Disiplin pelajar - Kadangkala berpunca daripada guru 30/09/2003 10:38 a.m.
Marzita Abdullah GURU sendiri kadangkala boleh menjadikan pelajar hilang disiplin, kata tiga profesor madya dari Universiti Sains Malaysia (USM), hasil penyelidikan selama lapan bulan di dua buah sekolah di Johor baru-baru ini. Melabel individu pelajar sebagai "jahat" akan akhirnya menjadikan pelajar menerima diri mereka seadanya memang jahat. "Surat Putih yang dikeluarkan berkali-kali walaupun kerana kesalahan kecil turut menjadikan sipenerimanya bingung," kata juru cakap kumpulan itu, Prof. Madya Dr. Aminah Ayob. Sedangkan bagi guru, kata Aminah, Surat Putih terpaksa dikeluarkan kerana masalah disiplin yang terlalu banyak. Dalam kajian kes itu, urusan pengeluaran surat menyurat yang berkaitan disiplin telah dirujuk sebagai "di bawah tanggungjawab sistem pentadbiran sekolah.' Surat Putih merujuk kepada surat yang diberikan kepada pelajar atas kesalahan disiplin yang telah dilakukan. Mendapat Surat Putih bermakna salah laku disiplin yang dilakukan oleh pelajar akan direkodkan di dalam buku rekod peribadi masing-masing. Turut melakukan penyelidikan ialah Prof. Madya Dr. Mokhtar Ismail dan Prof. Madya Dr. Khadijah Zon. Mereka adalah penyelidik dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM). Penyelidikan dilakukan di dua buah sekolah di Johor Bahru yang mempunyai masalah disiplin tertinggi. Seramai 60 orang pelajar tingkatan 4 terlibat dalam kajian tersebut. Aminah menambah, rasa tidak puas hati dengan sistem mengundang rasa tidak seronok ke sekolah dan benci pada sekolah. "Kesalahan pelajar tidaklah serius, tetapi surat putih dikeluarkan juga," kata Aminah. Ini menyebabkan pelajar merasakan mereka telah disenaraihitamkan dan rekod mereka menjadi buruk.
Sehingga ke satu tahap, label "jahat" itu secara tidak langsung memusnahkan harapan pelajar dan memesongkan pendirian mereka sehingga ada yang melabel diri sendiri sebagai, "tidak berguna dan tidak akan berjaya." Dengan sendirinya keadaan ini akan mematikan semangat pelajar bermasalah disiplin untuk mengubah sikap. Kata Aminah, banyak juga sebab-sebab lain yang mendorong pelajar terlibat dalam masalah salah laku dan disiplin. Lebih lapan bulan kumpulan penyelidik itu berada dalam kumpulan pelajar terlibat di sekolah itu untuk memerhati dan menyelidik punca berlakunya masalah disiplin di sekolah berkenaan. Ia meliputi ponteng sekolah, bertumbuk, pergaduhan ala gangster, pergaduhan beramai-ramai antara kaum, mencuri wang, melepak. Berambut panjang, menghisap rokok, memukul dan membuli, berkelakuan samseng seperti memeras ugut, memukul orang, mengeluarkan perkataan lucah, menghidu gam dan terlibat dengan lumba motor haram. Mengikut laporan kajian itu, semua kes-kes berkenaan berlaku di luar sekolah. Kesalahan disiplin di sekolah yang dilaporkan ialah seperti melanggar peraturan sekolah, datang lewat, ponteng kelas, tidak membuat kerja rumah, melawan guru dan biadab terhadap guru. Kajian di kedua-dua buah sekolah itu mendapati ramai di kalangan pelajarnya yang didapati tidak sembahyang atau tidak mendalami hal ajaran agama (baik Islam atau agama lain). Faktor keluarga turut menyumbang kepada masalah disiplin pelajar. "Ibu bapa tidak cuba untuk memahami dan mendalami kesukaran yang dihadapai oleh anak-anak di sekolah," kata Aminah. Mereka juga kurang memberikan perhatian terhadap anak-anak dari segi perasaan dan bimbingan akademik. Ujarnya, hal ini menyebabkan pelajar ke sekolah hanya untuk memenuhi kehendak autoriti. Akibat tiada dorongan katanya, pelajar tidak bersemangat untuk belajar dan tiada dorongan untuk mencapai kejayaan, apa lagi berlumba dalam pendidikan. Sekali lagi, kajian oleh ketiga pakar itu mendapati kesibukan mencari rezeki menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai cukup masa berkualiti dengan anak-anak.
"Pelajar yang terlibat dalam salah laku disiplin itu, kesemuanya adalah dari kalangan anak-anak yang tidak mendapat kemesraan hubungan keluarga di rumah," kata Aminah. Perasaan tidak puas hati, marah, geram, sedih dan lain-lain mulai berbaur dan memupuk kerana tidak siapa yang ambil peduli, kata Aminah. Justeru, pelajar mengeluarkan dan meluahkan perasaan melalui tindakan yang dilarang. "Mungkin semata-mata untuk mencari perhatian," ujarnya. Contohnya, mereka merokok, bergaduh, menghisap ganja, berjudi, vandalisme dan sebagainya, walaupun pada asalnya cuma untuk mencuba atau bermain-main sahaja. Menurut Aminah, hasil daripada kajian kumpulan penyelidik berkenaan turut melaksanakan Program Intervensi bagi memperbaiki atau memperbetulkan sesuatu perkara yang berlaku dengan cara mengubah tingkah laku atau pemikiran orang-orang yang terlibat. Beliau menjelaskan, pendekatan kumpulan pengkaji tersebut ialah menganalisis masalah disiplin yang dilaporkan oleh pihak sekolah dan mengkaji kemungkinan sebab-musababnya. Kemudian, kata beliau, barulah dia dan rakan sejawatannya merangka program untuk membantu pelajar-pelajar yang terlibat supaya mengubah tingkah laku. Ke arah itu, ujarnya, mereka akan cuba mengalihkan sikap para pelajar bermasalah disiplin itu daripada negatif kepada positif terhadap sekolah dan pembelajaran. Katanya, setakat ini mereka telah berjaya melaksanakan intervensi ini dan mencapai kesan yang sangat menggalakkan. "Sebenarnya, pelajar bermasalah sosial dan disiplin tidak mendapat perhatian di rumah," ujarnya. Selain faktor-faktor tersebut, kajian itu juga mendapati kebanyakan daripada pelajar yang terjebak dengan masalah sosial dan disiplin ini adalah daripada keluarga yang pendapatan sederhana dan rendah, ramai ibu bapa yang bekerja kilang atau bekerja di Singapura. "Keadaan di rumah juga tidak terjaga dan tidak ada yang menjaga mereka," katanya. Selain itu, menurut Aminah, ada juga yang datang daripada keluarga yang ibu bapa telah bercerai, atau ibu bapa yang telah meninggal dunia. "Maka, mereka tinggal bersama ibu atau bapa tiri atau nenek atau abang dan sebagainya," katanya. Ditanya bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu, Aminah berkata, beliau dan rakanrakannya itu membina program kasih dan sayang serta penghayatan tentang keberuntungan diri berlandaskan teori keperimanusiaan atau humanistik.
Ini kerana, tegas Aminah, mereka percaya bahawa pelajar yang sedang menghadapi masalah seharusnya didampingi dengan cara yang paling halus dan lembut, berperikemanusiaan dan penuh simpati. Oleh itu, mereka menggunakan pendekatan kendiri iaitu merangsang pelajar menangani masalah yang mereka hadapi secara bersungguh-sungguh.
Ambil tahu dan prihatin Beliau menambah, secara tidak langsung mereka telah dapat menguasai diri sendiri dan menyedari hakikat dan tanggungjawab yang mereka perlu laksanakan sebagai seorang pelajar dan anak. "Kami cuba meningkatkan keyakinan diri pelajar bagi mengelak atau berhenti daripada melakukan kesalahan-kesalahan disiplin di sekolah atau terlibat dengan gejala-gejala buruk di luar sekolah," katanya. Selain itu kumpulan penyelidik cuba `menjinakkan' semula pelajar-pelajar ini supaya berbalik kepada tanggungjawab mereka untuk belajar dan meningkatkan motivasi belajar dan meningkatkan pencapaian akademik mereka. Pendekatan itu dijalankan dengan cara berikut: i) Menimbulkan perasaan sayang di antara pelajar. ii) Menimbulkan kesedaran terhadap keberuntungan diri sendiri (yang serba serbi sempurna) berbanding dengan orang yang malang dan ditimpa kecelakaan. iii) Menghayati kurniaan Tuhan pada bakat yang ada pada diri sendiri. iv) Merenung kelemahan diri sendiri, menyedari dan menyesali perbuatan dan kesilapan lepas. Berazam untuk berubah. v) Membina wawasan untuk memajukan diri, keluarga dan orang-orang yang disayangi. vi) Melahirkan motivasi belajar melalui cara-cara yang inovatif. Aktiviti-aktiviti di dalam program intervensi ini ialah seperti berikut: Program Sayang, Aku Simpati Dengan Nasib Mu, lawatan ke wad psikiatrik , Suria Tetap Menyinar, `My study Time-table', Belajar melalui Internet, Cermin Diri dan Fitrah ku di mana?, Membina Wawasan Masa Depan. Sebuah pusat sokongan diwujudkan di sekolah untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
Bilik itu dinamakan MAWAR MERAH iaitu mawar yang melambangkan sayang dan kebebasan, juga pengorbanan. Seorang pekerja sosial ditugaskan sebagai fasilitator dalam bilik berkenaan dan pelajar boleh datang ke bilik ini bila-bila mereka rasa bosan belajar - asalkan ada kebenaran daripada guru. Menurut Aminah, hasil pemerhatian penyelidik, sesi intervensi yang dijalankan telah berjaya mengembalikan keyakinan diri pelajar-pelajar ini ke arah yang lebih positif dan optimistik. Secara berperingkat-peringkat pelajar-pelajar bermasalah disiplin ini telah dibantu untuk mengenali diri mereka dan menyedari kesilapan tindakan mereka. "Mereka menyesal serta berazam untuk memperbaiki diri mereka pada masa hadapan," katanya. Menurut Aminah, kumpulan pelajar ini mengikuti setiap sesi di bawah Program Kumpulan Dinamik. Program itu meliputi sesi pengenalan hingga ke sesi penyelesaian masalah. "Penghargaan kendiri yang dicapai kemudian diperkukuhkan lagi melalui aktiviti-aktiviti dalam Program Sayang dan Program Aku Simpati Dengan Nasibmu," kata Aminah. Seterusnya, proses pemantauan dilakukan untuk melihat perkembangan diri setiap pelajar bagi setiap sesi intervensi. Di samping itu, tambah Aminah, para pelajar itu turut diberikan nasihat peribadi sebanyak dua atau tiga kali. Pada akhir program intervensi, 33 peratus pelajar ini menunjukkan perubahan yang sangat positif dan penurunan bilangan hari ponteng sekolah dari 22 peratus hingga 68 peratus. Di samping itu keputusan peperiksaan akhir tahun mereka juga turut meningkat, ujar Aminah. "Hal ini menunjukkan bahawa minat dan motivasi untuk belajar telah wujud semula dalam diri mereka hasil daripada program intervensi ini," katanya. Yang cukup membanggakan, katanya, ada beberapa pelajar yang benar-benar berjaya sehingga dapat meningkat ke kelas yang lebih baik. Bagi Aminah dan rakan-rakannya, perubahan positif diri pelajar dari segi tingkah laku dan minat terhadap pelajaran, didapati adalah didorong oleh rasa puas hati pelajar lantaran keperluan diri dari segi keperluan asas dan penghargaan kendiri telah dapat dipenuhi. "kini, mereka dapat merasakan bahawa diri mereka lebih dihargai," katanya.
Seterusnya, tambah beliau, keadaan ini telah menimbulkan rasa keyakinan diri yang lebih tinggi terhadap diri sendiri. Apabila keyakinan dan penghargaan terhadap diri sendiri telah wujud, maka mereka dapat berfikir secara positif dan setiap tindakan mereka adalah secara rasional dan terkawal, kata Aminah.