Fertiliti Di Kalangan Wanita Bekerja

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Fertiliti Di Kalangan Wanita Bekerja as PDF for free.

More details

  • Words: 3,326
  • Pages: 8
FERTILITI DI KALANGAN WANITA BEKERJA: KAJIAN KES GURU-GURU WANITA DI SEKITAR TANJONG MALIM LATAR BELAKANG KAJIAN

Pada masa kini, di kebanyakan negara proses migrasi dan mortaliti telah mencapai satu paras yang stabil, tetapi faktor fertiliti sahaja yang tinggal sebagai faktor dinamis dalam pertumbuhan penduduk. Fertiliti merupakan satu fenomena sosial yang kompleks dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap semua aspek pembangunan. Fertiliti dapat mempengaruhi struktur keluarga, bekalan guna tenaga, kadar untuk menyediakan kemudahan awam dan lain-lain proses masyarakat. Oleh itu, fertiliti dapat mempengaruhi semua dimensi hidup sesuatu masyarakat maka fertiliti pernah menjadi tumpuan kajian ramai pengkaji (Usman, 1989). Menurut Freedman (1962), seperti yang dirujuk oleh Usman (1989) fertiliti adalah satu daripada tiga komponen yang penting dalam bidang demografi. Fertiliti juga mempunyai kaitan langsung dengan pertambahan penduduk. Dari sudut biologi, fertiliti boleh ditakrifkan sebagai satu penyatuan antara tiga faktor iaitu, kesuburan ibu, persenyawaan telor dan kemungkinan ‘embryo’ tersebut untuk terus hidup. Walaupun secara asasnya fertiliti adalah salah satu faktor biologi tetapi faktor sosial mempunyai peranan yang penting dalam menentukan faktor biologi ini (Usman, 1989). Fertiliti juga boleh didefinisikan sebagai kadar kesuburan. Kesuburan ialah bilangan sebenar anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita sepanjang tempoh ia boleh mengandung dan amalan-amalan pembiakan. Ia boleh dinyatakan dalam bentuk saiz keluarga yang dicapai atau purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita pada suatu peringkat tertentu dalam umur pembiakannya (15 hingga 49 tahun) (Usman, 1989). Kemerosotan kesuburan nampaknya bukanlah kerana perubahan dalam struktur umur penduduk. Perancangan keluarga memainkan peranan yang penting dalam kemerosotan kesuburan, tetapi ini sukar untuk ditentukan. Penggunaan pelbagai kontraseptif dan kemahuan bagi perancangan keluarga telah berkembang pada tahun-tahun kebelakangan ini dan jika arah aliran ini berterusan maka akan berlakulah kemerosotan kesuburan selanjutnya yang dijangkakan. Poo Bee Tin, Liew Chei Siang & Norlaila Abu Bakar (2003) pula menyatakan bahawa kesuburan merupakan satu elemen demografi penting yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk sesebuah negara yang seterusnya akan menyumbang kepada pertambahan dalam bilangan tenaga kerja apabila penduduk mencapai umur 15-49 tahun. Justeru itu, kesuburan manusia merupakan satu proses semula jadi yang bertanggungjawab terhadap penggantian biologi dan pemeliharaan masyarakat manusia supaya terus wujud. Ini bermakna, tanpa kesuburan manusia penduduk dunia tidak akan bertambah. Ia juga dianggap satu komponen pertumbuhan penduduk yang penting selain daripada kematian dan migrasi (Usman, 1989).

Selain itu, faktor demografi juga memainkan peranan penting dalam kesuburan. Faktor demografi terdiri daripada struktur umur, komposisi jantina, tahap pekerjaan dan tahap pembandaran. Jadi, memang terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kemerosotan kadar kesuburan wanita. Pada masa dulu, kadar fertiliti di kalangan wanita adalah tinggi (Usman, 1989). Hal ini berlaku kerana dalam masyarakat primitif dan masyarakat tradisi, anak yang ramai akan menandakan ketua rumah mempunyai kekuasaan dan kekayaan kerana anak akan memberi pendapatan dan menyumbang tenaga untuk membantu ibu bapa mereka (Andorka, 1978: 24). Kajian tentang fertiliti sama ada di peringkat mikro (negara) ataupun makro (antarabangsa) adalah berkait rapat dengan masalah pertambahan penduduk. Dalam hal menilai keruncingan masalah penduduk sebagai satu masalah yang menjejaskan kehidupan manusia terdapat dua aliran pendapat yang bertentangan. Satu aliran ‘pessimists’ yang menganggap masalah penduduk telah mencapai peringkat kritikal dan patut diberi perhatian yang serius. Aliran yang keduanya adalah aliran ‘optimist’. Aliran ini mengatakan bahawa dengan perkembangan kemajuan dalam teknologi, kita dapat menyelesaikan masalah penduduk. Oleh yang demikian, banyak daripada kajian-kajian fertiliti adalah dengan tujuan menjelaskan keadaan sebenarnya paras fertiliti sesuatu negara. Data-data fertiliti ini boleh digunakan sebagai satu panduan dalam pembentukan polisi-polisi kerajaan seperti Perancangan Perbelanjaan Negara. Di samping itu, data-data fertiliti juga digunakan untuk membuat unjuran penduduk dan memberi gambaran tentang saiz, struktur dan arah perkembangan penduduk dalam sesuatu negara pada masa akan datang. Maklumat fertiliti juga merupakan alat penting dan berfaedah dalam perancangan dan asas penyelesaian masalah sedunia (Barclay, 1987). Pada keseluruhannya, perubahan yang berlaku pada paras fertiliti, mortaliti dan migrasi akan memberi kesan secara langsung kepada kadar pertumbuhan penduduk. Justeru itu, kadar pertumbuhan penduduk mempunyai kaitan yang amat rapat dengan tahap pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. Ini kerana tahap pembangunan sosioekonomi akan mengubah kualiti hidup diri dan keluarga. Perubahan kualiti hidup itu boleh dijelaskan dari segi semakin tinggi tahap pendidikan atau semakin meluas kadar kenal huruf, semakin peka seseorang itu kepada masalah-masalah sosial dan sentiasa bersedia untuk mewujudkan kehidupan sesebuah keluarga yang sempurna dan bahagia (Hairi, 1989; 55). KAJIAN-KAJIAN TENTANG FERTILITI Fertiliti merupakan satu skop kajian yang kompleks dan luas. Ramai pengkaji telah membuat penyelidikan tentang fertiliti di kalangan wanita. Pengkaji-pengkaji telah mengemukakan pelbagai teori berkenaan dengan konsep fertiliti. Kebanyakan teoriteori fertiliti yang dikemukakan adalah berdasarkan pengalaman dari negara-negara barat. Jadi, adalah penting untuk kita menilai sama ada teori-teori perlakuan fertiliti ini adalah selaras dengan perkembangan dalam keadaan sebenar di negara-negara Dunia Ketiga (Usman,1989). Teori Transisi Demografi bukanlah suatu yang baru dan ia penting dalam kajian kependudukan. Demografi merujuk kepada tingkah laku kumpulan (iaitu beberapa bahagian daripadanya) dan bukan kepada tingkah laku individu (Barclay, 1987). Menurut Mohd. Shamsudin Zahid Sopian (1995) pula, beliau melihat demografi

sebagai satu pengkajian tentang kependudukan manusia yang melibatkan elemen fertiliti (kelahiran), mortaliti (kematian) dan migrasi. Ia melibatkan pengkajian yang saintifik tentang saiz, penyebaran ruang dan komposisi serta bagaimana ketiga-tiga komponen ini berubah mengikut masa. Justeru itu, demografi pada asasnya ialah pengkajian saintifik dan statistik tentang fertiliti, mortaliti serta migrasi dan bagaimana komponen ini berubah mengikut masa dan kemudiannya mempengaruhi saiz dan taburan kependudukan manusia di sesuatu kawasan. Dalam hal ini, semua komponen untuk mengukur demografi dikenali sebagai pemboleh ubah demografi. Pemboleh ubah demografi ini pula amat penting kepada sesebuah negara kerana ia akan mempengaruhi faktor sosial, politik dan ekonomi. Jadi, para pengkaji sedang mencari satu teori untuk menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam kesuburan dan sebab-sebab berlakunya perbezaan kesuburan di kalangan manusia. Penemuan teori ini dapat dijadikan asas dalam meramalkan kesuburan yang akan datang. Setakat ini, teori-teori kesuburan yang telah dikemukakan dapat dibahagikan kepada dua iaitu, Teori Sosial dan Teori Ekonomi. PENYATAAN MASALAH Sejak kebelakangan ini, fertiliti dan pekerjaan merupakan dua pemboleh ubah yang mendapat perhatian oleh para ahli ekonomi, demografi dan sosiologi semenjak bermulanya disiplin tersebut (Tiun, 1985: 23). Menurut Tiun (1985), hubungan tahap pekerjaan dan kadar fertiliti adalah bersifat songsang iaitu semakin ramai wanita bekerja semakin menurun kadar fertiliti. Menurut Bolssfeld (1998) dan Cochrane (1983) seperti yang dirujuk oleh Usman, (1989) wanita yang berpendidikan tinggi lebih suka menangguhkan umur perkahwinan mereka kerana mempunyai komitmen yang lebih untuk bekerja dan mereka berpendapat bahawa melahirkan anak akan mengganggu pekerjaan mereka dan ini akan menyebabkan kadar fertiliti semakin menurun. Jadi, boleh dikatakan penurunan kadar fertiliti adalah diakibatkan oleh peningkatan penglibatan wanita bekerja di luar rumah. Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil, daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah seperti getah pada tahun 1971, kini Malaysia telah berubah menjadi sebuah negara pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru (Aiken, Leinbach, Leigh & Moss, 1994). Kemajuan ekonomi yang dicapai oleh Malaysia telah mengubah corak hidup sesebuah keluarga. Saiz keluarga yang besar semakin kecil disebabkan kehidupan moden. Jadi, keluarga yang besar semakin merosot. Bagi sesetengah keluarga bilangan anak yang ramai sering kali dianggap akan menyusahkan keluarga dan ia juga akan menyukarkan sesebuah keluarga untuk mengekalkan satu taraf hidup yang optimum. Dalam hal ini, adalah menjadi lumrah bagi golongan yang berpendapatan tinggi dan berkedudukan baik tidak mahu bilangan anak yang ramai. Sebaliknya, keluarga yang berpendapatan rendah berkeadaan sebaliknya. Perkembangan pelbagai bidang pekerjaan di Malaysia secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada golongan wanita. Misalnya dalam bidang perguruan golongan wanita mendapat peluang yang banyak berbanding dengan golongan lelaki. Malah berlandaskan kemajuan ekonomi yang disokong oleh pencapaian akademik yang tinggi akan memberi peluang kepada golongan wanita untuk memiliki karier yang baik seperti guru. Bagi kaum wanita

sektor pekerjaan yang terbuka luas secara tidak langsung membolehkan mereka turut sama menceburi diri dalam sektor pekerjaan. Dengan bekerja golongan wanita mempunyai sumber pendapatannya sendiri tanpa perlu bergantung kepada keluarga mahupun suami. Wanita yang bekerja dalam bidang profesional juga mempunyai dedikasi yang tinggi terhadap kerjaya sehingga memungkinkan mereka meninggalkan niat untuk berumah tangga. Pada masa yang sama bagi wanita yang bekerja mereka akan berhadapan dengan kekangan masa antara waktu bekerja dengan waktu untuk mengandung dan melahirkan anak. Jelas di sini, semakin komitednya seorang wanita itu terhadap kerjayanya kadar kesuburan akan semakin menurun. Dalam hal ini, kesukaran dalam penjagaan anak-anak juga akan menyebabkan golongan wanita tidak berminat untuk mempunyai keluarga yang besar. Ini kerana sebagai seorang wanita berkerjaya kualiti anak yang dilahirkan adalah lebih penting daripada kuantiti. Justeru itu, tidak dapat dinafikan kadar kesuburan yang kian memperlihatkan trend yang semakin menurun pada hari ini mempunyai kaitannya dengan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan sama ada dalam bidang profesional mahupun sebaliknya. Malah isu berkaitan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dengan pengaruhnya terhadap kesuburan seorang wanita semakin kerap dibincangkan dan dipersoalkan kerana ia berhubung kait dengan pembangunan negara. Selain itu, tugas sebagai seorang guru juga mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru wanita. Tugas sebagai seorang guru yang dimaksudkan di sini ialah beban tugas mereka di sekolah. Ini menjadi satu sebab yang mendorong mereka untuk memiliki saiz keluarga yang kecil. Di mana saiz keluarga yang kecil senang untuk diuruskan bagi guru-guru yang mempunyai tugas yang berat di sekolah. Jadi, mereka akan memilih saiz keluarga yang kecil sahaja iaitu, bilangan anak mereka adalah lebih kurang terdiri daripada seorang atau dua orang sahaja. Ini adalah kerana, bilangan anak yang sedikit akan membantu mereka untuk menguruskan keluarga mereka dengan lebih mudah. Tanggungjawab sebagai seorang guru adalah sangat penting. Jadi, apabila seseorang guru itu mempunyai bilangan anak yang ramai sudah pasti tanggungjawab mereka akan lebih membebankan lagi. Ini secara tidak langsung mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru. Selain itu, cuti bersalin yang agak lama iaitu, selama dua bulan atau 60 hari juga secara tidak langsung mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita. Cuti yang panjang dengan gaji akan menggalakkan guru-guru wanita untuk melahirkan anak yang ramai. Jadi, keistimewaan atau kelebihan seperti ini akan mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita. Ini juga secara tidak langsung akan membantu mencapai legasi bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu, pencapaian dasar 70 juta penduduk pada tahun 2100 (Usman, 2004). Pengumuman dasar 70 juta penduduk ini telah mendapat liputan besar-besaran di seluruh dunia terutama daripada golongan anti kesuburan. Dalam konteks ini, Malaysia tidak perlu meneruskan dasar kependudukan lama sebaliknya berhak menentukan dasar kependudukannya yang baru. Jelaslah, dasar 70 juta penduduk yang disarankan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 20 tahun yang lalu memberikan kebaikan kepada negara terutamanya ia dapat mengekang kejatuhan kesuburan secara cepat. Walau bagaimanapun, kadar kesuburan semakin merosot di kalangan wanita-wanita

bekerja terutamanya di kalangan guru-guru wanita. Jadi, penyelidikan ini akan mengkaji tentang kadar kesuburan di kalangan guru-guru bagi mengetahui lebih mendalam tentang kadar fertiliti di kalangan guru-guru di sekitar Tanjong Malim. Penyelidikan ini akan membincangkan tentang faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita iaitu sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi fertiliti. Di samping itu, pengkaji juga akan mengkaji tentang amalan perancangan keluarga, umur perkahwinan serta bilangan anak dalam sesebuah keluarga di kalangan guru-guru wanita di sekolah menengah sekitar Tanjong Malim. MATLAMAT DAN OBJEKTIF KAJIAN Matlamat utama kajian ini adalah untuk mengetahui sejauh mana faktor kerjaya khususnya kerjaya sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti. Selain itu, kajian ini juga akan mengkaji kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita mengikut etnik. Walaupun terdapat banyak lagi faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan wanita bekerja khususnya di kalangan guru-guru wanita, akan tetapi pengkaji hanya memilih faktor-faktor tertentu sahaja yang dianggap penting untuk mengkaji kadar fertiliti. Jadi, matlamat utama kajian ini ialah mengkaji sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim. Kajian ini akan menjelaskan tentang bagaimana tugas seorang guru itu mempengaruhi kadar fertiliti sama ada tugas guru membebankan mereka dan ini secara tidak langsung mempengaruhi kadar kesuburan di kalangan mereka. Matlamat ini akan dibuktikan dengan mengkaji amalan perancangan keluarga, bilangan anak dan umur berkahwin di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji secara mendalam aspek perhubungan di antara kadar fertiliti dengan tugas guru iaitu bagaimana tugas guru wanita dapat memberi implikasi terhadap kadar fertiliti. Dalam kajian ini terdapat beberapa aspek yang lebih spesifik yang akan diberi penekanan khusus dalam penyelidikan ini iaitu, seperti berikut: i) mengenal pasti umur perkahwinan dan bilangan anak dalam sebuah keluarga di kalangan guru-guru wanita di kawasan kajian, ii) mengkaji amalan perancangan keluarga di kalangan guru-guru wanita di kawasan kajian, iii) mengkaji sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita Melayu, Cina dan India di kawasan kajian, iv) menjelaskan implikasi tugas guru terhadap kadar fertiliti di kawasan kajian secara keseluruhannya. SKOP DAN BATASAN KAJIAN Skop kajian meliputi beberapa sekolah menengah di sekitar Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Di daerah Tanjong Malim terdapat 14 buah sekolah rendah dan 4

buah sekolah menengah. Bilangan keseluruhan guru ialah 360 orang guru berkhidmat di sekolah rendah dan 412 orang guru berkhidmat di sekolah menengah. Pengkaji memilih secara rawak seramai seratus orang responden di sekolah menengah di sekitar Tanjong Malim. Bagi mengetahui kadar kesuburan mengikut etnik, pengkaji memilih 65 orang guru Melayu, 20 orang guru Cina dan 15 orang guru India. Pengkaji memilih kawasan ini kerana ia merupakan tempat tinggal pengkaji. Pengkaji juga kenal dan faham dengan sikap responden yang dipilih. Kawasan ini juga tidak jauh dari rumah pengkaji dan ini memudahkan pengkaji mudah berulang alik dari rumah ke kawasan kajian. Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan perhatian kepada umur perkahwinan dan bilangan anak yang dimiliki oleh seorang guru di sekitar Tanjong Malim. Di samping itu, pengkaji juga ingin mengkaji tentang amalan perancangan keluarga di kalangan guru di sekitar Tanjong Malim. Kajian ini hanya dihadkan kepada guru-guru wanita yang bekerja di sekitar Tanjong Malim sahaja tanpa mengira kaum. Walaupun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti, akan tetapi dalam kajian ini pengkaji ingin mengkaji sejauh mana tugas sebagai seorang guru mempengaruhi kadar fertiliti dan implikasinya terhadap kadar fertiliti di kawasan kajian. Fokus responden kajian ini hanya bertumpu kepada guru-guru Melayu, Cina dan India. Kajian ini hanya berfokus kepada guru-guru wanita yang telah berkahwin di sekitar Tanjong Malim. Guru-guru wanita yang berkahwin sahaja dijadikan responden oleh pengkaji bagi mendapatkan data tentang bilangan anak yang dimiliki oleh guru-guru di sekitar Tanjong Malim. Ini adalah bagi mengetahui kadar kesuburan di kalangan mereka di samping memudahkan proses penganalisisan data tentang perbezaan kadar kesuburan mengikut etnik. FERTILITI DI MALAYSIA Di Malaysia, kajian-kajian yang berhubung dengan perbezaan fertiliti penduduk tidak banyak dijalankan. Kajian yang pertama telah dijalankan pada tahun 1966/67 oleh pihak ‘Malaysian Family Survey’. Kajian-kajian yang seterusnya pula telah dijalankan pada tahun 1967/68 dan 1970. Selain itu, Kajian Malaysia Population and Family Survey (MPFS 1984/85), telah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) (Hairi, 1989). Matlamat utama kajian ini ialah untuk meneliti pola demografi dan proses pembentukan keluarga di Semenanjung Malaysia. Di samping mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhinya, ia juga menerangkan bagaimana faktor-faktor itu berubah mengikut masa. Misalnya, pola kesuburan telah dilihat berdasarkan ras, tempoh perkahwinan, umur perkahwinan, saiz keluarga yang telah dicapai dan perbezaan taraf sosioekonomi yang telah mempengaruhi kesuburan penduduk. Dari kajiankajian itu, didapati terdapat beberapa angkubah yang boleh mempengaruhi kadar fertiliti penduduk. Kajian-kajian ini telah melihat hubungan fertiliti dengan beberapa faktor sosioekonomi keluarga seperti pencapaian pelajaran, pekerjaan dan latar belakang petempatan.

Umumnya banyak kajian telah dilakukan terhadap kesuburan penduduk di dunia. Salah satu daripadanya ialah menerusi kajian yang dilakukan oleh Abdul Rahman Hasan (1997) terhadap penduduk di Semenanjung Malaysia. Kajian tersebut menunjukkan paras kesuburan di Semenanjung Malaysia mengalami proses peralihan sejak pertengahan dekad 60-an, terutamanya bagi paras kesuburan bagi etnik Cina dan India jatuh dengan amat ketara. Antara faktor yang dikaitkan dengan kejatuhan kesuburan ialah peningkatan umur perkahwinan pertama, pengurangan kematian bayi, peningkatan pencapaian pendidikan, proses urbanisasi dan penggunaan kontraseptif moden. Bagaimanapun semua kajian tersebut menganggap kesuburan ialah sesuatu yang statistik. Secara dinamiknya, kesuburan dilihat sebagai satu proses pembinaan keluarga yang berlaku secara berjujukan dan bersandarkan kepada masa. Umumnya, kesuburan di Semenanjung Malaysia mencerminkan ciri-ciri kesuburan Negara Membangun dengan sebahagian besar wanitanya terus melahirkan anak pada pariti yang tinggi (Abdul Rahman Hasan, 1997). Selain itu, wanita di Semenanjung Malaysia sangat berkeinginan untuk mempunyai anak pertama secepat mungkin selepas berkahwin, sama ada wanita dibahagikan mengikut kategori tingkat pendidikan, umur perkahwinan, tempat tinggal dan mengikut etnik. Berbeza dengan kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Kependudukan (1998), menurut kajian tersebut Malaysia telah mengalami penurunan Jumlah Kadar Kesuburan yang signifikan semenjak tahun 1957. Jumlah Kadar Kesuburan (JKK) bagi Semenanjung Malaysia telah menurun daripada 6.5 kelahiran bagi setiap wanita dalam tahun 1957 kepada 3.9 kelahiran dalam tahun 1990. Penurunan dalam jumlah kadar kesuburan yang berlaku sejak tahun 1957 adalah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti peningkatan taraf pendidikan dan peluang pekerjaan bagi wanita. Peratusan wanita yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi setelah tamat persekolahan menengah sebelum menceburi alam pekerjaan semakin meningkat. Golongan tersebut bukan sahaja melewatkan perkahwinan tetapi mereka juga lebih cenderung kepada saiz keluarga yang kecil. Misalnya, antara tahun 19701990, purata umur perkahwinan pertama bagi wanita telah meningkat dari 22.1 tahun kepada 24.6 tahun di Semenanjung Malaysia, 20.4 kepada 22.9 di Sabah dan 21.2 kepada 22.9 di Sarawak (Pusat Kajian Kependudukan, 1998). Selain itu, penurunan kadar kesuburan juga disebabkan oleh wujudnya program perkhidmatan perancangan keluarga yang mantap dan mudah didapati oleh wanita yang berkahwin. Walau bagaimanapun, masih terdapat perbezaan dalam kadar kesuburan yang ketara antara kawasan-kawasan yang disebabkan oleh ketidakseimbangan tahap pembangunan di antara kawasan dan negeri-negeri di Malaysia. Di pantai barat Semenanjung Malaysia kadar jumlah kesuburan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar kesuburan di negeri-negeri pantai timur. Poo Bee Tin, Liew Chei Siang & Norlaila Abu Bakar (2003), mendefinisikan kesuburan sebagai salah satu elemen demografi penting yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk sesebuah negara yang seterusnya akan menyumbang kepada pertambahan dalam bilangan tenaga kerja apabila penduduk mencapai umur 15-64 tahun. Menurut ketiga-tiga penulis tersebut, ahli-ahli demografi menggunakan istilah kesuburan bagi menerangkan bilangan kelahiran yang sebenarnya terjadi dalam sesebuah keluarga dalam satu jangka masa tertentu.

HIPOTESIS KAJIAN Berdasarkan kepada matlamat kajian dan tinjauan penulisan yang lampau, hipotesis dibina dan akan cuba diuji dalam kajian ini. Hipotesis Ho : Tidak ada hubung kait yang signifikan di antara tugas guru, umur perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami dengan kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekolah menengah sekitar Tanjong Malim. Sebenarnya, pelbagai faktor yang mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim dan bukan sahaja tugas guru, umur perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami mempunyai hubung kait dengan kadar fertiliti di kalangan mereka. Maksudnya, faktor-faktor tersebut tidak menentukan kadar fertiliti di kalangan mereka. Hipotesis H1 : Terdapat hubung kait yang signifikan di antara tugas guru, umur perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami dengan kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekolah menengah sekitar Tanjong Malim. Jadi, tugas guru, umur perkahwinan, pendapatan isi rumah dan pekerjaan suami memang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim. Selain daripada melakukan ujian terhadap dua hipotesis ini, kajian ini juga diharap akan menunjukkan angkubah-angkubah lain yang mempunyai hubung kait dengan kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim. KEPENTINGAN KAJIAN Penurunan kadar kesuburan atau fertiliti di kalangan kaum wanita begitu hangat diperkatakan. Malah bagi negara-negara maju, isu ini dianggap satu perkara yang biasa berlaku di negara-negara tersebut serta tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia merupakan satu trend bagi masyarakat di negara-negara tersebut. Keadaan yang sama juga kian berlaku di kebanyakan Negara-negara Sedang Membangun seperti Malaysia, walaupun senario ini masih baru namun isu ini semakin mendapat perhatian dan harus difikirkan kerana kadar kesuburan di Malaysia didapati telah berkurangan atau semakin menunjukkan trend penurunan. Kajian ini sangat penting untuk mengetahui sejauh mana tugas seorang guru boleh mempengaruhi kadar fertiliti di kalangan guru-guru wanita. Dengan melakukan kajian ini pengkaji dapat mengetahui faktor atau trend kesuburan di kalangan guru-guru wanita. Selain itu, pengkaji juga ingin melihat umur perkahwinan serta bilangan anak dalam sebuah keluarga di kalangan guru-guru wanita di sekitar Tanjong Malim sama ada umur perkahwinan mempengaruhi bilangan anak di kalangan responden. Di samping itu, pengkaji juga ingin mengetahui amalan perancangan keluarga di kalangan responden. Adalah diharapkan dapatan-dapatan daripada kajian ini dapat memberikan gambaran yang jelas kepada pengkaji mengenai kadar kesuburan di kawasan kajian. Selain itu, kajian ini juga mampu menyumbang ke arah peningkatan pemahaman pengkaji tentang fertiliti.

Related Documents