KAMIL TERSOHOR Pelajar-pelajarku, Setiap kali meniti perjalanan hidup, pasti pelbagai badai melanda. Namun kita tidak seharusnya mudah menyerah kalah. Kita harus terus berjuang walau “nyawa di hujung pedang” kerana itulah harga yang perlu kita bayar untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Jangan sesekali lalai pada suruhan AllAH SWT kerana tiba masa, kita akan bertemunya. Biarlah kita hidup diberkati sepanjang hayat dan dirahmati OLEHNYA walau ke manapun arah kita.
1
GEJALA PONTENG DAN LEPAK SEMAKIN MENJADI-JADI DALAM KALANGAN PELAJAR PADA MASA INI. HURAIKAN PUNCA GEJALA TERSEBUT DAN LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH TERSEBUT. Oleh: Siti Nasihah bt. Abdul Hamid 5 Alfa 2009 Sejak akhir-akhir ini, gejala ponteng dan lepak semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar dan membimbangkan masyarakat. Pelajar merupakan modal insan dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Jadi isu ini haruslah diberi perhatian dan langkah-langkah sewajarnya hendaklah dilaksanakan dengan segera sebelum menjadi lebih parah dan tidak dapat diselamatkan lagi ibarat “nasi sudah menjadi bubur.”
Terdapat pelbagai punca gejala tidak sihat ini berlaku dan salah satunya pelajar kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja untuk mengumpul wang demi masa depan anak mereka “memakan diri ‘ sendiri dan hanya tinggal impian semata-mata. Mereka tidak mempedulikan diri anak-anak mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang insan yang menjaga mereka semenjak kecil. Akhirnya apabila pelajar berasa bosan dengan kehidupan keluarga, mereka akan mula mencari rakan-rakan yang tidak berakhlak mulia yang suka ponteng dan lepak. Kadang-kala sikap ibu bapa yang suka menyalahkan anak mereka membuatkan jiwa pelajar memberontak dan bertukar menjadi seorang yang suka ponteng dan lepak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah menasihati dan menjaga perasaan pelajar dengan sebaiknya.
2
Pengaruh rakan adalah punca utama kepada gejala ponteng dan lepak. Pelajar tidak pandai untuk memilih rakan yang baik dan buruk. Apabila tersalah pilih rakan, agak susah untuk pelajar kembali kepada sikap asal kerana sikap buruk rakan akan secara perlahan-lahan meresap dalam jiwa pelajar dan menjadi sebahagian daripada diri pelajar.Pelajar haruslah tahu membezakan rakan yang membawa kepada jalan yang benar atau salah. Apabila berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan lepak, seseorang pelajar itu pada mulanya hanya mahu mencuba tetapi lama kelamaan akan menjadi tabiat dan tidak takut untuk melakukannya.
Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala ponteng dan lepak. Ada juga sekolah yang tidak mempedulikan gejala yang semakin berleluasa ini walaupun telah diberi amaran oleh pihak kementerian agar segera membendung gejala ini daripada terus merebak dalam kalangan pelajar-pelajar yang lain. Apabila nama sekolah tercemar barulah mereka sedar betapa pentingnya menangani gejala ponteng dan lepak ini.Walaupun begitu , terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang “menyerang” pihak sekolah kerana telah bertindak tegas dengan mengenakan hukuman terhadap anak mereka yang didapati bersalah dan mereka “seperti ular dikutik ekor” disebabkan ketegasan pihak sekolah menghukum terhadap anak mereka.
Selain itu, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca kegiatan pontenga dan lepak semakin berleluasa. Masyarakat bertindak “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” kerana enggan “menjaga tepi kain orang”.
3
Masyarakat tidak melaporkan kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa apabila melihat pelajar-pelajar ponteng dan lepak Mereka sepatutnya menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak sekolah dengan terus melaporkan sebarang aktiviti pelajar yang mencurigakan.Keprihatinan dan kerjasama mereka amatlah penting bagi menangani gejala ini dengan membantu pihak berkuasa memusnahkan tempat-tempat yang menjadi “sarang” untuk pelajar-pelajar melepak dan ponteng.Sesetengah masyarakat enggan bekerjasama dan lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu menyusahkan diri sendiri untuk membantu menangani gejala tersebut. Sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, mereka perlulah bersama mencegah gejala tersebut demi kebaikan dan kepentingan pelajar kerana”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran dan motivasi kepada semua pelajar di sekolah , antaranya sempena Minggu Disiplin dan Minggu Penghayatan Islam. Penceramah tersebut mestilah orang yang berpengalaman dan dapat menarik minat pelajar secara berkesan seperti penceramah daripada pihak berkuasa iaitu polis.Melalui ceramah kesedaran tersebut, diharap para pelajar menyedari akan keburukan ponteng dan lepak yang boleh mengundang kepada gejala sosial yang lain.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak kejalan yang betul .Mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke sekolah untuk bersamasama berbincang akan sebarang masalah yang timbul berhubung anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil tahu akan perkembangan anak-anak
4
mereka baik dalam aspek pendidikan mahupun pergaulan seharian anak-anak. Hal ini pasti akan menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala ponteng dan lepak.
Intihanya, semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu dalam usaha untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar harus bijak membezakan yang mana kawan ataupun lawan agar mereka tidak terpengaruh dengan gejala yang buruk ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” , itulah peribahasa yang perlu diamalkan oleh semua pihak dalam menangani gejala negatif daripada terus menjadi “duri dalam daging” yang akan merosakkan generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin negara nanti.
5
PALESTIN – PENDERITAAN YANG BERPANJANGAN.. OLEH: ROZMA BT MUHAMAD RIDZWAN 5 MUSYTARI 2009
Dewasa ini, banyak berlakunya peperangan yang menyebabkan ribuan mangsa mengalami kematian. Sepanjang tamadun manusia, peperangan meletus di sana- sini dan yang terbaru serta masih segar dalam ingatan kita ialah peperangan yang melibatkan rakyat Palestin di Semanjung Gaza dengan tentera Israel. Umumnya, peperangan meletus kerana adanya sifat tamak dalam kalangan pemimpin, hasad dengki, balas dendam malahan hanya untuk menguji kekuatan diri dan senjata moden ciptaan mereka. Manusia bertindak ganas terhadap sesama manusia demi mencapai citia-citanya sendiri.
Tidak dapat dinafikan, peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza sememangnya membawa pelbagai kesan buruk, tidak kira sama ada di pihak Israel mahupun Palestin sendiri. Namun dalam konteks ini, pihak Palestin ternyata menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman rejim zionis yang bertindak tanpa peri kemanusiaan. Tindakan Israel yang menyerang Palestin sememang tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin yang berpelajaran dan tindakan tidak rasional menggambarkan betapa pada zaman tamadun ini, masih ada manusia yang berhati syaitan, bertopengkan manusia.Walaupun Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan bahawa setakat ini tiada serangan baru akan dilancarkan ke atas Semenanjung Gaza, tetapi mengapa masih ramai tentera Israel tidak diarahkan untuk pulang ke negara asal mereka?
6
Mengapa tentera Zionis ini masih berkubu di situ? Sudah pasti akan ada nanti kejadian serangan ibarat ”baling batu, sembunyi tangan.”
Dunia digemparkan dengan berita serangan tentera Zionis ke atas rakyat Palestin .Alasan yang digunakan ialah untuk menghapus puak Hamas yang masih berkubu di Semenanjung Gaza. Dengan kecanggihan peralatan senjata yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh puak Palestin, sudah pasti Israel dapat ‘mengganyang ‘rakyat negara tersebut dengan mudah. Kesannya, lihatlah bagaimana beribu-ribu nyawa telah terkorban.Anak kecil kehilangan ibu dan bapa, warga tua dibunuh begitu saja malah nyawa semua rakyat Palestin ibarat “telur di hujung tanduk”, menunggu masa untuk “disembelih” pada bila-bila masa.Ke mana mereka harus melarikan diri sedangkan pintu Rafah yang menjadi sempadan Mesir untuk puak Palestin mendapatkan bantuan telah ditutup. Ibarat “nyawa di hujung pedang”, itulah nasib yang menanti umat Islam di Palestin. Tangisan anak-anak kecil yang tidak tahu erti kehidupan terdengar di sanasini.Mereka kehilangan tempat bergantung apabila kedua-dua orang tua mereka dan saudara mara terkorban dalam peperangan tersebut.Seorang isteri telah kehilangan suami, seorang anak pula menjadi yatim piatu, manakala kecacatan kekal dapat dilihat kepada mangsa akibat peperangan ini. Kejadian ini mendatangkan penderitaan dan tekanan jiwa yang tidak mampu digambarkan oleh kata-kata, melainkan kita sendiri yang berada dalam situasi tersebut,ibarat “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”.Bagaimanakah agaknya seorang anak kecil meniti kehidupan sendirian di negara yang dilanda peperangan? Peperangan ini telah menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka, malahan ada yang bertekad untuk membalas dendam atas kematian
7
keluarga mereka apabila dewasa. Mereka tidak seharusnya dijadikan mangsa dalam perbalahan ini.
Kekejaman Israel dapat dilihat melalui media cetak dan media elektronik yang begitu jelas memaparkan bagaimana tindakan kejam tentera Zionis menendang seorang penduduk Palestin di Kampung Jayous dekat Qalqilya di Tebing Barat. Rakyat Palestin pula hidup menderita di negara sendiri akibat kekurangan pelbagai keperluan harian seperti makanan, pakaian, bekalan air bersih dan tempat tinggal. Manakala mangsamangsa yang tercedera pula menderita akibat kekurangan bekalan ubat-ubatan. Golongan yang paling teruk merasi kesan ini adalah golongan kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang uzur. Penderitaan mereka semakin bertambah, ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga” apabila tentera Israel telah menyerang kapal bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada penduduk Gaza. Mereka bukan sahaja mengacukan senjata, memukul krew-krew kapal, malah membelasah pekerja bantuan kemanusiaan tersebut tanpa rasa bersalah. Tindakan Perdana Menteri Lebanon, Found Siniora yang mengutuk tindakan tentera rejim yang berlaku kejam itu memang tepat dan wajar bagi menunjukkan pendirian negara tersebut terhadap isu kekekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.
Palestin yang dahulunya sebuah negara yang aman damai, penuh dengan hilai tawa anak-anak kecil telah bertukar sepenuhnya. Hujan bom dan peluru-peluru askar Israel telah menyebabkan bangunan pencakar langit rebah ke bumi.Hilai tawa anak-anak bertukar menjadi tangisan ketakutan. Banyak harta awam juga musnah akibat
8
peperangan. Kemuadahan asas musnah sama sekali.Mereka kehilangan tempat tinggal, malah ada di antara mereka terpaksa tinggal di bawah runtuhan rumah sendiri. Penduduk Palestin boleh diibarat seperti pelarian di tanah air sendiri.
Kekejaman tentera Zionis sememangya tidak boleh dimaafkan ,apatah lagi untuk dilupakan. Keganasan rejim Zionis sepanjang tiga minggu di Gaza telah mengorbankan kira-kira 13000- penduduk Palestin. Sementara keadaan di Gaza masih tegang, kapal tentera laut Zionis pula melepaskan tembakan, mensasarkan sebuah kapal nelayan Palestin yang didakwa berada di perairan yang diisytihar sebagai zon larangan. Dalam pada itu, Menteri Luar Israel, Tzipl Livni berlepas ke Brussels dengan harapan untuk mendapatkan komitmen Kesatuan Eropah untuk menyumbangkan kapal, tentera dan teknologi bagi menghalang penyeludupan senjata oleh puak Hamas. Tindakan Tziol Livni sememangnya tidak boleh diterima.Hal ini kerana, Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki sendiri telah berkata bahawa Hamas, seperti kumpulan pejuang yang lain di seluruh dunia, berhak mendapatkan senjata bagi menentang penjajahan. Sesebuah kerajaan atau orang yang mahu mempertahankan diri sudah pasti bertindak untuk mendapatkan senjata dengan apa-apa jua cara pun.
Tindakan membantu rakyat Palestin sewajarnya dilakukan oleh semua negara Islam di muka bumi ini. Lihatlah apa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sememangya wajar dicontohi oleh semua negara lain sebagai tanda simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin. Pungutan derma dilancarkan ,sebagai contoh Tabung
9
Kemanusiaan Gaza dan Tabung NSTP yang ditubuhkan diharap dapat meringankan beban penduduk Palestin ini.Begitu juga dengan bantuan perubatan yang dihulurkan mampu mengurangkan penderitaan mereka, ibarat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Di samping itu, terdapat juga cara lain untuk menunjukkan tanda protes kita terhadap kekejaman rejim Zionis ini iaitu dengan memboikot semua produk keluaran mereka . Produk keluaran mereka harus diboikot kerana hasil keuntungan tersebut telah digunakan untuk membuat senjata nuklear dan peluru berpandu yang boleh memusnahkan dunia dalam sekelip mata seperti yang telah berlaku ke atas negara Palestin.Pemimpin Amerika, iaitu Barack Obama pula sepatutnya memainkan peranan beliau sebagai pemimpin negara besar dan merupakan rakan kongsi Israel, menyuarakan pendapat beliau berhubung apa yang berlaku di Palestin tidak sewajarnya dilakukan oleh rejim Zionis tersebut.Dunia menaruh harapan terhadap beliau agar serangan di bumi Gaza dapat dihentikan dengan segera dan Israel harus berundur dari bumi Palestin. Apakah harapan yang kita taruhkan itu bakal menjadi kenyataan kerana sehingga kini, Barack Obama ternyata juga tunduk kepada tekanan Israel, sebagaimana yang terjadi kepada mantan Presiden Amerika iaitu Bush.
Intihanya, kekejaman yang melanda rakyat Palestin sememangnnya tidak dapat dimaafkan.dan Israel seharusnya berasa malu serta bersalah atas tindakan mereka yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan itu. Semua negara ,khususnya negara Islam melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) perlu bersepakat dalam usaha
10
mengembalikan hak Palestin dan mewujudkan keamanan semula di Gaza .Ingatlah bahawa keamanan sejagat adalah hak milik semua makhluk Allah SWT di bumi ini. Nasib dan perjuangan rakyat Palestin harus dibela oleh semua negara Islam yang mengamalkan ajaran Islam berpandukan kitab Al-Quran. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT akan memberi perlindungan dan kemenangan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka itu. Amin.
11
PALESTIN – BILAKAH PENDERITAAN AKAN BERAKHIR? OLEH: NASIBAH BT SUKERY 5 MARIKH 2009
Tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi kerana telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun yang lampau.Bagi umat Islam , di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa iaitu masjid ketiga paling mulai di dunia ini selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Manakala bagi penganut Yahudi, tanah tersebut merupakan “Tanah yang dijanjikan tuhan” kepada mereka. Di situlah kampung halaman mereka dan di situ jugalah nenek moyang mereka berasal.Mereka percaya bahawa di tanah itulah terletaknya Bukit Zion dan di situ juga tertanamnya Temple of Solamon, iaitu kuil suci mereka. Atas kedua-dua sebab itulah tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dulu sehingga membawa kepada pertumpahan darah sekarang.Oleh sebab ini jugalah ramai rakyat yang tidak berdosa telah dibunuh dan diseksa serta terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri.
Faktor yang menyumbang kepada peperangan di Gaza, Palestin hari ini sebenarnya telah bermula sejak dari tahun 1829 lagi apabila pemimpin Yahudi di beberapa buah negara membaut rancangan untuk bekerjasama melaksanakan projek menjadikan Palestin sebagai tempat tinggal Yahudi.Menteri Luar British, Balfour telah berjanji kepada Kesatuan Yahudi Sedunia untuk mendirikan negara bagi bangsa Yahudi di
12
Palestin. Setelah Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat selaku kuasa besar memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.Pada awalnya, penduduk Yahudi yang semakin sedikit serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat .Pada November 1947, tuntutan itu dibawa ke Persidangan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) lalu PBB mendeklarasikan pemisahan Palestin.Pada 16 Mei 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin dengan sokongan dari PBB.Presiden Amerika Syarikat menyokong sepenuhnya penubuhan negara Israel , maka wujudlah penempatan Israel di Palestin yang dirampas secara haram sehingga kini.
Sejak berlakunya peperangan di Gaza, rakyat Palestin kini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.Warga tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dibunuh dan diperlakukan seperti binatang tanpa ada sedikitpun rasa belas kasihan oleh pihak Israel.Bayi yang baru hendak mengenal dunia juga turut ditembak dan dibunuh dengan kejam.Rakyat Palestin lebih menderita apabila kediaman mereka turut dibom oleh rejim Zionis tersebut. Mereka terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri.Anak-anak yang kehilangan ibu bapa pula hilang tempat bergantung dan tempat berlindung serta mereka terpaksa hidup menderita dengan perasaan takut yang sentiasa menghantui .Alangkah kejamnya Israel yang memperlakukan mereka sedemikian rupa tanpa ada rasa kemanusiaan.Sekolah-sekolah turut dibom menyebabkan ramai anak-anak muda di Palestin tidak dapat meneruskan pembelajaran mereka untuk menuntut ilmu.Penderitaan ini terus-terusan akan dialami oleh rakyat Palestin sehingga Israel berjaya meluaskan sempadannya di samping untuk menghapuskan umat Islam sejagat.
13
Israel dengan rakus meratah bumi Gaza dengan bedilan senjata canggih.Kehidupan rakyat di Genting Gaza diselubungi ketakutan, kebimbangan dan trauma. Rakyat Palestin sudah lama tidak menikmati situasi aman dan harmoni di negara sendiri. Mereka terus menerus diasak dengan ancaman, pembunuhan dan kelaparan. Penderitaan mereka seakan-akan tidak ada noktahnya. Jika diratapi apa yang sedang berlaku di Palestin hari ini, maka sudah sewajarnyalah kita insaf akan nikmat yang kita kecapi di negara kita ketika ini.Mereka dihimpit dengan suasana yang menyeksa fizikal dan mental. Peluang untuk menikmati kehidupan dalam suasana aman dan damai sudah tidak terlintas lagi. Apa yang ada kini ialah perjuangan untuk mengembalikan yang hak.Kita sebagai warganegara yang bertuah mendiami bumi Malaysia yang tidak putusputus dilimpahi kemakmuran dan kedamaian perlu memanjatkan kesyukuran secara berterusan.
Sebagai rakyat yang prihatin dan mempunyai belas kasihan, apakah yang boleh kita lakukan? Adakah kita hanya melihat sahaja di surat khabar atau televisyen tanpa rasa bersalah dan simpati? Kita sememangnya tidak mampu untuk bertempur dengan senjata, namun kita masih boleh membantu dari aspek yang lain.Walaupun hal ini tidak seberapa, tetapi itu adalah salah satu ikhtiar yang boleh kita usahakan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin. Salah satu daripadanya adalah dengan membuat kutipan derma khas agar dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa peperangan di Gaza. Cara lain adalah dengan memboikot barangan buatan Israel dan Amerika. Namun, untuk memboikot sesuatu barang, mungkin bukanlah satu keputusan yang mudah kerana ada
14
antara barang-barang tersebut telahpun menjadi sebahagian daripada keperluan seharian masyarakat. Kebanyakan jenama yang ada telah lama bertapak di negara ini, malah diuruskan oleh rakyat negara ini sendiri. Walaupun begitu, kita sebagai pengguna yang bijak tetap mempunyai hak untuk memilih. Selain itu, cara yang paling mudah untuk membantu adalah dengan berdoa dan sentiasa melakukan solat hajat.Kita boleh memohon agar warga Palestin selamat dari kekejaman Israel dan semoga masih ada sinar kedamaian untuk rakyat Palestin.
Sememangnya tidak ada seorang pun antara kita yang tidak inginkan keamanan dan kedamaian.Begitu juga dengan rakyat Palestin di Gaza, mereka turut mengimpikan ketenangan buat diri mereka. Mereka juga mendambakan kebebasan dan kemerdekaan untuk negara tercinta.Mereka ingin bebas melakukan apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa gangguan daripada anasir luar. Rakyat juga mahukan kemajuan untuk negara mereka agar dapat bersaing dengan kuasa-kuasa besar yang lain. Ibu bapa pula berharap dapat melihat anak-anak mereka bersekolah kerana mereka adalah penggerak masa depan yang akan membentuk corak pentadbiran negara suatu hari nanti. Saidina Umar bin Al-Khattab pernah berkata bahawa jatuh dan bangunnya sesebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya.
Cara yang lebih berkesan untuk mengurangkan lagi beban yang ditanggung oleh mangsa peperangan di Gaza ialah dengan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar memainkan peranan mereka dengan lebih aktif. PBB merupakan pertubuhan antarabangsa yang dibentuk di San Fransisco, California pada 24 Oktober 1945 , selepas
15
Perang Dunia Kedua. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia. Matlamat utamanya, sebagaimana yang ditetapkan dalam Piagam PBB adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa serta membaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia. PBB juga berperanan dalam memberi bantuan kemanusiaan di samping Persatuan Palang Merah yang turut membekalkan makanan, air minuman, tempat perlindungan dan perkhidmatan kemanusiaan yang lain kepada penduduk yang mengalami kebuluran, terpaksa berpindah randah akibat perang atau menderita disebabkan bencana yang lain.Maka untuk peperangan yang sedang berlaku di Gaza kini, PBB haruslah lebih prihatin akan peranan mereka yang sebenar agar pergolakan tersebut reda dan episod penderitaan rakyat dapat dikurangkan.
Sememangnya kita perlu bersyukur dengan penubuhan PBB kerana di dalam dunia yang serba canggih dan moden ini, masih ada warga yang prihatin dan memandang berat dengan masalah yang berlaku di sekeliling.Sekurang-kurangnya hasrat penduduk di Malaysia yang ingin menolong saudara seagama dapat disuarakan.Cuba kita bayangkan dengan kekuatan negara kita yang baru hendak membangun yang sememangnya tidak standing dengan kekuatan Israel, apakan daya kita untuk melawan mereka.Sekurangkurangnya melalui PBB, kita dapat menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan yang dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat Palestin. Kekejaman Israel haruslah dihentikan dengan segera.Israel perlu sedar tentang asal usul mereka dan jangan jadi seperti “kacang lupakan kulit”. Marilah kita terus berganding bahu dan duduk semeja
16
berdiskusi untuk membantah kekejaman rejim Zionis daripada terus meragut lebih banyak nyawa warga yang tidak berdosa.
17
Semangat kejiranan kini semakin luntur dalam masyarakat Malaysia. Bincangkan punca-punca mengapa semangat ini semakin luntur dan sarankan pelbagai langkah bagi menangani permasalahan tersebut. Oleh: Asma Nabihah 5 Musytari 2009
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat.Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.
Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka.Corak pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama
18
di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.
Selain itu, kemajuan dalam bidang teknologi turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan masa kini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjungmengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.
Arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan
19
semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan , antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semaksamun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran , bak kata pepatah “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang
20
kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.
Intihanya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat.Semangat kejiranan juga penting dalam konteks negara kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa.Semangat kejiranan yang kental sekali gus dapat membantu usaha-usaha perpaduan negara yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan keharmonian negara.Marilah kita sama-sama mempraktikkan slogan “jiran sepakat membawa berkat” ini dalam kehidupan berjiran agar negara kita terus aman dan harmoni sepanjang masa.
21
Kegiatan lumba haram sering menjadi ikutan remaja masa kini.Ibu bapa sering dipersalahkan apabila anak-anak terlibat dalam gejala tersebut. Pada pendapat anda, wajarkah ibu bapa dipersalahkan dalam hal ini? Beri komen anda berhubung isu ini. Oleh : Hanani Nadiah 5 Musytari 2009
Menurut Kamus Dewan, perkataan “lumba haram” boleh didefinisikan sebagai satu jenayah atau perbuatan melanggar undang-undang dan peraturan. Kegiatan lumba haram biasanya melibatkan golongan berkumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya. Kegiatan lumba haram di negara kita semakin meruncing yang menyumbang kepada jenayah yang lebih berat jika kegiatan ini semakin menular dan dibiarkan begitu sahaja tanpa inisiatif yang lebih berkesan dilakukan.Kegiatan ini juga menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat dan sering menjadi paparan majalah atau menghiasi dada akhbar. Pendedahan demi
22
pendedahan tentang masalah remaja dijadikan agenda penting untuk diselesaikan.Fenomena yang sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat kini dapat memberi satu persepsi bahawa kelekaan dan kealpaan ibu bapa terhadap tanggungjawab mendidik , mengasuh dan membimbing generasi kita semakin terabai, malah sudah pasti akan meranapkan impian Malaysia mencapai visi Wawasan 2020.
Saya berpendapat bahawa ibu bapa wajar dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini.Hal ini kerana kelalaian ibu bapa dalam mengawal anak-anak mereka merupakan faktor perdana yang menimbulkan masalah ini. Seperti kata pepatah, “sudah terang lagi bersuluh”, kini sudah menjadi lumrah ibu bapa pada masa sekarang rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka sehingga sanggup mengabaikan anak sendiri. Ibu bapa masa kini menyerahkan tugas menjaga anak-anak kepada pemabtu rumah sepenuhnya. Bertitik tolak dari sinilah, remaja mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan dan jenayah di jalan raya kerana merasakan jiwa mereka kosong akibat keperluan emosi tidak dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa. Akibat kekurangan dan ketandusan kasih sayang serta goyah pegangan agama, remaja mudah bergaul dengan kumpulan samseng yang mengheret mereka ke lembah jenayah yang pastinya akan memusnahkan masa depan mereka. Tidakkah kita berasa takut jika perkara seperti ini terjadi dalam kalangan anak-anak kita? Tepuk dada, tanya selera.
Petanda kepada kehancuran masa depan generasi masa kini adalah apabila ibu bapa terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak mereka yang merupakan pewaris
23
negara akan datang. Pelbagai cabaran yang menghambat ibu bapa masa kini menyebabkan mereka lebih cenderung untuk memenuhi segala keinginan, kemahuan dan kebebasan yang dituntut oleh anak-anak tanpa menyedari akan kesan atau akibat yang bakal diterima khususnya dari aspek akhlak, moral dan tingkah laku mereka. Hal inilah yang menyebabkan anak-anak menjadi liar iaitu keluar dari rumah pada awal pagi dan pulang menjelang senja dan larut malam. Dengan ketiadaan kasih ssayang dan perhatian serta kebebasan yang kerterlaluan menyebabkan anak-anak tidak betah untuk berada di rumah, sebaliknya mencari keseronokan yang ada di luar iaitu dengan berlumba haram di jalan raya..Aktiviti seperti ini akan terus menular jika ibu bapa memberi segala kemahuan dan keinginan tanpa menghayati peribahasa, “sayangkan anak, tangan- tangankan, sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan.” Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan penyumbang kepada berlakunya kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa di negara kita ini. Pada peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal di jiwa mereka.Jika remaja terlibat dalam kumpulan sebaya yang menyimpang dari landasan sebenar, sudah pasti akan berupaya mengheret remaja untuk terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini. Pelbagai cabaran yang menghambat kehidupan remaja sudah pasti akan menenggelamkan mereka ke dalam arus kehancuran jika tiada benteng penahan yang kuat. Oleh itu, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak harus memastikan dengan siapa anak mereka bergaul dan ke mana mereka pergi bagi memastikan pengaruh yang negatif tidak meresap ke dalam jiwa anak-anak.
24
Pengaruh media massa turut menjadi penyumbang kepada penularan gejala lumba haram dalam kalangan remaja masa kini. Pemaparan aksi-aksi berunsur keganasan di jalan raya telah membangkitkan keinginan remaja untuk mencuba sebagaimana yang terpapar tanpa memikirkan kesan atau akibat daripada perbuatan tersebut.Sebagai contoh, kemalangan jalan raya yang sering berlaku adalah sebagai akibat daripada tindakan sebahagian remaja yang berlumba di jalan raya. Mahukah kita melihat anak-anak mengalami kecacatan seumur hidup sebagai akibat daripada perbuatan bodoh mereka? Mahukah kita menyaksikan orang yang tersayang menjadi korban akibat kerakusan sendiri di jalan raya? Ingatlah, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
Oleh itu, siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Persoalan mengapa dan bagaimana tentulah tidak mudah untuk dijawab.Jadi , masyarakat haruslah berganding bahu memainkan peranan yang penting untuk membendung gejala ini daripada terus menjadi wabak yang sukar diubati. Institusi keluarga haruslah memainkan peranan yang penting bagi menangani senario ini. Mereka harus menjadi pendengar setia dan bermusyawarah bersama anak-anak untuk mendengar masalah dan menyedarkan setiap perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Ibu bapa harus melengkapkan remaja hari ini dengan didikan agama yang secukupnya dan sempurna sejak kecil.Hal ini boleh diumpamakan seperti ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Di samping itu, kempen-kempen kesedaran dan program berfaedah haruslah dijalankan oleh kerajaan bagi mengelakkan peningkatan kadar kegiatan lumba haram di
25
jalan raya. Usaha-usaha ini akan membina motivasi dalam diri remaja , seterusnya akan dapat membentuk sahsiah remaja yang mementingkan cara hidup berunsur positif bagi menjulang negara ke puncak jagat. “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus menjadi penyebab kepada tercalarnya imej negara. Walaupun milineum baru ini yang pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi, namun tanpa kerjasama yang utuh dan persefahaman yang jitu dari seluruh warga, hasrat untuk mengurangkan gejala buruk ini tidak akan kesampaian. Oleh itu, marilah kita berganding bahu ke arah permuafakatan dalam usaha bersama-sama membasmi lumba haram dalam kalangan remaja agar masalah sosial dan susila yang meruncing dapat ditangani.
26