HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK KETIKA BERTASYAHHUD DALAM SOLAT HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK KETIKA BERTASYAHHUD DALAM SOLAT 1.0 PENDAHULUAN Kebanyakkan dari kita keliru dengan perbuatan menggerakkan jari telunjuk di dalam solat. Ternyata terdapat pelbagai gerakan dan gaya yang ditampilkan. Lantaran itu, isu ini hangat diperkatakan. Baik dikalangan bangsa arab mahupun dikalangan kita. Ternyata kita masih samar-samar dalam mencari jawapannya. Apakah kedudukan hukum yang sebenarnya. Apakah pandangan mazhab kita dan mazhab-mazhab empat dalam masalah ini. Bersama kita lapangkan hati dan minda kita untuk menerokai hakikatnya. 2.0 LATARBELAKANG PERMASALAHAN Sebenarnya isu ini bertaraf permasalahan ranting feqhiyyah. Iaitu antara afdhal dan tidak afdhal sahaja. Maksudnya setiap individu diberi pilihan samada untuk menggerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud atau tidak. Jika dilakukan seseorang itu akan mendapat tambahan pahala. Dan jika tidak dilakukan tidak mengapa. Inilah nilai estetika syariat yang bersifat fleksibel dalam kelasnya tersendiri. Tambahan pula, terdapat pelbagai isu yang lebih besar perlu diutamakan. Jika kita hanya berkisar pada daerah isu yang kecil maka hasilnya tak sampai ke mana. Dan kita seperti bergerak dalam kehilangan arah tuju. 3.0 PUNCA PERMASALAHAN Ketahuilah bahawa isu ini merupakan isu yang baru berlaku. Ia mula dikesan di zaman kita apabila Syeikh Nasiruddin Al-Albaani di dalam kitabnya SifatusSolah An-Nabi[1] mendakwa disunatkan menggerakkan jari terlunjuk ketika bertasyahhud secara berterusan sehingga salam dan selesainya solat. Beliau mendakwa perbuatan sebeginilah yang sunnah dan sunat sebenarnya. Manakala perbuatan selainnya dikatakan tidak sunnah. Malangnya, ada sesetengah pihak begitu keras menuduh sebahagian dari kita yang tidak melakukan amalan di atas (sebagaimana mereka) sebagai pembuat bid’ah yang sesat. Dan layak dihumban ke dalam neraka kerana dikatakan tidak mengikuti jalan yang diajar oleh Rasulullah. Masya Allah. Ekoran itu perlakulah tuduh-menuduh. Dan kita salah bertelingkah dengan isu kecil seperti ini. Dimanakah sikap berlapang dada dan tawaddhuk kita? Justeru itu, inilah masanya yang sesuai untuk kita menelusuri dakwaan beliau. Sekaligus menjawab menjawab kemusykilan ini. Kita tidak perlu memerah otak atau bekerja keras untuk menyelesaikannya. Hanya kepada Allah SWT kita memohon taufik dan pertolongan. 4.0 KEDUDUKAN HUKUM Ketahuilah bahawa Imam Al-Hafiz Mahyiddin An-Nawawi rhm telah ditanya di dalam kitabnya Al-Fatawa tentang isu mengerakkan jari (telunjuk) di dalam solat. Pertanyaan itu
berbunyi : “Adakah menggerakkan jari telunjuk pada tangan kanan itu disunatkan.? Bilakah waktu yang sesuai untuk menggerakan jari tersebut? Adakah menggerakkanya secara berterusan itu membatalkan solat?”- hingga tamat soalan. Maka Imam al-Nawawi rhm menjawab : “Disunatkan mengangkat jari telunjuk dari tangan kanan ketika melafazkan huruf ‘hamzah’ pada kalimah ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ) sekali sahaja[2] tanpa menggerak-gerakkanya[3] Sekiranya seseorang itu mengulangi pergerakannya berkali-kali, maka hukumnya adalah makruh. Hal ini tidak membatalkan solat. Demikian menurut pendapat yang sahih. Dikatakan juga, iaitu menurut pendapat yang lemah batal solatnya”… Tamat Fatwa Al-Nawawi m/s 54 Dalam menyelesaikan masalah ini, kami akan mendedahkan bukti-bukti mereka yang mengatakan bahawa sunat menggerakkan jari telunjuk secara berterusan. Kemudian kita akan membincangkan dalil-dalil tersebut satu persatu. Kami juga akan menjelaskan bahawa dalil-dalil yang dipergunakan oleh mereka di atas itu tidak sesuai. Hal ini diperolehi berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang terang lagi bersuluh. Insya Allah… Disamping itu, kita juga akan menjelaskan dalil yang mengatakan bahawa tidak disunatkan mengerakkan jari telunjuk secara berterusan menerusi pandangan para ulamak yang muhaqqiq. Pendapat para ulamak Mazhab : 1) Di dalam kitab Auni Al-Ma’bud m/s 455 juz 3 dinyatakan bahawa Syeikh Salamullah berkata di dalam Syarah Muwattha dengan katanya “Pada hadis Wail bin Hujr menurut Abu Daud[4] yang berbunyi “Kemudian Baginda mengangkat jari telunjuknya, lalu saya dapati Baginda menggerakkan jari telunjuknya sambil berdoa”. Hadis ini menjelaskan adanya perbuatan menggerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud. Inilah pendapat yang diambil oleh Imam Malik dan kebanyakkan ulamak. Perkara inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “menggerakkan jari”. Dan maksud yang diputuskan di sini tidak ada percanggahan dengan riwayat yang telah dibawa oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin al-Zubair yang bermaksud “Adalah Rasulullah SAW menyisyaratkan jari telunjuknya sambil berdoa tanpa menggerakkannya.”[5] -tamat “Auni Al-Ma’bud” 2) Berkata penulis kitab Ar-Raudh Al-Marba’ Al-Hanbali m/s 59 juz 1 : “Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkan jari Baginda ketika bertasyahhud dan doanya di dalam solat dan selainnya. Perbuatan ini dilakukan oleh Baginda ketika mana Baginda menyebut lafaz Allah SWT. Ianya sebagai suatu peringatan keatas tauhid”. –tamat dari ‘Ar-Raudh Al-Marba’ – kitab ini merupakan kitab mukhtasar yang muktamad (dipegangi) dikalangan ulamak Al-Hanabilah. 3) Berkata pula Syeikh Al-Mazhab Al-Hanabilah iaitu Ibn Qudamah Al-Hanbali di dalam kitanya “Al-Mugni” m/s 534 juz 1 : “Dan baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dengan mengangkatnya ketika Baginda menyebut lafaz Allah Taala ketika bertasyahhud. Perkara ini ditentukan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin alZubair yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya dan Baginda tidak menggerakkannya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud. –Tamat.
5.0 MAKSUD ‘MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK’ Ketahuilah (semoga kalian dirahmati Allah) bahawa perkara yang dimaksudkan oleh Sayyidina Wail bin Hujr pada lafaz ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ) itu ialah menggerakkan jari telunjuk sekali sahaja. Ianya merupakan satu isyarat kepada tauhid. Hal ini amat bertepatan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak menggerakkan jari telunjuknya daripada awal tahiyyat. Akan tetapi baginda menggerakkannya ketika membaca ( áÇ Åáå ÅáÇ Çááå ). Adapun hadis Sayyidina Abdullah bin al-Zubair itu adalah menafi perbuatan menggerakkan jari secara berulang-ulang. Maknanya ialah perbuatan menggerakkan jari itu hanya cukup untuk sekali sahaja. Jadi, kita dapati disini ialah tidak ada pertentangan antara dua hadis. Inilah penjelasan secara ringkas daripada para ulamak didalam menjelaskan masalah ini. Disini kami bawakan penjelasan beberapa orang ulamak yang kami naqalkan daripada kitab-kitab mereka:Imam An-Nawawi rhm di dalam “Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab” m/s 455 juz 3, mengatakan “Ulamak mengatakan…hikmat meletakkan dua telapak tangan di atas dua paha ketika bertasyahhud ialah untuk mencegah daripada melakukan perkara yang siasia…” Pada sudut yang sama, beliau menuqilkan pendapat Imam Al-Baihaqi sebagai berkata : “Sesungguhnya perkara yang dimaksudkan pada hadis riwayat Sayyidina Wail b. Hujr itu dengan lafaz ( íÍÑßåÇ ) iaitu “Dia menggerakkannya” ialah mengangkat jari telunjuk sekali sahaja. Iaitu tanpa menggerakkannya secara berterusan. Maksud ini bertepatan dengan apa yang telah diriwayatkan oleh Abdullah b. al-Zubair dengan Lafaz ( áÇ íÍÑßåÇ ) iaitu “Dia (Nabi) tidak menggerakkannya”. Demikian perkataan Imam AlBaihaqi yang dinuqilkan oleh Imam An-Nawawi ke dalam kitabnya “Al-Majmu’” daripada Sunan Al-Kubra – Al-Baihaqi m/s 132 juz 2. Kami bawakannya disini secara ringkas. Dan sesungguhnya kami telah membawakan fatwa Imam Al-Nawawi yang mengatakan bahawa dimakruhkan menggerakkan jari secara berterusan di dalam solat. Turut menguatkan pendapat kami ini ialah apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya dengan sanad yang sahih daripada Numair Al-Khuzai’ie. Numair sebagai berkata : “Aku melihat Nabi SAW meletakkan telapak tangannya di atas paha kanan sambil membengkokkan sedikit jarinya.”[6] Adapun hadis “menggerakkan jari telunjuk itu terlebih berat keatas Syaitan daripada besi” tidak boleh dijadikan dalil untuk menggerakkan jari secara berterusan. Akan tetapi maksud sebenar hadis ini ialah orang-orang yang bertasyahhud itu apabila mereka mengangkat jari telunjuknya merupakan manifestasi isyarat tauhid, seolah-olah mereka memukul syaitan dengan besi. Hadis ini bukan bermaksud syaitan itu berada dibawah telunjuk ketika kita menggerakkannya. Andaian yang mengatakan bahawa syaitan berada dibawah telunjuk hanyalah satu kesamaran sahaja. Dan dengan kesamaran inilah orang yang
menggerakkannya itu beranggapan bahawa dia sedang memukul syaitan. Pendapat seperti ini tidak diperkatakan oleh orang-orang yang berakal. Sebagai satu peringatan disini, dinyatakan bahawa hadis “menggerakan telunjuk itu terlebih dahulu berat keatas syaitan daripada besi” adalah dhaif dari sudut sanabnya. Pada sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang dihukum tsiqah (dipercayai) oleh Ibn Hibban. Akan tetapi perawi itu juga dihukum dhaif oleh jumhur (kebanyakan ulamak) Imam Al-Hafiz Ibn Hajr Al-Asqolani didalam “At-Taqrib At-Tahzib” menyatakan : “Katsier b. Zaid ialah ialah seorang yang benar. Tapi selalu membuat silap di dalam meriwayatkan hadis. Dia bukanlah perawi daripada Bukhari dan Muslim (Sahihain)”. 6.0 MAKSUD ‘AL-TAHLIQ’ PENJELASAN TERHADAP MAKNA AT-TAHLIQ (MEMBUAT BULATAN MENGGUNAKAN JARI) Setengah dari kita menyangka bahawa At-Tahliq itu ialah menggerakkan jari telunjuk dengan membuat satu bulatan. Ini adalah sangkaan yang salah. Sebenarnya perkara yang dimaksudkan dengan At-Tahliq itu ialah seseorang yang mengerjakan solat (di dalam tasyahhud) itu menjadikan jari tengah (jari hantu) bertangkup dengan ibu jari diiringi dengan anak-anak jari yang lain. Tangkupan ini menjadikan satu bulatan. Perbuatan ini sebenarnya tidak membawa kepada makna menggerakan jari. Demikianlah mengikut penjelasan daripada kitab-kitab Al-Sunan. Sesungguhnya Imam Ahmad telah meriwayatkan perihal tahliq ini di dalam Al-Musnad m/s 316 juz 4. Ibn Khuzaimah pula meriwayatkan hadis ini di dalam Sahihnya bernombor 697. Kedua riwayat ini melalui Wail b. Hujr r.a yang berbunyi : “Saya melihat Nabi SAW membuat bulatan antara jari tengah dengan ibu jarinya dengan mengangkat jari telunjuknya sambil berdoa (menyeru) ketika bertasyahhud”. Hadis ini juga turut diriwayatkan oleh Imam An-Nasaie di dalam Sunannya m/s 35/36 juz 3, akan tetapi dengan lafaz yang berlainan. Riwayat itu berbunyi : “Rasulullah SAW menggenggam kedua jarinya lalu membuat bulatan. Saya melihat Baginda membuatnya sebegini (lalu dia mengisyaratkan dengan telunjuknya dan membuat bulatan melalui jari tengah dengan ibu jarinya)” – Maka berhati-hatilah. 7.0 PERANAN KITA 7.1 Kita perlu memahami sesuatu dari akar umbinya. Maksudnya status permasalahan, punca permasalahan dan menelusuri pendapat para ulamak secara berdisiplin. Di samping mengamati dalil-dalilnya. 7.2 Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam mencari kata putus terhadap sesuatu permasalahan. Kelak nanti, apa yang kita pegangi sebenarnya tidak dituntut. Manakala apa yang kita tinggalkan itu sebenarnya satu tuntutan. 7.3 Perasaan insaf, sedar diri dan tawaddhuk perlu ada pada kita walau apa jua status dan kedudukan kita.
7.4 Kita hendaklah menyampaikan sesuatu dengan penuh releven dan hikmah agar kebenaran mampu terserlah dengan nilainya. 8.0 KESIMPULAN 8.1 Menggerakkan jari merupakan salah satu permasalahan cawangan dari ranting feqhiyyah. Ia melibatkan soal afdhal dan tidak afdhal sahaja. Bukannya antara halal dan haram ataupun sah dan tidak. 8.2 Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan ahli bid’ah disebabkan dia tidak melakukan perkara sunnah. Ini kerana kemungkinan sunnah tersebut merupakan khususiyyah atau bermaksud sunnat sahaja. Sedangkan tuduhan sesat dan bid’ah sebenarnya amat berat kerana ia boleh mengeluarkan seseorang dari Islam. 8.3 Kita seharusnya berlapang dada terhadap sesuatu isu yang boleh membawa kesepakatan dan toleransi antara sesama kita. [1] Buku karangan Syeikh al-Baani ini telah diterjemahkan ke dalam edisi Bahasa Melayu oleh Us Abdullah Qari Hj Salleh dan Us Hussien Yee dan lain-lain berjudul “Ciri-ciri Solat Nabi SAW.” Sebenarnya intisari buku ini lebih merupakan simpulan pendapat Syeikh al-Baani yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Bahkan condong kepada pemikiran Salafiyah al-Wahabiyyah. Dan ketahuilah bahawa pendekatan feqhiyyah yang diutarakan mereka ini jauh berbeza dengan pegangan dan pengamalan rasmi kita di Malaysia . Ternyata, jika cuba diimplimentasi ia sedikit sebanyak mendatangkan kerancuan di kalangan masyarakat. Lantaran itu, Tuan Guru kami Syeikh Hasan al-Saqqaf cuba memperbetulkan beberapa dakwaan Syeikh al-Baani dengan membawa perbincangan feqhiyyah menjurus kepada mazhab al-Syafi’ie untuk disesuaikan dengan realiti pengamalan syar’ie di negara kita khususnya. [2]Dalil perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a yang bermaksud : “Adalah Nabi SAW apabila baginda mendirikan solat, Baginda meletakkan tangan kanannya diatas paha kanan dan menggenggam jari jemarinya. Lalu Baginda mengisyaratkan (mengangkat) jari telunjuknya (yang dekat dengan ibu jarinya). Baginda juga telah meletakkan tangan kirinya diatas paha kiri.” –Riwayat Al-Khamsah kecuali Al-Bukhari. [3] Perbuatan ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Zubair r.a yang bermaksud ; “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkannya”. Ini adalah hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan Al-Baihaqi. Insya Allah kita akan membuat kupasan secara panjang lebar tentang hadis ini dihadapan. [4] Sesunggunya Al-Baani telah tertipu dengan nisbah sesetengah yang baru terhadap Abu Daud. Maka, kita katakana bahawa nisbah beliau terhadap Abu Daud ini berdasarkan kepada taklid. Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang membuktikan bahawa Al-Baani bukanlah seorang muhaddis. bahkan dia hanya seorang penuqil daripada kitab-kitab hadis sahaja. Maka berhati-hatilah. [5] Bagi saya (penulis) : “Hadis ini juga bukan tercatat di dalam Sahih Muslim. Akan tetapi ia wujud di dalam Sunan Abu Daud. Maka berhati-hatilah.
[6] Hadis ini telah disahkan oleh para Huffaz (Ahli hadis). Malik b. Numair Al-Khuza’ie adalah seorang yang diterima pada sanadnya. Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibn Hajr di dalam “At Taqrib-At Tahzib”. Tidak ada hadis yang diriwayatkan daripada beliau melainkan seorang perawi sahaja. Dan para huffaz telah mengesahkan hadisnya. Dan kebanyakkan orang-orang yang dipercayai mempercayai riwayatnya kerana hadis ini bukan hanya diriwayatkan oleh beliau seorang sahaja. Mereka seperti Thabit b. Qais Az-Zarqi Al-Madini. Saya telah menjelaskan hal ini satu persatu didalam kitab saya “Imta’ Al-Ilhaz bitausiq Al-Huffaz”. Dan Imam Al-Hafiz Ibn Khuzaimah telah menghukum sahih hadis Malik b. An-Numair Al-Khuza’ie ini didalam “sahih”nya m/s 354 juz . Al Hafiz Ibn Hajr juga turut mengakuinya didalam kitabnya “Al-Isobah” ketika menterjemahkan perawi ini bernombor 8807. Disamping itu, Ibn Hibban juga telah meriwayatkan hadis ini didalam sahihnya m/s 202 juz 3. bernombor 1943. Beliau juaga dengan Abu Daud (tanpa reaksi) didalam sahihnya m/s 260 juz 1 bernombor 911. Saya rasa sudah mencukupi bagi kita untuk menghukum hadis ini dengan sahih. Sayang sekali, Al-Baani telah menghukumnya dhaif (lemah) didalam kitabnya “Taman Al-Minnah”, kemudian saya dapati beliau menghukum sahih pula hadis Malik b. An-Numair AlKhuza’ie ini didalam kitabnya “Sahih Sunan An Nasaie” m/s 272 juz 1. Dan ternyata ini adalah tanaqudh (berlawanan), Maka berhati-hatilah. AL-GHARI. www.al-ghari.blogspot.com
KITAB SAHIH SIFATUSSOLAH AN-NABIY Kitab ini diperbahaskan mengikut kerangka Mazhab al-Syafi’ie/ Ahli Hadis. Ia merupakan Satu Jawapan Total Terhadap Sifat Solat Nabi al-Albani.