Pendahaluan
Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung sejauhmana kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Islam merupakan agama yang syumul. Kejiranan ialah satu cabang kesyumulan Islam. Allah memerintahkan hamba-hambaNya supaya berbuat baik kepada jiran tetangga. Firman Allah s.w.t : “Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36). Maksud jiran 1) Jiran ialah hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra 2) Manakala riwayat Ikrimah dan Mujahid atau selain mereka yang mengatakan jiran ialah muslim yang satu agama. 3) Jiran boleh dikatakan, apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.
Tiga bahagian jiran iaitu :
1) Jiran yang muslim dan berhubungan darah – Mereka ini mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan dan hak kejiranan 2) Jiran yang muslim tanpa hubungan darah – Mereka ini mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan. 3) Jiran yang bukan Islam – Mereka ini mempunyai satu hak iaitu hak kejiranan. Kedudukan Jiran Menurut keutamaan Berikut ialah susunan kedudukan jiran yang utama dan yang diatur menurut kedudukan yang lebih berhak diberi keutamaan berbanding yang selepasnya : 1) Jiran yang muslim yang paling dekat dengan pintu rumah. 2) Jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan
Allah berfirman :“..jiran tetangga yang berhubungan dekat” (An-Nisa: 36). 3) Jiran muslim yang berilmu dan alim serta memiliki fadhilat
Allah berfirman :“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11). 4) Jiran muslim yang soleh dan beribadah Allah swt berfirman :“ Apakah keadaan orang yang beriman itu sama halnya seperti orang yang fasiq ? Sungguh mereka tidak sama” (AsSajadah : 18).
5) Jiran yang fasiq dan ahli maksiat 6) Jiran yang kafir
Allah swt berfirman :“Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh”
(An-Nisa : 36).
Had Lingkungan Kejiranan Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Pendapat ulama’ mengenai had lingkungan kejiranan: 1) Bermaksud bahawa sesiapa yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan tanpa pembesar suara maka dialah jiran. 2) Jiran yang berada dalam satu lingkungan yang dapat mendengar iqamah solat. 3) Ada mengatakan pula jiran ialah mereka yang dapat besolat berjemaah pada waktu subuh dan Jumaat bersama-sama. 4) Bagaimanapun pendapat yang masyhur dari riwayat Aisyah ra dan para tabien dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru.
Kepentingan Jiran dalam Islam 1) Memenuhi Hak Jiran a. Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan
Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara
jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama. Antara hak jiran yang wajar dipelihara :
1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” . (hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47). 2)Menghormati Jiran dan pengamalan mereka selama tidak membawa mudharat. Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat 3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka. Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”. 4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha
mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya. Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia. 5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat. Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka. Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka. Adab – adab dalam kehidupan berjiran : 1. Dahului dengan memberi salam. Lafaz ucapan salam dengan jelas dan sempurna, bukannya dengan sebutan ringakas hingga mencacatkan bunyi dan maknanya. Salam yang sempurna ialah Asalamualaikum w.b.t. Walaubagaimanapun ucapan salam dalam Islam adalah sunat bagi pemberi salam, tetapi menjawab salam adalah wajib keatas umat islam. 2. Saling menegur antara satu sama lain Jika seseorang melakukan kesalahan dan terlanjur berbuat dosa, tegurlah dengan cara berhemah. Mungkin dia
melakukannya tanpa disedari. Berdasarkan skop ini, saling menegur antara satu sama lain memberi impak positifu dalam meningkatkan ukhuwah kehidupan bermasyarakat. 3. Bersifat pemaaf Sentiasa bersedia memaafkan orang lain terhadap diri seindiri, lebih-lebih lagi jika seseorang itu meminta maaf di atas kesalahanya. 4. Menunaikan jemputan Apabila dijemput menghadiri kenduri atau bertamu kerumah jiran tetangga kita, seharusnya kita menunaikan jemputan itu. Tetapi biarlah bebas daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemaksiatan kepada diri atau masyarakat. 5. Menziarah yang sakit Ziarahi jiran yang sakit. Memberi nasihat atau kata semangat padanya agar dia mampu mengahdapi ujian dengan tabah dan sabar. Sebaik-baiknya, berdoalah agar cepat sembuh.
Kesan - kesan hidup berjiran
1) Menambah Kenalan Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud: 'Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'. (Al-Hujurat : 13) 2) Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud: 'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'. (Al-Maidah : 2) 3. Menjaga Keharmonian Masyarakat Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan. 4. Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak bertujuan menilai pencapaian pelajaran
Kesimpulan Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan