ETIKA PEMANTAU Nilai, peribadi dan karektor seseorang itu boleh diukur dari segi budaya kerjanya, kesungguhannya dan minatnya dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya agar mencapai kualiti yang boleh dibanggakan. Seorang pemantau perlulah memilikki satu etika kerja yang positif untuk mempamerkan profesionalisme dalam tugasnya bagi membantu meningkatkan imej organisasi di mana beliau berkhidmat. Etika ini adalah perlu untuk membolehkan tugas-tugasnya mendapat penghormatan yang sewajarnya dari semua pihak yang terlibat dan juga pada pandangan orang ramai. Oleh itu bagi membina etika kerja yang baik, pemantau hendaklah; •
Bersikap Jujur Bersikap jujur dalam membuat penilaian dan keputusan tanpa mengira status subjek dan sukan yang dinilai. Penilaian yang jujur akan dapat memberikan keadilan kepada subjek berkenaan kerana ia melibatkan status kerjayanya dari segi kenaikan pangkat dan / atau kenaikan gaji dan/ atau elaun serta masa hadapannya sebagai seorang jurulatih.
•
Bersifat Adil Sentiasa bersikap adil khususnya kepada subjek yang dipantau dan tidak ada niat untuk menjadikannya mangsa kepada keadaan yang dipengaruhi oleh kepentingan individu-individu tertentu ataupun sikap prejudis pemantau.
•
Tegas Dalam Tugas Bersikap tegas dalam membuat sebarang keputusan dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak terhadap keputusan dan tidakan yang diambilnya. Ketidak tegasan ini kan mencerminkan peribadi pemantau dan boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Pemantau juga hendaklah merujuk kepada pegawai atasannya sekiranya was-was dengan tindakan yang akan diambil bagi menjaga dan mengamalkan keadilan terhadap semua pihak.
•
Komited Terhadap Tugas Komited di dalam kerjaya dan tugasnya dengan meletakkan prioriti yang betul sebelum, semasa dan selepas proses pemantauan dilaksanakan.
•
Kompetens Hendaklah kompetens di dalam tugasnya dari segi melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan serta kerjaya seseorang jurulatih. Hendaklah memahami secara am tugas, peranan dan kualiti seseorang jurulatih yang berjaya. Pemantau juga hendaklah berusaha untuk mengetahui dan memahami tentang aspek-aspek fizikal, teknikal, taktikal dan psikologikal sukan yang jurulatihnya dinilai.
•
Hormat menghormati Hendaklah sentiasa bersikap menghormati subjek yang dinilai termasuk juga atlet di bawah bimbingannya disamping semua pihak yang berkaitan.
•
Ada Integriti Membina integriti diri dengan mengamalkan prinsip, tindakan, nilai, kaedah dan hasil secara konsisten. Integriti diri pemantau dapat dilihat dari segi kualiti kerja yang berasaskan kejujuran dan kepercayaan dari semua pihak yang terlibat.
•
Membina Imej Positif Membawa perawakan dan sahsiah diri yang kemas sesuai dengan tugas dan peranannya. Berusaha membina dan mengekalkan imej kendiri yang positif dan boleh dicontohi khususnya dari aspek budaya kerja dan tingkah laku semasa membuat pemantauan. Ia juga akan dapat menjadi teladan khususnya kepada atlet dan orang ramai amnya.
•
Amanah Dengan Rahsia Pemantau hendaklah dalam semua hal menjaga kerahsian semua maklumat hasil dari pantauannya kecuali kepada pihak yang berkenaan dan berhak sahaja. Tidak menyebarkan hasil pemantauan terhadap seseorang subjek itu kepada pihak lain yang boleh mencetuskan perasaan negatif antara satu sama lain.