Hi.docx

  • Uploaded by: Pang Shi Kuan
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Hi.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 879
  • Pages: 3
KEPENTINGAN AMALAN MENABUNG Menabung ialah amalan meyimpan wang yang diperoleh. Wang ini disimpan di tempat yang selamat seperti di bank atau dalam bentuk saham atau bon. Menabung juga dapat dikatakan seperti menyediakan payung sebelum hujan. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh jika kita menabung.

Salah satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan mendapat keuntungan. Hal ini kerana wang yang disimpan di bank akan dibayar faedah manakala saham akan dibayar dividen. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap,kita akan dibayar faedah mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu,lebih lama wang itu disimpan,lebih tinggi kadar faedah yang akan diperoleh.

Amalan menabung akan mendidik kita supaya sentiasa berjimat cermat. Sikap berjimat cermat sebenarnya merupakan satu amalan yang baik kerana kita akan lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan. Oleh itu,dapat mengelakkan pembaziran. Sebagai contoh,apabila mempunyai wang lebihan,seseorang yang tidak menabung akan bertindak membelanjakan wang tersebut untuk membeli barang yang dikehendakinya. Tegasnya,sikap suka menabung akan menjadikan seseorang itu tidak membazir.

Amalan menabung juga dapat membantu kita dalam keadaan kecemasan yang memerlukan wang. Kita sebenarnya tidak dapat menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita,bak kata orang malang tidak berbau. Oleh itu,jika kita ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit,kita boleh menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan rawatan yang baik di hospital. Justeru,wang simpanan yang ada dapat menyelamatkan nyawa anda dalam keadaan yang darurat.

Menabung juga dapat mengawal inflasi. Hal ini demikian kerana apabila kita menabung,wang yang mengalir dalam aktiviti belian adalah kurang.Keadaan ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang dalam pasaran. Apabila harga barang tidak naik,inflasi tidak akan berlaku. Oleh itu,menabung dapat mengawal inflasi. Kesimpulannya,kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanak-kanak harus digalakkan supaya menabung sejak kecil lagi. Wang yang disimpan itu mungkin sedikit tetapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

FAKTOR REMAJA LARI DARI RUMAH Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis,barisan hakim yang arif lagi bijaksana,Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Permai,Puan Intan Binti Isa, guru guru,dan rakan seperjuangan sekalian.

Terlebih dahulu,saya ingin memperkenalkan diri dan tajuk pidato saya pada hari ini. Saya,Nur Ain dari Tingkatan 4 Melati telah memilih tajuk “Masalah Remaja Lari Dari Rumah”. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih lanjut,saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat saya berdiri di sini dan menyampaikan pidato saya pada hari ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,. Dalam kepesatan pembangunan ekonomi, masyarakat kita berhadapan dengan gelombang perubahan sosial yang mencabar institusi sosial dan keluarga di negara ini. Akibatnya remaja di Malaysia sedang melalui kemelut sosial yang semakin berleluasa. Penglibatan remaja kita dalam kegiatan seks bebas, melepak, jenayah juvana, lari dari rumah dan penagihan dadah memberi tamparan hebat kepada semua lapisan masyarakat serta menjadi tanda tanya kepada pembangunan dan pemodenan yang dikecapi.

Gejala remaja melarikan diri dari rumah berpunca daripada keadaan keluarga yang sunyi dan membosankan. Dewasa ini, ibu bapa terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan. Akibatnya, interaksi dan komunikasi sesama keluarga menjadi renggang dan anak-anak terabai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga serta sering bertindak meninggalkan keluarga mereka.

Keruntuhan institusi keluarga atau rumah akibat pertelingkahan antara ibu bapa menyebabkan anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran

mengurus rumah tangga di kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak terhadap keadaan ini dengan melarikan diri dari rumah.

Desakan dan dorongan rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam kes anak-anak lari dari rumah. Remaja yang terabai dan ketagih kasih sayang bergantung kepada kawan-kawan mereka. Mereka lebih mudah meniru, terikut dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Malahan rakan sebaya mengisi sebahagian besar kehidupan mereka. Dalam keadaan ini, mereka sanggup berbuat apa sahaja demi rakan mereka dan bertindak meninggalkan keluarga semata-mata memenuhi kehendak rakan-rakan.

Di samping itu, tarikan kuat dunia luar dan negara berikutan pengaruh budaya Barat turut menjadi punca utama. Golongan remaja masa kini sering terpengaruh dengan idea kebebasan dan individualistik. Malahan gaya hidup bebas yang penuh keseronokan menjadi idola ramai remaja. Apabila ibu bapa mereka cuba menerapkan nilai-nilai baik dan terpuji, anak-anak menganggap ibu bapa cuba mengongkong kebebasan mereka. Jika keadaan ini berlarutan, anak-anak tidak teragak-agak lagi untuk meninggalkan rumah mereka.

Gejala remaja lari dari rumah juga sering berpunca daripada sikap remaja itu sendiri. Kebanyakan remaja masa kini tidak memiliki ketahanan diri. Malahan mereka memiliki emosi yang rapuh. Keadaan ini sering berpunca daripada kurangnya pendidikan agama dan asuhan moral yang efektif. Asuhan yang tidak menyeluruh menyebabkan keperibadian remaja tidak begitu mantap dan stabil. Mereka mudah terpengaruh dan tidak berupaya menilai sesuatu keadaan. Akibatnya, mereka tidak dapat menangani rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Justeru, mereka sering bertindak terburu-buru apabila menghadapi masalah dan salah satu jalan penyelesaian utama adalah dengan melarikan diri dari rumah.

Hadirin sekalian, ‘Pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara’ merupakan ungkapan yang menjelaskan kepada kita bahawa remaja merupakan tonggak negara dalam menerajui kepimpinan negara.Justeru, masalah sosial dalam kalangan remaja haruslah diberi perhatian dan tidak wajar dianggap remeh.Semua pihak haruslah memainkan peranan masing masing dengan baik supaya dapat mengelakkan fenomena ini daripada terus berleluasa,terutamanya golongan ibu bapa. Hal ini kerana,keluarga menjadi wadah paling utama dalam membentuk keperibadian remaja. Oleh yang demikian, segala kepincangan sosial terutamanya di kalangan remaja wajar dirujuk kepada keadaan keluarga dan sistem sosial secara menyeluruh.

More Documents from "Pang Shi Kuan"

Hi.docx
June 2020 5
Xisengpang.xlsx
June 2020 0
Hi.docx
June 2020 4
Hi.docx
June 2020 2
Hi.docx
June 2020 4