FUNGSI KERIS DALAM MASYARAKAT MELAYU: PERBOMOHAN DAN PERUBATAN MOHD RAMLI RAMAN Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
Pengenalan Kedudukan keris bagi masyarakat Melayu, boleh jadi menempati posisi yang amat istimewa jika dibandingkan dengan senjata tajam yang lainnya. Dalam cerita-cerita penglipurlara, cerita-cerita lagenda seperti Hang Tuah, dalam hikayat misalnya Hikayat Patani, wayang kulit, pantun, syair, gurindam dan sebagainya ada bermacam-macam istilah dan nama keris yang digunakan. Misalnya dalam cerita wayang kulit Allahyarham Dollah Baju Merah ada keris bernama Keris Geliga Jati yang ditempa oleh Sang Dewa Rata dari besi tiga beradik, kakak tua bernama Maharaja Kersemi Besi, yang tengah bernama Agok Ading dan yang bongsu Bapa Besi Sekubang Darah. Dalam Hikayat Hang Tuah (Kasim Ahmad: 1966 ) dan Sejarah Melayu, adegan Pertikaman Tuah-Jebat dan Jebat-Kasturi, keris Taming Sarilah yang “menghukum” Jebat pendurhaka sehingga menemui ajalnya. Bukan itu sahaja, keris sebagai “hasil estetika Melayu” telah bermula seawal-awal pembukaan Melaka sekitar 500 tahun yang lalu dan 800 hingga 1000 tahun dalam kebudayaan Jawa dan seterusnya keris mempunyai fungsi dan peranannya yang khas lagi khusus. Dalam soal ini, keris dianggap senjata paling keramat dalam kebudayaan Melayu. Terdapat ribuan jenis keris di alam Melayu dan daerah-daerah sekitarnya, apatah lagi terdapat sekitar 400 suku bangsa dan lebih 150 suku bahasa. J.W.M Bakker (1984) mengelompok dalam wilayah suku besar yang disebutnya sebagai wilayah adat iaitu Acheh, Gayo-Alas, Batak-Nias, Minangkabau-Mentawai, Jambi-Enggano, Melayu-Melaka-Medan-Riau-Pontianak, Dayak-Raya, Bangka-Belitung, Sunda, Jawa-Tengah, Jawa-Timur-Madura, Bali-Lombok, Sulawesi-Selatan-Makasar, Teroja, Gorontolo, Flores-Timur, Minahasa-Sangi-Talaud, Maluku-Utara (Ternate), Maluku-Selatan (Ambon, Papua. Wilayah adat ini pula boleh kita kembangkan melibatkan Filipina, Selatan Thai dan daerah-daerah diaspora Melayu seluruh dunia. Semua tradisi ini pula mempunyai tradisi keris masing-masing. Di Malaysia samada yang mempunyai sultan dan raja atau tidak, mempunyai keris sebagai regalia serta ornamen kebesaran diraja dan kerajaan. Malah Duli yang Maha Mulia Yang Di- Pertuan Agung juga mempunyai regalia dan ornament iaitu keris sebagai daulah kebesaran dan kekuasaan serta ketuanan Melayu. Bagi negeri Perak pula, Keris Tamingsari adalah senjata kebesaran kerajaan. Dalam konteks ini keris bukan lagi sebagai senjata pembunuh tetapi menjadi alat kebesaran sesuatu negeri atau kerajaan.
Seterusnya, keris juga menjadi sebagai perantara antara dunia ghaib dan nyata, antara alam atas, tengah dan bawah, makhluk gaib, jin ,penunggu, roh dan lain-lain lagi dalam perubatan dan perbomohan Melayu. Ada doa dari ayat-ayat Al Quran yang bercampuraduk dengan anamisme, Hindu-Budha dalam pengucapan mantera, yakni ungkapan verbal yang mengandungi daya-daya atau energi yang bersifat magis. Biasanya diucapkan berulang-ulang dengan nada dan intonasi yang tertentu dengan penuh perhatian. Pada waktu yang sama disertakan sikap tangan (mudra) dalam bertapa, menadah ke dua belah tangan ke atas, berpeluk tubuh dan seumpamanya sebagai suatu proses ‘masuk ke dunia lain’ dan seringkali juga yadra iaitu membayangi objek-objek tertentu yang dapat memberikan ‘yoni’, kuasa, cahaya, roh dan seumpamanya. Terdapat berbagai-bagai jenis keris yang digunakan samada yang berlok satu hinggalah lok-lok ganjil 3, 5, 7, 9,11,13,35 dan seterusnya ataupun keris lurus daun buluh,keris charita, sempana, picit dan sebagainya. Ada keris yang diperbuat dari besi burjan (kursani) yang berwarna hitam kebiru-biruan sejuk lembab besinya, yang membawa kesejahteraan, ada besi karangkijang yang warnanya hitam kering hijau daun kurang baik kerana penyimpannya kurus kering dan sesuai untuk orang gemuk yang inginkan badan ramping halus manis, besi jari pengantin, warna hijau kehitaman tetapi ringan sifatnya, sesuai untuk melembutkan hati seseorang dan murah rezeki, besi surabdamas, warnanya hitam kemerah-merahan, memberikan rasa gatal jika dibuat keris, sesuai untuk ilmu tuju-tuju atau menghantar santau, besi danar (selipan) atau sasamad) warnanya hijau gemerlap untuk memikat wanita atau untuk pengasih, besi boji atau rebeng, warnanya hitam keputihan, bertujuan untuk memanaskan kedua belah pihak dan cepat panas baran, besi kucur atau manur perak, warnanya putih, kering, berpeluh, keras berdenting, dibuat keris perempah ubat ubatan, besi malik atau laksemalik (carising), dijadikan keris dan kalau dipakai, pemakainya akan mandul , besi gerasak, warnanya hitam kering keras, untuk tuah dan besi lumut, warnanya hitam hijau berlumut, digunakan sebagai alat perantara dalam bertani. Jenis Keris Terdapat bermacam-macam jenis keris di Alam Melayu samada berdasarkan bentuk, mata, kegunaan dan juga daya mistik yang dimilikinya. Antara lain keris sepukal, keris sempena, keris cerita, keris picit, keris tajung, damarmuluk (keris sulok belingkong)-lok tiga, keris apit liang-lok lima, keris jenoya-lok tujuh, keris rantai-lok sembilan hingga 21 lok, keris andus-mempunyai 23 hingga 29 lok. Keriskeris ini juga diberikan nama berdasarkan kegunaan iaitu keris bahari, keris sundang (Riau dan Moro Filipina) yang dikembangkan oleh orang laut (lanun) bagi tujuan memotong dan menebas, keris buluh atau keris tebu yang bentuk dapurnya atau bilahnya seperti tebu. Keris Panjang pula atau keris penyalang adalah keris yang digunakan bagi tujuan membunuh tanpa mengeluarkan darah yang banyak
2
dan cepat mati. Keris Mat Diong atau keris Bugis, keris Patani atau Keris Malela dan banyak lagi istilah yang saling tumpang tindih antara satu sama lain.
Cara Pembuatan Keris Di bahagian pengenalan telah dibicarakan sedikit tentang jenis-jenis besi, setelah salah satu jenis besi dipilih (mungkin kesemua jenis besi itu dipilih) maka bermula tahap pertama iaitu besi tadi dibasuh atau dibersihkan atau dicucikan dengan menggunakan air yang dicampur limai nipis, air kelapa dan lain-lain lagi. Pada tahap kedua, besi tadi disimpal atau diikat beberapa keping besi lain bagi tujuan penempaan, ketiga, dengan gergaji, besi tadi dipotong berupa rangka kasar sebilah keris dibakar, ditempa berulang-ulang sehingga bahagian-bahagian besi yang diikat tadi bersatu, langkah seterusnya langkah keempat bahagian hujung ditempa memanjang ke hujung, manakala langkah ke lima, pandai besi atau empu akan menentukan bentuk keris yang akan dihasilkan, jika keris lurus kepanjangannya cukup sekadar 30 hingga 40 cm, manakala keris berlok pula tergantung kepada jumlah loknya., langkah keenam, jika keris berlok hendak dibuat, setiap kali pembakaran besi hanya untuk satu lok sahaja. Pembentukan lok harus bermula dipangkal keris. Pada tahap berikutnya, pembentukan bahagian-bahagian kecil iaitu ricikan ditempa bagi menentukan bentuk bilahnya (misalnya keris berbilah lembu tidor, terdapat dua kembang kacangnya atau belalai gajah, satu di bahagian ganja dan satu lagi di tengah-tengah bilah). Proses penempaan ini yang paling rumit dan teliti kerana kebanyak keris gagal dibentuk dibahagian ini. Proses seterusnya mencembungkan bilah keris di samping menghaluskan bekas kikiran. Pada dasarnya pada bahagian ini keris sudah terhasil, namun proses seterusnya dilakukan bagi ‘menuakan’ keris yakni keris tadi dibakar sehingga suhu kepanasan mencapai 700 hingg 1200 darjah celcius dan disejukan dalam rendaman air yang dicampur dengan segala ramuan akar kayu, tuba, racun dan seumpamanya berdasar fungsi dan daya gunanya. Bekas air rendaman ini biasanya diperbuat dari buluh betung, duri atau buluh kuning yang ruasnya besar dan tebal. Tahap terakhir adalah tahap finishing iaitu meratakan bahagian yang tidak rata dengan kikir atau daun sempelas, kertas pasir ataupun tulang sotong ‘katak’, kemudian menggunaka tuba hitam (arsenic) bagi menghitamkan bahagian tertentu dan mencerahkan bahagian pamor atau motif keris. Seterusnya keris tadi disapukan minyak berdasarkan jenis besi iaitu minyak zafron, cendana, melati dan seumpamanya mengikut citarasa sang pandai keris atau tuan punya keris. Terakhirnya keris tadi dibuat sarung, hulu dan segala macam perhiasan lainnya. Cara pembuatan keris dibincangkan sepintas lalu bagi tujuan bomoh dan perubatan nanti. Gambarajah Proses Pembuatan Keris Kodokan Keris
3
Simpalan kodokan keris
Bentuk kasar keris
BambangHarsrinuksmo:1995
4
Jenis Kayu Dalam Pembuatan Hulu dan Sampir Keris (Sarung Keris) Bentuk dan seni ukiran hulu dan sampir keris berbeza di antara satu daerah dengan daerah yang lain. Bagi masyarakat Jawa, dua bentuk utama menjadi pilihan di samping mempunyai nilai sejarah bangsa kerajaan Majapahit dan Mataram, ianya juga mempunyai nilai-nilai mistik yang skcral dalam garapan estetik ladrang dan gayaman. Bagi masyarakat Melayu, hampir keseluruhan sampir dalam bentuk “perahu” Manakala hulunya pula dalam bentuk Jawa demam, pekaka, kepala ayam teleng, tapak kuda, kepala burung kakak tua dan sebagainya. Hampir keseluruhan sampir diperbuat dari kayu. Kayu-kayu yang dipilih mempunyai nilai magis sebagai suatu asset kekuatan dan kuasa yang dimiliki oleh keris. Walaupun ada keris yang sampirnyanya terbuat daripada emas, tanduk, perak, tembaga, suasa, tulang, gading dan seumpamanya, kayu menjadi pilihan utama dalam perbuatan sampir dan hulu keris.. Terdapat beberapa jenis kayu yang digunakan, antara lain kayu timoho (kleinhoven hospital linn), kemuning (murraya paniculata), terembalu (cassi glauca), jati (tectona gradis), sawo nila/ciku (manilkara zapota), cendana (santalun album), awar-awar (ficus leucantatoma), sena keling (dalbergia latifolia), sena/angsena (pterocarpus indicus), kendayan (bauhinia malabarica), gemia (bouea microphylla), cemara (dysoxylum acutangulum) dan lain-lain lagi. Pemilihan kayu dan jenisnya mempunyai sebab. Pertamanya jenis kayu menentukan tuah dan fungsi keris. Kedua, sampir dan hulu keris sebagai pelindung dan melambatkan proses pengaratan keris (awit/rawatan). Ketiga, urat dan daging kayu yang terpilih mudah diukir dan cantik rupanya. Misalnya kayu cendana memang diketahui sejenis kayu yang harum baunya. Ianya mempunyai nilai mistik dan sememangnya dianggap mempunyai ‘penunggu’ dan keris yang dibuat tidak memerlukan ‘getar’,’yoni’ atau isi dan keris tidak memerlukan haruman tambahan seperti kayu-kayu lain. Malah dipercayai sipemakainya lebih bertuah berbanding dengan orang lain dan ianya juga melibatkan ‘maruah’ dan martabat kerana harganya mahal dan sukar dicari. Bagi orang Jawa, kayu timoho lebih keramat sifatnya kerana ira dan urat kayu yang berlambang dan bersimbol dan dapat menahan ‘isi keris’, ‘yoni’ atau ‘getar’ terus bertahan atau menghuni keris tersebut. Kadar resapan kelembapan juga tinggi. Ini menghalang proses pengaratan keris. Diyakini dengan menggunakan kayu tersebut, keris tidak perlu dicuci/rawat sehingga beberapa tahun. Berbeza dengan menggunakan kayu jati, emas, tembaga, gading dan tulang, kadar serapan kelembapan hampir tiada langsung. Udara yang lembab yang terperangkap dalam sampir keris akan mempercepatkan proses pengaratan dan pereputan besi keris. Dalam proses pembuatan sarung dan hulu keris, di zaman dahulu ada upacara dilakukan. Pertama pemilihan hari. Pemilihan hari ini pula dihubungkan dengan rejang, raksi, kutika dan sebagainya. Selepas itu upacara menyemah pokok dengan sehidangan ‘berjamu’ (sesajen istilah Jawa) yang di dalamnya seekor ayam
5
panggang (seboleh-bolehnya ayam hitam), pulut kuning atau beras kunyit, sepiak sirih pinang, benang mentah, segulung rokok daun atau tembakau diletakan pada pokok tadi. Ini bertujuan memohon kepada ‘penunggu’ agar kerja-kerja penebangan pokok tadi selamat dan kayu yang dibawa pulang itu pula mempunyai ‘berkah’. Bahagian teras kayu yang diambil dikeringkan sekering-keringnya, manakala setengah jenis kayu yang lain direndam dalam air sehingga beberapa bulan barulah dijemur sehingga kering. Ini bertujuan untuk mengawetkan kayu agar tidak dimakan bubuk di samping menghitamkan kayu tersebut. Ianya juga untuk mengelakan kayu tadi rapuh atau mudah pecah sewaktu proses pengukiran dan pembuatan sampir dan hulu keris. Bagi sesetengah pengukir, menghitamkan kayu menggunakan air umbi batang pisang, bagi setengah yang lain, leker dicampur arang akan menghasilkan warna hitam. Biasanya bagi masyarakat Melayu, ukiran kayu untuk sampir dan hulu keris memakan waktu berbulan-bulan untuk menyiapkan kerana ukiran awan larat, ayat Al Quran, flora dan lain-lain lagi cukup halus dan teliti. Bagi sesetengah orang, mereka lebih suka menggunakan peluh tapak tangan, pipi dan dagu sebagai bahan pengawet dan penggilap kayu tadi. Cara ini sebenar mempunyai fungsi mistik. Dipercayai air peluh akan memberikan keserasian antara pemilik dengan kerisnya. Gambarajah Jenis-jenis Sampir dan Hulu Keris
Hulu Jawa Demam Keris Kelantan ( koleksi penulis )
Sampir keris Kelantan ( koleksi penulis )
6
Keris Patani/Kelantan (koleksi Penulis)
Keris Batak (Koleksi Penulis)
Keri Jawa/Gayaman (Koleksi penulis)
7
Keris Bali (koleksi penulis)
Keris Jawa/Ladrang (koleksi penulis)
Keris dalam dunia perbomohan dan perubatan Ahmad Huzairi Ab. Halim (1999:hal.194) menjelaskan secara umum konsep bomoh dapat diertikan sebagai tabib kampung ( yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi) yang sama ertinya dengan dukun. Sementara itu pawang adalah orang yang mempunyai kebolehan istimewa untuk melakukan sesuatu (biasanya menggunakan kuasa ajaib) seperti pawang buaya yang pandai menangkap buaya, pawang hujan ialah orang yang boleh mengalih hujan dari satu tempat ke tempat lain dan sebagainya. Taib Osman (1989:hal.60) menjelaskan bahawa bomoh adalah pakar perubatan tradisi manaka pawang adalah pengamal magis yang mempunyai kebolehan tertentu. Dalam konteks masyarakat Melayu seorang bomoh juga adalah seorang pawang. Ini adalah kerana pada waktu-waktu tertentu seorang pawang juga seorang bomoh dan sebaliknya. Malah mengikut Muhammad Hj. Salleh (1989) seorang dukun juga seorang tukang cerita, seorang penyanyi, seorang pemuzik dan seumpamanya. Penjelasan di atas hanyalah memberikan sedikit sebanyak pengertian bomoh dan pawang dalam budaya Melayu. Sesuai dengan fungsinya, dukun, bomoh dan pawang dianggap orang pandai untuk menutralkan sesuatu. Daripada gejala yang tidak baik dan buruk yang berasal dari roh, semangat, penunggu, saka, buatan orang dan lain-lain lagi. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya. Menurut Hashim Awang
8
terdapat pelbagai kriteria yang dikaitkan dengan uzur iaitu bersifat pasif dan tidak memainkan peranan aktif dalam komunitinya. Di samping itu, keuzuran bukan sahaja mengakibatkan rasa sakit, gelisah dan derita, tetapi menyebabkan emosi pesakit terganggu. Disebabkan usia perbomohan itu sama tua dengan kewujudan manusia, perkembangannya juga mengalami perkembangan yang sesuai dengan tamadun manusia itu sendiri. Dalam proses perkembangan ini, ilmu perbomohan berpindah dari satu generasi ke satu generasi secara lisan dan metod-metodnya juga berubah dari satu metod ke satu metod yang lain. Begitu juga mentera-mentera yang digunakan yang berfilsafat anamisme-dinamisme, Hindu-Budha , yang nantinya akan tercermin dalam berbagai ritual yang melibatkan bomoh. Sesuai dengan hakikat perkembangan Islam dan penentangan ulamak, para bomoh telah membangunkan perdukunan mereka dengan memanfaatkan Al Quran, hadis dan kitab-kitab lain yang berbau tasawuf. Kitab Tajul Muluk, Bintang Dua Belas dan Kitab Tib menjadi rujukan. Kitab Tajul Muluk misalnya telah memberikan ramuan-ramuan dan penyakitnya. Konsep solat-Rukun 13 diangkat sebagai pusat segala ilmu perdukunan di alam Melayu. Rukun 13 tadi di bahagikan kepada empat kumpulan iaitu kosmologi existensialisme manusia (kewujudan dan keberadaan). Kewujudan manusia berasal dari ibunya empat perkara, dari bapa empat perkara, dari malaikat empat perkara dan dari Tuhan satu perkara.( UU. Hamidy:1999):
a. Empat perkara dari ibu i. Urat ii. Daging iii. Darah iv. Tulang b. Empat perkara dari bapa i. Otak ii. Benak iii. Hati iv. Jantung c. Empat perkara dari Malaikat i. Gerak ii. geri iii. rasa iv.perisa
9
d. Satu perkara dari Tuhan/Allah iaitu roh/nyawa. Dalam perbomohan Melayu empat perkara dari bapa amat dititikberatkan terutamanya hati yang menjadi pusat dan segala-galanya berpusat ke situ. Apatah lagi bapa menjadi teras pengucapan mentera atau doa empat puloh hari di rahim bapa, barulah jatuh ke rahim ibu. Pusat hati di rahim bapa in pula dihubungkan dengan pusat Al Quran surah 19 Al Khafi ayat 15 wal yatalattaf ditandai dengan tulisan berwarna merah-bold sifatnya dengan maksud: (dan) hendaklah ia berlaku lemah lembut…Hati Al Quran ini menjadi pedoman pula kepada para dukun dan bunyi tafsirnya itu menjadi satu perinsip pula bagi misteri dalam mentera. (UU Hamidy 1999: 68-69). Caranya juga terus berkembang dan perangkat-perangkat fizikalnya juga turut berubah. Pada peringkat awalnya mungkin menggunakan batu, kayu dan objek persekitaran hidup mereka kepada objek-objek yang lebih ‘estetik’ dan sakral sifatnya. Bermacam-macam benda digunakan oleh bomoh dan mengukuhkan alam perbomohan mereka. Ada yang menggunakan tasbih dari kayu koka, tongkat dari kayu ‘raja kayu’, rotan, buluh perindu, buloh bertemu buku dan ruas, kelkati (cekati)lama, tepak sireh, badik dan keris. Keris adalah perangkat yang paling popular digunakan oleh bomoh dalam melakukan rawatan perubatan. Ianya digunakan sebagai medium perantara antara pesakit dan penyakit, antara bomoh dan pesakit-penyakit dan dunia ghaib. Misalnya di Melaka (Zainal Abidin Borhan dkk (ed) 1996:165) keris digunakan oleh bomoh untuk mengubat pesakit. Cara biasa digunakan ialah: Mula-mula kemenyan dibakar. Keris diasap di atas bara. Selepas diasap ia digunakan memotong limau atau menjampi air geluk. Setelah limau dikacau-kacau dengan keris sambil mantera diucap bomoh akan memandikan pesakit dengan air limau tadi. Kadang-kadang keris digunakan untuk ‘membuang’ penyakit dengan mencecah mata keris pada tempat-tempat yang sakit seperti diperut, dada, ubun kepala dan di belakang badan dalam proses perubatan tadi. Iaitu satu cara yang amat asas dalam pengubatan. Dalam rawatan sesetengah yang lain, adanya konsep berpuasa, zikir, bertapa yang di sisi kanan bomoh keris tadi ‘dihidupkan’. Waktu in sang bomoh atau ustaz akan merawat pesakitnya dari jauh, yakni sipesakit tidak lagi di depan bomoh, mungkin di rumah dan sebagainya. Klasifikasi penyakit mengikut masyarakat Melayu terdiri dari tiga perkara. Pertamanya sakit fizikal iaitu kesakitan yang pasti tempatnya seperti sakit pinggang, uluran (hernia), lemah tenaga batin dan sebagainya. Kedua sakit ‘angin’ yang melibatkan kejiwaan, roh atau semangat seseorang yang secara klinikalnya tidak dapat dijelaskan. Ketiga, sakit untuk ‘lebih’ dalam kehidupan, yakni penyakit inginkan kesempurnaan, kuasa, kasih sayang dan sebagainya termasuklah kekayaan yang tidak memerlukan tenaga atau usaha. Penyakit pertama atau sakit fizikal antara lain seperti yang dijelaskan di atas memerlukan keris tertentu dan khusus pula jenis besi dan cara pembuatannya di samping prosesi ‘berjamu’ yang harus dilakukan bomoh. Ianya juga harus
10
dibersihkan ;berlimau’ pada setiap awal muharam mengikut kepercayaan Melayu dan Jawa. Untuk tujuan ini pembicaraan hanya tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja iaitu lemah tenaga batin. Sejenis penyakit yang amat popular dalam masyarakat Melayu dan dunia secara umumnya. Terdapat berbagai cara rawatan dilakukan dalam tradisi perbomohan Melayu. Antaranya dengan menggunakan keris Pesi Sombro (dalam bahasa Jawanya) atau “Keris Mayat” (dalam bahasa Melayunya). Keris Mayat ini mempunyai dua jenis, iaitu jenis picitan dan jenis tempaan. Pada dasarnya kedua-dua bahagian bilahnya mempunyai lima lekukan jari iaitu tiga dibahagian depan dan dua dibahagian belakang dan ianya diperbuat dari campuran besi kursani, danar (selipan, sesamad) dan tahi bintang (meteoric). Kursani adalah sejenis besi yang dianggap’mulia’ dalam masyarakat Melayu, manakala danar atau selipan dipercayai memberi kasih sayang dan daya penarik untuk kaum wanita (Sejarah Keris1951: tanpa pengarang) dan besi tahi bintang adalah besi yang paling keras yang dimiliki oleh bangsa nusantara Melayu. Pamornya pula adalah pamor lintang emas yang lingkaran bulatannya lima lapis dan ada yang tujuh dan lapan lapis bergantung kepada keperluan bomoh atau pemakainya. Gambar Keris “Kepala Mayat”/Sembro Gambar Penuh
Bentuk Hulu
Hujung Keris
11
Manakala lima lekukan itu pula sesuai dengan hasrat seorang lelaki normal: 1. Besar 2. Panjang 3. Tahan lama 4. Keras 5. banyak air. Dalam melakukan perbomohan dan rawatan terdapat beberapa tahap , iaitu tahap pertamanya penjelasan si pesakit tentang biodata diri termasuklah tarikh lahir, usia, tempoh perkahwinan jika yang sudah berkahwin, sejak bila penyakit itu dihidapi dan kalau masih bujang bila penyakit itu dikesan (history and diagnosis). Semua ini diperlukan oleh seorang bomoh melakukan raksi dan firasat bagi menentukan cara rawatan cara rawatan, pilihan mentera dan ayat-ayat Al Quran yang akan digunakan. Tahap kedua, pesakit diminta menunjukkan kemaluan kepada bomoh dan bomoh akan memegang dan menarik perlahan-lahan, lalu menekan perut di bahagian kiri dan kanan dan menggosok-gosok di bahagian ariari. Tahap ketiga, bomoh mengeluarkan keris ‘kepala mayat’ diasapkan dengan kemenyan disamping membaca mantera dan beberapa surah dari Al Quran. Kemudian keris tadi diberikan kepada pesakit dan pesakit diminta membaca satu kali surah Al Fatihah, selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad dan para sahabat diserta dengan niat…minta besar..minta panjang, minta keras dan tegang,tahan lama, banyak mani dan disudahi dengan selawat ke atas Nabi dan mengucap dua kalimah sahadat. Tahap yang seterusnya, bomoh atau dukun akan menggunakan minyak dari kelapa hijau yang buahnya menghadap ke barat mengurut seluruh badan pesakit dan tumpuan khusus dibahagian alat kemaluan berulang-ulang kali. Ada juga yang menggunakan minyak lintah,gamat, darah dan lendir ikan temakul (anak belacak) dan sebagainya. Setidak-tidak walaupun dengan sekali hadir penyakit itu dapat diubati, bomoh akan mencadangkan sekurang-kurang tiga kali ulangan rawatan, ini disesuaikan dengan konsep wuduk-mengambil air sembahyang yang tiga kali cuci tangan, muka, telinga dan lain-lain. Seterusnya ada konsep pelepas dengan mandi air tujuh telaga dicampur tujuh jenis bunga, limau nipis dan berkain basahan hitam sepanjang tiga meter. Ritual in bertujuan memulihkan semangat yang telah hilang akibat lemah tenaga batin dengan sedikit tanda kesyukuran sekurang-kurang se par/paha pulut kuning Penyakit jenis kedua, sakit ‘angin’, roh, semangat, gila dan sakit mental. Bomoh akan mencucuk-cucuk bahagian-bahagian tertentu dengan keris, juga dengan benda-benda lain sebagai peganti keris kemudian dengan mentera tertentu misalnya penyakit ‘angin pendekar’ sang bomoh akan menaikkan angin tersebut dengan mengangkat asal usul, pesakit akan terasuk dan bangun ‘bergerak-gerak’ mengikut langkah silat. Bomoh atau guru silat akan memegang sebilah keris yang
12
bersarung. Keris yang dipegang dan mentera atau ayat-ayat Al Quran yang dibaca itu dapat memutuskan ‘iktikad’ dalam batinnya. Iktikad itulah yang merupa ‘roh’ pada suatu mentera atau ‘penawar’ yang nantinya dapat menimbulkan daya magnetik untuk menggerakkan unsur-unsur kekuatan batin. Setelah sembuh, sipesakit dapat mematikan ubat kepada bomoh. Perkataan mematikan bererti mengikat dengan benang mentah yang tak mungkin dapat dibuka lagi. Maka mematikan ubat bererti sebagai simbol bahawa penyakit itu telah diubati dengan cara yang saksama, sehingga diharap tidak akan berulang lagi, bentan misalnya. Dengan upacara ini ,si pesakit telah mengakhiri segala urusannya dalam hal penyakit itu, sebab penyakit itu sembuh dan ubat sudah diakhiri, walaupun nanti dia akan datang lagi bertemu bomoh untuk tujuan rawatan penyakit yang sama jika berulang lagi. Keperluan melakukan upacara mematikan ubat, bervariasi mengikut bomoh, namun pada kebiasaannya: 1. Benang mentah dua ikat 2. Beras segantang 3. Kain sekabung (2-3 meter) 4. Nasi sepinggan beserta dengan lauk pauknya (apa sahaja) 5. Sebilah benda tajam (diutamakan keris). Penyakit ketiga dalam masyrakat Melayu iaitu inginkan yang lebih, iaitu kasih sayang,kuasa, kecantikan,cepat kaya dan lain-lain lagi. Setiap masalah pada kebiasaannya dapat diselesaikan oleh bomoh melalui sentuhan fizikal, jampi serapah, alat kerama, azimat, keris, besi bat dari perspektif positif atau negatif. Perspektif positif lebih berupa tindakan membangunkan sipesakit berbanding memusnah musuh atau lawannya. Dari konsep ini juga lahirnya bomoh kanan (ilmu putih) dan bomoh kiri dengan ilmu hitamnya. Bomoh kanan lebih banyak melakukan kiat-kiat positif individu dengan ramuan dan bentuk mentera yang tidak merosakkan sesiapa. Dia puterikan angin, dia uraikan urat-urat tersimpul, dia matikan santau, racun, tuba dan tuju-tuju. Perlakuannya terhadap perangkat perbomohannya tidaklah menggunakan sesuatu yang haram, sebaliknya bomoh hitam, lebih banyak melakukan kerosakan terhadap individu lain sebagai saingan. Keris dimandikan dengan darah orang yang mati terbunuh, hati kelawar, atau benda-benda kotor dan tidak halal di sisi syarak. Ada golongan ingin maju dalam perniagaan, dengan beberapa lakaran menggunakan huruf-huruf Jawi, ada dari ayat-ayat Al Quran, bomoh (juga orang alim) diberikan kepada si pesakit untuk diletakan di mana-mana ruang perniagaan dan kemudian alat-alat lain diberikan sama misalnya benda-benda lama yang lain seperti badik, golok, parang termasuklah juga keris yang nantinya diletakan di ruang tertentu dalam kedai, pejabat dan sebagainya. Dalam kes keris sebagai azimat, bomoh akan menyarankan (jika dia tidak memilikinya) keris yang diperbuat dari besi tapal atau gerasak, yang anggap bertuah ,juga besi kenur ataupun besi berani ditempah dari empu atau pandai besi.
13
Seorang empu atau pandai besi (juga seringkali dianggap bomoh) yang baik akan terus menyaran dan menempa keris-keris tertentu kepada pelanggannya. Permulaannya dia akan berpuasa tidak kira puasa isnin-khamis, memutih, mgeblam atau puasa nabi Daud (puasa seminggu penuh) ataupun beretapa terlebih dahulu dengan zikir-zikir tertentu untuk mendatangkan tuah kepada keris tersebut.. Besi-besi ini adalah beberapa besi bertuah dapat mencapai pangkat tinggi, kaya raya, maju dalam perniagaan dan sukses dalam pemerintahan. Keris-keris jenis ini dikatakan pernah digunakan oleh Sukarno dan Suharto bekas presiden Indonesia (Raden Hastonogora: 19 September 1999). Jika keris dari besi jenis ini dimiliki oleh bomoh, bomoh akan menggunakan alam batinnya memanggil ‘isi’,yoni, atau getar yang dimiliki oleh keris itu dan memberitahu bahawa dia telah bertukar tangan dan harus setia kepada tuan barunya dan maskahwin dikenakan kepada si pesakit. Dalam konteks Melayu dan Jawa, konsep jual beli barang pusaka atau upah untuk bomoh tidak dibenarkan, namun upah atau imbalan kepada bomoh disebut pengeras. Pengeras dan emas kahwin ini pula boleh berupa apa bentuk pun, duit, ternakan, emas dan sebagainya ataupun keris diganti dengan keris lain sebagai tukarannya. Bagi bomoh hitam pula biasanya akan meminta sesuatu yang aneh-aneh dan di luar kebiasaan. Misalnya untuk menang loteri, toto ataupun 4D, bomoh akan meminta pesakit mendapatkan darah orang mati terbunuh, kemalangan misalnya untuk disapu pada keris sebagai salah satu persyaratan untuk proses memanggil atau menarik duit. Lebih zalim lagi kubur digali dan bahagian-bahagian tertentu mayat diambil dan dilumur pada keris serta dibalut dengan kain kapan mayat yang dicuri dari kubur. Setelah semua persyaratan itu cukup, bomoh akan memilih hari (malam) di tempat tertentu (misalnya Pulau Besar Melaka, Bukit Melawati Hulu Kelang, ataupun Bukit Gedombak, Pasir Putih Kelantan) akan melakukan upacara pemujaan. Peralatan pemujaan itu, disamping keris yang dibaluti kain kapan, dilumur darah dan bahagian-bahagian tertentu simati, perlu beberapa batang colok Cina, setangi Arab,beras kunyit, benang mentah, serbuk besi, sedikit kemenyan (boleh juga minyak cendana), bunga tujuh jenis sebaiknya yang dicuri. dan kain kuning. Dia akan memilih kubur ataupun pokok besar, batu besar dan sebagainya. Di sinilah dia memanggil roh simati, roh dari kubur keramat, atau penunggu atau apa sahaja. (Abdullah Yassin: Temuramah 29 Mei 20007). Prosesi pemujaan akan dilakukan tepat jam dua belas tengah malam. Sewaktu bomoh menurun, bomoh akan menyebut beberapa nombor yang kononnya diberikan oleh roh atau semangat orang mati tadi. Mengikut pengalaman penulis, proses atau upacara menarik ini sama sahaja di Malaysia ataupun di Indonesia. Setelah nombor atau barang itu diperolehi (mungkin telah disediakan oleh bomoh), ada persyaratan lainnya lagi. Nombor tadi tidak boleh terus dibeli tetapi harus
14
menunggu beberapa hari dan wang pengeras yang diminta harus terlebih dahulu dibayar. Jika nombor tikaman tadi mengena, ada bahagian-bahagian tertentu yang harus dibayar kepada bomoh. Terakhir dalam pembicaraan singkat ini ialah bomoh hujan atau pawang hujan. Hubungan manusia dengan alam sudah wujud sejak kewujudan manusia itu lagi. Ilmu-ilmu yang berhubung dengan angin, ombak, tanah, rebut petir dan seumpamanya dianggap mempunyai semangat tertentu dan seharusnya dilakukan prosesi penyemahan berdasarkan pemahaman manusia anamisme-dinamisme. Apabila Islam meresap dalam masyarakat Melayu, konsep ini berubah kepada kekuasaan Allah Taala. Namun demikian, percubaan-percubaan manusia mengubah alam tak pernah terhenti. Secara sainstifik mahupun batin,proses pembenihan awan dilakukan secara sainstifik untuk mengatasi masalah kemarau. Bagi masyarakat tradisi, mereka ada cara tertentu dalam menyelesaikan masalah hujan ribut, bah dan kemarau. Amalan itu kekal sampai kini. Pawang hujan masih lagi besar peranannya dalam masyarakat moden Dengan mentera-mentera, doa dan perangkat keris dia akan mengubah halatuju angin rebut, mengubah daerah hujan (alih hujan), memperlambatkan proses hujan untuk tujuan majlis-majlis kebesaran, perayaan atau nikah kahwin di satu-satu tempat. Keris yang digunakan adalah berdapur lembu tidor. Sebilah keris lurus yang mempunyai belalai gajah atau kembang kacang, di tengah tengah bilah keris (gambar bawah).
Keris Riau
15
Kembang Kacang/Belalai gajah berada di tengah bilah keris (koleksi penulis)
16