Gaji RM250 sebulan -- Pendapatan pemandu bas ekspres bawah paras kemiskinan Oleh YULPISMAN ASLI BANGI 30 Sept. – Ketika orang ramai menuntut perkhidmatan bas ekspres yang lebih baik, selamat dan profesional, kebajikan pemandunya pula seolah-olah terabai apabila kebanyakan mereka hanya menerima gaji pokok sekitar RM250 sebulan. Gaji pokok tersebut lebih rendah daripada gaji bulanan pembantu rumah warga Indonesia, malah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan gaji harian buruh binaan warga asing iaitu RM30 sehari. Kadar gaji pokok yang diterima oleh para pemandu bas terbabit adalah di bawah paras kemiskinan. Lebih teruk lagi ada pemandu yang langsung tidak diberikan gaji pokok sebaliknya mereka dibayar mengikut perjalanan atau trip iaitu sekitar RM70 bagi satu trip. Sistem bayaran itu memaksa para pemandu bas ekspres berhempas-pulas mengejar trip tanpa ada rehat hingga menggadai nyawa penumpang. Jika mereka mahu pendapatan lebih, mereka perlu sanggup memandu lebih banyak trip. Presiden Persatuan Pemandu Bas Melayu Semenanjung Malaysia (PPBMS), Mohd. Yasin Yacob memberitahu Utusan Malaysia dalam satu temu bual di sini bahawa terdapat syarikat bas ekspres yang tidak membayar gaji pokok kepada pemandu mereka sebaliknya mengamalkan sistem pembayaran gaji berdasarkan trip. Yang bergaji pokok pula, katanya, kebanyakannya amat rendah iaitu antara RM200 hingga RM250 sebulan. “Untuk mendapatkan pendapatan lebih, pemandu akan memandu seorang diri hingga ada yang menggunakan pelbagai pil perangsang untuk tahan mengantuk,” katanya. Mohd. Yasin turut berkata, satu analisis yang dijalankan pada tahun 2004 mendapati ada pemandu bas yang memandu secara berterusan hingga 36 jam terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Beliau berkata, gaji yang rendah mendorong pemandu untuk bekerja di luar kemampuan sebenar sehingga memaksa segelintir mereka terlibat dalam pengambilan pil-pil perangsang termasuk pil kuda dan syabu. Malah katanya, faktor gaji dan faedah yang tidak kompetitif seperti kerjaya lain menyebabkan ramai golongan muda tidak berminat menjadi pemandu bas.
Sehubungan itu beliau meminta pihak yang terbabit memberi sedikit perhatian terhadap nasib pemandu bas dan tidak hanya mencari kesalahan mereka. Pada masa ini katanya, apabila berlaku sesuatu yang membabitkan bas ekspres pemandu yang sering dipersalahkan sedang nasib pemandu tidak ada siapa yang peduli. Sehubungan itu, beliau mencadangkan gaji pokok sebanyak RM600 sebulan di samping faedah tambahan termasuk elaun trip, kerana ia lebih munasabah mengambil kira kenaikan kos sara hidup sekarang. Beliau turut mencadangkan supaya pemandu diberikan latihan, pakaian seragam, suasana serta persekitaran kerja yang kondusif untuk meningkatkan imej kerjaya tersebut. “Gaji yang menarik berserta pelbagai faedah lain, sudah pasti lebih menarik golongan muda untuk menjadikan kerjaya ini profesion mereka. “Ketika ini majoriti pemandu bas adalah merupakan yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, pekerjaan ini tanggungjawabnya berat,’’ katanya. Sementara itu, pakar pengangkutan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Abd. Rahim Md. Nor memberitahu, berdasarkan satu kajian, kebanyakan syarikat membayar gaji pokok RM250 kepada pemandu bas. “Kalau nak tambah pendapatan, mereka mesti kerja lebih dari lapan jam dan membuat banyak trip, walaupun mengantuk,” katanya. Beliau berkata, gaji pokok yang rendah menyebabkan pemandu bas ekspres membuat banyak trip, bekerja lebih masa dan terlibat dalam penggunaan pil kuda, semata-mata untuk mendapat pendapatan yang lebih. Kesannya kata beliau, ialah menjejaskan keselamatan dan nyawa penumpang terutama di musim perayaan ini.