DASAR PENDIDIKAN DAN ISU AKTIVITI PENGUKUHAN
Aktiviti 1 1. Apakah amalan Pengetua/ Guru Besar terbaik setiap hari yang menjadikan mereka berkesan dan bagaimana untuk memindahkan amalan ini dengan cepat? Apakah pandangan ke atas penempatan Pengetua/ Guru Besar terbaik ke sekolah berprestasi rendah/ kurang berkesan? 1. Amalan guru besar atau pengetua yang baik pasti akan mempengaruhi prestasi sekolah tersebut. Pemimpin di sekolah mesti berupaya untuk membangunkan kapasiti di sekolah semaksimum mungkin untuk mencapai objektif pendidikan yang dirancang. Oleh yang demikian, mereka harus berkebolehan tinggi untuk meningkatkan kapasiti demi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, tidak dapat dinafikan segelintir daripada pemimpin di sekolah yang tidak bersedia dari aspek pengetahuan, kemahiran dan pengalaman (Md Nor, 2016). Oleh yang demikian, langkah pihak kementerian untuk meletakkan Guru besar atau pengetua cemerlang di sekolah yang berprestasi rendah merupakan suatu tindakan yang amat wajar. Aura dan kebijaksanaan pemimpin yang diyakini cemerlang itu tadi pasti akan menghasilkan suatu impak yang positif. Hal ini selaras dengan kajian yang dilakukan oleh Ishak, A. Ghani dan Siraj (2014) yang menyatakan pemimpin yang cemerlang merupakan pemimpin yang mampu menghadapi cabaran untuk memartabatkan sekolah di Malaysia sebagai suatu organisasi pembelajaran.
2. Apakah persediaan awal yang diperlukan oleh kepimpinan baru untuk mula menjalankan tugas di sekolah? Bagaimanakah untuk menyokong dan membantu mereka? Bagaimanakah meningkatkan tahap kemahiran kepimpinan sekolah sedia ada dan akan datang supaya lebih berkesan dan berterusan? 2. Persediaan terbaik untuk memimpin di sesebuah sekolah terutama bagi pemimpin
yang baru adalah keupayaan mengadaptasi dan fleksibel selaras dengan perkembangan dunia pendidikan pada masa kini (Ibrahim dan Abdullah, 2015). Perkembangan pesat yang menuju ke arah revolusi industri 4.0 dipercayai akan semakin berkembang pesat dan maju. Salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan sekolah adalah pembelajaran sepanjang hayat. Jika diperhatikan di dalam kandungan PPPM (PT) 2015-2025, ada menegaskan penekanan pembelajaran sepanjang hayat(PSH) dalam kalangan pendidik. PSH merupakan salah satu cara untuk menghasilkan pemimpin di sekolah yang cemerlang dan berpotensi tinggi.
3. Bagaimanakah memotivasi Pengetua/ Guru Besar untuk meningkatkan keberhasilan murid dan kualiti pengajaran di semua sekolah? 3. Sesuatu budaya sekolah yang sihat dan berbentuk positif bermula dengan sikap
pemimpinnnya sendiri memang tidak dapat disangkal lagi. Budaya yang terbentuk tersebut sememangnya hasil daripada motivasi dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemimpin sekolah (Abdul Ghani,2018). KOMPAS atau lebih dikenali sebagai
Kompetensi Pemimpin Sekolah Malaysia merupakan salah satu program latihan yang tersusun dan bersistematik. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pemimpin di sekolah untuk memilih kursus yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing (Raman et al., 2018).