CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama. Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita. Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya. Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru. Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari guru. Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar. Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya, kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau. Sebagai pelajar, kita
perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. Tugas guru ialah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru. Terdapat banyak cara untuk menghargai guru kita. Antara cara untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita. Mereka mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna. Contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan guru. Kita juga tidak boleh sombong terhadap guru. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Oleh itu, kita mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Ini pastinya dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan. Kita juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran. Contohnya, kita perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam kes-kes buli, gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, dan lain-lain. Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei. Pelajar boleh menghargai guru dengan mengenang jasa guru. Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Contohnya, kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei.Kita juga perlu menunjukkan kasih sayang kepada guru. Kita bolehlah menziarahi guru ketika mereka sakit. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya. Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Ini kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-insan yang berjaya, cemerlang dan gemilang. Dalam era globalisasi, guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk seseorang pelajar. Guru diibaratkan sebagai ibu dan bapa kedua bagi pelajar. Hal ini bermaksud guru memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan masa depan pelajar. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah yang dilakukan oleh guru kepada seseorang pelajar dalam menaburkan bakti dan jasa yang tidak ternilai harganya. Guru diumpamakan lilin yang sanggup membakar dirinya demi kepentingan anak muridnya. Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap
individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah, pun begitu, dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa guru amat memainkan peranan yang penting kepada seseorang pelajar. Peranan guru kepada pelajar ialah mengajar pelajar tentang mata pelajaran tertentu yang telah diamanahkan supaya pelajarnya mencatat kejayaan yang cemerlang. Memang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang guru amat menginginkan kejayaan anak muridnya tidak kira murid itu pandai atau tidak. Dengan hasil kejayaan anak muridnya, seseorang guru itu pasti merasakan dirinya dihargai dan gembira serta bangga kerana mendapat seorang pelajar yang cemerlang. Dalam dunia yang fana ini, semua orang inginkan kejayaan yang cemerlang. Dengan kejayaan yang diperoleh, mereka pasti tidak akan lupa akan jasa dan bakti yang dicurahkan oleh guru-guru mereka. Sebagai contohnya, guru yang tidak lekang mengajar pelajarnya sehingga anak muridnya berjaya mencapai cita-cita pasti akan sentiasa diingati oleh pelajar terbabit. Tidak kisahlah mata pelajaran apa yang diajar oleh seseorang guru itu, asalkan ia memberi suatu pengajaran yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar dan seterusnya membimbing pelajar itu ke arah masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, peranan guru dalam mendidik seseorang pelajar amat penting dalam mencapai kejayaan yang cemerlang. Seterusnya, guru perlulah mendidik pelajar dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak muridnya, seseorang guru itu pasti akan diingati pelajarnya kerana gurunya amat ramah dan mempunyai teladan yang baik untuk dijadikan contoh. Antara teladan yang boleh diberikan kepada pelajar ialah sentiasa menasihati pelajar tentang pentingnya pelajaran dan kejayaan yang cemerlang. Guru juga perlu menerapkan sikap bersatu kita teguh, bercerai kita roboh kepada pelajarnya supaya mereka tidak akan tersisih dari sebarang kejayaan kerana persaingan antara pelajar yang semakin hebat. Sebagai contohnya, jika seseorang pelajar itu tidak mengendahkan kata-kata guru, guru itu boleh menasihati dan sentiasa bertegur sapa dengan murid itu. Dengan ini, guru itu akan menunjukkan bahawa pentingnya slogan budi bahasa budaya kita. Seterusnya, pelajar itu pasti akan merasa malu dan dia pasti akan berubah sikapnya supaya menjadi seorang yang berbudi kerana ditegur oleh gurunya sendiri. Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik pelajarnya tentang sahsiah yang akan membuatkan seseorang pelajar itu lebih gemilang. Selain itu, seseorang guru perlu memberikan nasihat dan panduan demi masa depan pelajar. Dengan nasihat yang berguna, seseorang pelajar itu pasti merasakan dirinya amat penting dalam menggembirakan hati gurunya dengan mencapai kejayaan yang cemerlang. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Dengan sentiasa mengamalkan peribahasa ini, seseorang pelajar itu pasti akan mengikuti jejak langkah gurunya. Ini kerana, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi,kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan insan. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal, maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Di samping itu, guru perlulah mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada semua pelajar. Ini bermaksud, seseorang guru itu tidak bolehlah pilih kasih dalam memilih pelajar. Jika seseorang guru itu, mengamalkan sikap sedemikian rupa, para pelajarnya pasti akan memandang serong terhadap guru terbabit. Seterusnya, guru tersebut tidak dapat memberikan pengajarannya kepada murid-murid kerana pelajar tidak berasa tenang ketika guru tersebut mengajar. Dengan ini, pembelajaran seseorang pelajar itu pasti akan merosot. Sebagai contohnya, jika seseorang guru itu hanya mengajar dan memuji pelajar kesayangannya, pelajar yang lain pasti akan berasa dirinya tidak berguna dan akhirnya keputusan peperiksaan pelajar terbabit
akan merosot kerana sikap tidak adil yang ditunjukkan oleh seseorang guru. Bagai mencurhkan air ke daun keladi. Begitulah yang akan berlaku kepada seseorang pelajar jika seseorang guru itu mengamalkan sikap pilih kasih. Pendidikan adalah pemangkin kepada pembinaan Negara Bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan khususnya pada peringkat awal pelajar dan diteruskan pada peringkat yang tinggi. Usaha perlu diteruskan untuk memperkukuh perkongsian nilai dan patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum etnik di sekolah. Di sinilah peranan dan tanggungjawab guru memainkan peranan. Walau bagaimana pun, semua usaha ke arah membina bangsa perlu perancangan yang teliti dan berterusan. Genggam bara api biar sampai jadi arang perlulah diterapkan dalam diri setiap warga pendidik. Dengan mengamalkan sikap positif yang sedemikian rupa, guru terbabit pasti berjaya dalam mendidik pelajarnya sehingga ke menara gading. Peranan guru sangat penting kerana mana-mana individu yang menjadi pemimpin besar sesebuah negara telah dididik hingga berjaya kerana peranan guru di sekolah atau di universiti. Diharapkan nilai-nilai yang telah ditanam dan dipupuk di peringkat sekolah ini akan terus diamalkan oleh pelajar apabila mereka meninggalkan alam persekolahan. Secara tidak langsung wawasan membina negara bangsa dengan sendirinya akan tercapai. TIDAK mesti tidak dalam kehidupan seorang manusia mesti mempunyai guru. Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda. Peranan guru amatlah besar dalam memastikan anak-anak muridnya mencapai kejayaan Diriwayatkan oleh Imam At Thabrani, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhuklah kepada orang yang mengajarmu”. Melalui pesanan baginda ini, dapatlah disimpulkan bahawa baginda sangat menitikberatkan soal menghormati guru. Malaikat Jibril a.s merupakan guru kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’. Dalam peristiwa tersebut, baginda telah diajar oleh malaikat Jibril a.s untuk membaca surah Al-A’laq dari ayat satu hingga lima. Begitu mulia tugas seorang guru dalam hidup setiap manusia. Kita seharusnya menghargai setiap pengorbanan guru dalam mendidik kita. Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan sambutan Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangancadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu. Antara objektif utama sambutan ini adalah untuk menghargai pengorbanan guru-guru dalam melahir dan membentuk anak-anak muda yang berpotensi menjadi pemangkin kejayaan negara pada masa hadapan. Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pendidik dan pelajar di samping menitikberatkan soal akhlak dan adab antara pelajar dengan guru. Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sawajarnya mereka dihormati dan dikenang jasanya sepanjang hayat. Para sahabat dan salaf al-soleh merupakan suri teladan umat manusia yang telah memberikan banyak contoh dalam menghormati seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).” (Riwayat Ahmad).
Justeru, kita mestilah menghormati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka. Guru diibaratkan seperti lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan anak-anak muridnya dengan cahaya ilmu. Sebagai murid yang sangat kasihkan guru, wajarlah kita untuk bertanya khabar, menziarahi dan mendoakan mereka bukan pada tarikh 16 Mei sahaja, malah di setiap masa Sesungguhnya peranan guru sememangnya besar. Ini adalah kerana anak-anak yang diasuh, diajar dan dibimbing inilah yang akan menjadi insan-insan yang dapat mempamerkan akhlaq dan peribadi yang dikehendaki Islam selaras dengan Al-Quran dan Sunnah. Bermacam-macam kes dan kejadian yang negatif yang kita semua dengar pada hari ini. Anak-anak yang menumbuk muka guru, menyimbah asid ke muka guru, memukul guru, merosakkan kereta guru dan bermacam-macam lagi kes yang melibatkan murid dan guru. Kita tidak mahu bilangan kes seperti ini meningkat dari masa ke semasa. Maka, DPPN Pk amat berharap agar anak-anak yang dikeluarkan daripada sekolah akan keluar dengan kualiti yang cemerlang dari segi akhlaq dan ilmu pengetahuan. Sambutan Hari Guru ini juga sebenarnya adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru di kalangan masyarakat di Malaysia. Gurulah yang menyebabkan kita semua mengenal A,B,C…. alif,baa,taa…. 1,2,3…dan sebagainya…. Jika bukan dari seorang guru, maka tidaklah lahir seorang peguam, doktor, orang politik, pegawai-pegawai, pengurus-pengurus dan berbagai-bagai jenis manusia yang bermula dari tahu membaca dan mengeja. Maka, sememangnya lah wajar untuk kita semua mengingati dan meraikan para Guru. Memang tidak boleh dinafikan betapa besarnya pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Kadang-kadang mereka mendidik anak-anak murid sehingga ada yang tidak sempat meluangkan masa untuk anak-anak mereka sendiri. Namun apa yang kita harapkan guru-guru semua ikhlas dalam pengorbanan tersebut. Insya Allah, Allah pasti akan membalas dengan ganjaran yang setimpal, samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat-sangat penting kerana dari ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didik mendapat ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa. Justeru, guru-guru perlu sentiasa mendidik jiwa, membetulkan niat dan mengikhlaskan segala pengajaran dan pengorbanan yang dilakukan. Guru-guru juga harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran mengajar. Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang baginda lakukan memerhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang itu, sehingga nilai-nilai murni dapat ditanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Kami penuh yakin dengan kewibawaan guru-guru dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi dan penuh cabaran ini. Akhirnya, kami sekali lagi menyeru kepada semua guru supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama membantu meningkatkan dan melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam bidang agama dan pendidikan. Adalah menjadi harapan saya, semua guru akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…
Dalam mendepani era milennium pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ekonomi negara yang semakin maju ibrata tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun, dasawarsa ini generasi muda kurang menghormati guru sungguhpun golongan guru ibarat lilin yang yang sanggup membakar diri. Suffian Astauri ada menyatakan, menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat. Hal ini kerana , menuntut ilmu merupakan bekalan pahala kita di akhirat nanti. Surah Al-Baqarah ada menjelaskan, boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut baik untukmu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut tidak baik untukmu. Hatta, tanpa guru tidak lahir golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negara ke arah kecemerlangan. Oleh itu, Konsep Sekolah Penyayang yang berteraskan budaya kemesraan dan kasih sayang antara guru dan murid sewajarnya diterapkan di setiap sekolah. Rentetan itu, murid akan lebih menghargai setiap ilmu yang dititiskan oleh guru. Malahan, terdapat pelbagai variasi uslub dan minhaj boleh diswadaya bagi menghargai golongan guru. Hal ini kerana, guru sentiasa menganggap murid sebagai benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dilemparkan ke laut menjadi pulau penuh khazanah. Sudah terang lagi bersuluh, prakarsa yang afdal untuk menghargai kasih sayang guru adalah menghormatinya. Tamsilnya, kita mestilah memberi salam dan mengikuti arahan guru pada setiap masa. Hal ini kerana, guru ialah orang yang mencurahkan ilmu dan mengajar kita erti kehidupan tanpa mengenal jemu. Natijahnya, kita akan menjadi orang yang berpengetahuan luas dan bersedia menghadapi krisis kehidupan pada masa akan datang. Murid yang menghormati guru boleh dianalogikan seperti semut merah yang menghormati dan melindungi permaisurinya. Menurut Whittier, apabila kepercayaan terhadap guru hilang, maka matilah orang itu. Surah An Nahl ayat 125 ada menyatakan, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Hal ini bermakna, guru merupakan orang yang sepatutnya kita letakkan di tempat yang tinggi kerana agama Islam sendiri meletakkan guru sebagai insan selepas ibu dan bapa. Sekiranya pelajar di Malaysia menghormati guruguru mereka , maka wujudlah suasana sekolah yang kondusif dan harmonis. Oleh itu, marilah kita menghormati guru yang mengajar kita supaya kita menjadi pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia. Peribahasa Melayu ada menyatakan, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Oleh itu, sebagai murid, kita seharusnya bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan guru yang telah mendidik kita tanpa jemu. Tambahan pula, mereka sanggup bersengkang mata menanda kertas peperiksaan dan mengadakan kelas tambahan semata-mata mahu melihat kejayaan anak didiknya. Jika kita sentiasa mendoakan kebahagiaan guru-guru kita, ilmu yang kita pelajari akan kekal dan diberkati oleh Allah s.w.t. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan, “tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan mereka yang pernah mengajarku.” Hal ini kerana, sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dan mentaati serta mendoakan guru-guru kita agar kita dapat belajar dengan tenang dan selesa. Sebagai remaja yang lagi lebai lagi berjanggut, kita semestinya membantu guru tatkala mereka inginkan pertolongan kita.Hal ini kerana, guru merupakan golongan yang perlu dihormati oleh individu bergelar pelajar. Natijahnya, keberkatan ilmu akan diperoleh jika menyenangkan hati guru mereka tanpa menggores perasaan mereka. Seyogia, setiap pelajar harus ringan tulang membantu guru-guru mereka. Hal ini bertepatan dengan aforisme, habis kapak berganti beliung. Tanpa sikap ringan tulang, pasti pelajar akan mengalami kesukaran untuk berjaya kelak. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, pelajar yang terbaik ialah pelajar yang sentiasa datang awal ke sekolah membantu guru sesuai dengan peribahasa hanyut dipintasi, lulus diselami dan hilang dicari. Sementelahan, jasa guru terhadap pelajar tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Sekiranya setiap pelajar berusaha sedaya upaya menbatu guru seperti membawa buku guru dan menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, segala ilmu akan beroleh keberkatan. Peribahasa seperti pahat dengan penukul menggambarkan sikap liat dan berat hati dalam melakukan tugasan. Oleh itu , pelajar perlu mengubah sikap dan sentiasa bertindak pantas dalam membuat sebarang tugasan yang
diarahkan oleh guru. Menurut Surah Ar Ra’d, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut yang mengubahnya. Hal ini menunjukkan bahawa, pelajar perlu memiliki wawasan dan visi yang jelas di sekolah. Sikap malas harus dibuang sama sekali dan sikap rendah diri dalam menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh guru perlu wujud dalam diri pelajar. Seperkara yang penting ialah, setiap tugasan merupakan amanah yang diberikan oleh guru kepada murid. Manakala sebagai murid, kita perlu berusaha sedaya upaya menyiapkan tugasan yang terbaik untuk diserahkan kepada guru. Sekiranya semua pelajar berintegriti dalam menyiapkan tugasan serta memahami tanggunjawab diri, maka elemen kasih sayang antara guru dan murid semakin terpaut erat. Sebagai pengitlakan, guru ialah insan yang perlu kita letakkan pada darjat yang tinggi. Guru banyak berkorban masa dan tenaga mendidik kita sehingga berjaya. Albert Einstein sendiri pernah menyatakan, ilmu tanpa agama ialah buta. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa, pelajar yang berilmu dan berpengetahuan dalam semua bidang terhasil daripada komitmen dan kerja keras golongan guru. Sebagai murid, kita perlu menjadi seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam memartabatkan guru-guru kita. Sekiranya semua pelajar menghargai jasa dan pengorbanan guru, maka ilmu yang dipelajari diberkati dan seterusnya menjana modal insan kelas pertama.