Fahami makna perpaduan
PROF. DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN.
MUKADIMAH SEWAKTU berucap hampir sejam pada Kongres Patriotisme Remaja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan betapa semangat patriotisme di kalangan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi membolehkan negara mengisi kemerdekaan dengan mencipta lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa akan datang. Beliau berkata, tunjang ke arah pencapaian tersebut hanya boleh direalisasikan menerusi kerjasama erat pelbagai kaum di negara ini. Maknanya, perpaduan menjadi ‘alat’ terpenting. Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) merangkap Pengarah Institut Kajian Oksidental Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin ketika diminta pandangan berkaitan perkara ini berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, telah sampai masanya kerajaan harus menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan (MSSKK). Penubuhan MSSKK penting bagi negara kerana katanya, ia akan membawa pemahaman lebih mendalam tentang makna perpaduan itu sendiri. “Kerangka kita berbincang tentang perpaduan sebenarnya masih belum jelas. Ini dapat meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks sebenar,’’ katanya kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar HAYAT SUEET ketika ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia, Rabu lalu. Menurut Dr. Shamsul, dalam memperkatakan tentang perpaduan, masyarakat perlu melihatnya secara menyeluruh, bukan hanya selapis.
Secara dasar, wujud lima konsep perpaduan dan integrasi di negara ini iaitu apa yang dinamakan sebagai segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi. Mengulas perkara sama, beliau berkata, kesedaran tentang betapa semua pihak perlu memelihara perpaduan, turut mendorong UKM menubuhkan Institut Kajian Etnik (IKE). “Penubuhannya dijangka tidak lama lagi. Ia telah diluluskan oleh kementerian cuma perlu melalui proses-proses terakhir,’’ kata beliau lagi. IKE jelasnya, akan bertanggungjawab menangani dua cabaran terbesar berkaitan dengan soal memupuk semangat perpaduan iaitu mengurangkan konsep segregasi dan meningkatkan empat konsep yang lain. MINGGUAN: Apa yang Prof. dapat simpulkan tentang kebimbangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menyentuh soal patriotisme dan perpaduan rakyat? PROF. SHAMSUL: Apa yang dicakapkan oleh Pak Lah penting untuk kita mengambil perhatian serius kerana ini bukan sahaja harapan beliau tetapi juga harapan negara. Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita mengatasi hambatan-hambatan yang ada. Hambatan-hambatan ini bukan hanya bersifat peribadi atau individu tetapi juga struktural dan tersulam dalam sejarah menyebabkan keadaan ini wujud sejak pembentukan Malaysia lagi. Apakah hambatan-hambatan yang dimaksudkan itu? PROF. SHAMSUL: Pertamanya, kalau kita lihat Perlembagaan, banyak kontradiksi di dalamnya. Di satu peringkat, kita hendak mempertahankan sistem pendidikan berbilang kaum, di satu lagi peringkat, kita mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini terkandung dalam Perlembagaan. Maknanya, ada akta pendidikan yang mengizinkan ini berlaku tetapi pada peringkat lain, kita juga inginkan perpaduan. Satu lagi hambatan yang besar dalam masyarakat kita ialah kerana kita berbilang kaum. Kaum-kaum ini pula sentiasa melihat apa sahaja perkembangan yang tidak menguntungkan atau menjejaskan kepentingan mereka, dianggap merugikan – zero sum game – itu set minda kita. Dan hakikatnya, kewujudan parti-parti politik yang mewakili kaum itu menambahkan kesukaran ini. Lihat sahaja baru-baru ini apabila MCA membangkitkan soal tender. Reaksi kita ialah kita akan kehilangan peluang (hak). Memang begitu persepsinya kalau kita melihat dari sudut zero sum game tetapi kalau dari sudut ‘situasi menang-menang’ persepsinya lain. Katakanlah satu kontrak untuk membina bangunan bernilai RM10 juta. Kita tahu kemungkinan orang Melayu untuk membinanya bukan mudah. Mungkin hak tender yang bernilai RM2 juta dapat kepada orang Melayu tetapi RM8 juta lagi siapa yang dapat? Mereka yang mampu membina. Siapa mereka ini? Jadi kerjasama memang sudah ada. Tetapi yang difokuskan ialah RM2 juta sahaja, yang RM8 juta projek kepada kaum lain kita tidak bincang. Bagi saya memang kerjasama ada, malah tidak dapat dielakkan, justeru terpaksa diadakan oleh setiap kaum. Maksudnya asas perpaduan kita belum jelas? PROF. SHAMSUL: Apakah maksud perpaduan sebenarnya, itu yang kita mesti jelas. Kalau bahasa menjadi asasnya, maka kita menukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Tetapi setakat manakah ini sebenarnya menjadi landasan untuk kita melihat perpaduan dan pengamalannya? Dalam hal ini, tidakkah penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik itu juga satu langkah yang boleh dianggap satu lagi hambatan ke arah menggunakan bahasa sebagai perpaduan? Walaupun kita tahu bahasa Inggeris itu penting dari segi global, di Jepun, begitu juga di Belanda memang mereka mementingkan bahasa Inggeris tetapi mereka tidak melihat ia bertentangan dengan kepentingan bahasa kebangsaan masing-masing.
Maknanya, keperluan bahasa Inggeris untuk memenuhi tuntutan global itu ada, tetapi menjaga bahasa kebangsaan sebagai alat bukan sahaja untuk mendapatkan ilmu dan memenuhi kepentingan ekonomi tetapi juga berfungsi sebagai alat perpaduan, itu juga mereka kekalkan. Di manakah kita seharusnya berkompromi? Ini yang tidak jelas. Dalam hal ini, pada pandangan Prof, di mana kita seharusnya berkompromi? PROF. SHAMSUL: Kepada saya, kompromi antara kepentingan bersifat utilitarian iaitu untuk meletakkan bahasa Inggeris bagi kepentingan globalisasi itu satu kehendak, tetapi ada satu lagi kehendak iaitu untuk menegakkan satu bangsa. Persoalannya di mana kita hendak mencari jalan tengah? Ini yang tidak berapa jelas. Kita harus membuat keputusan bagaimana kedua-dua ini boleh berjalan serentak. Dan kita harus belajar daripada orang yang telah melaluinya seperti Jepun dan Belanda. Belanda sebuah negara kecil tetapi rakyatnya boleh berwacana dalam bahasa Belanda, mengeluarkan ratusan buku dalam bahasa kebangsaan mereka. Tetapi bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua yang sangat penting bagi mereka. Mengapa kita tidak melihat Belanda untuk belajar? Begitu juga Jepun? Tidak bolehkah kita melihat pengalaman-pengalaman ini untuk mencari jalan keluar kepada keadaan kita? Bukankah kerajaan melakukan pelbagai cara untuk menyatupadukan rakyat, banyak program disusun atur semata-mata ke arah perpaduan? PROF. SHAMSUL: Bagi saya, ini belum dilakukan secara serius dan berkesan. Memandang, melihat, memberi pendapat satu hal, tetapi pernahkah kita, misalnya, membuat lawatan atau memanggil pakar dari Belanda untuk menghuraikan hal ini? Adakah kita perlu mengubah sistem sedia ada untuk mencapai matlamat? PROF. SHAMSUL: Saya merasakan ada perkara- perkara dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui sebagai satu kontrak sosial, salah satunya penggunaan bahasa. Kalau di Eropah, antara tujuan negara bangsa ialah untuk menghomogenkan bangsa dari segi bahasa dan budaya. Mungkin kita tidak dapat mencapai 100 peratus matlamat ini kerana sifat negara kita yang berbilang kaum. Belanda dan Jepun lebih mudah. Tetapi di sinilah kita memerlukan kreativiti dan inovasi. Kalau kita mengaku kita menjadi negara contoh, boleh atau tidak kita mengambil satu langkah lagi untuk melihatkan contoh cara menyelesaikan masalah yang wujud ini? Bagi saya, kita kena buat perubahan-perubahan itu. Kalau ia perlu meminda akta, meminda Perlembagaan, saya menganggap itu satu kemestian tetapi sebarang tindakan, mesti melalui perundingan. Tidakkah tindakan ini akan menggugat kontrak sosial yang telah dipersetujui? Secara tidak langsung juga akan memberi ruang kepada pihak lain terus mendesak melakukan perubahan? PROF. SHAMSUL: Perlembagaan adalah satu dokumen yang hidup. Ia telah melalui beratus kali pindaan di macam-macam bahagian. Pindaan bukan satu perkara baru. Meminda untuk menyesuaikannya dengan keperluan, bukan sengaja suka-suka. Kalau keperluan kita mewujudkan perpaduan nasional melalui usaha-usaha dan langkah seperti itu, mengapa tidak dilakukan? Tetapi jangan dilakukan tanpa berunding kerana kekuatan Malaysia ialah melalui perundingan. Kita perlu berunding sesama sendiri. Mungkin akan ada orang yang menentang berasaskan hujah masing-masing, itu sebabnya saya katakan dalam konteks bahasa, ia adalah sebagai wahana untuk perpaduan nasional. Apa alasan Prof. mengatakan begini? PROF. SHAMSUL: Dua fungsi bahasa ialah pertama sebagai utiliti, kegunaan, fungsi, ekonomi dan sebagainya. Satu lagi fungsi ialah untuk perpaduan kerana ia memberi satu landasan bersama untuk semua murid bertutur, memahami dan sebagainya. Ini boleh dilaksanakan dan tidak
bertentangan. Masalahnya orang melihat kedua-dua fungsi ini sebagai bertentangan. Kita heboh dengan konsep ‘situasi menangmenang’, macam-macam istilah kita gunakan. Mengapa tidak memikirkan kepentingan itu tadi? Mengapa harus kita berfikiran zero sum game, yang ini menang dan itu kalah? Saya rasa, set minda itu yang perlu diubah dahulu untuk membentuk ruang ke arah perpaduan nasional. Pak Lah dalam ucapannya juga mengingatkan rakyat tentang pentingnya kita memperkukuhkan semangat patriotisme. Bagaimana Prof. melihat nilai patriotisme di kalangan rakyat? PROF. SHAMSUL: Apa yang kita harapkan melalui patriotisme itu ialah kasih sayang kepada negara. Sama ada mereka sayang kepada negara atau tidak, itu satu perkara yang sukar dan tidak ada negara dalam dunia dapat mengukur nilai ini. Apa yang dapat kita lihat cuma penjelmaan kasih sayang ini. Penjelmaan menggunakan bahasa kebangsaan, menerima sistem yang boleh menyatupadukan, menggalakkan perbincangan lebih terbuka mengenai hal- hal ini, bukan hanya mengutamakan kepentingan masing-masing dan memikirkan tentang masa depan. Malangnya kebanyakan kita tidak memikirkan masa depan, tetapi lebih memikirkan kepentingan sekarang. Negara telah 50 tahun merdeka. Hubungan antara kaum dikatakan masih rapuh dan membimbangkan pemimpin negara. PROF. SHAMSUL: Itu yang dikatakan hambatan struktural-sejarah tadi. Struktur-struktur sejarah yang wujud oleh kerana lahirnya Malaysia mengikut keadaan itu. Seperti juga bayi yang lahir dengan kecacatan dan kekurangan. Kita yang perlu mencari jalan untuk mengatasinya. Pada saya, perpaduan itu harus dihalusi lagi ertinya. Hakikatnya, perpaduan itu ada berbentuk asimilasi, akomodasi, amalgamasi, akulturasi dan segregasi. Dan unsur-unsur perpaduan memang sudah ada. Kita tidak harus melihat perpaduan dalam konteks selapis, tetapi ada pelbagai lapisan tahap dan kandungan-kandungannya. Di mana tahap perpaduan kita sebenarnya? PROF. SHAMSUL: Sifat asimilasi dalam perpaduan itu memang telah ada. Contohnya, sesiapa yang hendak berkahwin dengan orang Melayu kena memeluk agama Islam. Mahukah orang Melayu menerima budaya Cina dan orang Cina menerima budaya Melayu? Lihat dari segi pemakanan, pakaian, kita melihat wujud perpaduan itu. Cuma cara kita mendefinisikan perpaduan sahaja yang tidak jelas. Jadi kalau bercakap tentang perkara ini, ia ada lapisanlapisannya. Dan spektrum kepada perpaduan itu ada lima sifatnya. Kalau kita bercakap tentang komponen-komponen dalam perpaduan ini, kita tidak akan kecewa. Pada pandangan peribadi saya, kita belum lagi sofistikated untuk memahami makna perpaduan. Cara kita melihat perpaduan itu ialah kita selalu hendak mengharapkan semuanya mesti bersama. Saya selalu menghujahkan unity is not uniformity. Seolah-olah perpaduan yang kita idam-idamkan itu didorong dan dimotivasikan oleh satu harapan unity is uniformity. Bagi saya, terlalu sukar untuk kita mewujudkan keadaan ini. Bagaimana perpaduan kita dari kaca mata Prof.? PROF. SHAMSUL: Kalau melalui empat konsep iaitu akomodasi yang makna ringkasnya, menerima perbezaan dan bersetuju bahawa kebudayaan itu hak masing-masing. Apa dia akomodasi yang jelas? Kita menerima semua perayaan. Dari segi itu kita bersedia dan memang pun sudah ada perpaduan. Perpaduan bersifat asimilasi. Kalau kita tengok, baba dan nyonya itu adalah antara contohnya. Orang bukan Islam berkahwin dengan Melayu, perlu memeluk Islam, timbul juga cakap-cakap masuk Melayu. Sebenarnya mereka boleh menolak tetapi ini terjadi kerana mereka bersedia menerimanya. Dari segi akulturasi iaitu penerimaan unsur budaya dari satu budaya lain. Dari segi pakaian, makanan dan sebagainya. Kemudian lihat konsep
amalgamasi. Ia satu proses yang terjadi apabila sesuatu budaya atau kaum bercampur untuk membentuk budaya baru. Bagi saya, kerisauan tentang tiadanya perpaduan ini tiada asas kuat. Mengapa persepsi tentang isu ini berterusan? PROF. SHAMSUL: Ini berlaku kerana pemahaman kita tentang perpaduan itu yang terlalu cetek. Kebanyakan orang melihat perpaduan sebagai satu hala – memperjuangkan kepentingan masingmasing. Konsep segregasi merupakan cabaran paling besar dalam keempat-empat konsep perpaduan tadi. Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan kumpulan etnik dengan etnik lain dalam sesebuah negara sama ada disebabkan oleh kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Mudahnya, kita ada empat komponen mendukung perpaduan dan satu cabaran perpaduan. Cabaran itu ialah segregasi. Bila MCA minta tender lebih, timbul keadaan segregasi atau keterpisahan yang dipisahkan oleh parti politik. Orang Melayu melihat desakan yang dibuat oleh MCA sebagai penghakis hak mereka? PROF. SHAMSUL: Saya menganggap permintaan yang kita anggap hakis-menghakis ini adalah perundingan yang berterusan. Saya selalu mengatakan, rakyat Malaysia sekarang semacam sudah mengambil keputusan dan bersetuju bahawa ‘‘bertikam lidah lebih baik daripada menghayun parang.’’ Kita telah memilih untuk terus-menerus berdebat. Dan bagi saya lebih baik kita berdebat daripada ‘bersebat-sebat.’ Saya tidak pernah gundah dengan keadaan ini. Bercakaplah dan terus bercakap, tetapi jangan lebih dari itu. Cara ini adalah jalan keluar yang sangat penting. Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap perasaan orang lain kerana negara kita ini majmuk. Keprihatinan itu telah sampai ke satu peringkat kematangan sehingga kita boleh berbincang walaupun ada kalanya menimbulkan kerisauan, kita tidak mencari jalan negatif atau melibatkan fizikal. Kerana kita tahu apa pun alasan, ‘menang jadi arang, kalah jadi abu.’ Kita memegang konsep ini sejak sekian lama dan inilah kelebihan kita. Apa yang perlu untuk menangani cabaran segregasi ini? PROF. SHAMSUL: Hendak menanganinya satu hal tetapi ini juga tidak menidakkan konsepkonsep lain. Jadi kita jangan berputus asa. Kita perlu bekerja lebih kuat untuk mengurangkan segregasi. Tetapi dari segi sejarah dan Perlembagaan, segregasi itu ada. Yang paling jelas soal pendidikan. Ada lima aliran sekolah pada peringkat awal sistem pendidikan kita. Apa langkah terbaik yang perlu diambil? PROF. SHAMSUL: Telah sampai masa, kita mengambil langkah-langkah praktikal dengan menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan (MSSKK) selain meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks yang sebenar. Buat masa ini, kita mungkin telah mempunyai wadah (wacana) tetapi wahananya masih tiada. Tidak dinafikan banyak perkara yang telah kerajaan lakukan. Yang terakhir ialah mengadakan kursus hubungan etnik di institusi pengajian tinggi (IPT). Persoalannya ialah, sanggupkah kita melabur lebih banyak wang dalam perkara ini? Contohnya, untuk kemajuan ekonomi kita menggunakan sains dan teknologi, kita melabur dalam bidang ini. Kita bermegah kerana kestabilan politik. Tetapi apa pelaburan kita dalam hal ini? Apa kajian dan penyelidikan yang telah kita jalankan? Kalau kemajuan ekonomi, berasaskan sains dan teknologi, kestabilan politik itu asas ilmunya apa? Ilmu sains sosial dan kemanusiaan. Ini yang kita takut untuk membuat pelaburan kerana perspektif kita ialah mereka yang berada di dalam bidang ini sukar mendapat pekerjaan, mata pelajaran ini tidak penting. Sebenarnya, ia adalah ‘tiang seri’ kepada perpaduan rakyat. Kita belajar bagaimana untuk menjambatani antara kaum melalui proses-proses yang disebutkan tadi. Kita ada Majlis Sains Kebangsaan sedangkan kita tiada MSSKK. Macam mana kita hendak membincangkan soal perpaduan kalau tidak membuat pelaburan? Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian
Pelajaran mesti bekerjasama dalam hal ini supaya dapat merealisasikan hasrat secara menyeluruh.