Hak Milik Peribadi

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Hak Milik Peribadi as PDF for free.

More details

  • Words: 1,559
  • Pages: 6
Mansuh PPSMI perlu menyeluruh Oleh ANGELINA SINYANG [email protected]

Hassan Ahmad bersama A. Samad Said dan ahli Gerakan Memansuhkan PPSMI mengadakan sidang akhbar di Rumah Pena, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencukupi setakat di sekolah rendah dan menengah tetapi perlu sehingga ke universiti. Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pemansuhan PPSMI hanya di peringkat sekolah rendah hingga tingkatan lima akan menimbulkan masalah kepada pelajar apabila memasuki tingkatan enam, matrikulasi atau universiti pada masa depan. Katanya, ini kerana tiba-tiba sahaja mereka terpaksa beralih menggunakan bahasa Inggeris. ''Bagi GMP, memansuhkan PPSMI bererti memansuhkan semuanya iaitu kembali sepenuhnya kepada dasar pembelajaran sebelum 2003 ketika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu dari tahun satu sampai tingkatan enam dan seterusnya ke universiti,'' katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di sini hari ini. Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said selaku Penasihat GMP, Pengarah Eksekutif Yayasan Tamil Malaysia, C. M Elanttamial dan Naib Setiausaha Kanan Pusat Pembangunan Kebudayaan Bekas-Bekas Guru Cina Malaya (LLG), Goh Kean Seng. Selain menuntut PPSMI dimansuhkan secara menyeluruh, Hassan berkata, GMP juga mahu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina dimulakan pada tahun depan bagi muridmurid tahun satu. ''Kita mahu pelajar yang baru masuk sekolah diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing mulai 2010 bukannya 2012,'' katanya.

Hassan berkata, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil bagi tahun satu tidak menimbulkan masalah kerana Kementerian Pelajaran boleh menyediakan bahan-bahan bacaan dan buku teks dalam ketiga-tiga bahasa ini mulai sekarang. Katanya, kementerian juga boleh menggunakan semula buku-buku teks lama yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk mata pelajaran Sains dan Matematik sebelum 2003. Beliau berkata, walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, GMP tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memansuhkan PPSMI. Mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa dengan keputusan itu, Hassan berkata, ia hak peribadi bekas Perdana Menteri itu untuk berasa begitu. Bagaimanapun, katanya, GMP tidak sependapat dengan Dr. Mahathir kerana lebih mementingkan suara rakyat. ''Pemansuhan PPSMI kami anggap sebagai kejayaan tuntutan rakyat semua kaum dan kerana itu GMP akan mengadakan sambutan pemansuhan PPSMI pada pukul 9 malam, 19 Julai ini bertempat di Stadium Bandar Baru Bangi,'' katanya. Sementara itu, A. Samad berkata, beliau mewakili golongan sasterawan negara berasa lega dengan keputusan Menteri Pelajaran memansuhkan PPSMI. ''Lega. Itu kata-kata yang saya gunakan apabila Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan PPSMI ''Ada beberapa perkara yang saya fikir membuat saya lega. Antaranya, saya tidak perlu berada di mana-mana tempat untuk memperjelaskan isu ini. ''Kedua, saya fikir apa yang telah diperjelaskan agak mencukupi untuk setakat ini walaupun sebenarnya masih timbul pertanyaan lain mengenai dasar ini,'' katanya.

Hampir RM5b tingkat penguasaan bahasa Inggeris KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran. Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kementerian sentiasa memberi latihan kepada guru mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu kepada murid sekolah. "Kita akan menggunakan pelbagai modul seperti mendengar dan bercakap, modul penulisan dan modul seni bahasa yang akan menekankan tatabahasa. Kita akan betulkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan setakat boleh bertutur tetapi menggunakannya dengan betul," katanya menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin. Mohd. Puad berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengambil sejumlah 13,933 guru bahasa Inggeris sebagai satu daripada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Menjawab soalan Senator Zaitun Mat mengenai jumlah guru pakar dalam bahasa Inggeris yang disediakan kementerian di sekolah luar bandar, Mohd. Puad berkata, sehingga 9 Julai ini, terdapat 9,293 guru cemerlang dalam pelbagai gred jawatan dan bidang kepakaran. "Daripada jumlah itu, sebanyak 954 orang guru adalah guru cemerlang bahasa Inggeris dan 622 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 332 orang guru di sekolah rendah di seluruh negara sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya. Beliau berkata, kementerian berusaha memastikan khidmat kepakaran guru-guru itu tidak tertumpu di satu-satu sekolah atau kawasan sahaja tetapi diagihkan kepada semua sekolah. Tambah beliau, langkah memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa tahun 2012 akan menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM40 juta setahun. Jelasnya, penjimatan itu berlaku kerana kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) kepada guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. ''Sekarang pembayaran BISP adalah RM40 juta setahun membabitkan lima peratus daripada gaji pokok diberikan kepada guru lepasan universiti dan 10 peratus kepada guru bukan lepasan universiti. ''Ini adalah bagi membolehkan mereka membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris," katanya. Menurut Mohd. Puad, pemberhentian bayaran itu akan dilakukan kerana pihaknya mendapati hanya sebahagian kecil guru yang menerima BISP menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik

Jadikan bahasa Melayu bahasa ilmu KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan langkah baik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda yang perlu dijaga kesuciannya dan dimartabatkan supaya ia tidak terpinggir dalam arus peredaran zaman. Menurutnya, untuk terus memartabatkan bahasa itu, ia perlu dijadikan bahasa ilmu di semua peringkat pengajian. "Langkah kerajaan memansuhkan dasar PPSMI merupakan langkah yang cukup baik, tetapi bukan bermakna bahasa Inggeris dipinggirkan.

"Sebagai bahasa kebangsaan, keutamaan haruslah diberikan kepada bahasa Melayu untuk terus dipelihara dan dijadikan sebagai bahasa ilmu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Abdul Rahman berkata, apabila PPSMI dilaksanakan, ia telah mewujudkan satu kejutan budaya bagi pelajar luar bandar yang masih belum bersedia secara keseluruhannya. Jelasnya, pemansuhan PPSMI bukan bermaksud bahasa Inggeris dipinggirkan tetapi ia harus dijadikan nilai tambah dalam diri setiap pelajar untuk bersaing di peringkat global. ''Kita akui kepentingan bahasa Inggeris, tetapi PPSMI bukanlah cara yang boleh digunakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris baik di kalangan pelajar mahupun guru," jelasnya.

Tambah masa BI tak jejas waktu sekolah PUTRAJAYA 9 Julai - Tambahan masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris (BI) yang diumumkan kerajaan semalam, tidak akan mengubah waktu persekolahan sedia ada. Bagaimanapun, waktu pembelajaran subjek lain akan dikurangkan. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, ia sebagai langkah memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa membebankan pelajar dan guru dengan tambahan waktu persekolahan. ''Ibu bapa tidak perlu risau dengan tambahan itu kerana waktu pembelajaran subjek lain akan dikurangkan tanpa menjejaskan pelajaran subjek itu. ''Misalnya mungkin kita akan mengurangkan waktu subjek Muzik untuk memberi lebihan masa kepada subjek BI," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu ditambah sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu. Bagi tingkatan satu hingga lima, waktu tambahan adalah daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu. Dalam pada itu, Alimuddin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pemansuhan dasar PPSMI yang dikatakan boleh mengelirukan anak-anak mereka kerana keputusan itu tidak dilaksanakan serta-merta. ''Kami yakin dengan pelaksanaan program pengukuhan bahasa Inggeris akan memantapkan lagi penguasaan bahasa itu dengan syarat guru dan pelajar berusaha keras," katanya.

Sistem pendidikan negara terus diiktiraf KUALA LUMPUR 7 Julai - Keputusan Australia memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi kursus perguruan untuk 30 pelatih guru dari Afghanistan membuktikan sistem pendidikan negara ini diiktiraf masyarakat antarabangsa. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sistem pendidikan negara terbukti berkesan khususnya dalam bidang pendidikan Islam, menjadikan Malaysia amat sesuai sebagai tuan rumah para peserta tersebut. ''Kita ada sistem pendidikan yang baik terutama dalam bidang pendidikan Islam, pensyarah yang mahir pelbagai bahasa serta dilengkapi kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap. ''Itulah kelebihan (pendidikan) kita dan kerana itu juga Australia kenal pasti Malaysia sebagai rakan untuk membantu membangunkan Afghanistan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Luar Australia, Stephen Smith yang meninjau perjalanan kursus itu di Institut Perguruan Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA) di sini semalam. Kursus yang bermula pada 29 Jun lalu itu dikenali sebagai Projek Pendidikan Malaysia-Australia buat Afghanistan (MAEPA) dengan Malaysia sebagai tuan rumah, sementara Australia pula menanggung segala kos perjalanan para peserta. Ia merupakan perjanjian di antara kedua-dua negara susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd ke atas Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini pada 10 Julai tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara pula telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai oleh pihak berkuasa di sana sebagai panduan mereka. ''Kita juga pernah melatih lebih 100 guru dari Aceh (Indonesia), itulah bukti komitmen Malaysia kepada dunia," ujarnya. Salah seorang peserta, Khalilurahman Ruhyab, 31, memberitahu, sistem pendidikan Malaysia sangat komprehensif dan beliau yakin dapat menimba pengalaman berguna sepanjang kursus tersebut. ''Pendidikan di negara anda sangat unggul kerana terdapat sekolah aliran berbeza buat kaum Melayu, Cina dan India. ''Sekembali ke Afghanistan nanti, saya akan panjangkan ilmu ini kepada guru-guru lain," jelasnya yang bertugas di Kabul. Bagi memastikan kursus itu terus mendapat manfaat di Afghanistan, Ka Siong memberitahu, Malaysia akan menghantar dua pemerhati ke sana selama sebulan di samping mengiringi kepulangan para peserta berkenaan.

Related Documents

Hak Milik Peribadi
June 2020 20
Hak Milik Intelektual
May 2020 35
Peribadi Saya
June 2020 25
Peribadi Muslim
November 2019 47