Cerpen : Isteriku Nurjannah. Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah lagi di usia yang telah agak banyak ini. Kalaulah aku tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap berwajah tenang. Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di pipinya malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu. Aku leka. Leka dengan setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah dipersoalkan. Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku lihat ada titisan air mata gugur di pipinya. Itulah kali terakhir aku lihat dia menangis. Dia tidak menuntut apaapa dariku untuk dirinya selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramai lima orang. Dia meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang. Dalam senyuman yang kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan, mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus hidupnya sendiri. Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niatku mengahwini Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku memintanya menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku. Cuma di kala itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang dan syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya, bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik. Aku mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi. Cuma yang aku sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang sedari awal memanggil aku ayah. Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya. Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah saudara mara menentang hebat kemahuanku. Apa kurangnya Nurjannah, soal mereka. Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki semuanya. cantik dan seorang perempuan yang lengkap memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah menjadi rebutan pemuda sekampung. Di antara mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku seramai lima orang. Dia tidak pernah mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak walau aku kurang membantu. Keperluanku juga dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini terhadapnya. Segalanya cukup sempurna. Pendidikan agama untuk anak-anakku juga diberikan oleh Nurjannah. Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan tanggungjawab mengerjakan sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan. Bukan sekadar anak-anak malah aku sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah siap membentang sejadah sembahyang. Setiap kali aku pulang kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di ruang rehat. Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnya ke pasar. Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup bersamanya, Nurjannah faham benar seleraku. Selama sebelas tahun itu
juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku. Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku mengeluh kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di rumah terbongkokbongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi bonus tahunan oleh majikan, rakanrakanku resah kerana isteri masing-masing turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas. Tetapi isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya. Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku dengan Normi, madu Nurjannah. Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku merasai segala masalah seperti yang dihadapi teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang cahaya mata. Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang sekali pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya. Walau aku memperlakukannya sedemikian, dia tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan. Bersalam dan mencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan kegemaranku. Cuma yang amat aku terasa, aku kehilangan senyuman mesranya. Dia pernah meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai runcit berhampiran dengan rumah kami. Aku sedar, mungkin perbelanjaan harian dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu. Lagipun Nurjannah tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun dia hanya menggeleng kepala. Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku setelah aku berkahwin lain. Kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda membantah atau marah. Cuma antara kami kurang mesra, mungkin kerana sudah jarang berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik Nurjannah. Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menara gading. Terasakan begitu cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah menjangkau dewasa. Fahmi anakku yang sulung menjawat jawatan doktor, Fariza menjadi pensyarah, Fakhrul pula pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua hari lagi. Aku pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di majlis bersejarah baginya. Seingat aku telah dua bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik oleh Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang senang padaku. Walhal sudah banyak perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan rasa memberontak. Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan seorang suami. Aku akui bukan seorang suami yang adil. Adil dalam mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namun aku tidak menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan yang nyata antara keduanya. Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.! Hari ini Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang masak lemak cili padi. Selera sungguh aku makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza yang juga
makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap nasi ke mulut. Nurjannah membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan cerita. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan gelak tawa Nurjannah. Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari kemesraannya. Sesudah makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu di samping Fariza. Nurjannah menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat berwarna jingga. Aku masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku dengan Normi. Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah lengkap diisi hampir terlepas dari tanganku. Aku terpempan. Terkedu. Hilang sudah segala kekuatan yang ada. Aku cuba menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan dengan realiti atau sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku menunggu dengan sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya. "Bang, lapan belas tahun yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang permohonan poligami, Jannah harap abang juga boleh melakukannya sekarang," pintanya dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati. Rasanya ingin gugur air mata lelakiku. Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk pengorbanan yang telah kau lakukan. Kukira langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu. Nurjannah, barang kali beginilah deritanya hatimu dulu, ketika mahu melepas pergi orang yang dikasihi.. 'Jannah tak mahu abang terus dihumban dosa kerana sememangnya abang tidak pernah berlaku adil. Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan anak-anak kita terganggu lantaran sikap kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai ke penghujungnya. Lagi pun kesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri derhaka apabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa, mereka sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian kepadaku. "Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung mata Fariza dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. "Kami bukan tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak jaga mak cik Normi, kan ayah tak pernah tinggal mak cik Normi sorang-sorang." "Jannah, abang tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi," pintasku cuba melerai! kekusutan yang membelit diri. "Sejauh mana sekali pun abang tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka. Tanda tangan borang tu bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh. Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku. Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh Nurjannah isteriku. Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku mencari-cari sejadah yang terbentang. Tiada. Aku jatuh terduduk.