1.0.
PENDAHULUAN
1.1.
Pengenalan
Secara umumnya, setiap murid di dalam sebuah kelas mempunyai kebolehan dan potensi yang berbeza-beza. Murid yang cerdas dapat menerima ilmu dengan lebih mudah. Namun begitu, bagi murid yang mempunyai tahap kecerdasan yang lemah, mereka mengambil masa yang lama untuk menguasai sesuatu topik. Keadaan Jirim sememangnya mudah untuk difahami oleh murid. Namun, terdapat juga segelintir murid yang mempunyai masalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam memahami keadaan jirim, apa lagi dengan mengingatinya.
Untuk itu, para pendidik perlulah merancang serta mencari teknik, kaedah, strategi atau pendekatan alternatif yang mana bersesuaian dengan kehendak murid bagi menangani isu-isu atau masalah yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Lebihlebih lagi, perancangan seperti ini amat diperlukan demi membantu mengembangkan potensi murid seterusnya menghasilkan sebuah PdP yang berkesan. Misalnya, guru menggabungkan beberapa pendekatan ataupun kaedah seperti pendekatan koperatif digabungkan dengan beberapa kaedah pembelajaran yang menerapkan pembelajaran secara visual, auditori serta kinestatik ketika menjalankan sesi PdP di dalam bilik darjah.
1.2.
Refleksi Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP)
Pada praktikum fasa pertama yang lalu, pengkaji telah ditempatkan di salah sebuah sekolah rendah di daerah Tawau. Sepanjang tempoh praktikum tersebut, pengkaji dimandatkan untuk mengajar mata pelajaran Sains Tahun 5. Setelah mengimbas kembali pengalaman mengajar pada praktikum pertama, pengkaji mendapati bahawa corak PdP yang dirancang adalah bersifat koperatif. Pendekatan ini digunakan bagi memudahkan murid untuk saling bekerjasama menyelesaikan tugasan yang diberikan bersesuaian dengan kaedah pembelajaran pendidikan abad ke-21. Lebih-lebih lagi, pendekatan ini melatih murid untuk tidak bergantung kepada guru yang mana bertindak sebagai penyebar maklumat. Menurut Umi Kalthom & Ahmad (2014), penemuan kolaborasi seseorang pelajar dengan rakan sebaya berjaya membantu mereka dalam menyelesaikan masalah yang susah dan kompleks.
Namun begitu, terdapat masalah yang timbul semasa menjalankan aktiviti koperatif di sekolah. Masalah yang dihadapi oleh pengkaji ialah pengkaji mendapati bahawa pendekatan koperatif yang digunakan kurang memberi kesan yang positif kepada pencapaian murid. Perkara ini dikesan apabila segelintir murid kurang menumpukan perhatian dengan menunjukkan sikap yang negatif di dalam kelas. Misalnya, ada segelintir murid kurang mengambil bahagian apabila aktiviti berkumpulan di jalankan. Apabila disoal, murid tersebut tidak dapat menjawab dengan betul atau langsung tidak memberikan sebarang respon. Sebagai contoh, semasa mengajar topik Jirim, pendekatan koperatif merupakan pendekatan yang dipilih dan dianggap bersesuaian dengan isi pembelajaran yang terdapat pada topik tersebut. Pada akhir pembelajaran, dapatan murid amatlah tidak memberangsangkan. Berdasarkan pemerhatian, pengkaji mengenalpasti bahawa murid mempunyai kesukaran dalan mengingat dan memahami keadaan jirim walaupun telah diberitahu berulang kali. Masalah ini seterusnya menjejaskan objektif permbelajaran pengkaji. Rajah 1.1. menunjukkan refleksi yang di catat oleh pengkaji di dalam buku praktikum yang mana merupakan masalah yang dihadapi oleh pengkaji semasa menjalankan proses PdP ketika melalui praktikum fasa yang pertama. Kesan daripada tingkah laku negatif murid ini, penguasaan terhadap keadaan Jirim turut terjejas. Oleh itu, pengkaji berpendapat bahawa kaedah Whole Brain Teaching (WBT) dapat membantu murid dalam meningkatkan penguasaan murid terhadap keadaan Jirim.
Rajah 1.1. : Refleksi pengkaji selepas proses PdP dijalankan
2.0.
FOKUS KAJIAN
2.1.
Pemilihan Fokus Kajian
Setelah selesai proses PdP, pengkaji melakukan refleksi berkaitan dengan kelebihan dan kekurangan semasa menjalankan proses PdP. Pengkaji mendapati bahawa murid sukar untuk mengingati dan memahami fakta serta konsep asas yang terdapat pada topik jirim tahun 5 iaitu keadaan jirim. Hal ini perlu dititikberatkan kerana ini merupakan pengetahuan asas bagi menguasai topik Jirim. Jika murid tidak menguasai konsep asas ini, sudah tentu murid tidak dapat memahami topik jirim yang seterusnya kerana ia saling berkait antara satu sama lain. Walaupun sudah diterangkan berulang kali, murid masih tidak dapat mengingati dan memahami konsep asas jirim. Selain itu, murid sering menunjukkan perlakuan yang negatif seperti tidak mengambil bahagian ketika aktiviti dijalankan, suka bermain, bercerita sesama rakan, tidak menumpukan perhatian dan mengantuk. Berdasarkan lembaran kerja yang diberikan oleh pengkaji, pengkaji juga mendapati bahawa tidak dapat menjawab soalan berkaitan dengan keadaan jirim dengan betul. Tambahan pula, apabila soalan secara lisan diwartakan kepada murid, mereka tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan betul. Setelah berbincang bersama guru pembimbing, pengkaji mendapati sesetengah murid dalam kelas tersebut mempunyai masalah pembelajaran. Menurut kajian Manisah & Norizza (2016) murid bermasalah pembelajaran merupakan antara murid yang berisiko dalam aspek pemahaman dan penyimpanan maklumat berikutan keupayaan mereka dalam memberi tumpuan adalah lemah. Pengkaji membuat jangkaan bahawa penggunaan kaedah dalam pendekatan koperatif sahaja seperti pembentangan dan menyelesaian masalah tidak sesuai diaplikasikan pada murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Hal ini kerana, mereka akan menganggap sesi PdP tersebut membosankan disebabkan mereka kurang menerima sebarang input yang disampaikan oleh pengkaji. Lebih-lebih lagi, pendekatan seperti ini sering diaplikasikan oleh para guru menyebabkan keseronokan dalam pembelajaran semakin berkurangan. Pengkaji juga turut merasakan bahawa perlunya ada kaedah dan pendekatan yang baru diaplikasikan dalam proses PdP di dalam kelas bagi menarik perhatian dan minat murid agar dapat membantu meningkatkan penguasaan murid terhadap Keadaan Jirim ini. Oleh itu, penerapan kaedah Whole Brain Teaching (WBT) ini dapat membantu murid dapat meningkatkan penguasaan mereka terhadap Keadaan Jirim.
Kebolehtadbiran
WBT adalah satu kaedah atau strategi yang menggabungkan pendekatan koperatif dan arahan secara langsung (Wolken, 2017). WBT ini juga dilaksanakan berpusatkan murid. Penggunaan WBT amat sesuai diaplikasikan di dalam kelas bagi membantu murid menguasai Keadaan Jirim. Hal ini kerana, kaedah ini memberi peluang kepada murid untuk menglibatkan diri secara aktif di dalam kelas. Selain itu, WBT juga merupakan satu kaedah yang mana menggabungkan teori peniruan dan teori kecerdasan pelbagai. Di dalam teori Pembelajaran Sosial Bandura (1977) dalam Azizi Yahya dan Mohd Sofie (2010), beliau telah membuat analisis yang menyatakan bagaimana manusia belajar melalui pemerhatian. Pembelajaran adalah melalui peniruan, mengajuk dan memadan. Kaedah peniruan ini dapat dibuktikan apabila guru menyebut kata kunci keadaan Jirim serta melakukan pergerakan tubuh badan berdasarkan kata kunci tersebut. Kemudian, murid pula akan meniru semula pergerakan dan perkataan yang disampaikan oleh guru tersebut. Jika diulang berkali-kali, sudah tentu murid kemahiran mengingat murid semakin bertambah. Menurut Roslan dan Nurahimah (2017) aktiviti pengulangan sama ada sebutan atau bacaan bagi mengenal pasti sebutan yang betul atau mengingati fakta atau apa yang dipelajari. Selain itu, pergerakan murid juga berpotensi membantu murid dalam memahami keadaan Jirim. Hal ini kerana, dengan melakukan sebarang pergerakan, daya imaginasi murid akan meningkat. Oleh itu, murid dapat memahami keadaan jirim berdasarkan imaginasi mereka. Menurut Syabab (2007), murid diharapkan dapat mengamalkan pertimbangan seni visual, seni muzik dan seni pergerakan dalam meningkatkan lagi kepekaan, kreativiti, daya imaginasi untuk mencapai pembelajaran optimum, menyeluruh dan menyeronokkan. Tambahan pula, Chris Biffle (2013) di dalam bukunya menyatakan bahawa WBT menghasilkan bilik darjah yang penuh dengan keseronokan. Murid akan mematuhi peraturan kerana peraturan yang dibina amat seronok untuk dipatuhi. Oleh itu, kaedah ini amat sesuai dalam meningkatkan penguasaan murid dalam topik keadaan jirim dengan lebih menyeronokkan.
“Whole Brain Teaching (WBT) produces classroom that are full of orderly fun. Students follow our rules because we make our rules fun to follow” (Biffle, 2013) . Kaedah WBT ini adalah bersifat, visual di mana murid melihat guru melakukan pergerakan, auditori di mana murid dapat mendengar perkataan yang diperkatakan dan mengulang
kembali apa yang telah diperkatakan oleh guru tersebut serta kinestatik iaitu murid melakukan pergerakan yang sama seperti yang telah dilakukan oleh guru tersebut.
Kepentingan
Pengenalan kepada kaedah WBT dalam menjalankan proses PdP ini dapat membantu guru dalam mencari inspirasi dalam menghasilkan satu PdP yang lain dari yang lain. Selain itu, kaedah ini juga adalah mesra pengguna di mana boleh diaplikasikan dalam semua mata pelajaran di sekolah. Kaedah seperti ini juga berkesan dalam membantu guru untuk menghasilkan satu PdP yang mantap. Kaedah WBT adalah satu kaedah yang membolehkan guru menyampaikan maklumat dengan menggunakan pergerakan berdasarkan kreativiti guru itu sendiri. WBT juga mempunyai 7 elemen yang perlu diterapkan di sekolah yang mana dikenali sebagai The Big Seven. Antara elemen yang terdapat dalam The Big Seven ini ialah Class-Yes, Five Classroom Rules, Teach-Okay, The Scoreboard, Hands and Eyes, Switch, dan Mirror (Biffle, 2013). Setiap elemen ini mengandungi istilah dan fungsi yang tersendiri. Tambahan pula, elemen ini berupaya menghasilkan sebuah PdP yang menarik dan berkesan. Oleh itu, golongan pendidik haruslah mendedahkan diri dalam menguasai kaedah WBT ini. Lebih-lebih lagi, kaedah ini juga mampu menarik perhatian murid untuk mempelajari sesebuah topik serta dapat menglibatkan diri secara aktif di dalam bilik darjah. Pihak pendidikan juga perlu diberi pendedahan berkaitan dengan kaedah ini demi meningkatkan prestasi murid di sekolah. Melalui buku Whole Brain Teaching for Challenging Kids karya Chris Biffle (2013), Dominic F. Mucci menyatakan bahawa selama 38 tahun dalam dunia pendidikan, beliau tidak pernah melihat pengurusan bilik darjah yang lebih baik daripada WBT. WBT adalah kaedah yang ringkas, berkesan dan kuat. Justeru, jelaslah bahawa WBT amat penting didedahkan da diterapkan di sekolah.
Kebolehgunaan
WBT merupakan satu kaedah atau strategi yang mesra pengguna di mana kaedah ini oleh diaplikasikan dalam semua mata pelajaran mengikut kreativiti dan cara guru masingmasing. WBT ini bukanlah satu kaedah yang terhad kepada sesebuah mata pelajaran sahaja, malah kaedah ini mampu diaplikasikan di dalam semua mata pelajaran. Misalnya, guru mata pelajaran Bahasa Melayu boleh mengaplikasikan WBT bagi membantu murid menguasai topik yang berkaitan dengan kata seru dengan menggunakan pergerakan dan ayat yang tertentu. Sebagai contoh, penggunaan kata seru amboi dilakukan dengan meletakkan keduadua tangan di pinggang sambil menyebut perkataan “amboi”. Dalam mata pelajaran Sains
pula, pengkaji menggunakan kaedah WBT dalam membantu murid menguasai keadaan jirim di mana guru mengekspresi setiap perkataan yang diluahkan menggunakan pergerakan tertentu yang bersesuaian dengan perkataan tersebut.
2.2.
Tindakan
Kajian ini direka berdasarkan model kajian tindakan Kurt Lewin (1946) dan Laidlaw (1992) dalam Rosinan Edinin (2011). Model ini di pilih kerana ianya mudah difahami dan diikuti serta memberikan pengkaji idea yang jelas tentang prosedur menjalankan kajian. Menurut Lewin (1946), kajian tindakan memperlihatkan suatu kitaran langkah-langkah yang dikenali sebagai A spiral of steps. Ia adalah satu kitaran kajian tindakan mempunyai empat langkah iaitu merancang (planning), bertindak (implementasi), memerhati (observing) dan mereflek (reflecting). Kitaran ini akan berterusan ke kitaran seterusnya yang mana melibatkan merancang semula, bertindak, memerhati dan mereflek bagi menghasilkan kitaran baru.
Rajah 2.1. : Model Kajian Tindakan Kurt Lewin (1946) dan Laidlaw (1992)
Langkah 1 : Mengenalpasti Aspek Amalan Berdasarkan Model Lewin (1946), pengkaji telah mengambil kira beberapa perkara dalam mengenal pasti aspek amalan. Berdasarkan refleksi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lalu, pengkaji telah mengenal pasti masalah yang berlaku serta
mencari punca bagaimana masalah tersebut berlaku. Dalam pemilihan isu kajian ini, pengkaji mengenal pasti responden berdasarkan pemerhatian dan sesi soal jawab sepanjang proses PdP dijalankan. Pengkaji mendapati masalah ini perlu kajian dan tindakan segera. Oleh itu, pemilihan isu kajian ini diharap pengkaji dapat mendatangkan kesan yang positif untuk dipraktikkan dalam proses PdP di sekolah.
Langkah 2 : Perancangan Perancangan kajian menurut Lewin (1946) haruslah berkaitan dengan isu masalah yang telah dikenal pasti. Oleh itu, pengkaji menjalankan rujukan ke atas jurnal, kajian-kajian lepas dan bahan rujukan yang lain. Setelah itu, pengkaji menjalankan rujukan ke atas Huraian Sukatan Pelajaran Sains Tahun Lima untuk merangka interversi yang perlu dijalankan. Lebihlebih lagi, pengkaji juga mencadangkan alat-alat instrumen yang dapat mengukur keberkesanan intervensi serta cara menganalisis selaras dengan objektif khusus kajian.
Langkah 3 : Tindakan / Implementasi Dalam fasa tindakan ini, pengkaji melakukan ujian pra terlebih dahulu berkaitan dengan keadaan jirim. Setelah itu, pengkaji mula memperkenalkan kaedah Whole Brain Teaching (WBT) kepada murid. Pengkaji menerangkan elemen-elemen yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid agar murid dapat memahami setiap istilah yang digunakan sepanjang intervensi dilakukan. Setelah murid menguasai kesemua istilah yang diperkenalkan, pengkaji mula melakukan intervensi kepada murid dalam PdP. Pada ketika itu, pengkaji mula mengajar topik keadaan jirim dengan menggunakan kaedah WBT. Kemudian, pengkaji melakukan ujian pasca kepada murid untuk melihat dan mengesan keberkesanan intervensi ini. Borang soal selidik juga turut diedar untuk mengesan perubahan sikap murid setelah melakukan intervensi.
Berikut merupakan elemen atau istilah yang perlu dikuasai oleh murid; WBT ini merupakan satu kaedah yang berunsurkan kinestatik, audiotori dan visual. Ianya dilakukan secara serentak berdasarkan kreativiti guru masing-masing. WBT mempunyai 7 elemen yang perlu dipatuhi. Antara elemen yang terdapat dalam The Big Seven ini ialah Class-Yes, Five Classroom Rules, Teach-Okay, The Scoreboard, Hands and Eyes, Switch, dan Mirror (Biffle, 2013). Elemen pertama iaitu “Class-Yes” berfungsi untuk memberikan petunjuk kepada murid bahawa kelas hendak bermula. Pengkaji atas menyebut
perkataan “class” manakala murid pula akan menyahut dengan mengatakan “yes”. Apabila kesemua murid kelihatan bersedia untuk memulakan sesi PdP maka pengkaji akan beralih kepada elemen yang kedua iaitu “Five Classroom Rules”. Elemen ini dilakukan untuk memastikan murid mengetahui peraturan yang disediakan sepanjang proses PdP berlangsung. Dalam WBT terdapat 5 peraturan yang perlu murid patuhi iaitu; Peraturan 1 : Ikut arahan dengan segera (menggerakkan tangan seolah-olah hendak berjalan dengan cepat) Peraturan 2 : Angkat tangan apabila hendak bercakap (mengangkat sebelah tangan ke atas kemudian menggerakkan tangan tersebut seperti pergerakan mulut) Peraturan 3 : Angkat tangan apabila hendak meninggalkan tempat duduk. (mengangkat sebelah tangan ke atas kemudian menggerakkan jari telunjuk dan jari hantu seperti pergerakan manusia berjalan) Peraturan 4 : Membuat pilihan yang bijak. (menunjukkan signal “bagus” pada keduadua belah tangan) Peraturan 5 : Buat cikgu gembira. (menunjukkan signal seperti huruf L pada tangan dan kemudiannya didekatkan dengan mulut) Elemen yang ketiga pula ialah “Hands and Eyes”. “Hands and Eyes” adalah bertujuan untuk menarik perhatian murid supaya fokus ketika pengkaji memberi penerangan. Pada peringkat ini, murid akan meletakkan kedua-dua tangan mereka di atas meja ataupun paha dan mata melihat ke arah pengkaji. Pada masa inilah pengkaji akan memberikan penerangan berkaitan dengan pembelajaran pada hari tersebut. Misalnya, pengkaji memberi penerangan berkaitan dengan objektif yang perlu dicapai dalam topik Jirim agar murid dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang topik yang akan mereka pelajari. Elemen yang keempat ialah “Teach-Ok”. Pada fasa ini, murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kemudian, pengkaji akan menyampaikan maklumat kepada murid. Setelah itu, pengkaji akan menyebut “Teach” dan murid pula akan menyebut perkataan “Ok”. Setelah itu, murid akan berhadapan dengan pasangan masing-masing dan mereka akan menyampaikan maklumat yang disampaikan oleh pengkaji tadi kepada pasangan mereka. Kemudian, pengkaji akan bergerak dan memerhati murid tersebut untuk mentaksir mereka. Elemen yang kelima pula ialah “Switch”. Apabila pengkaji menyebut perkataan “Switch”, maka murid yang menerangkan maklumat dalam peringkat “Teach-ok” akan menjadi pendengar, manakala murid yang bertindak sebagai pendengar pada peringkat sebelum ini pula akan menyampaikan maklumat kepada pasangan mereka.
Elemen yang keenam pula ialah “Mirror”. Istilah ini digunakan apabila pengkaji hendak memberi tunjuk ajar kepada murid. Pada ketika ini, murid akan bertindak sebagai ‘cermin’ di mana mereka akan meniru pergerakan, mimik muka, dan percakapan yang dikeluarkan oleh pengkaji tersebut. Contohnya, pengkaji memberi satu ayat seperti “Jirim terdiri daripada pepejal (membuat bentuk bulat menggunakan tangan diudara), cecair (membuat pergerakan berombak) dan gas (menggayakan tangan seperti kepulan asap diudara)”. Murid kemudiannya akan meniru pergerakan, percakapan dan mimik muka pengkaji. Setelah itu, pengkaji mengulangi langkah-langkah sebelum ini seperti “teach-ok” mengikut kreativiti pengkaji. Pada ketika ini juga, pengkaji melakukan pentaksiran dengan memerhati murid di dalam kelas tersebut. Elemen yang terakhir adalah “Scoreboard”. “Scoreboard” adalah papan markah pencapaian murid. Papan markah tersebut atas sentiasa di isi sama ada pengkaji memberikan peneguhan ataupun pengkaji menolak markah pencapaian murid. Perkara ini bergantung pada tingkah laku murid di dalam bilik darjah. Tambahan pula, pengkaji mentaksir murid dengan menggunakan kaedah pemerhatian. Oleh itu, jika pengkaji melihat murid sentiasa melibatkan diri dengan lebih fokus di sepanjang proses PdP dijalankan, maka murid tersebut akan memperoleh token ataupun peneguhan yang banyak. Langkah 4 : Melihat Kesan Tindakan Fasa ini merupakan fasa pengumpulan data atau maklumat. Data dikumpul dengan menggunakan instrumen yang telah di pilih. Data atau maklumat yang diperoleh dalam kajian ini dipaparkan dalam bentuk jadual ataupun carta. Pada peringkat ini juga, data yang diperoleh dihurai dan dirumuskan. Fasa ini dijalankan sepenuhnya setelah keseluruhan aktiviti daripada ujian pra sehinggalah soal selidik lengkap dijalankan. Data dan analisis ini digunakan untuuk menilai keberkesanan intervensi yang telah dijalankan. Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih tiga instrumen, iaitu analisis dokumen, ujian pra dan pasca serta soal selidik.
Langkah 5 : Merefleksi Pada peringkat ini pula, pengkaji merenung kembali kekuatan, kelemahan perancangan serta pelaksanaan tindakan. Dalam fasa ini, pengkaji harus menilai perjalanan dan keberkesanan kajian berdasarkan dapatan daripada setiap instrumen. Pada ketika ini juga, pengkaji perlu melakukan refleksi terhadap kaedah yang telah diperkenakan kepada responden dan sejauh mana objektif dapat dicapai. Perkara ini amat penting untuk mengambil
tindakan susulan dan merancang kitaran yang kedua. Dalam kitaran yang kedua pula, pengkaji perlu menilai masalah yang wujud serta mengenalpasti punca masalah tersebut berlaku. Hal ini dapat membantu pengkaji dalam merancang penambahbaikan dalam kitaran seterusnya jika kitaran pertama tidak mencapai objektif seperti yang diharapkan.
Teori atau Prinsip Asas Kajian Huen dan Chan, (2010) dalam V. Anthony & M. Zenaida (2016) menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan minda telah ditakrifkan dalam kesusasteraan untuk belajar sesuai dengan cara bagaimana minda belajar secara semula jadi. Pembelajaran berasaskan minda ini amat memberi kesan positif dari segi motivasi dan sikap murid. Keputusan kajian mereka mendedahkan bahawa kumpulan rawatan memperoleh hasil pembelajaran motivasi yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan dalam beberapa aspek. Whole Brain Teaching adalah satu strategi yang menggabungkan pembelajaran koperatif dan arahan secara langsung (Wolken, 2017). Beliau mendapati bahawa pembelajaran yang berasaskan minda dapat memberi banyak kebaikan kepada guru dan murid di dalam bilik darjah. WBT juga merupakan satu kaedah yang menarik dan memotivasikan persekitaran bilik darjah, berpusatkan murid serta amat berkesan selaras dengan perkembangan minda kanak-kanak. Menurut Linda Yuliana (2014), hasil dapatan yang beliau perolehi selepas mengaplikasikan WBT kepada murid membuktikan bahawa terdapat peningkatan dalam minat belajar murid daripada 90.13% (kitaran pertama) kepada 95.6% (kitaran kedua). Perkara ini membuktikan bahawa penerapan WBT dalam proses PdP dalam membantu murid meningkatkan minat mereka untuk mempelajari topik keadaan jirim. Peningkatan minat ini sekaligus dapat membantu murid mempertingkatkan lagi pencapaian mereka dalam topik tersebut. Menurut Zaida (2002), teknik mengingat merupakan salah satu teknik belajar berkesan yang perlu dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh semua pelajar. Kurikulum pembelajaran secara formal hari ini membekalkan kepada pelajar pelbagai jenis mata pelajaran yang memerlukan kombinasi kefungsian otak kanan dan otak kiri. Kepelbagaian mata pelajaran ini memerlukan daya ingatan yang kuat bagi membolehkan pelajar berhadapan dengan ujian atau peperiksaan. Ria Fitriana (2014) menyatakan bahawa proses ingatan dapat dihuraikan bahawa pembelajaran dan ingatan berlaku melalui pemprosesan maklumat.
Organ deria
bergerakbalas dan menyimpan maklumat yang masuk untuk dikod, akan disimpan dan diproses dengan cara yang membolehkannya didapatkan kembali dan digunakan.
2.3. i.
Objektif Kajian Membantu murid meningkatkan penguasaan terhadap topik Jirim dengan menggunakan kaedah WBT
ii.
Membantu meningkatkan prestasi murid tentang keadaan Jirim dengan menggunakan kaedah WBT.
iii.
Mengenalpasti persepsi sikap murid selepas PdP melalui refleksi murid selepas menggunakan kaedah WBT
2.4. i.
Soalan Kajian Sejauh manakah WBT dapat membantu murid tahun 5 dalam meningkatkan penguasaan terhadap topik jirim?
ii.
Adakah WBT dapat membantu meningkatkan prestasi murid tentang keadaan Jirim dengan menggunakan kaedah WBT
iii.
Apakah persepsi sikap murid selepas PdP melalui refleksi murid selepas menggunakan kaedah WBT?
2.5. i. 3.0.
Peserta Kajian Anggaran bilangan : seramai 20 murid
PERANCANGAN 3.1.
Langkah-langkah Tindakan
Pengkaji melakukan ujian pra terlebih dahulu berkaitan dengan keadaan jirim. Setelah itu, pengkaji mula memperkenalkan kaedah Whole Brain Teaching (WBT) kepada murid. Pengkaji menerangkan elemen-elemen yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid agar murid dapat memahami setiap istilah yang digunakan sepanjang intervensi dilakukan. Setelah murid menguasai kesemua istilah yang diperkenalkan, pengkaji mula melakukan intervensi kepada murid dalam PdP. Pada ketika itu, pengkaji mula mengajar topik keadaan jirim dengan menggunakan kaedah WBT. Kemudian, pengkaji melakukan ujian pasca kepada murid untuk melihat dan mengesan keberkesanan intervensi ini. Borang soal selidik juga turut diedar untuk mengesan perubahan sikap murid setelah melakukan intervensi. Antara elemen yang terdapat dalam The Big Seven ini ialah Class-Yes, Five Classroom Rules, Teach-Okay, The Scoreboard, Hands and Eyes, Switch, dan Mirror.
3.1.1. Carta Gantt Lampiran A
3.2.
Kaedah Mengumpul Data
Menurut Othman (2011), keputusan berkaitan dengan bentuk dan jenis data yang dikumpul untuk kajian tindakan adalah bergantung kepada masalah yang hendak dikaji. Pengkaji perlu menentukan apakah data yang dapat menyumbang kepada pemahaman mereka serta masalah yang sesuai tentang masalah yang dikaji. Oleh itu, proses dan prosedur bagi memulakan pengumpulan data serta bentuk dan jenis data yang hendak dikumpul merupakan satu pendekatan yang khusus yang mana merupakan keperluan pengkaji untuk lebih memahami masalah dan amalan mereka dengan lebih lanjut. Pengkaji meggunakan 3 kaedah pengumpulan data iaitu analisis dokumen, ujian pra-pasca dan soal selidik.
3.2.1. Analisis Dokumen Menurut Kamarul Azmi (2012), analisis dokumen ialah pecahan kaedah pengumpulan data penyelidikan daripada analisis kandungan yang merupakan huraian objektif terhadap mesej komunikasi yang telah dicetak, disiarkan atau digambarkan. Dalam kata lain, bahagian mesej itu dapat didengar, diperoleh dan dilihat dengan merujuk kandungan teks pada perkataan, maksud, gambar, simbol, idea, tema atau apa-apa sahaja mesej yang telah dikomunikasikan. Dokumen merupakan sumber yang amat mudah untuk diperolehi. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan analisis dokumen untuk mengumpul data kajian melalui lembaran kerja responden. Melalui lembaran kerja mereka, pengkaji dapat mengenalpasti sama ada intervensi yang diperkenalkan benar-benar memberikan impak yang positif ataupun tidak. Lembaran kerja tersebut dipilih kerana soalan yang dihasilkan adalah mengikut Sukatan Pelajaran Sains Tahun Lima.
3.2.2. Ujian Pra dan Pasca Merujuk kepada Buku Manual Kajian Tindakan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008), dua jenis ujian iaitu ujian pra dan pos digunakan untuk membanding prestasi murid sebelum dan selepas sesuatu rawatan atau intervensi dijalankan. Jika keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding ujian pra, maka objektif kajian tercapai.
Ujian pra digunakan untuk melihat tahap penguasaan awal responden terhadap topik keadaan jirim. Instrumen yang dihasilkan adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun Lima di bawah tajuk Jirim. Ujian pasca pula dilaksanakan selepas intervensi dilakukan di atas responden. Kedua-dua ujian ini menggunakan soalan yang sama tetapi diubah dari segi kedudukan nombor soalan.
3.2.3. Soal Selidik Selain itu, pengkaji turut menggunakan soal selidik ke atas responden. Soal selidik dijalankan untuk mengenalpasti perubahan persepsi sikap murid selepas intervensi dilaksanakan. Sebanyak 8 item disediakan oleh pengkaji. Pengkaji memilih untuk menggunakan soal selidik yang mempunyai dua jawapan bagi setiap item iaitu ‘Ya’ ataupun ‘Tidak’. Hal ini dapat membantu pengkaji dapat menilai sama ada intervensi yang diperkenalkan menarik minat murid ataupun sebaliknya.
3.3.
Cara Menganalisis Data
Berdasarkan data-data yang diperolehi melalui instrumen yang digunakan oleh pengkaji, maka data tersebut akan di analisis secara manual oleh pengkaji. Menurut Rosseni (2010) data merupakan apa yang dapat kita perolehi dan simpan. Menurut beliau lagi, data menjadi maklumat apabila diolah sehingga menyelesaikan sesuatu maklumat.
3.3.1. Analisis Dokumen Pengkaji menganalisis lembaran kerja responden bagi melihat peningkatan mereka dalam menguasai topik keadaan jirim. Pengkaji mengedar lembaran kerja secara berperingkat mengikut standard pembelajaran yang terdapat pada DSKP Tahun 5. Setiap lembaran kerja yang tersebut akan diedar sebelum dan selepas intervensi tersebut diaplikasikan. Markah lembaran kerja tersebut adalah dalam bentuk peratus. Setelah itu, pengkaji akan menganalisis dapatan secara deskriptif dengan melihat perbezaan markah yang diperoleh sebelum dan selepas intervensi dijalankan.
3.3.2. Ujian Pra dan Pasca Bagi ujian pra dan pasca pula, pengkaji menganalisis data yang diperoleh secara manual. Gred markah responden akan dikelaskan mengikut Skala Gred Sistem Analisis Peperiksaan
Sekolah (SAPS) sekolah rendah. Setelah itu, pengkaji akan membuat pengiraan markah ujian pra dan pasca dengan mengunakan formula pemarkahan. Kemudian, pengkaji akan membina jadual peratus markah berdasarkan markah yang diperoleh oleh responden pada ujian pra dan pasca. Jadual tersebut mengandungi kekerapan dan peratusan markah yang diperoleh daripada responden kajian. Pengkaji seterusnya akan melihat banding beza yang terdapat pada keputusan ujian pra dan pasca secara deskriptif. Rajah 3.1. merupakan formula pemarkahan yang digunakan oleh pengkaji dalam mengira markah ujian pra dan pasca responden;
Jumlah jawapan yang betul Jumlah soalan
X 100
Rajah 3.1. : Formula pemarkahan
Markah
Gred
Diskriptor
1-19
E
Sangat lemah
20-39
D
Lemah
40-59
C
Sederhana
60-79
B
Baik
80-100
A
Cemerlang
Jadual 3.1. : Skala markah mengikut Skala Gred Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) daripada Alina (2013)
GRED
JULAT MARKAH
A
80-100
B
60-79
C
40-59
D
20-39
E
1-19
UJIAN PRA F
UJIAN PASCA %
F
%
Jadual 3.2. : Banding beza kekerapan dan peratusan gred ujian pra dan ujian pasca responden kajian daripada Zainowawi (2012)
3.3.3. Soal Selidik Soal selidik yang dihasilkan selalui mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian demografi seperti jantina, umur dan sebagainya dan bahagian yang mengandungi maklumat berkaitan dengan persepsi dan sikap resonden terhadap intervensi yang dilaksanakan. Sebanyak 8 item disediakan oleh pengkaji dalam soal selidik tersebut. Responden hanya memilih sama ‘Ya’ bagi mempersetujui pernyataan yang terdapat pada item tersebut ataupun ‘Tidak’ bagi tidak mempersetujuinya. Pengkaji akan membina jadual kekerapan dan peratus min bagi menganalisis setiap item yang terdapat pada soal selidik. Pengkaji seterusnya akan menganalisis data tersebut secara deskriptif dengan berpandukan jadual tersebut.
Item soalan
YA F
TIDAK %
F
Min %
1 2 3 4 5 6 7 8 Jadual 3.3. : Kekerapan, peratusan dan min bagi soal selidik responden berkaitan dengan persepsi sikap responden terhadap WBT daripada Mohd Nihra & Nurul Azilah (2012)