JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
TAJUK 3
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
PENGENALAN Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru juga merancang dan membina alat pengukuran, mentadbir ujian, merekod hasil pengukuran, menganalisis maklumat, menilainya, melapor dan menjalankan tindakan susulan, seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan. Ujian ialah satu kaedah atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh maklumat secara sistematik berkaitan sifat atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ujian adalah penting untuk menentukan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu, ia juga berfungsi untuk menempatkan calon dalam kumpulan pelajar tertentu dan juga mengenal pasti kelemahan-kelemahan mereka. Bab ini akan mendedahkan anda kepada jenis-jenis ujian dan penilaian serta kaedah pengukuran yang biasanya digunakan dalam bidang pendidikan, khususnya berkait dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
OBJEKTIF Diakhir tajuk ini, anda seharusnya dapat: 1. menyenarai dan menghuraikan enam jenis ujian; 2. membezakan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria; 3. merumuskan tiga daripada empat jenis penilaian; 4. mengenal pasti dan membezakan penilaian formatif dan penilaian sumatif; dan 5. membicarakan tiga daripada lima kaedah pengukuran.
44
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
PETA MINDA TAJUK
3.1
JENIS-JENIS UJIAN
Renung sejenak dan berfikir tentang penglibatan anda sebagai seorang guru, pernahkah anda membuat statistik berhubung dengan jenis-jenis ujian yang telah anda lakukan ke atas para pelajar anda setiap tahun. Apakah jenis ujian yang paling kerap anda gunakan. Kenapa? Dalam pengajaran dan pembelajaran, pencapaian sesuatu objektif pengajaran boleh dilihat daripada beberapa aspek, seperti kognitif, afektif dan psikomotor. Jenis-jenis ujian dan penilaian ditunjukkan dalam Rajah 3.1. Kebanyakan ujian yang dijalankan di sekolah tertumpu kepada aspek kognitif. Bagaimanapun, aspek-aspek afektif dan psikomotor juga wajar diberi pertimbangan, untuk menghasilkan pendidikan yang seimbang, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ujian domain kognitif yang lazim digunakan guru dalam bilik darjah ialah kuiz, ujian bulanan atau ujian penggal; tetapi ujian IQ dan ujian kecerdasan lain jarang digunakan.
OUM
45
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
Bagi domain afektif pula, kita hanya mendengar pandangan guru terhadap pelajar seperti kurang personaliti yang baik, kurang berminat untuk belajar atau tidak berminat terhadap mata pelajaran tertentu. Pandangan ini dibuat secara tidak formal, iaitu hanya melalui pemerhatian guru berkenaan. Ujian untuk mengukur personaliti, sikap dan nilai amat kurang digunakan. Bagaimanapun, selaras dengan perkembangan dalam bidang pendidikan, kini terdapat alat yang boleh mengukur aspek-aspek afektif, misalnya ujian personaliti Cattel atau Eyenseck. Bagi aspek psikomotor pula, penekanan yang lebih diberikan kepada ujian kecergasan dan pergerakan fizikal, seperti kemampuan berlari, melompat dan lain-lain. Ujian aspek psikomotor ini banyak digunakan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani.
Rajah 3.1: Konsep pengujian dan penilaian
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, ujian dan penilaian merupakan komponen penting, yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh guru. Bagi jenis penilaian pula, ia boleh dibahagikan kepada dua (2) kategori, iaitu Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Jenis penilaian bagi Penilaian Formatif termasuklah Penilaian Rujukan Kriteria (PRK) dan Penilaian Diagnostik. Jenis penilaian bagi Penilaian Sumatif termasuklah Penilaian Rujukan Norma (PRN), Penilaian Penempatan dan Penilaian Penggredan. 1.
46
Ujian Pencapaian Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru untuk mengukur sejauh mana seseorang pelajar dapat menguasai tajuk-tajuk yang telah diajar oleh guru, yang meliputi pengetahuan, kefahaman dan aplikasi. Ujian ini juga dapat menentukan kesediaan pelajar
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
untuk memulakan tajuk baru dan mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar bagi tajuk-tajuk yang diuji. Ujian pencapaian boleh dibahagikan kepada dua (2) jenis, iaitu ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria. Ujian rujukan norma dibina untuk membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan pelajar-pelajar lain, yang biasanya meliputi sukatan pelajaran yang lebih luas, seperti UPSR. Ujian rujukan kriteria dibina untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan beberapa kriteria tertentu, seperti kemahiran menyelesaikan masalah matematik bagi tajuk pecahan. Pada peringkat bilik darjah/sekolah, ujian pencapaian biasanya dibina oleh guru/kumpulan guru, manakala pada peringkat kebangsaan, ujian ini disediakan oleh institusi tertentu, seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Contoh ujian pada peringkat bilik darjah/sekolah ialah ujian diagnosis, ujian bulanan dan ujian penggal. Contoh ujian pada peringkat kebangsaan pula ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Rajah 3.2 : Ujian pencapaian
Anda digalakkan untuk melihat Laman Web Lembaga Peperiksaan Malaysia di alamat berikut http://apps.emoe.gov.my/lpm/perkembangan.htm untuk mengetahui sejarah perkembangan peperiksaan di Malaysia. Maklumat ini boleh memberi anda tentang peranan yang dimainkan oleh negara bagi membolehkan satu paiwai yang dapat mengukur dan mengiktiraf pencapaian pelajar. 2.
Ujian Kecerdasan Ujian kecerdasan, yang juga dikenali sebagai ujian mental, ialah ujian yang digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang individu atau perbezaan antara individu. Ujian ini banyak berubah mengikut perkembangan ilmu psikologi dalam bidang ini. Bidang
OUM
47
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
pengujian kecerdasan bermula pada tahun 1796. Ujian ini terus berkembang apabila Galton, pada tahun 1969, cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental dan pencapaian intelektual antara pelajar-pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam pengukuran kecerdasan mental termasuklah Wundt, Cattell dan Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah ujian Binet-Simon. Ujian kecerdasan mental bagi kanak-kanak tidak menekankan aspek kebahasaan, tetapi menggunakan gambar rajah, oleh sebab aspek ini belum mereka kuasai. Ujian kecerdasan memberikan bukti, secara tidak langsung, tentang potensi yang ditunjukkan oleh murid-murid berdasarkan prestasi mereka dalam ujian tersebut. Ujian ini kerap digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain ialah Ujian Skala Stanford-Binet, Ujian Weschler dan Ujian Lorge-Thorndike.
Latihan 3.1 Nyatakan perbezaan antara tujuan ujian pencapaian dan tujuan ujian kecerdasan. 3.
Ujian Prestasi Pencapaian pelajar setiap akhir penggal peperiksaan sering menjadi perhatian dan ukuran para ibu bapa dalam menentukan prestasi anak-anak mereka. Bagaimanakah anda rasa paradigma pemikiran ibu bapa ini dapat diubah agar tidak terlalu bersifat pebcapaian akademik semata-mata. Apakah langkahlangkah yang anda rasakan mampu anda lakukan untuk merubah semua ini sama ada dalam jangkamasa pendek atau dalam jangka masa panjang? Ujian prestasi ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan/kecekapan pelajar melakukan sesuatu tugas yang melibatkan manipulasi objek yang kongkrit dan ia memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan. Lazimnya, ujian ini melibatkan penggunaan alat yang konkrit, seperti penggunaan gambar dan radas, yang tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan ujian kertaspensel. Contohnya ialah ujian pada peringkat prasekolah yang meminta pelajar membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau mereka bentuk geometri daripada blok-blok yang diberikan. Mereka juga boleh diminta untuk menjalankan uji kaji kecil dengan menggunakan radas tertentu. Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat daripada pelajar. Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa pelajar melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan berkumpulan atau peranan pelajar dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri, pelajar akan menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu, yang dapat menilai prestasi dirinya. Selain menguji pelajar-pelajar biasa, ujian prestasi menggunakan objek adalah sesuai untuk menguji prestasi pelajar-pelajar yang bermasalah pertuturan. Mereka lebih mudah diuji menggunakan objek yang konkrit daripada menggunakan penulisan atau pertuturan.
48
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
4.
Ujian Diagnostik
Pernahkan anda berhadapan dengan pelajar-pelajar yang menghadapi masalah menulis dalam keadaan terbalik? Apakah yang anda faham dengan fenomena yang dihadapi oleh golongan seperti ini?. Bagaimanakah anda lakukan dalam jangkamasa pendek untuk membantu pelajar yang mengalami masalah ini? Ujian diagnostik ialah ujian yang digunakan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga untuk menentukan puncapunca yang menyebabkan masalah itu berlaku. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti, maka tindakan lanjutan untuk mengatasi masalah ini dapat dirancang dan dilaksanakan oleh guru. Ujian diagnostik biasanya ditumpukan kepada tajuk tertentu dan itemnya dibina secara terperinci supaya masalah yang dihadapi setiap pelajar dapat dikenalpasti bagi tajuk tersebut. Contoh ujian diagnostik ialah ujian bacaan untuk mengenal pasti masalah pelajar mengenal dan menyebut huruf. Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventori, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa. Ciri-ciri ujian diagnostik ialah: •
Ujian ini tidak memberikan skor atau gred kepada pelajar.
•
Ujian ini dilaksanakan semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan.
•
Laporan ujian dibuat dalam bentuk profil perkara yang belum dikuasai pelajar.
Anda digalakkan melihat laporan dalam Utusan Malaysia bertarikh 22/09/2004 di alamat berikut yang http://www.utusan.com.my/utusan/ ... 01.htm&arc=hive Dalam laporan tersebut dimaklumkan bahawa Setiasuaha Parlimen, Kementerian Pendidikan, P. Komala Devi, didapat lima peratus kes disleksia dikesan pada mana-mana komuniti atau satu bagi setiap 20 orang kanak-kanak.
Rajah 3.3 Ujian diagnostik Sumber : http://www.das.org.sg/malay/malay.htm
OUM
49
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
5.
Ujian Bakat Ujian bakat ialah ujian yang digunakan untuk membuat telahan tentang bakat atau keistimewaan yang dimiliki oleh pelajar. Pada umumnya, ujian bakat ini dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu: (i)
ujian bakat yang berasaskan kepada kajian besar-besaran, misalnya kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota pada tahun 1930 tentang bakat mekanikal seseorang; dan
(ii)
ujian bakat yang berasaskan kepada keperluan tertentu.
Pada umumnya, ujian ini bertujuan untuk memberikan maklumat asas untuk membuat telahan tentang prestasi masa depan seseorang pelajar dalam sesuatu bidang. Ujian ini lazimnya digunakan untuk memilih calon yang sesuai dengan tugas tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Contoh ujian bakat ialah Ujian Kemasukan Ke Maktab Perguruan (UKELP). Ujian bakat juga boleh digunakan untuk tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehannya. Berdasarkan kepada keenam-enam jenis ujian ini, manakah yang anda rasakan boleh diaplikasikan dengan kadar yang segera oleh anda di sekolah. Pernahkah anda terfikir untuk mengadakan ujian-ujian seperti ini?
6.
Ujian Personaliti Personaliti ialah sifat-sifat yang dimiliki oleh individu pelajar, seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi. Ujian personaliti ialah ujian yang digunakan untuk mengukur personaliti pelajar, seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi. Ciri-ciri ini diukur melalui alat-alat psikologi yang berbentuk ujian, inventori, indikator atau indeks. Terdapat tiga (3) alat yang dapat digunakan guru untuk mengukur personaliti pelajar, iaitu (1) inventori laporan kendiri (apa yang pelajar kata tentang dirinya); (2) inventori sosiomerik (apa yang pelajar lain/orang lain kata tentang seseorang pelajar); dan (3) teknik pemerhatian (apa yang dibuat oleh pelajar dalam situasi tertentu). Inventori laporan kendiri dan inventori sosiometrik ini boleh ditadbirkan sama ada secara lisan atau secara bertulis menggunakan borang soal selidik atau senarai semak. Contoh senarai semak ialah senarai semak berkaitan dengan masalah yang dihadapi pelajar. Senarai ini memberikan segala masalah yang mungkin dihadapi pelajar, misalnya, yang menyebabkan dia tidak selesa belajar. Ini mungkin meliputi masalah kewangan, keluarga atau kesihatan. Jawapan seseorang pelajar itu mungkin dapat memberikan punca kepada tingkah laku/personaliti pelajar yang berubah. Selain inventori-inventori ini, terdapat juga ujian personaliti yang dibina melalui hasil penyelidikan atau berdasarkan teori-teori tertentu, seperti Keirsey Temperament Test (KTT) dan Edwards Personal Preference Schedule (EPPS).
50
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
Rajah 3.4 : Jenis-jenis ujian
3.2
JENIS-JENIS PENILAIAN
Pernahkah anda terlintas dengan kata-kata seperti ini, “Belajar tanpa berfikir, sia-sia, Berfikir tanpa belajar merbahaya”. Apakah yang boleh anda nilai dengan kata-kata seperti ini kepada anda sebagai seorang guru dan juga sebagai seorang pelajar diinstitusi pengajian tinggi? Penilaian ialah proses menilai sesuatu konstruk berasaskan kepada ukuran-ukuran yang diperoleh daripada pengukuran-pengukuran yang dijalankan. Tujuan penilaian dalam konteks persekolahan atau di bilik darjah adalah berkait rapat dengan penilaian hasil pengajaran dan pembelajaran. Dari segi pengajaran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian akan dapat membantu guru untuk memperbaiki pengajarannya. Sekiranya penyampaian guru didapati kurang berkesan, maka guru tersebut boleh membuat keputusan untuk menggunakan pendekatan/kaedah lain yang difikirkan lebih berkesan. Dalam konteks pembelajaran pula, maklumat daripada penilaian dapat membantu guru untuk membuat diagnosis tentang kelemahan dan kekuatan pelajar bagi tajuk-tajuk yang diajar. Maklumat ini seterusnya dapat membantu guru untuk merancang dan melaksanakan program pemulihan atau pengkayaan untuk pelajar-pelajarnya. Selain itu, penilaian juga boleh membantu guru untuk memberi gred pencapaian kepada pelajar, menentukan kumpulan pelajar mengikut keupayaan mereka, atau menempatkan pelajar kepada bidang pengajian tertentu mengikut keupayaan mereka dalam bidang tersebut. Penilaian yang dijalankan oleh guru boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti Penilaian Rujukan Norma, Penilaian Rujukan Kriteria, Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Ini dapat dilihat dalam Rajah 3.5 di bawah.
OUM
51
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
Rajah 3.5 : Jenis-jenis penilaian
Latihan 3.2 Apakah yang harus guru lakukan dengan maklumat yang diperoleh daripada ujian atau penilaian yang dijalankan?
3.2.1
Penilaian Rujukan Norma
Keputusan ujian/peperiksaan yang diperolehi pelajar-pelajar memberikan beberapa maklumat kepada guru. Pertama, keputusan yang diperolehi seseorang pelajar itu boleh dibandingkan dengan keputusan yang diperolehi pelajar lain, yang mengambil ujian/ peperiksaan yang sama. Penilaian secara perbandingan ini dikenali sebagai Penilaian Rujukan Norma (PRN), iaitu penilaian yang dibuat dengan membandingkan pencapaian seseorang pelajar dengan pencapaian pelajar/kumpulan pelajar lain yang mengambil ujian yang sama. Contohnya, bagaimanakah pencapaian seseorang pelajar dalam satu ujian kecerdasan jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar-pelajar lain yang sama umur dengannya. Oleh sebab PRN bertujuan untuk membandingkan pencapaian pelajar, ujian untuk PRN biasanya meliputi kandungan pelajaran yang luas, dan dengan demikian, ia tidak dapat memberikan maklumat tentang pengetahuan/kemahiran seseorang pelajar bagi tajuk pelajaran tertentu. Ujian untuk PRN perlu dibina untuk menghasilkan perbezaan pencapaian yang maksimum di kalangan pelajar. Bagi memastikan tujuan ini tercapai, tahap kesukaran soalan perlu dikawal. Sekiranya soalan terlalu mudah, maka semua pelajar akan dapat menjawabnya, sebaliknya jika soalan itu terlalu susah, maka semua pelajar tidak dapat menjawabnya. Seterusnya, jika soalan itu sederhana susah, sebahagian pelajar lemah dan sebahagian besar pelajar pandai dapat menjawabnya. Justeru, ketiga-tiga keadaan tersebut tidak dapat menghasilkan perbezaan pencapaian yang maksimum. Jadi, lazimnya, kesukaran ujian adalah berdasarkan kepada 25% soalan mudah, 50% soalan sederhana dan 25% soalan susah (taburan skor ujian ditunjukkan dalam Rajah 3.2). Ini diharapkan dapat memaksimumkan perbezaan pencapaian antara pelajar lemah dan pandai. Keputusan ujian ini juga dapat menentukan kedudukan seseorang pelajar dalam bilik darjah atau tahun/tingkatannya seperti dalam Rajah 3.6 di bawah.
52
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
Rajah 3.6 : Taburan skor ujian rujukan norma
Menurut Popham (1981), PRN diguna untuk menentukan status seseorang pelajar berpandukan kepada prestasi pelajar lain dalam sesuatu ujian tertentu. Misalnya, seorang pelajar dapat menjawab 50 item dengan betul daripada 60 item ujian. Skor mentah pelajar ini ialah 50. Kedudukan pelajar ini berbanding dengan pelajar-pelajar lain boleh didapati daripada jadual norma bagi satu kumpulan yang ditetapkan. Andaikan skor mentah tadi memberikan bacaan pangkat peratusan ke-83 mengikut jadual norma tersebut. Ini bermakna pelajar tersebut mempunyai pencapaian lebih baik daripada 82 peratus pelajar-pelajar lain dalam kumpulan norma ini. Dalam konteks ini, jika ramai pelajar mendapat skor yang rendah, maka markah lulus lazimnya akan rendah juga dan sebaliknya. Dengan demikian, ada kemungkinan seseorang pelajar yang lemah akan lulus ujian/peperiksaan sebab terdapat pelajar-pelajar lain yang lebih lemah.
3.2.2
Penilaian Rujukan Kriteria
Ujian/Penilaian Rujukan Kriteria (PRK) mempunyai tujuan yang berbeza daripada ujian/ Penilaian Rujukan Norma (PRN). Matlamat PRK bukanlah untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan pelajar lain, tetapi ditumpukan kepada membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu, iaitu sama ada kriteria tersebut dapat dikuasai pelajar atau tidak. Pendekatan ini dipelopori Glaser pada tahun 1963 (Popham, 1971). Menurut Glaser (1973), kriteria yang digunakan tidak bermaksud kemahiran tertinggi yang perlu dikuasai pelajar, tetapi lebih kepada kriteria yang ditetapkan oleh guru, iaitu pada aras mana sepatutnya pelajar perlu capai. Menurut Popham (1981), ujian rujukan kriteria (URK) diguna untuk menentukan status pencapaian individu pelajar dalam domain tingkah laku yang ditetapkan. Justeru, ujian ini dibina berpandukan kepada kriteria/tingkah laku yang telah ditetapkan. Ujian ini juga adalah lebih terperinci/mendalam dan meliputi kandungan pelajaran tertentu sahaja. Maklumat yang
OUM
53
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
terperinci ini boleh membantu guru mengenal pasti kelemahan setiap orang pelajarnya bagi tajuk pengajaran tertentu. Daripada maklumat ini, guru boleh merancang dan melaksanakan program pemulihan untuk pelajar-pelajarnya atau memperbaiki/mengubah kaedah pengajaran supaya pelajar mudah menguasai/mencapai sesuatu objektif pengajaran.
Latihan 3.3 Adakah ujian diagnostik boleh dianggapkan sebagai ujian rujukan kriteria? Berikan sebab-sebabnya.
3.2.3
Perbezaan antara Penilaian Rujukan Norma dan Kriteria
Perbezaan antara Ujian Rujukan Norma (URN) dan Ujian Rujukan Kriteria (URK) ditunjukkan dalam Jadual 3.1. Sebagaimana yang kita ketahui, URN bertujuan untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan pelajar/kumpulan pelajar lain; sementara URK bertujuan untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu. Seterusnya, soalan-soalan URN mempunyai aras kesukaran yang mudah, sederhana dan susah; sementara soalan-soalan URK mempunyai aras kesukaran yang hampir sama, bergantung kepada objektif pengajaran. URN juga digubal untuk menentukan gred pencapaian pelajar; sementara URK tiada menetapkan sebarang gred, tetapi menyatakan lulus/gagal sahaja. Dari segi cakupan kandungan, URN terdiri daripada soalan-soalan berbentuk am dan mencakupi sukatan pelajaran yang luas; sementara URK terdiri daripada soalan-soalan yang lebih mendalam dan tertumpu kepada tajuk-tajuk tertentu. Jadual 3.1 : Perbezaan antara Ujian Rujukan Norma dan Ujian Rujukan Kriteria Perkara
Ujian Rujukan Norma
Konsep
Ujian yang membandingkan pencapaian pelajar dengan pelajar/kumpulan pelajar lain.
Ujian yang membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu yang telah ditetapkan.
Tujuan
• Membandingkan pencapaian antara pelajar/kumpulan pelajar. • Menentukan pencapaian sama ada lulus/gagal, lemah/ sederhana/ cemerlang. • Memilih pelajar untuk tujuan pengiktirafan – memberi sijil.
• Menentukan tahap penguasaan sesuatu kemahiran yang telah dipelajari mengikut kriteria yang telah ditetapkan. • Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran berdasarkan keputusan ujian.
Ciri-ciri Soalan
Bermula dengan soalan yang mudah kepada sederhana dan lebih sukar dan mempunyai indeks diskriminasi yang tinggi.
Soalan yang hampir sama peringkat kesukaran dengan berpandukan kepada kriteria/objektif pelajaran tertentu.
Ciri-ciri ujian
Penentuan gred bagi menentukan pencapaian pelajar dalam pelbagai peringkat.
Tiada gred ditetapkan, tetapi memadai dengan penyataan lulus/ gagal sahaja.
Cakupan kandung
Meliputi tajuk/kandungan pembelajaran yang lebih luas.
Tertumpu kepada tajuk-tajuk tertentu yang lebih khusus.
Contoh ujian
Peperiksaan akhir penggal, UPSR, PMR, SPM, STPM
Ujian pendek, tugasan, latihan, soal jawab dalam bilik darjah.
54
Ujian Rujukan Kriteria
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
3.2.4
Penilaian Formatif
Penilaian formatif ialah penilaian yang dibuat secara berterusan, iaitu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap tajuk yang diajar. Penilaian lazimnya mewujudkan ketegangan di kalangan pelajar, guru atau ibu bapa, disebabkan penilaian melibatkan perbandingan pencapaian antara pelajar dan guru. Bagaimanapun, penilaian formatif dapat mengurangkan ketegangan ini, sebab penilaian ini adalah PRK yang tidak membandingkan pencapaian pelajar. Contoh ujian formatif ialah soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian mingguan. Guru sepatutnya memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa tentang tujuan penilaian formatif, iaitu sebagai ujian diagnostik yang dapat mengesan masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Maklumat yang diperoleh seharusnya terus digunakan untuk memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan penyampaian pengajarannya, manakala pelajar akan mengetahui kelemahan mereka. Daripada kelemahan ini, guru dan pelajar dapat mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran, yang akhirnya akan membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan penggal atau akhir tahun. Bagi memastikan pelaksanaan penilaian formatif ini berkesan, prosedur berikut perlu diberi perhatian oleh guru: 1.
Menentukan tajuk pengajaran Guru perlu menentukan tajuk-tajuk pengajaran yang perlu dihabiskan dalam satu tahun persekolahan. Langkah yang terbaik ialah menyusun tajuk-tajuk ini mengikut peringkat kesukaran. Sekiranya sesuatu tajuk itu mempunyai cakupan yang luas, maka ia perlu dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil supaya pelajar-pelajar dapat menguasai semua tajuk kecil terlebih dahulu, sebelum meneruskan pengajaran ke tajuk lain. Sekurangkurangnya, sebelum beralih ke tajuk lain, guru perlu mengadakan ujian formatif untuk menilai penguasaan pelajar bagi tajuk yang telah diajar.
2.
Menentukan aspek dan tahap penguasaan Guru perlu menentukan aspek-aspek tertentu bagi setiap tajuk pengajaran yang perlu dikuasai pelajar. Misalnya, pelajar dapat mengenal warna, simbol dan membaca mengikut keperluan tajuk berkenaan. Setelah aspek-aspek berkenaan ditentukan, maka guru perlu pula menentukan tahap penguasaan pelajar terhadap aspek-aspek yang ditentukan itu. Misalnya, apabila 80% hingga 90% pelajar menguasai sesuatu tajuk, ini menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai tajuk tersebut.
3.
Menghubungkaitkan elemen-elemen dalam tajuk Guru perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam setiap tajuk pengajaran pada peringkat perlakuan berdasarkan taksonomi objektif pengajaran. Setelah penyusunan elemen mengikut tahap perlakuan dibuat, guru seterusnya mengaitkan semua elemen tersebut agar ia saling bertautan dan tidak terpisah.
4.
Membina soalan ujian Selepas menghubungkait elemen-elemen berkenaan, misalnya, ada sepuluh elemen dalam sesuatu tajuk, maka setiap elemen berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar
OUM
55
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
sekurang-kurangnya satu soalan. Soalan ujian yang sesuai perlu dibina untuk mengukur penguasaan pelajar terhadap elemen-elemen ini. Antara contoh bentuk-bentuk soalan ujian yang boleh dilakukan adalah seperti dalam Rajah 3.7 di bawah.
Rajah 3.7 : Contoh bentuk-bentuk soalan ujian
5.
Mencadangkan tindakan susulan Di samping menilai penguasaan pelajar bagi sesuatu tajuk pengajaran, penilaian formatif dapat mengesan masalah pembelajaran. Justeru, selepas ujian dibuat, tindakan susulan perlu dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian ini. Misalnya, jika pelajar-pelajar masih lemah dalam sesuatu tajuk, sebagai tindakan susulan, guru perlu mengulang semula tajuk berkenaan, atau mengubah pendekatan pengajaran agar pelajar dapat menguasai tajuk tersebut.
Sebagai kesimpulannya perlaksanaan penilaian formatif ini dalam dirumuskan melalui Rajah 3.8 di bawah.
Rajah 3.8 : Perlaksanaan penilaian formatif
56
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
Latihan 3.4 Adakah ujian formatif boleh dianggapkan sebagai ujian rujukan kriteria? Berikan sebab-sebabnya.
3.2.5
Penilaian Sumatif
Penilaian sumatif ialah penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran (akhir penggal/akhir tahun), yang bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar. Berbeza dengan penilaian formatif, yang lebih menumpukan kepada penilaian penguasaan pelajar dalam sesuatu tajuk, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir penggal persekolahan/akhir tahun, yang juga dapat menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum. Contoh penilaian sumatif ialah penilaian pada akhir tahun, peperiksaan percubaan, UPSR dan PMR. Secara amnya, tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka. Gred yang diperoleh pelajar boleh digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian di kalangan pelajar. Penilaian sumatif juga dapat dijadikan petunjuk, sama ada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran baru atau tidak. Sebelum memulakan mata pelajaran baru, pelajar dikehendaki menduduki ujian untuk menentukan sama ada mereka telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan. Sekiranya mereka sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk mengambil mata pelajaran baru. Bagi memastikan keberkesanan penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diberi penekanan semasa menggubal ujian sumatif seperti dalam Rajah 3.9 di bawah.
Rajah 3.9 : Perlaksanaan penilaian sumatif
OUM
57
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
1.
2.
Membentuk Jadual Penentuan Ujian (JPU) Jadual ini mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan tajuk pengajaran, objektif pengajaran dan bilangan soalan. Jadual ini juga dapat memastikan kesahan ujian dari segi cakupan sukatan pelajaran dan objektif pengajaran yang ingin disampaikan. Membina soalan Soalan-soalan hendaklah dibina berpandukan kepada JPU, dan haruslah menguji objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Ketas soalan perlu mengandungi arahan yang jelas tentang bilangan soalan yang perlu dijawab.
3.
Mengumpul soalan secara sistematik Soalan perlu dikumpul mengikut bentuknya, misalnya soalan objektif diasingkan daripada soalan mengisi tempat kosong, atau esei berjawapan pendek. Soalan ini juga boleh disusun mengikut tajuk atau kesukarannya.
4.
Menguji soalan melalui kajian rintis Mengkaji kesesuaian soalan kepada sampel pelajar dan membaiki soalan-soalan bagi memastikan ujian mempunyai kesahan yang tinggi. Selain itu, aras kesukaran dan daya diskriminasi soalan perlu juga dikira.
5.
Menyiapkan skema pemarkahan Skema ini terdiri daripada jawapan kepada soalan ujian dan markahnya. Ia menjadi panduan semasa memeriksa jawapan, yang dapat menyelaras permarkahan supaya tidak berlaku bias dalam pemberian markah.
3.2.6
Perbezaan antara Penilaian Formatif dan Sumatif
Perbezaan antara Penilaian Formatif (PF) dan Penilaian Sumatif (PS) ditunjukkan dalam Jadual 3.2. Sebagaimana yang kita ketahui, PF bertujuan untuk mengesan penguasaan/ kelemahan pelajar bagi tajuk pengajaran tertentu yang dibuat sepanjang proses pengajaran. PS pula bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada penghujung penggal/akhir tahun persekolahan. PF boleh dibuat secara formal atau tidak formal; sementara PS pula dibuat secara formal. Tujuan utama PF ialah untuk mengatasi masalah yang dihadapi pelajar dengan mengadakan aktiviti pemulihan atau mengubah kaedah/pendekatan pengajaran (mengadakan aktiviti pengayaan bagi pelajar yang tiada masalah). Tujuan utama PS ialah untuk memberi gred pencapaian kepada pelajar, menempatkan pelajar ke dalam kumpulan yang sesuai, memberi pengiktirafan (sijil, hadiah) atau membaiki kurikulum.
58
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
Rajah 3.10 Contoh skema permakahan Sumber : www.tutor.com.my/bank/SPM/MAT/SPM_MAT_BS_3_2.PDF
OUM
59
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
Jadual 3.2 : Perbezaan antara Penilaian Formatif dan Sumatif Perkara
Penilaian Formatif
Penilaian Sumatif
Konsep
Penilaian yang boleh dibuat secara formal/tidak formal untuk mengesan penguasaan/ kelemahan pelajar bagi setiap tajuk pengajaran.
Penilaian yang dijalankan secara formal bagi menentukan pencapaian pelajar di akhir pengajaran, seperti pada hujung penggal/akhir tahun.
Waktu penilaian Kaedah
Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlansung. Formal: Ujian pensel-kertasTidak formal: Pemerhatian, soal jawab, tugasan, latihan.Dibuat secara individu/kumpulan.
Pada akhir penggal atau akhir tahun persekolahan. Formal: Ujian pensel-kertas, ujian lisan. Ditadbir secara berkumpulan
Tujuan
Selepas tahap kemajuan/ penguasaan pelajar ditentukan, tindakan susulan perlu diambil untuk mengatasi kelemahan pelajar.
Selepas pencapaian pelajar ditentukan bagi tempoh persekolahan tertentu, gred pencapaian diberikan kepada pelajar.
Selepas penilaian dijalankan
Mengatasi kelemahan pelajar dengan mengulang semula topik atau mengadakan pemulihan. Menjalankan aktiviti pengayaan bagi pelajar yang tiada masalah.
Menempatkan murid mengikut pencapaian.Memberi pengiktirafan – sijil, hadiah dan sebagainya.Membaiki kurikulum.
Latihan 3.5 Apakah perkaitan antara ujian sumatif dengan Penilaian Sumatif? Adakah ujian pencapaian boleh dianggapkan sebagai ujian sumatif? Jelaskan.
3.3
KAEDAH PENGUKURAN
Sebagaimana yang telah dijelaskan terlebih awal, pengukuran sesuatu konstruk/ pembolehubah (seperti pencapaian akademik, personaliti, sikap, kemahiran) boleh dibuat melalui kaedah pemerhatian, lisan, penulisan, pertimbangan profesional (professional judgement) atau potfolio. Salvia dan Ysseldyke (2004) menjelaskan dengan terperinci tentang teknik-teknik yang digunakan bagi kaedah yang disebutkan. 1.
60
Kaedah Pemerhatian Kaedah pemerhatian ialah kaedah pengumpulan maklumat, yang kemudian dijadikan ukuran, secara memerhati dan merekod apa yang dilakukan oleh seseorang dan orangorang lain yang berkenaan serta keadaan di sekelilingnya. Kaedah pemerhatian ini boleh dibahagikan kepada dua (2) bentuk, iaitu pemerhatian tidak-sistematik dan pemerhatian sistematik.
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
Rajah 3.11 : Kaedah pemerhatian
2.
•
Pemerhatian tidak-sistematik merujuk kepada pemerhatian secara rawak/terbuka, iaitu yang tidak ditumpukan kepada tingkah laku tertentu. Ia biasanya tidak boleh diulang dan maklumat yang diperoleh boleh dijadikan panduan untuk pemerhatian sistematik.
•
Bagi pemerhatian sistematik, pemerhati terlebih dahulu menetapkan tingkah laku yang ingin diperhati sebelum membuat pemerhatian. Pemerhati kemudiannya akan mengira kekerapan dan lama sesuatu tingkah laku itu berlaku.
•
Kaedah pemerhatian mempunyai batasan tersendiri, seperti pentafsiran terhadap tingkah laku mungkin tidak tepat, pemerhatian memerlukan masa yang panjang dan wujud kesan pemerhatian itu sendiri kepada orang yang diperhatikan (expectancy).
Kaedah Lisan Kaedah lisan ialah kaedah pengumpulan maklumat secara lisan dan merekod apa yang maklumkan oleh individu yang menjadi subjek dan oleh orang-orang lain yang berkenaan tentangnya . Kaedah lisan ini boleh dibahagikan kepada dua (2) bentuk, iaitu temu bual dan skala penaksiran (rating scale).
Rajah 3.12 : Kaedah lisan
•
Temu bual terbuka merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat melalui perbualan yang tidak tertumpu kepada set soalan tertentu; manakala temu bual berstruktur cuba mendapatkan maklumat melalui perbualan tertumpu kepada set soalan tertentu.
•
Skala penaksiran merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat dengan menggunakan satu set soalan yang memerlukan seseorang memberi jawapan dalam skala tertentu, seperti skala Likert atau anggaran kekerapan.
OUM
61
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
3.
•
Contoh skala Likert ialah respons Sangat Tidak Setuju, Tidak Setuju, Sederhana Setuju, Setuju dan Sangat Setuju. Contoh anggaran kekerapan ialah respons Tidak Pernah, Kadang-kadang, Sederhana Kerap, Kerap dan Sangat Kerap.
•
Selain berkongsi batasan kaedah pemerhatian, kaedah lisan mempunyai dua batasan lain, iaitu ingatan menjadi tidak tepat apabila jarak masa adalah lama antara peristiwa yang berlaku dengan temu bual, dan kedua maklumat yang diberi mungkin tidak benar.
Kaedah Penulisan
Pernahkah anda mengisi borang soal selidik yang diminta oleh kumpulankumpulan tertentu atas tujuan-tujuan tertentu?. Bentuk-bentuk soalan yang terdapat dalam borang soal selidik tersebut mempunyai beberapa kriteria tertentu. Sekiranya anda ingin membuat soal selidik berhubung dengan pencapaian para pelajar anda, apakah objektif utama yang ingin anda lihat? Kaedah penulisan ialah kaedah pengumpulan maklumat yang biasa digunakan untuk mendapatkan ukuran bagi sesuatu konstruk. Kaedah ini mengunakan teknik penulisan sebagai respons kepada satu set soalan ujian atau satu set pernyataan soal selidik. Respons yang ditulis menjadi rekod kepada maklumat yang diberikan oleh subjek tentang dirinya atau orang-orang lain yang berkenaan. Kaedah penulisan ini boleh dibahagikan kepada dua (2) bentuk, iaitu ujian dan soal selidik/inventori.
Rajah 3.13 : Kaedah penulisan
62
•
Ujian merujuk kepada teknik mendapatkan maklumat daripada jawapan kepada satu set soalan untuk mengukur pencapaian tertentu; manakala soal selidik/inventori adalah teknik mendapatkan maklumat daripada jawapan kepada satu set pernyataan tertentu.
•
Maklumat daripada ujian dapat dibahagikan kepada dua (2) jenis, iaitu kuantitatif dan kualitatif. Maklumat kuantitatif ialah markah ujian, sementara maklumat kualitatif ialah bagaimana pelajar mendapat markah tersebut (seperti soalan mana yang dijawab).
•
Maklumat kuantitatif ini boleh ditafsir berasaskan kepada dua rujukan, iaitu pertama, membandingkan markah pelajar dengan markah pelajar lain (Penilaian Rujukan Norma) atau, kedua, membandingkannya dengan kriteria tertentu (Penilaian Rujukan Kriteria).
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
4.
5.
Kaedah Pertimbangan Profesional Kaedah pertimbangan profesional ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat ahli/kumpulan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, apabila orang yang bertanggungjawab untuk menilai, tidak mempunyai kepakaran tersebut. Kepakaran yang diperlukan mungkin dalam bidang pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran, pemulihan bacaan dan sebagainya. Contoh-contoh pertimbangan profesional serta kekuatan dan kelemahan kaedah ini diberikan di bawah. •
Pertimbangan daripada pakar neorolgi perlu dijadikan asas apabila guru ingin membuat keputusan sama ada seseorang pelajar boleh dikategorikan sebagai pelajar khas terencat akal.
•
Pertimbangan daripada pakar kaunseling kerjaya perlu dijadikan asas apabila guru ingin membuat keputusan sama ada seseorang pelajar itu sesuai mengikuti sesuatu aliran pengajian.
•
Kaedah ini adalah terbaik sekiranya pakar bidang memberi pertimbangan secara jujur/profesional, tetapi akan memberi kesan yang buruk sekiranya mereka memberi pertimbangan yang tidak tepat/tidak jujur.
Kaedah Potfolio Pendekatan baru dalam penilaian ialah pendekatan yang dikatakan kurang objektif, analitik dan kuantitatif; iaitu ia lebih subjektif, kualitatif dan holistik. Antaranya ialah penilaian potfolio (portfolio evaluation). Kaedah potfolio ialah kaedah pengumpulan maklumat melalui pendapat penilai terhadap satu set hasil kerja pelajar. Potfolio melibatkan pengumpulan hasil kerja pelajar yang berkait dengan pengetahuan/kemahiran yang ingin dinilai. Ia mula digunakan untuk menilai kemahiran seni, seperti seni lukis, pemodelan, fotografi dan seni muzik. Sekarang kaedah ini digunakan untuk menilai pengetahuan/kefahaman, seperti penulisan, pembacaan dan matematik. Kekuatan dan kelemahan penilaian potfolio ini diberikan di bawah. •
Penilaian biasanya dibuat bagi objektif pengajaran yang lebih tinggi (analisis, sintesis, penilaian). Bagaimanapun, ia boleh digunakan untuk menilai pencapaian pada peringkat yang lebih rendah (pengetahuan, kefahaman, aplikasi), terutama bagi pelajar khas.
•
Penilain ini juga sesuai untuk menilai kecekapan/keberkesanan strategi yang dipilih dan kemahiran yang diguna untuk menghasilkan sesuatu objek, yang biasanya merupakan sebuah karya asli (penilaian ini dipanggil juga penilaian autentik).
•
Penilaian ini menggalakan kerjasama/kerja berkumpulan antara pelajar dan juga dengan guru yang bertujuan untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik serta melatih pelajar untuk berfikir dan membuat refleksi tentang kerja yang mereka lakukan.
•
Penilaian ini menjadi tidak sah disebabkan oleh beberapa perkara seperti hasil kerja yang dikumpul tidak sesuai dengan aspek yang hendak dinilai, hasil kerja tersebut bukan karya asli pelajar, atau penilainya bukan pakar dalam aspek yang hendak dinilai.
Sebagai kesimpulannya, didapati bahawa terdapat 5 teknik-teknik kaedah pengukuranyang boleh dinyatakan dalam kedah pengukuran seperti dalam Rajah 3.14 di bawah.
OUM
63
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
Rajah 3.14 : Teknik-teknik kaedah pengukuran
Latihan 3.6 Berikan satu contoh pertimbangan profesional seseorang guru terhadap pelajarnya. Jelaskan mengapa tindakan ini dianggapkan sebagai pertimbangan profesional guru.
RUMUSAN Tajuk ini telah membincangkan tentang jenis ujian dan jenis penilaian. Jenis ujian meliputi ujian pencapaian, kecerdasan, prestasi, diagnostik, kecekapan, bakat, personaliti, rujukan norma dan rujukan kriteria. Jenis penilaian pula meliputi Penilaian Rujukan Norma, Penilaian Rujukan Kriteria, Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif. Seterusnya, tajuk ini juga menjelaskan tentang kaedah pengukuran melalui pemerhatian, lisan, penulisan, pertimbangan profesional dan potfolio. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain Penilaian Sumatif, Penilaian Formatif yang diadakan sepanjang proses pengajaran adalah amat penting kepada guru dan juga pelajar. Penilaian formatif dapat menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar bagi setiap tajuk yang diajar. Maklumat yang diperoleh daripada penaksiran formal dan tidak formal dapat membantu guru untuk mengadakan aktiviti/program pemulihan, termasuk mengubah pendekatan/kaedah pengajaran, untuk membantu pelajar lemah agar mereka terus maju. Bagi pelajar yang berjaya pula, mereka boleh diberi aktiviti/program pengayaan agar mereka mencapai kejayaan yang lebih baik/cemerlang. Maklumat daripada Penilaian Formatif juga penting kepada pelajar, kerana melaluinya pelajar mengetahui kelemahan mereka, dan seterusnya, mereka akan cuba mengatasi kelemahan ini sendiri.
64
OUM
TAJUK 3 JENIS UJIAN DAN PENILAIAN
GLOSARI Ujian Pencapaian
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur sejauh mana seseorang pelajar dapat menguasai tajuk-tajuk yang telah diajar guru, yang biasanya ujian ini diberikan pada hujung penggal atau akhir tahun persekolahan.
Ujian Kecerdasan
yang juga dikenali sebagai ujian mental, ialah ujian yang digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang individu atau perbezaan antara individu.
Ujian Prestasi
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan/ kecekapan pelajar melakukan sesuatu tugas yang melibatkan manipulasi objek yang kongkrit dan ia memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan.
Ujian Diagnostik
ialah ujian yang digunakan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga untuk menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah itu berlaku.
Ujian Kecekapan
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan atau kecekapan seseorang pelajar melaksanakan sesuatu tugas.
Ujian Bakat
ialah ujian yang digunakan untuk membuat telahan tentang bakat atau keistimewaan yang dimiliki oleh seseorang pelajar dan hasil daripada ujian ini boleh digunakan untuk pelajar memilih bidang pengajian yang sesuai baginya.
Ujian Personaliti
ialah ujian yang digunakan untuk mengukur personaliti pelajar, seperti sikap, pendirian, nilai, minat dan motivasi; yang diukur melalui alat-alat psikologi yang berbentuk ujian, inventori, indikator atau indeks.
Ujian Rujukan Norma
ialah ujian yang digunakan untuk membanding pencapaian seseorang calon/pelajar dengan pencapaian calon/pelajar lain yang mengambil ujian yang sama.
Ujian Rujukan Kriteria
ialah ujian yang digunakan untuk membanding pencapaian seseorang calon/pelajar dengan kriteria yang telah ditetapkan, tanpa melibatkan perbandingan antara calon/pelajar.
Penilaian Formatif
ialah penilaian yang dibuat secara berterusan, iaitu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran pelajar bagi setiap tajuk yang diajar.
Penilaian Sumatif
ialah penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran (akhir penggal/ akhir tahun persekolahan), yang bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar.
OUM
65
JENIS UJIAN DAN PENILAIAN TAJUK 3
UJIAN 1 1.
Jelaskan apakah ujian bakat dan tujuannya.
2.
Adakah ujian kecerdasan boleh dianggap sebagai ujian sumatif? Berikan sebabnya.
3.
Berikan beberapa keadaan yang boleh menyebabkan penilain potfolio tidak sah.
UJIAN 2 1.
Jelaskan maksud ujian formatif.
2.
Berikan beberapa tujuan ujian ini.
3.
Pilih satu tujuan ujian ini dan jelaskan prosedur membina soalannya.
RUJUKAN Abu Bakar Nordin. (1987). Developing scale in affective domain. Occasional papers no.5. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Bloom, B.S. (1989). Taksonomi objektif pendidikan, buku pedoman 1: Domain kognitif (ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bloom, B.S., Hasting, J.T., Madaus, G.F. (1971). Handbook on formative and summative evaluation of student learning. New York: Harper and Row Publisher. Grondlund, N. E. (1971). Measurement and evaluation in teaching. New York: Macmillan Company. Hanna, G.S. & Dettmer, P.A. (2004). Assessment for Effective Teaching: Using ContextAdaptive Planning. Boston:Pearson-Allan & Allyn and Bacon. Krathwohl, D.R., Bloom, B.S., Masia, B.B. (1965). Classroom testing: Construction. Illinois: F.E Peacock Publisher Inc. Mokhtar Ismail. (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Perkembangan Kurikulum.( 1996). Penilaian kendalian sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Raminah Haji Sabran. (1991) penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Popham, W.J. (1981). Modern educational measurement. Englewood Cliffs NJ: Printice Hall. Glaser, R. (1973). “A Creterion-Referenced Test”, dlm. Popham, W.J (ed.) Criterion-referenced measurement, An introduction. New Jersey: Educational Technology Publication. Salvia, J. & Ysseldyke, J.E. (2004). Assessment In Special and Inclusive Education (Ninth Edition). Boston: Houghton Mifflin Company. 66
OUM