diharapkan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih efisyen, penggunaan sumber dioptimakan tanpa pembaziran, lebih banyak produk kerja yang berkualiti dihasilkan dan lebih kepuasan pelanggan dapat dilihat. Di Hospital USM, sememang terbukti bahawa statistik aduan pelanggan telah menurun, pujian telah meningkat, lebih banyak anugerah telah diperolehi diperingkat negeri dan kebangsaan. Walaubagaimana pun, banyak lagi ruang kemajuan boleh dikecapi. Dari mata kasarnya, perubahan fizikal belum nampak sangat dapat dilihat dan kita memahami bahawa perubahan dasar, baru berlaku diperingkat hati dan naluri. Apatah lagi dalam mencorakkan budaya kerja islam yang baru. Ianya memakan masa untuk mengubah secara keseluruhan. Usaha akan diteruskan dan nafas baru akan sentiasa diberikan melalui kursus latihan. Bagi setiap individu pekerja, seharusnya tiada tekanan yang dilalui. Perubahan adalah dikadar kemampuan masing-masing dan pengukur dan penilai mutlaknya adalah hanya dari Allah SWT dan untuk akhirat jua.
9
Rujukan Surah Ibrahim (14) : 32-33, Surah al-Nahl (16) : 12-13, 11, 17, 69 & 79, Surah al-Hajj (22) : 65, Surah al-Zukhruf (43) : 13, Surah al-Jaathiyah (45) : 12-13, Surah Saad (38) : 27, Surah al-Ahqaaf (46) : 3, Surah al-Qasas (28) : 72, Surah adz-Dzaariyat (51) : 21 & 56, Surah al-Ghaasyiyah (88) : 17, Surah Yunus (10) : 3, Surah al-Mukminum (23) : 85, Surah as-Sajdah (32) : 4, Surah al-SurJaathiyah (45) : 13, Surah al-Hasyr (59) : 21, Surah al-An’aam (6) : 102, Surah al-Baqarah (2) : 29, Surah ar-Ra’d (13) : 16, Surah az-Zumar (39) : 62, Surah al-Mu’min (40) : 62, Surah at-Tuur (52) : 35, Surah al-Waaqi’ah (56) : 59, Surah al-An’aam (6) : 158 dan Surah ar-Rum (30) : 20 Falsafah Alam Tabi’I Dalam Islam: Satu Analisis Tentang Sains Menurut al-Quran (tesis M.A.). Pembahagian ini berdasarkan kepada tujuan penciptaan alam seperti yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran. Pengurusan dan Pentadbiran, Mencapai Kecemerlangan Melalui Penghayatan Nilai. Penyunting: Syed Othman AlHabshi dan Hamiza Ibrahim. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 1998. Kecemerlangan Pentadbiran, Dasar dan Amalan Dalam Islam. Shafie Hj Mohd Salleh dan Mohd Affandi Hassan. Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur, 1991.
10
11