Jadikan Hari Malaysia Perayaan Semua Kaum

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Jadikan Hari Malaysia Perayaan Semua Kaum as PDF for free.

More details

  • Words: 3,257
  • Pages: 7
Jadikan Hari Malaysia perayaan semua kaum

KUCHING 19 Okt. - Hari Malaysia yang kini diisytiharkan cuti umum di seluruh negara boleh dijadikan satu perayaan oleh semua kaum di negara ini dengan mengadakan rumah terbuka secara serentak.Pada masa yang sama, rakyat boleh mengenakan pakaian tradisi kaum masing-masing dan saling kunjung-mengunjung sepanjang hari berkenaan bagi menerapkan budaya masyarakat majmuk yang menjadi identiti negara.Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak, Jane Lian Labang berkata, cuti tersebut memberi ruang kepada rakyat di negara ini untuk meningkatkan perpaduan menerusi acara atau program sambutan yang diketengahkan."Rakyat pelbagai kaum boleh mengadakan sambutan pada hari tersebut dengan menganjurkan rumah terbuka seperti hari raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai dan sebagainya.''Mereka juga boleh kunjung-mengunjung dari Semenanjung sehingga ke Sabah atau Sarawak, sekali gus merancakkan pelancongan domestik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 16 September setiap tahun sebagai cuti umum bagi mengingati tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu.Ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat, Najib berkata, Hari Malaysia akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia.Sementara itu, Pengurus Penjualan dan Pemasaran Kampung Budaya Sarawak, Zaini Zainuddin pula berkata, pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti awam sememangnya dialu-alukan bagaimanapun hari tersebut perlu ada pengisian yang baik dan berfaedah.Katanya, perlu ada program yang benar-benar boleh memberi pendedahan dan penghayatan kepada rakyat terutamanya generasi muda mengenai apakah sebenarnya yang berlaku pada tarikh 16 September supaya ia akan sentiasa diingati seperti tarikh 31 Ogos.''Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merasai, menjiwai serta menerima rakan-rakan daripada kaum yang lain dengan suasana muhibah dan mesra malah bercantum menjadi satu masyarakat yang kukuh jati diri masing-masing," katanya.Pengurus Kakitangan Kampung Budaya Sarawak, Nelson Awal memberitahu, Hari Malaysia boleh dijadikan rumah terbuka bukan hanya oleh individu atau sebuah keluarga sahaja bahkan ia turut merentasi organisasi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan dan persatuan, syarikat korporat serta pelbagai jabatan di negara ini.Penolong Pegawai Perhubungan Awam Kampung Budaya Sarawak, Nizerly Beki, 28, pula berkata, pengertian Hari Malaysia perlu disebar supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam dan emosinya berbeza berbanding sambutan Hari Merdeka.Menurutnya, pada hari tersebut Malaysia lengkap menjadi sebuah negara yang berdaulat dengan kemasukan Sabah dan Sarawak yang memiliki pelbagai kaum dan budaya, kemudiannya bercantum lalu melahirkan rakyat yang teguh, bersatu padu serta hormat menghormati.Constance Racha, 22, pula berkata, sememangnya cuti umum untuk Hari Malaysia dialu-alukan dan dilihat sebagai satu usaha bagi merapatkan lagi hubungan rakyat Malaysia antara Semenanjung, Sabah serta Sarawak.''Untuk memberi kefahaman yang lebih kepada rakyat, pameran sejarah mengenai 16 September perlu diadakan supaya generasi muda sekarang tahu asal usul wujudnya Malaysia," katanya.

Bencana alam, peringatan kepada manusia

PADA minggu lepas, dunia dikejutkan dengan beberapa peristiwa gempa bumi, tsunami dan taufan kencang di beberapa tempat berlainan di seluruh pelosok dunia yang berlaku hampir-hampir serentak. Antaranya termasuklah gempa bumi di Padang, Indonesia dan beberapa kawasan di Pasifik Selatan (seperti Kepulauan Vanuatu dan Kepulauan Soloman), taufan kencang Ketsana dan Parma melanggar Filipina serta tsunami yang melanda Kepulauan Samoa. Bagi negara jiran Indonesia, episod gempa di Padang hanyalah sebahagian daripada cerita-cerita musibah alam yang tidak pernah sunyi melanda negara paling banyak gunung berapi itu. Dari peristiwa letupan Krakatau yang menggegar bumi Sumatera (bunyi letupan direkodkan hingga ke Timur Tengah) lebih satu abad lalu hinggalah selang beberapa tahun terkini yakni tsunami yang melanda Kepulauan Aceh. Menariknya, ketika berlaku gempa bumi di Padang tempoh hari, negara kita yang sepatutnya terkeluar dari “kawasan merah” Lingkaran Api Pasifik ini turut merasai impaknya dengan beberapa tempat di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Putrajaya dilaporkan dapat merasakan gegaran kecil. Lingkaran Api Pasifik atau “plat gempa Pasifik” adalah kawasan yang kaya dengan gunung berapi dan terkait dengan pelbagai kejadian gempa di mana sebenarnya Malaysia bukanlah sebahagian dari kawasan tersebut. Ilmu manusia terlalu tipis Dari kejadian-kejadian bencana luar biasa yang berturutan ini, saintis-saintis terkemuka serta-merta dituntut untuk melampirkan kefahaman ke seluruh jagat penduduk dunia. Malangnya, tidak ada yang mampu atau dapat memberikan sebarang kefahaman mutlak. Seorang pakar geologi dunia memberi komentar bahawa adalah mustahil untuk mereka membuat kajian dan kesimpulan yang hampir tepat. Ini kerana, ia memerlukan rekod pola gempa bumi yang beratus tahun dan lengkap – tentunya tidak dipunyai oleh mana-mana manusia sekalipun. Buat seketika jika kita merenung dan bermuhasabah diri, alangkah ceteknya ilmu kita berbanding Allah SWT! Benar sekali firman Allah di dalam al-Quran Karim yang antara lain bermaksud seandainya manusia dan jin bergabung dan cuba menembusi tujuh petala langit, tidak akan dapat menembusi walau satu lapis pun! Ternyatalah keagungan Ilahi itu tiada taranya berbanding dengan ilmu manusia yang terbatas. Pengetahuan kita sendiri selama ini yang mana Malaysia sepatutnya selamat dari kesan gegaran gempa bumi, malahan kelihatan tidak boleh terpakai lagi. Sebagai orang Melayu yang dipasak oleh agama Allah, hendaknya kita jangan leka dan selalu-selalu berfikir dan mengambil peringatan daripada kejadian-kejadian alam ini. Daripada segi saintifik, tentulah kita cuba mencari aspek rasional dan pemahamannya tentang apa yang menyebabkan peristiwaperistiwa sebegini berlaku. Misalannya seperti penjelasan pergerakan plat tektonik dan lain-lain keterangan. Namun dari aspek rohaniah, mungkinkah kita harus terfikir yang ia sebahagian daripada peringatan Allah juga buat kita yang kemungkinan terlalu leka dengan nikmat duniawi? Sesungguhnya terdapat 1,001 hikmah di sebalik kejadian dan takdir-Nya jika kita benar-benar mahu berfikir. Peringatan Allah itu boleh juga berlaku jika kita sendiri melakukan kerosakan pada alam. Tentu ada yang masih ingat beberapa kejadian tanah runtuh di ibu negara seperti Bukit Antarabangsa tidak lama dahulu? Dan ia berlaku gara-gara ketamakan, kerakusan dan sikap ambil mudah manusia terhadap alam. Demikian pula apabila kita leka tanpa “berjiwa Islam” dan mendambakan sifat-sifat mazmumah seperti rasuah, tidak mengamalkan ibadah dan mentauhidkan-Nya serta pengamalan zina dalam masyarakat. Tanpa perlu ada undangan, akan sampailah “pengajaran halus” dari Yang Maha Esa! Justeru, ambillah peluang ini untuk memperbaiki diri dan menjadi hambanya yang lebih baik dan bertakwa. Dalam masa sama, kita jangan lupa tanggungjawab membantu sesama saudara seagama dan sebangsa kita di Padang. Di sebalik segelintir orang kita yang sedikit ‘terluka’ dengan isu tarian Pendet yang dimainkan oleh media Indonesia, jangan kita abaikan nasib sebahagian saudara di Indonesia yang tidak bersetuju dengan tindakan kurang ajar sejumlah kecil rakan-rakan mereka yang mudah dipermainkan sentimen akhbar yang mungkin ada kepentingan dan muslihat tertentu. Janganlah hendaknya kita dipermainkan rentak “musuh dalam selimut” yang tidak pernah mahu melihat umat Islam bersatu padu dan kembali kepada ajaran-Nya yang mutlak dan hakiki. Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua. Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010. Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia. Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia. Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis. Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia. Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan. Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia. Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

Kurikulum perlu sesuai keperluan setempat

SATU perkara yang kita selalu abaikan apabila bercakap tentang kurikulum di Malaysia adalah mengenai kesesuaiannya untuk semua lapisan masyarakat. Maksud saya, keseragaman kurikulum di Malaysia adalah atas andaian bahawa semua masyarakat di Malaysia adalah homogenous. Positifnya keseragaman ini adalah ia dapat melicinkan usaha penilaian dan pengukuran di pelbagai tahap. Maka, peperiksaan berpusat termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi wadah pengukuran pencapaian semua lapisan masyarakat. Sebenarnya, kita sedar akan kewujudan perbezaan dalam lapisan masyarakat. Umpamanya masyarakat bandar memiliki sokongan pembelajaran yang tinggi termasuk kemudahan pusat tuisyen serta teknologi maklumat. Ia berbeza dibandingkan dengan masyarakat luar bandar yang terkebelakang dari sudut itu. Saya yakin bahawa penggubal kurikulum menyedari perbezaan seperti ini, namun keseragaman kurikulum difikirkan perlu demi mencapai matlamat satu negara bangsa. Namun, di celah-celah perbahasan ini, ada sekelompok masyarakat yang sejak merdeka diperhatikan kurang mampu bersaing di peringkat kebangsaan iaitu kelompok pribumi. Kumpulan ini majoritinya tinggal di pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan beberapa bahagian di negeri lain. Pengalaman sebagai guru mengajar murid berketurunan Jakun telah mendorong saya untuk mengutarakan idea ini kerana saya dapati mereka ini sebenarnya mempunyai prioriti yang berbeza. Keperluan utama bagi kumpulan pribumi seperti ini adalah makanan. Seperti kata ahli psikologi Maslow bahawa setiap masyarakat bermula daripada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal seterusnya kepada tahap kepuasan diri. Maka ilmu yang amat tinggi nilai kepada mereka adalah ilmu yang mampu mengubah nasib hidup mereka. Ini kerana tujuan pendidikan dalam erti kata mudah adalah untuk membangunkan masyarakat bertamadun. Ketamadunan itu bermula daripada pembelajaran ilmu untuk diamalkan. Maka dalam konteks masyarakat pribumi, ilmu yang dipelajari hendaklah berupaya membangunkan mereka. Sejarah pendidikan di Tanah Melayu era Inggeris mengajar kita bahawa kurikulum sekolah digubal dengan mengambil kira keperluan setempat. Umpamanya, ilmu pendidikan yang diajar di Maktab Perguruan Sultan Idris pada zaman itu berkisar kepada kemahiran memasak, anyaman dan ilmu pertanian. Biarpun ada sarjana Melayu yang melihatnya sebagai satu cara untuk menghalang kemajuan orang Melayu tetapi positifnya ia berupaya menjadikan pendidikan itu lebih hampir dengan masyarakat pada waktu itu. Melihat kepada keadaan hari ini, para pelajar yang gagal dalam SPM dan berhasrat untuk meneruskan kehidupan di desa, mereka terpaksa mencari ilmu dan kemahiran lain demi survival. Hanya sedikit ilmu yang dipelajari itu dapat digunakan untuk kehidupan desa seperti ilmu matematik dan bahasa. Ilmu lain yang dipelajari seolah-olah sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan harian. Idea kurikulum yang sejajar dengan keperluan setempat bukan suatu yang asing. Ia mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi yang digerakkan oleh pasaran (market-driven). Di Jerman dan Perancis umpamanya, kursus kejuruteraan lebih menjurus kepada kemahiran serta praktikal berbanding teori. Lantaran itulah, kursus kejuruteraan yang dijalankan di negara terbabit lebih bercorak melahirkan juruteknologi berbanding jurutera. Respons kepada perubahan inilah yang melahirkan banyak kursus ijazah teknologi mula ditawarkan oleh banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia. Hujah-hujah ini adalah justifikasi kepada wajarnya aspek keperluan setempat diambil kira dalam menggubal kurikulum. Maka, saranan Timbalan Menteri Pelajaran agar penggubalan kurikulum khusus Orang Asli dan pribumi hendaklah turut mengambil kira aspek ini. Saya yakin jika ia diambil kira, sekolah akan menjadi satu institusi ilmu yang hampir dengan masyarakat sekali gus memartabatkan guru sebagai profesional bukan sekadar di sekolah malah melewati sempadan itu.

Budaya konsumer punca kemelesetan ekonomi

Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929. Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu. Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu. Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar. Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud. Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam. Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya. Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya. Zaman itu telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat? Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini. Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul? Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis. Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset. Jangan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini. Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil. Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong. Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis. Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis. Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan. Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai. Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa? Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang? Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta. Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun

hadapan. Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit. Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini? Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia. Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh. Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang. Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis. Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan. Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer. Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia. Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer. Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis. Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka. Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak. Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi. Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang. Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah. Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang. Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India. Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas. Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional? Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri? Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

Related Documents