GURU SEBAGAI “ROLE MODEL” Oleh : MOHD RADZUAN ABDULLAH YAYASAN HARMONI
Pengenalan Menurut Kamus Dewan, Guru ialah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Ia juga boleh diertikan sebagai orang yang berpendidikan, berpengetahuan dan jawatan sebagai guru itu sendiri menyebabkan seorang guru akan dihormati serta menjadi perhatian masyarakat umum. Manakala Role pula bermaksud bahagian yang dilakonkan atau tugas seseorang dalam satu-satu usaha mahupun peranan. Sementara Model bererti membentuk sesuatu atau bekerja sebagai contoh tauladan. Persoalan 1. Benarkah seorang guru itu dapat dikatakan sebagai “role model”? 2. Mengapakah seorang guru dianggap sebagai “role model”? Ia dapat dilihat melalui peranan-peranan yang dipikul oleh seorang guru, sekiranya ia melaksanakan tugasnya dengan cara yang baik dan betul maka ia layak menjadi “role model” atau ikutan bagi masyarakat dan muridnya. Peranan guru sebagai “role model” sebenarnya bukan hanya tertumpu di sekolah tetapi juga di luar sekolah. Ia dapat dibahagikan kepada dua iaitu; 1) Guru sebagai “role model” kepada murid (di sekolah) , ada menyatakan bahawa sebagai seorang pembimbing sayugia berusaha menjadikan dirinya (guru) sebagai seorang insan contoh yang berilmu, berhemah tinggi dan mempunyai integrasi kerana tingkah laku dan pembawaannya sentiasa terdedah kepada pengamatan murid-murid yang diajar. 2) Guru juga menjadi “role model” bagi masyarakat. Ini ditegaskan oleh Profesor Dr. Atan Long dalam kertas kerja beliau iaitu; “Guru diwujudkan oleh masyarakat untuk memberikan pendidikan secara formal dan bersistematik kepada generasi muda di dalam masyarakat itu”. Jelas di sini bahawa peranan seorang guru bukan saja dilihat daripada ilmunya, tetapi juga dilihat daripada keolahan dan perangainya sebagai model atau contoh kepada masyarakat, terutama sekali kepada murid, pelajar dan generasi muda.
Peranan guru sebagai “Role Model” Antara peranan dan sifat-sifat seorang guru yang melayakkan dirinya untuk menjadi “role model” atau contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dan pelajar itu ialah dapat dilihat melalui pelbagai peranan yang dipikulnya sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung, antaranya ialah; (Lihat Rajah). Dari segi imej Untuk menjadi seorang role model yang baik, terlebih dahulu perkara yang perlu diberi perhatian utama oleh guru ialah mempunyai kesihatan badan yang baik dan terjaga. Ini kerana seorang guru yang sihat dari segi mental dan jasmani akan dapat memberikannya tenaga dan keupayaan untuk menjalankan serta melancarkan tugasnya dengan sempurna. Sekiranya seorang guru itu tidak sihat maka sudah tentulah ia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan tidak dapat mencapai objektif pembelajarannya dengan lebih berkesan. Selain itu kesihatan yang baik juga perlulah memiliki jiwa yang tenteram dan damai kerana melalui jiwa yang tenteram akan dapat menjalankan pengajaran dengan perasaan senang hati. Imej juga dapat diperlihatkan melalui peribadi yang baik, ini termasuk cara berbahasa, cara berhubung, tingkah laku, tatasusila yang tinggi, baik hati, ramah tamah, boleh dipercayai, berpendirian yang tetap, ikhlas dalam pengajaran, cara bertindak yang mengarah kepada sifat positif dan sebagainya. Ini kerana golongan guru adalah golongan yang menjadi perhatian dan ikutan murid serta masyarakat melalui imej positif yang ditunjukkan oleh para guru itu sendiri. Selain itu imej luaran bagi seseorang guru juga memainkan peranan yang penting untuk membolehkannya dianggap sebagai “role model”, iaitu melalui cara berpakaian yang baik, sopan, berpatutan dan sentiasa kemas kerana cara berpakaian ini juga mencerminkan keperibadian bagi seorang guru. Guru juga perlu menampilkan imej yang mudah bekerjasama, bertimbang rasa dan selalu memberi galakan atau pujian kepada murid. Kerana tingkah laku yang baik, sedikit sebanyak akan dapat mempengaruhi tingkah laku murid yang dididiknya sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Guru bukan saja menyuruh muridnya berkelakuan baik, tetapi turut mempraktikkannya, kerana kanak-kanak jarang sekali memulakan sesuatu tanpa adanya dorongan atau contoh yang baik diperlihatkan oleh guru sebagai peniruan awal bagi kanak-kanak itu seperti mana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa 'guru kencing berdiri anak murid kencing berlari' atau 'selangkah guru melangkah sejuta mata
memandang'. Pepatah ini amat sinonim dengan sifat guru itu yang sememangnya menjadi tumpuan masyarakat dan menjadi pusat pemerhatian atau ikutan bagi murid-murid, di mana sekiranya seorang guru itu berkelakuan tidak senonoh sudah semestinyalah ia akan menjadi buah mulut orang ramai dan membawa kesan buruk pada sesebuah sekolah. Bukan itu saja, seorang guru juga perlu memperlihatkan imej yang baik melalui tindak balas atau respons yang positif apabila berhadapan dengan murid, misalnya melayan setiap soalan murid dengan baik dan sentiasa dapat menerima apa jua bentuk kritikan dengan hati yang cekal. Malahan guru perlulah bersifat profesional dalam pengajarannya tanpa mengira latar belakang murid yang diajar, dengan erti kata lain iaitu melayan semua murid dalam situasi yang sama rata meskipun murid itu dari golongan elit. Dari segi pengetahuan yang luas / mantap Seorang guru yang baik dan patut menjadi contoh adalah guru yang mengetahui psikologi kanak-kanak dan dapat menilai kekuatan murid dari segi badan dan jiwa serta tabiat dan perkembangannya. Guru juga hendaklah mempunyai pengetahuan umum tentang hal ehwal semasa sebagai persediaan apabila diajukan soalan yang mungkin di luar jangkaan atau di luar teks sukatan pelajaran. Seterusnya guru hendaklah memiliki banyak kebolehan dalam menghasilkan sesuatu pengajaran kerana kebolehan dalam memvariasikan pengajaran akan dapat mengelakkan kebosanan pada murid dan sekali gus menimbulkan kekaguman bagi muridnya apabila melihat kesungguhan pada guru mereka dan ini tidak mustahil seorang murid itu akan menjadikan gurunya sebagai idola dalam mencapai kejayaannya. Selain itu, penyampaian guru juga mestilah mempunyai kecenderungan-kecenderungan yang memerlukan perkembangan yang dinamik dan bukannya statik atau bersifat streotaip. Dari sudut yang lain pula, seorang guru juga boleh mempertingkatkan pengetahuannya dengan cara bersikap kreatif dan mempunyai imaginasi yang tinggi serta pandai menggunakan pelbagai kaedah sebagai strategi dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahkan guru yang bermotivasi dan cintakan profesinya mampu membawa pandanganpandangan baru yang lebih ke hadapan dan dapat membawa pembaharuan serta kemajuan (ejen perubahan). Sekali gus ia dapat melengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan serta bersedia melayani dan menggalakkan muridnya dalam apa jua kemahiran sebagai sokongan dan dorongan dari seorang guru kepada muridnya. Lebihlebih lagi apabila seorang guru itu jarang menghampakan muridnya. Untuk memantapkan pengetahuan sedia ada, seorang guru itu juga perlulah sentiasa berinisiatif untuk menambah pengetahuan dengan melakukan pelbagai kajian, percubaan, pembacaan, penyelidikan, mencari maklumat dan sebagainya. Guru yang menjadi ikutan bagi muridnya itu hendaklah sentiasa mempersiapkan dirinya mengikuti pembaharuan dan kemajuan dalam pendidikan seperti menerima kemajuan teknologi dengan mempelajari dan memahirkan lagi diri dalam teknologi yang dibawa oleh arus kemodenan agar seorang guru itu tidak ketinggalan dan maju ke hadapan. Ini secara langsung dapat memainkan peranan seorang guru itu agar lebih terdedah dengan mutu
pengajaran yang lebih dinamik selaku pendidik yang mempunyai daya ingatan yang baik, percaya diri sendiri, berkeyakinan dan mempunyai tekad yang kuat dalam menghadapi sebarang masalah yang mendatang. Dari segi sifat kepimpinan Dari segi kepimpinan, seorang guru itu bolehlah dijadikan sebagai “role model” yang asas samada kepimpinan yang dimainkan oleh seorang guru itu secara langsung mahupun secara tersirat. Ia dapat dilihat melalui peranan guru itu sebagai pemimpin di mata masyarakat dan murid atau pelajar. Antara sifat-sifat kepimpinan seorang guru yang boleh dikatakan sebagai “role model” ialah guru sebagai fasillator (pemudah cara). Tegasnya di sini guru itu akan sentiasa memata-matai anak muridnya untuk membimbing, mengajar serta menggerakkan pelajar sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Peranan guru sebagai penunjuk cara jelas sekali memperlihatkan sifat kepimpinan seorang guru itu secara tidak langsung. Kepimpinan guru juga, bahkan dapat dilihat melalui asas ketamadunan yang dibawa oleh guru, iaitu membawa budaya berfikir ke arah mewujudkan rakyat yang bertanggungjawab dalam pengukuhan akidah kerana berfikir merupakan anak kunci bagi kemajuan dan keunggulan sesebuah negara. Sebagai seorang guru yang berwawasan juga ia berkemampuan menanamkan adat dan perangai yang mulia dari segi bangsa dan agama melalui bentuk pengajarannya. Guru bukan saja memimpin dan membimbing ilmu pengetahuan bahkan pembimbing tingkah laku dan sahsiah murid (termasuk cara menghormati, kepentingan hidup bersatu padu, percaya-mempercayai, kesihatan tubuh, kemajuan murid dan sebagainya yang dapat membentuk sikap baik murid. Kepimpinan seorang guru akan dapat dilaksanakannya dengan baik apabila ia mempunyai pandangan dan inisiatif yang baik dalam memimpin murid. Guru sebagai pemimpin mestilah terlebih dahulu dapat mengendalikan pekerjaan dengan baik, teratur, bersistematik dan tegas dalam percakapan dan pekerjaannya yang dapat menarik minat murid dengan keadaan yang menyenangkan sebelum ia menjadi ikutan atau contoh tauladan masyarakat dan murid. Aspek kepimpinan guru juga adalah apabila ia terus menerus memberi nasihat dan tindakannya bijak serta memuaskan semua pihak. Sesuai dengan peranannya sebagai ejen dan penggerak utama dalam proses pendidikan yang mana peranan ini amat strategik dalam menentukan masa depan negara dan pemangkin utama dalam membentuk generasi cemerlang dan bertakwa. Dengan cara ini baharulah seorang guru itu layak dikatakan sebagai “role model” dalam aspek kepimpinannya. Dari segi emosi yang stabil Seorang guru semestinya akan atau sudah pernah mengalami kerenah dan masalah murid atau pelajar dalam pembelajaran dan pengajaran. Disebabkan itu persediaan emosi yang stabil dan cekal hati dalam menghadapi segala kerenah murid dan cabaran dalam pembelajaran adalah amat penting dan harus ada dalam diri seorang guru. Guru perlu tahu menyelesaikan setiap masalah murid dalam apa jua situasi dan ini memerlukan sikap
dedikasi seorang guru yang tidak pilih kasih serta bersabar dalam mengulangi isi pelajaran yang lepas bagi murid yang lemah. Emosi yang stabil bagi seorang guru amat penting kerana peranan guru itu meliputi segala aspek bukan saja pendidikan tetapi pembentuk sahsiah murid. Jadi di sini guru memikul banyak tanggung jawab yang bukan saja mengajar malahan menjadi kaunselor kepada murid yang bermasalah. Ia perlu memotivasikan dirinya dahulu sebelum memotivasikan orang lain misalnya memberi motivasi bagi kanak-kanak iaitu motivasi dalaman, contohnya sifat ingin belajar dari kanak-kanak itu sendiri perlu dipupuk dan motivasi luaran seperti keinginan belajar yang datang dari sekeliling yang membuatkan kanak-kanak itu belajar. Dari sinilah emosi yang stabil itu memerlukan pemikiran guru yang rasional dan sentiasa bersedia membantu pelajarnya apabila diperlukan. Dari segi mencorak peribadi murid Sebagai role model, guru adalah orang yang bertanggungjawab dalam mencorak murid supaya menjadi manusia yang benar-benar berguna terhadap masyarakat dan negaranya. Ini termasuklah membentuk sikap, nilai dan akhlak manusia serta memberi contoh yang menjadi ikutan seluruh lapisan masyarakat. Mencorak peribadi murid itu adalah bermula dari mendidik kanak-kanak mentah menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, guru adalah merupakan orang yang terpenting dalam membangun dan membina sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat sekolah. Di samping itu, peranan guru sebagai pencorak peribadi murid juga ialah mampu mencipta suasana harmoni sesama murid agar bertolak ansur dan bertanggungjawab. Malahan profesi guru ini juga merupakan pengasas kepada kejayaan murid disebabkan peranan guru itu sendiri sebagai tulang belakang kepada sistem pendidikan yang dapat merealisasikan transformasi pendidikan sepertimana yang dicita-citakan oleh kerajaan dalam pencorakan utama guru yang baik dan ikhlas mendidik anak muridnya. Dari segi pembentukan watak murid Di sebabkan pembelajaran bersangkutan dengan pembentukan watak yang erat. Maka guru haruslah sedar bahawa sekolah adalah diharapkan dapat mempengaruhi pembentukan watak, iaitu melalui empat faktor berikut; i. ii. iii. iv.
Pengaruh dari keperibadian guru itu sendiri. Pengaruh rakan sebaya. Pengaruh pelajaran. Pengaruh kaedah mengajar.
Jelaslah di sini bahawa melalui pengaruh keperibadian guru dan pengaruh kaedah mengajar di atas adalah antara faktor utama yang dapat membentuk watak seseorang murid, guru seharusnya mewujudkan tauladan yang baik dalam menjalankan tugas, suka memaafkan, tolong-menolong, memerintah dengan jalan yang betul dan adil, melarang, menghukum yang berpatutan, tidak melakukan sebarang bentuk kekerasan, memberi
hadiah serta mendorong murid ke arah kebaikan. Sekiranya seorang guru ingin berjaya, ia seharusnya menunjukkan yang beliau mengambil berat dan peka tentang kemajuan murid-muridnya. Ini merangkumi pertumbuhan dan perkembangan jasmani serta rohani murid, termasuklah tegas dalam mendidik murid yang mempunyai masalah sahsiah atau disiplin yang teruk agar dapat membentuk murid yang bermasalah ini ke arah pemulihan tingkah laku yang positif. Selain itu, guru juga menjadi pembentuk murid sepertimana yang dikehendaki bagi kemajuan negara. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Profesor Dr. Atan Long iaitu; "Guru-guru yang menjadi pemimpin patut mengubah cara berfikir mereka dengan memberikan pertimbangan yang lebih kepada murid-murid, tidak menentukan apa corak yang patut diterima oleh murid-murid, tetapi memperbaiki corak-corak yang telah sedia ada pada murid-murid itu sendiri supaya menjadi manusia yang sebaik-baiknya". Guru yang sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk memperbaiki dirinya dan mengikuti dunia sekelilingnya bukan saja akan dapat menambahkan pengetahuannya malahan juga akan menjadi contoh yang baik kepada murid agar lebih giat belajar. Sebagai contoh tauladan kepada murid dan masyarakat guru juga perlu faham jiwa murid dan berasa bertanggungjawab untuk membentuk insan yang berkualiti dan membina insan yang kamil iaitu mentarbiah murid semasa di alam persekolahan, penggerak pembangunan ummah yang sempurna dan pemegang amanah dalam menjalankan tugas. Dari segi cara bersosial sebagai pengembang atau ejen sosial. Perasaan bersosial dalam diri kanak-kanak sudah wujud sejak kecil lagi dan ia hendaklah disuburkan dengan cara yang baik dan menggunakan pendekatan sosial secara psikologi dan perpatutan dengan tahap perkembangan seseorang kanak-kanak itu. Jadi asas bagi pendidikan sosial ini adalah terdapat dalam lingkungan pendidikan sosial di sekolah. Sekolah haruslah mengendalikan latihan praktikal yang didahului oleh guru, contohnya seperti mengadakan permainan, sukan, hari perayaan bersama atau menyelesaikan dan berbincang dengan guru dalam masalah pelajaran. Ini secara tidak langsung boleh mengajar seseorang kanak-kanak itu supaya berani bersosial dalam cara yang baik. Dalam erti kata yang lain, guru juga sebagai kawan dalam hubungannya dengan murid. Guru juga sebagai orang tengah dan penghubung antara rakyat dan kerajaan dan dari sinilah juga dapat diketahui bahawa peranan seorang guru bukan saja kepada muridnya malahan juga kepada masyarakatnya iaitu sebagai pendamping rapat di luar sekolah, penghidupan, siahsah kemasyarakatan, kesusasteraan dan kesenian. Oleh itu setentunyalah seorang guru perlu mewujudkan hubungan yang mesra sesama guru yang lain agar menjadi contoh yang baik bagi murid. Sebenarnya ada banyak cara bagi seorang guru mengajarkan cara bersosial kepada muridmuridnya iaitu antaranya ialah turut serta atau mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dengan murid sebagai contoh terdekat dalam bersosial, membawa reformasi untuk kepentingan masyarakatnya dengan cara mendampingi diri dengan aktiviti masyarakat, cara ini sedikit sebanyak akan mendapat pemerhatian oleh murid dalam melihat cara
gurunya bertingkah laku dan bergaul dengan orang ramai yang sekali gus dapat menjadi ikutan bagi murid-murid itu. Guru yang sentiasa bergabung diri dan bercampur ( pandai bergaul dan menyesuaikan diri ) dengan masyarakat sekeliling juga akan dapat mewujudkan keselesaan yang sesuai dengan kebudayaan, bangsa dan undang-undang bagi sesuatu tempat. Oleh itu, dalam dalam hal ini setentunyalah seorang guru itu dalam bersosial perlulah mempunyai mental life yang terbuka. Kesimpulan Sebagai kesimpulan seorang guru yang dikatakan sebagai pendidik itu adalah 'role model' terbaik dalam pembentukan modal insan.Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa masa depan kanak-kanak dalam dunia moden kini sedikit sebanyak adalah hasil daripada pengaruh guru yang telah banyak mendidik mereka dalam sistem formal yang telah dilalui oleh kanak-kanak itu. Tidak dapat disangkalkan bahawa para pemimpin, juru bina, ahli-ahli ekonomi dan setiap anggota masyarakat yang menghadapi cabaran hidup masing-masing, semuanya telah menemui para guru terlebih dahulu semasa bersekolah sebelum berjaya menduduki jawatan yang mereka jawat sekarang ini. Selain itu, guru juga mempunyai pengaruh yang luas dan berkesan dikalangan muridnya, oleh sebab itu jika kuasa seorang guru itu disalahgunakan sama ada dengan disedari atau sebaliknya, maka akibatnya akan melembapkan dan menghancurkan generasi masyarakat akan datang. Jadi di sini adalah menjadi tugas guru bagi menjaga taraf profession ini dengan mengekalkan prestasi yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat, murid, bangsa, agama dan negara, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu; "Sebaik-baik manusia berjalan di atas muka bumi ialah para guru".