Ijtihad

  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Ijtihad as PDF for free.

More details

  • Words: 2,315
  • Pages: 6
Akademi Fiqh Malaysia - Komuniti Fiqh Malaysia

KEPERLUAN KEPADA IJTIHAD DALAM MENENTUKAN HUKUM ISLAM SEMASA Pemikiran Fiqh Posted by: Mahmood Zuhdi Posted on : 2008/11/8 21:50:00

Oleh: Profesor Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid Pendahuluan Keperluan kepada ijtihad kontemporari adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan pada hari ini. Bukan sahaja bagi menjawab persoalan-persoalan baru yang sentiasa timbul tetapi juga untuk menilai kembali ijtihad para fuqaha terdahulu memandangkan suasana dan persekitaran hidup sudah berubah. Terutama sekali di bawah tekanan arus kemajuan pemodenan, ijtihad menghadapi cabaran besar yang mungkin menentukan samada hukum Islam masih relevan atau sebaliknya dalam dunia yang dikatakan serba maju pada hari ini. Bagi mereka yang percaya bahawa hukum Islam itu sesuai untuk semua zaman, tempat dan keadaan cabaran ini perlu dilihat dengan serius. Kerana ia memerlukan banyak tenaga, samada spiritual, intelektual mahupun material.

Ijtihad: Konsep dan Latar Belakang Secara mudah ijtihad boleh disifatkan sebagai penyelidikan ilmiah yang serius dan berwibawa. Secara praktikalnya ia bermula sejak zaman Rasulullah lagi, samada dilakukan oleh baginda sendiri sewaktu wahyu lewat turun bagi menyelesaikan kes-kes yang memerlukan penyelesaian segera atau dilakukan oleh para sahabat baginda bagi menghadapi masalah yang berlaku sewaktu mereka berada jauh daripada baginda Rasulullah s.a.w. Mengikut para fuqaha, bagaimanapun secara teorinya ijtihad-ijtihad seperti itu tidak dianggap sebagai sumber hukum Islam. Kerana ia tidak boleh merupakan kata putus yang sebenar dalam kes-kes berkenaan. Dalam setiap ijtihad yang berlaku jawapan yang sebenar akan datang melalui wahyu samada dalam bentuk matlu, iaitu ayat-ayat al-Quran atau dalam bentuk tidak matlu, iaitu hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Wahyu-wahyu inilah yang samada memperakukan hasil ijtihad berkenaan bagi menjadikannya sah atau sebaliknya menolak hasil ijtihad itu. Mengikut para fuqaha lagi, sekurang-kurangnya ada dua tujuan atau objektif kepada ijtihad yang dilakukan pada zaman Rasulullah itu. Pertamanya untuk melatih para sahabat berijtihad agar apabila Rasulullah s.a.w. wafat nanti mereka tidak lagi merasa susah untuk melakukannya. Keduanya ialah untuk memberi jawapan yang segera kepada masyarakat dalam menghadapi kes-kes berkenaan. Kerana tanpa jawapan yang segera seperti itu orang ramai akan membina persepsi sendiri. Mereka mungkin merasa sukar untuk mengubah persepsi itu kalau nantinya diperlukan.

http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 1

Hanya apabila Rasulullah s.a.w. wafat barulah ijtihad ini secara teori dan praktikalnya diterima sebagai sumber hukum. Bagaimanapun para sahabat baginda berbeza pendapat dan mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza antara satu sama lain dalam mentafsirkan apa itu ijtihad dan bagaimana sepatutnya digunakan dalam menentukan hukum. Perbezaan pendapat ini kemudiannya menghasilkan berbagai aliran di kalangan mereka dalam melihat persoalan berkenaan. Ada aliran yang lebih konservatif dan ada yang lebih liberal. Ada yang bersifat lebih formal dan ada pula yang bersifat lebih objektif. Perbezaan kecenderungan yang boleh dikatakan sebagai hasil kepada perbezaan dalaman antara para sahabat itu sendiri, misalnya nilai-nilai kecerdikan, intelektual, pengalaman dan sebagainya, kemudiannya telah menjadi lebih besar dan ketara apabila negara Islam yang bermula di Madinah itu menjadi lebih besar sehingga bukan sahaja merangkumi Semenanjung Tanah Arab tetapi juga daerah-daerah lain yang berada di luar sempadan itu. Dalam perkembangan yang baru ini perbezaan kecenderungan atau aliran ini bukan sahaja disebabkan oleh unsur-unsur dalaman tetapi juga unsur-unsur luaran, terutama sekali persekitaran hidup dan budaya setempat masing-masing. Sementara para fuqaha yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab, atau lebih dikenali dengan nama Hijaz berpendirian lebih konservatif sesuai dengan persekitaran mereka sendiri yang lebih bersifat tenang dan bersahaja di bawah pengaruh pertanian atau seumpamanya, para fuqaha yang tinggal di Iraq, seperti di Baghdad dan di Basrah mempunyai pendirian yang lebih liberal dan prograsif. Persekitaran hidup mereka yang lebih kosmopolitan menjadikan mereka bersikap seperti itu. Malah, keperibadian mereka sendiri sebagai bangsa yang mewarisi berbagai hasil tamadun sebelum itu menjadikan mereka lebih rasional dan objektif. Apa pun juga, kedua-dua aliran ini mendapat penghormatan yang tinggi daripada masyarakat pada waktu itu. Impak masing-masing mereka begitu besar dan mendalam sekali terhadap jalan pemikiran atau paradigma masyarakat. Hasilnya telah lahir dua aliran pemikiran yang mempunyai identiti sendiri, yang kemudiannya dikenali sebagai aliran Hijaz dan aliran Iraq. Yang pertama dikenali juga sebagai aliran hadis (Madrasah al-Hadith), sementara yang kedua pula dikenali juga sebagai aliran fikiran (Madrasah al-Ra’y). Selain daripada sebab dan latar belakang yang disebut di atas, aliran pertama mendapat pengaruh persekitaran di mana di Hijaz, terutama di Madinah terdapat banyak hadis-hadis yang diriwayatkan. Dengan adanya bekalan hadis yang banyak itu mudah bagi mereka menentukan hukum, iaitu dengan berpandukan secara terus kepada hadis-hadis berkenaan dan tidak perlu menggunakan akal atau logik. Berbeza sekali dengan mereka yang berada di Iraq. Negeri yang terletak jauh daripada tempat turun wahyu (mahbat al-Wahy) itu tidak mempunyai sebanyak hadis-hadis yang ada di Hijaz. Kalau adapun biasanya kesahihannya dipertikaikan, memandangkan ia diriwayatkan berbagai lapisan periwayat yang kadang-kadangnya tidak semua mereka boleh dipercayai sepenuhnya (thiqah). Sebagai alternatif mereka lebih selesa menggunakan fikiran dan rasional mereka sendiri sesudah membentuknya mengikut acuan Syariah Islam. Jurang yang luas antara dua aliran ini kemudiannya telah dipersempitkan oleh al-Imam al-Syafi`i. Sebagai seorang reformis yang sangat mahir dengan kedua-dua aliran ini al-Syafi`i telah berjaya menghidupkan metod analisis dalam menggunakan hadis di kalangan para fuqaha aliran Hijaz dan berjaya mempopularkan penggunaan hadis sebagai asas penganalisaan hukum di kalangan para fuqaha Iraq. Sebelum itu para fuqaha aliran Hijaz, iaitu yang dikenali sebagai aliran hadis itu boleh http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 2

disifatkan sebagai menggunakan hadis tanpa analisis dalam menentukan hukum, sementara para fuqaha Iraq, iaitu yang dikenali sebagai aliran pemikiran boleh disifatkan sebagai mengabaikan hadis dalam ijtihad mereka kerana terlalu berhati-hati takut melibatkan hadis-hadis yang tidak sah (soheh). Sebagai pengiktirafan terhadap usaha besar inilah kemudiannya al-Syafi`i diberi gelaran Nasir al-Sunnah, iaitu pembela al-Sunnah. Malah al-Syafi' sendiri mempunyai dua aliran yang berbeza. Kedua-dua aliran ini dikenali sebagai qaul qadim iaitu 'versi lama' dan qaul jadid, iaitu versi baru. Mengikut para fuqaha, antara sebab yang melahirkan dua versi yang berbeza ini ialah adanya dua realiti hidup yang berbeza. Pertamanya dihayati oleh rumpun bangsa Parsi yang hidup di Iraq dan keduanya rumpun bangsa Romawi yang hidup di Mesir. Sewaktu berada di Iraq beliau menulis versi pertama ijtihadnya dalam kitan al-Hujjah. Kemudian apabila berada di Mesir beliau telah mengulangkaji versi pertama itu yang berakhir dengan penulisan versi kedua ijtihad beliau dalam kitab al-Um. Begitu juga dengan mazhab Hanafi. Sekurang-kurangnya ada tiga versi yang membentuk atau mewakilinya. Pertamanya ialah versi Abu Hanifah sendiri sebagai pengasas. Kemudian yang kedua dan ketiganya ialah versi-versi Abu Yusuf dan Muhammad Ibn al-Hasan yang dikenali sebagai al-Sahiban, iaitu dua murid. Ijtihad Kontemporari Dalam melakukan ijtihad kontemporari ada dua faktor besar yang perlu diambil kira. Pertama, prinsip Syariah yang universal, yang merupakan idealisme yang mempunyai nilai kebenaran yang mutlak dan tidak akan mengalami apa-apa perubahan untuk selama-lamanya. Prinsip ini biasanya bersifat anjal dan flaksibal sehingga dapat melayani perubahan masyarakat dari masa ke masa. Kedua ialah realiti masyarakat yang akan menjadi wadah kepada pelaksanaan hukum itu sendiri. Realiti ini sentiasa terdedah kepada berbagai perubahan dari tempat ke tempat dan dari masa ke masa. Di samping itu, kefahaman para mujtahid sendiri tidak bersifat mutlak kebenarannya. Sama seperti masyarakat, ia sentiasa terdedah kepada berbaga-bagai perubahan bergantung kepada perubahan pengalaman dan nilai intelektual para mujtahid sendiri. Malah ia berbeza-beza di antara satu mujtahid dengan mujtahid yang lain mengikut perbezaan keilmuan dan nilai intelektual masing-masing. Kerana sudah menjadi sesuatu yang tabi`i setiap orang berfikir dan memahami sesuatu berasaskan kepada pengalaman masing-masing, samada yang diperolehi sendiri atau yang diperolehi melalui orang lain. Ini bererti, dalam penilaian semula hasil ijtihad lama bagi tujuan melakukan ijtihad kontemporari ada tiga unsur yang perlu diberi perhatian. Pertamanya unsur tetap yang universal, iaitulah idealisme Islam yang terkandung dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang memainkan peranan sebagai paksi kepada menganalisaan hukum berkenaan. Keduanya ialah realiti masyarakat yang memainkan peranan sebagai pemboleh ubah (al-mutaghaiyirat). Sementara ketiganya pula ialah kefahaman para fuqaha terdahulu di dalam mentafsirkan hukum berkenaan. Unsur ini hanyalah merupakan sumber sejarah sahaja kepada proses penilaian semula berkenaan dan memainkan peranan sebagai sumber sejarah sahaja. Kesimpulan mudah yang boleh dirumuskan daripada huraian di atas ialah sifat kontemporari dalam ijtihad hukum Isalm dapat dilihat pada ketiga-tiga faktor dalam ijtihad itu sendiri yang secara serentak saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Ketiga-tiga unsur tersebut ialah idealisme Islam yang http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 3

mutlak dan universal, realiti masyarakat yang sentiasa berubah dan berbeza-beza, dan seterusnya kefahaman dan pemikiran para fuqaha yang juga sentiasa berubah dan berbeza-beza. Dengan kata lain, ia dapat dilihat pada prinsip yang tetap dan pendekatan yang berubah-ubah mengikut perubahan dan kelainan yang ada. Cabaran Cabaran yang dihadapi dalam melakukan ijtihad kontemporari bukan bersifat substantif. Kerana sepertimana yang telah disebut di atas, hukum Islam samada yang berasaskan kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara jelas atau yang bersifat hukum-hukum ijtihad secara prinsipnya bersifat kontemporari. Sebab utamanya ialah kerana Islam itu sendiri bersifat kontemporari dan tidak terikat dengan apa-apa nilam zaman kecuali sekadar bagi tujuan pelaksanaan dalam nilai zaman itu sendiri. Dengan kata lain, hukum Islam itu sendiri begitu flaksibal sehingga memungkinkan ijtihad menentukannya dapat dilakukan dengan cukup selesa dalam zaman mana sekalipun, termasuk di bawah pengaruh kemajuan sekarang. Flaksibaliti hukum Islam ini sekurang-kurangnya dapat dilihat pada asas hukum Islam itu sendiri. Ia berasaskan kepada tabiat syariat Islam yang menerima perkembangan dalaman sesuai dengan perkembangan masyarakat manusia melalui: 1.Proses pemansukhan (yang berlaku pada peringkat awal perkembangan). 2.Kelenturan 'nas' dan prinsip yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. 3.Penghormatan Islam terhadap peranan akal dalam menentukan hukum. 4.Penghormatan Islam terhadap kebiasaan dan budaya hidup semasa masyarakat. Apa yang sebenar dihadapi ialah kemampuan para ulama melakukan ijtihad yang diperlukan itu. Malah paradigma masyarakat dalam persoalan keulamaan itu sendiri. Mengenai kemampuan para ulama, cabaran lebih besar dapat dilihat pada kekerdilan kemampuan untuk memahami persekitaran baru yang merupakan wadah sebenar ijtihad yang perlu dilakukan. Kejatuhan pemikiran Islam yang telah berlaku sejak berabad-abad lamanya itu masih lagi ada kesannya yang mendalam dalam bidang keilmuan Islam, termasuk soal perhukuman dan ijtihad. Sepertimana yang ditimbulkan oleh al-Qaradawi masih terdapat banyak mereka yang berkecimpung dalam pengajian hukum Islam, kerana begitu terpesona dengan keagongan fiqh klasik, masih berpendapat bahawa ijtihad tidak perlu diadakan sekarang. Bagi mereka ini apa sahaja persoalan yang dihadapi sekarang jawapnya ada tersedia dalam kitab-kitab fiqh klasik yang merupakan warisan agong keilmuan Islam yang tidak ada tolak bandingnya itu. Ini bererti sejauh yang perlu dilakukan hanyalah merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang ada bagi memperolehi hukum berkenaan, samada yang berasaskan kepada nas atau qiyas atau takhrij. Hasil daripada sikap atau pendekatan ini kita dapati jawapan-jawapan hukum yang diberikan oleh para ulama kita tidak mampu menjawab persoalan sebenar masyarakat. Sebaliknya apa yang dilakukan ialah menegaskan kembali apa yang telah ditegaskan oleh para ulama terdahulu tanpa mengambil kira kelainan realiti hidup yang menjadi latar belakang kepada jawapan hukum berkenaan antara dua zaman yang berbeza itu. Hasilnya hukum Islam telah dilihat oleh sesetengah pihak benar bagaimana dikatakan sebagai hukum zaman unta yang tidak lagi sesuai dengan zaman ini. Malah terdapat percubaan untuk melakukan penganalisaan semula secara pragmatik terhadap http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 4

pandangan para fuqaha klasik bagi menjawab persoalan hukum semasa ini. Bagaimanapun penyelesaian secara kosmetik ini mungkin lebih berbahaya daripada penyelesaian atau sikap konservatif seperti di atas. Kerana walaupun secara lahirnya boleh dilihat sebagai jawapan lebih tepat tetapi hakikatnya tidak lain sekadar penyelesaian segera yang tidak berasaskan kepada teori ilmiah yang stabil. Pengeksplotasian pandangan ulama dalam kitab-kitab fiqh klasik ini akhirnya tidak akan mampu menanggung beban perkembangan masyarakat seterusnya dan akan runtuh apabila beban itu menjadi lebih berat. Sesetengah orang akan menjadikan keruntuhan itu sebagai asas keyakinan bahawa ijtihad hukum Islam sudah benar-benar terkebelakang, bukan sahaja pada pendekatannya, tetapi juga pada teorinya untuk menjawab persoalan semasa. Oleh kerana itu ia perlu diabaikan. Sedangkan, sepertimana ditegaskan oleh al-Qaradawi dan para fuqaha sezaman yang sealiran dengan beliau ijtihad yang perlu dilakukan pada hari ini sepatutnya lebih asas atau fundamental daripada itu. Ia perlu berasaskan perkembalian kepada al-Quran dan al-Sunnah dan penilaian semula secara sepenuhnya realiti baru yang ada. Sementara huraian para fuqaha terdahulu bolehlah dijadikan sebagai sumber sejarah dalam ijtihad atau kajian berkenaan. Mengikut al-Qaradawi ada dua contoh bidang yang memerlukan asas seperti ini iaitulah bidang ekonomi dan kewangan dan bidang sains dan teknologi. Sepertimana yang disebut di atas, antara cabaran besar dalam memenuhi keperluan ijtihad seperti ini ialah memahami secara mendalam realiti sebenar yang ada bagi dijadikan asas yang kukuh kepada penentuan hukum berkenaan. Bagi mengatasi kelemahan ini banyak para fuqaha zaman sekarang mencadangkan supaya ijtihad dilakukan secara jama`i yang menghimpunkan berbagai kepakaran semasa. Sepertimana dimaklumi ledakan ilmu pengetahuan di dunia zaman moden ini tidak lagi memungkinkan penguasaan ilmu yang sangat luas pada seseorang seperti di zaman keagongan pemikiran Islam yang lampau. Kerana akibat daripada keilmuan yang meledak itu para ilmuan terpaksa memberikan pengkhususan yang mendalam yang menyebabkan skop keilmuan mereka secara individu menjadi sempit. Satu persoalan lain ialah persepsi masyarakat terhadap keulamaan itu sendiri. Takrif ulama yang diberikan oleh masyarakat sekarang tidak mengarah kepada kemampuan berijtihad tetapi sebaliknya ke arah nilai-nilai keagongan, seperti penghayatan terhadap tradisi keulamaan itu sendiri atau sebagainya. Sedangkan ijtihad mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan taraf atau tahap kesarjanaan seseorang dalam keilmuan berkenaan. Kerana itulah, di awal penulisan ini ditegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ijtihad itu ialah penyelidikan ilmiah dibidang hukum Islam Penutup Sebagai penutup wajar dipertegaskan sekali lagi bahawa keperluan kepada ijtihad kontemporari merupakan suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi, terutama sekali dalam menghadapi arus globalisasi sekarang ini. Bagaimanapun cabaran intelektual dan sikap masyarakat perlu dilihat sebagai hambatan-hambatan yang boleh menggagalkan usaha seperti itu. Bagi mengatasi cabaran ini paradigma masyarakat tentang institusi keulamaan dan fatwa perlu diwujudkan dan para ahli akademik perlu menerima hakikat bahawa tanggungjawab berkenaan terpikul atas bahu mereka. Untuk itu tradisi penyelidikan perlu diperkukuhkan di kalangan mereka dan corak pengajian tinggi perlu diubahsuai menjadi pengajian yang berasaskan penyelidikan. Di samping itu bentuk-bentuk pembaharuan hukum secara kosmatik perlu dielakkan kerana ia boleh http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 5

memberi imej buruk kepada kekuatan ijtihad bagi tempoh jangka panjang. Oleh itu semua pihak yang memerlukan kepada pandangan tentang hukum harus bijak mencari jawapan seperti itu daripada sumber yang wajar. Bagi tujuan tersebut universiti perlu dipertanggungjawab memikul beban seperti ini dan bukan diserahkan kepada institusi-institusi lain yang secara rasminya lebih bersifat institusi pentadbiran fatwa sahaja. Wallahu a`alam. MZAM/zba

http://www.fiqhmalaysia.com/v1

2009/2/5 13:35:11 - 6

Related Documents

Ijtihad
July 2020 15
Ijtihad
April 2020 20
Ijtihad
November 2019 20
Taqleed & Ijtihad
December 2019 21
Ijtihad Book
May 2020 11
Ijtihad Aku
April 2020 14