Brunei Darussalam

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Brunei Darussalam as PDF for free.

More details

  • Words: 3,153
  • Pages: 10
Kesultanan Brunei Darussalam 1 _______________________________________________________________________ _ Disediakan Oleh : Adima Semat Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan Universiti Kebangsaan Malaysia PENDAHULUAN Negara Brunei Darussalam adalah sebuah Kesultanan Melayu Islam yang telah mendukung ajaran agama yang suci ini sejak enam kurun yang lampau. Bahkan boleh dikatakan bahawa Brunei merupakan Kesultanan Melayu Islam yang terpanjang usianya di rantau ini. Di antara faktor yang mendorong negara ini dapat bertahan lama menjadi sebuah Kesultanan Melayu Islam ialah kerana pegangan raja dan rakyat di negara ini kepada ajaran Islam. Bagi menegakkan ajaran Islam, para sultan Brunei telah menyumbangkan sesuatu yang berharga untuk dicatat. Hakikat yang sukar dinafikan ialah perkembangan Islam di rantau ini mempunyai hubungan yang kuat dengan peranan yang dimainkan oleh para sultan atau raja-raja Islam. Sejarah mencatatkan bagaimana Pasai, Melaka, Bantlen, Acheh, Mindanao, Sulu dan banyak lagi termasuklah Brunei mempunyai kisah dan sejarah perjuangan serta keagungan yang tersendiri masing-masing. Justeru, kertas kerja ini akan cuba membawa kita melihat latar belakang Islam di Brunei secara ringkas serta menelusuri kembali peranan beberapa orang sultan akan sumbangan mereka dalam mendukung dan mengembangkan ajaran Islam di Brunei juga corak pemerintahan kesultanan ini. LATAR BELAKANG ISLAM DI BRUNEI SECARA RINGKAS Sebilangan ahli sejarah berpendapat, Islam telah sampai ke Brunei pada pertengahan abad ke-13 masihi. Malah dikatakan ramai pedagang Islam berbangsa Arab, Parsi dan China singgah berdagang di Brunei sejak sebelum abad ke-10, namun tidak ada tanda yang menunjukkan kedatangan mereka itu membawa kepada penyebaran Islam secara meluas di kalangan penduduk tempatan ( Sanib Said 1992:25 ). Di kalangan sebahagian penulis dan ahli sejarah bersetuju bahawa titik mula bagi tersebarnya Islam di Brunei ialah apabila pemerintah Brunei, Awang Alak Betatar memeluk Islam pada awal abad ke-15 dan kemudiannya memakai gelaran Sultan Muhammad Shah ( Awang Jamil al-Sufri 1990:86 ) ( D.S Ranjit Singh 1984:19 ) ( David Leake 1990:8 ). Kedudukan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei ini telah diperkukuhkan dengan ajaran Islam, iaitu setelah Awang Alak Betatar (sultan Brunei I ) memeluk Islam setelah berkahwin dengan Puteri Johor (puteri kepada Sultan Iskandar Shah, Temasik) ( Awang _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 2 _______________________________________________________________________ _ Jamil al-Sufri 1990:80 ). Semenjak itu, terdirilah institusi Kesultanan Melayu Islam Beraja ( Othman Mohd Yatim 1992:59 ) ( Hj. Mohd Ali Hj. Abd Razak 1996:1 ). Pada zaman permulaan pemerintahan Awang Alak Betatar ini, Brunei adalah sebuah negeri jajahan Majapahit, tetapi apabila kerajaan Majapahit lemah setelah mangkatnya Hayam Wuruk ( 1350 m – 1389 m ) maka Awang Alak Betatar memasyhurkan kemerdekaan Brunei sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Menurut ahliahli sejarah, pemasyhuran kemerdekaan Brunei oleh Awang Alak Betatar itu berlaku dalam awal kurun ke-15 m ( Hj. Awang Mohd Zain Hj. Serudin 1996:178 ). ZAMAN KEGEMILANGAN KESULTANAN BRUNEI DARUSSALAM ◘ Sultan Sharif Ali ( 1425 m – 1432 m ) Gerakan dakwah dan pengaruh Islam berkembang pesat apabila Sharif Ali yang dikatakan berasal dari keturunan Rasulullah Saw melalui Saidina Hassan atau Saidina Hussain, tetapi banyak keterangan yang menguatkan bahawa ia dari Saidina Hussain ( Dr. Hj Mohammad Hj. Abd Rahman 1996:124 ). Beliau datang bersama seorang sahabatnya bernama Sayid Alwi Ba-Faqih (terkenal dengan nama Sharif Mufaqih) ( Hj. Muhammad Abd Latif 1992:115 ). Peranan yang dimainkan oleh Sharif Ali ini ialah berdakwah dan setelah berjaya menyebarkan Islam, beliau berkahwin dengan puteri Sultan Ahmad bernama Puteri Ratna Kesuma. Setelah Sultan Ahmad mangkat, Sharif Ali atas sokongan orang ramai mengambil alih takhta sebagai sultan yang bergelar Sultan Sharif Ali, memandangkan almarhum Sultan Ahmad tidak memiliki putera. Peristiwa ini berlaku dianggarkan dalam lingkungan sebelum tahun 1426 m kerana menurut catatan China, selepas tahun 1425 m itu, hubungan di antara China dengan Puni ( Brunei ) semakin renggang dan akhirnya putus. Kemungkinan hal ini berlaku disebabkan pertukaran polisi luar negerinya yang tersendiri ( Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hj. Hakip 1995:4 ). Sultan Sharif Ali (sultan Brunei III ) dikatakan seorang sultan yang kuat beribadat dan mempunyai berkat, sehingga baginda termasyhur dengan gelaran ‘Sultan Berkat’. Bagindalah yang mula-mula mendirikan masjid, mengatur dan menguatkan pertahanan negara dengan mengarahkan rakyat membina kota batu. Sumbangan baginda ini adalah sebagai manifestasi syiar Islam. Baginda jugalah yang menjadi imam dan membaca khutbah. Ini bermakna baginda itu bukan sahaja bertindak selaku pemerintah, tetapi secara langsung berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam itu kepada penduduk tempatan ( Dr. Hj. Mohammad Hj. Abd Rahman 1996:124 ). Hubungan baik di antara kerajaan Brunei dan kerajaan Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Sharif Ali warisan sultan-sultan sebelumnya telah meninggalkan kesan yang positif, lantaran kerana dapat menarik para pedagang Muslim dan mubaligh ke Brunei. Bahkan usaha-usaha dakwah Sultan Sharif Ali bukan setakat di Brunei, malah sebeum baginda diangkat menjadi sultan Brunei ke-3, baginda pernah pergi ke Jawa sama _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 3 _______________________________________________________________________ _ ada atas keinginan sebagai pendakwah atau diutus oleh raja yang memerintah Brunei pada masa itu. Dikatakan bahawa di antara peninggalan yang diwariskan oleh Sultan Sharif Ali terhadap generasi Brunei berikutnya ialah penciptaan sebuah panji-panji yang mempunyai 3 sayap dan di atasnya terletak tunggul alam bernaga sebagai lambang kebesaran Islam. Di antara tafsiran yang dibuat mengenainya ialah sayap yang tiga itu mengandungi maksud Iman, Islam dan Ihsan. Sementara tunggul alam bernaga ialah lambang kekuasaan sultan yang menjalankan perintah Allah Taala (Dr.Hj.Muhaamad Hj Abd Rahman 1996:125 ). ◘ Sultan Bolkiah ( 1485 m – 1524 m ) Sebagai seorang cucu kepada pendakwah ulama besar Brunei (Sharif Ali), adalah dipercayai Sultan Bolkiah sedikit sebanyak mewarisi akhlak, keilmuan, semangat jihad dan ketakwaan yang dimiliki oleh datuknya, juga ayahnya sendiri. Ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa Brunei telah melalui zaman kegemilangannya semasa berada di bawah pemerintahan sultan Brunei ke-5 (Sultan Bolkiah) dan sultan yang ke-9 (Sultan Hassan). Kemasyhuran Sultan Bolkiah ialah kerana penaklukanpenaklukan yang dilakukannya, seperti yang diriwayatkan akan kejayaannya menundukkan Suluk dan Saludang ( Pulau Luzon sekarang ) dan kemudian berkahwin dengan Puteri Lela Menchanai iaitu puteri kepada raja Suluk dan puteri Datu Gamban lantas meluaskan penempatan dan meningkatkan perdagangan Brunei serta telah dapat mengembangkan syiar Islam di rantau itu ( Hj. Muhammad Abd Latif 1992:116 ). Sebenarnya, bukan negeri Suluk dan Saludang sahaja yang menjadi jajahan takluk Brunei, bahkan keseluruhan Pulau Borneo dan sebahagian Kepulauan Filipina dikuasai oleh Brunei seperti Kesultanan Sambas, Kotaringian, Kepulauan Sulu, Bolongan, Kepulauan Balabak, Banggi, Balambangan, Mantanani dan bahagian utara Palawan hingga ke Manila ( ibid ). Kejayaannya dikatakan dapat dicapai kerana semangat jihad, kebijaksanaan dalam hal-hal peperangan dan disokong pula oleh satu armada laut yang kuat. Walaupun motif yang lazimnya wujud dalam usaha seumpama ini ialah untuk meluaskan daerah kekuasaan dan perdagangan, tetapi hal ini dilihat sebagai adanya keinginan Sultan Bolkiah untuk menyebarkan Islam dengan menganggap Melaka sebuah empayar dan pusat penyebaran Islam di sebelah barat Asia Tenggara, manakala Brunei di sebelah timurnya. Ini memandangkan negara-negara yang berada di bawah jajahan takluk Melaka tidak disentuh sama sekali oleh Brunei, demikian juga sebaliknya. Seolah-olah wujud persefahaman bagi kedua-dua negara Islam yang bersahabat ini. Kedudukan Brunei bertambah kuat lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 masihi.

_______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 4 _______________________________________________________________________ _ Sesetengah riwayat menyatakan bahawa penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh Sultan Bolkiah itu tidak semestinya secara peperangan bahkan juga dengan cara berdiplomasi dan perundingan. Sifat-sifat baginda yang terkenal adil, ikhlas serta kasihkan rakyat telah menyebabkan banyak negeri-negeri yang disinggahi oleh baginda memohon perlindungan utk bernaung di bawah panji-panji Brunei tanpa memerlukan pertumpahan darah dan nyawa. ◘ Sultan Saiful Rijal ( 1533 m- 1581 m) Tugas besar yang dipikul olh Sultan Saiful Rijal setelah menaiki takhta kerajaan brunei ialah memelihara dan mempertahankan akidah Islam di Brunei. Jika baginda lemah dalam menangani cabaran ini, ada kemungkinan Brunei bertukar corak kepercayaan menjadi sebuah negara Kristian sebagaimana halnya Filipina dan Islam berkubur di negara ini. Namun begitu, baginda dengan sokongan para pembesar dan kaum Muslimin di Brunei pada masa itu telah dapat mengatasi cabaran detik-detik yang penuh mencemaskan. Perkembangan Islam di Brunei dan penyebarannya yang pesat ke kawasan-kawasan sekitarnya khasnya ke Filipina adalah merupakan kesinambungan yang berterusan dari zaman pemerintahan Sultan Bolkiah lagi. Melihat kepada aktiviti-aktiviti orang-orang Brunei yang agak menonjol di Filipina terhadap penyebaran Islam ketika itu, maka Sepanyol melihat gerakan ini perlu disekat. Bukan sahaja para pendakwah tidak dibenarkan memasuki Filipina, bahkan orang-orang Brunei juga dikehendaki meninggalkan ajaran Islam yang mereka anggap sebagai palsu dan menjalankan hukum syaitan. Sebaliknya Sepanyol mahukan Islam digantikan dengan ajaran Kristian yang mereka dakwa benar dan paling baik ( D.S Ranjit Singh 1984:22 23 ). Walau bagaimanapun, Sepanyol akhirnya gagal untuk mengkristiankan Brunei bahkan juga gagal untuk bertahan lama bagi mempertahankan kuasa politiknya di Brunei. Orangorang Brunei dengan dikepalai oleh Pengiran Bendahara Sakam iaitu adik kepada Sultan Saiful Rijal telah bangkit menentang penduduk Sepanyol di Brunei. Pengiran Bendahara Sakam ini dikatakan berjaya mengumpulkan kira-kira 1000 orang pemuda yang berani dan tahan lasak untuk diberikan latihan kepahlawanan yang secukupnya bagi menentang Sepanyol yang menjajah tanahair mereka ( ibid ). ◘ Sultan Hassan ( 1582 m – 1598 m ) Sultan Hassan (Muhammad Hassan) meninggalkan sumbangan yang besar terhadap perundangan Islam yang terpakai dalam kehidupan bermasyarakat di Brunei yang tercatat di dalam Hukum Kanun Brunei yang mengandungi 46 fasal ( Hj. Hashim Hj. Abdul Hamid 1992:81 ). Baginda di samping menyusun sistem pentadbiran, juga menghidupkan adat istiadat dan memperkukuhkan ajaran Islam. Pada zaman pemerintahannya, Sultan Hassan dikatakan sezaman dengan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 5 _______________________________________________________________________ _ memerintah Acheh. Mengikut sejarah, kedua-dua buah kerajaan Islam ini saling berhubung bahkan Sultan Hassan amat suka memandang kepada Acheh dalam menyebarkan Islam, tambahan pula Acheh dan Brunei Darussalam itu menjadi tumpuan pedagang-pedagang serta para mubaligh Islam setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Kedua-dua buah negara ini mempunyai musuh masing-masing di mana Acheh bermusuh dengan Portugis, manakala Brunei dengan Sepanyol. Brunei dan Acheh nampaknya sehaluan kerana mereka sama-sama mendukung ajaran Islam, sebaliknya Portugis dan Sepanyol selain mempunyai cita-cita politik dan menguasai perdagangan, juga menjadi penganjur Kristian ( Dr. Hj. Mohammad Hj. Abdul Rahman 1996:132 ). Bagi mengukuhkan kedudukan Islam di Brunei, salah satu usaha baginda ialah mengadakan hukum kanun yang jelas sebahagian besar kandungannya disalin dari Hukum Kanun Melaka. Hughest Hallet mengakui bahawa wujudnya hukum kanun ini adalah bermula pada zaman pemerintahan Sultan Hassan ini ( ibid ). Hukum Kanun Brunei ini lebih separuh daripadanya mengandungi unsur-unsur Islam. Sebelum zaman Sultan Hassan, hanya ada dua orang wazir dalam kerajaan Brunei, iaitu jawatan Pengiran Bendahara dan Pengiran Temenggong. Namun, pada zaman Sultan Hassan, ditambah lagi menjadi empat orang semuanya iaitu Pengiran Bendahara, Pengiran Di Gadong, Pengiran Pemanca dan Pengiran Temenggong ( D.S Ranjit Singh 1984:25 ). Sesetengah daripada jawatan ini mempunyai tanggungjawab keagamaan, umpamanya, Pengiran Bendahara Seri Maharaja wazir yang pertama adalah yang terkanan dan yang tertinggi sekali serta menjadi ketua tertinggi di dalam hal ehwal dan adat istiadat agama Islam. Kesemua ini memperlihatkan usaha-usaha Sultan Hassan dan Sultan selepas baginda untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang dapat menangani dan mendukung ajaran Islam di negara ini. ◘ Sultan Omar Ali Saifuddin III ( 1950 m – 1967 m ) Apabila Sultan Omar Ali Saifuddin menaiki takhta pada 6 Jun 1950 masihi, maka bermulalah era baru dalam pembangunan Brunei. Baginda telah merintis perkembangan Brunei dengan membuat beberapa perubahan besar dalam pentadbiran Islam. Pendidikan agama disusun semula, gerakan dakwah dipergiat, pembinaan masjid diperbanyakkan dan ajaran Islam diusahakan untuk dilaksanakan dalam semua bidang kehidupan termasuk penggubalan Perlembagaan Brunei pada tahun 1959 yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, penubuhan Jabatan Hal Ehwal Ugama pada 1954 dan penubuhan Majlis Ugama Islam pada 1955, Majlis Syariah pada 1954, Adat Istiadat dan Kebajika Masyarakat 1954, mendirikan institusi pelajaran agama bagi semua peringkat masyarakat Islam termasuk membangunkan Sekolah Arab Lelaki dan Perempuan dan banyak lagi sehinggakan baginda digelar sebagai ‘Arkitek Brunei Moden’ ( Dr. Hj. Mohammad Hj. Abd Rahman 1996:134 ). _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 6 _______________________________________________________________________ _ Berkenaan dengan penubuhan Majlis Ugama Islam, suatu undang-undang telah digubal untuk menyatukan Undang-undang Adat Istiadat Melayu, Mahkamah kadi, Perlembagaan dan Pertubuhan pihak-pihak yang berkuasa dalam agama dan peraturan hal ehwal ugama. Kedudukan Majlis Ugama Islam ini adalah tinggi dan mempunyai status dan kehormatan yang tersendiri, di samping mempunyai kuasa dan wibawa yang besar dalam membuat dan menentukan dasar mengenai masalah kegamaan dan pentadbiran di negara ini. Tugas dan peranan utama Majlis Ugama Islam ialah membantu dan menasihatkan sultan segala yang berkaitan dengan agama Islam ( ibid ). ◘ Sultan Hassanal Bolkiah ( 1968 m - ) Baginda menaiki takhta pada 4 Oktober 1968 menggantikan ayahandanya dengan meneruskan usaha-usaha terhadap perkembangan Islam yang sedia ada sebelum itu. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengembangkan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada berkaitan dengan akidah mahupun muamalah, feqah, ibadah, perundangan, pendidikan termasuklah juga dakwah kepada orang bukan Islam. Di dalam titah pemasyhuran kemerdekaan Brunei Darussalam pada pagi 1 januari 1984, baginda telah bertitah menjadikan ‘Melayu Islam Beraja’ sebagai falsafah dan dasar negara menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Pada zaman pemerintahan baginda ini, tahap pelajaran agama telah ditingkatkan hingga ke peringkat menengah dan tinggi seperti membina Maktab Perguruan Ugama, membina Ma’had Islam Tutong, membina Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam, membina Universiti Brunei Darussalam yang di dalamnya juga terdapat Fakulti Pengajian Islam, membina Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Hj. Hassanal Bolkiah yang mana kesemua ini menunjukkan adanya keinginan baginda untuk melihat mutu dan tahap pelajaran agama di negara ini meningkat tinggi dari semasa ke semasa. Bagi membolehkan institusi-institusi agama berjalan dengan licin dan sempurna sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini, maka pada tahun 1986 baginda telah menaikkan taraf Jabatan Hal Ehwal Agama Islam menjadi sebuah kementerian yang tersendiri yang dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Agama Islam. Baginda juga mempraktikkan muamalah secara Islam dengan memperkenankan penubuhan Bank Islam Brunei (IBB), Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan Takaful Islam untuk beroperasi di negara ini. Baginda juga telah mengharamkan arak di Brunei dengan sepenuhnya pada tahun 1990 yang lalu. Baginda juga memerintahkan penulisan Mushaf Brunei Darussalam dan mencetaknya sebanyak lebih 150 ribu naskhah untuk digunakan oleh umat Islam di negara ini ( Dr. Hj. Mohammad Hj. Abdul Rahman 1996:135). SISTEM PENTADBIRAN KESULTANAN BRUNEI DARUSSALAM Dalam susunan pentadbiran tradisi Brunei, raja atau sultan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran negeri dibantu oleh wazir-wazir, cheteria-cheteria, menteri-menteri _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 7 _______________________________________________________________________ _ dan ketua-ketua lain yang dilantik oleh sultan. Kedaulatan raja atau sultan adalah di antara ciri-ciri utama kesatuan dan perpaduan rakyat sejak zaman berzaman. Mentaati raja yang adil dan bijaksana bersesuaian dengan konsep Ulil Amri di dalam Islam ( Othman Hj. Mat Don 1990:5 ). Pada masa pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin III, Brunei telah menempa sejarah yang amat penting kerana menerusi usaha dan kebijaksanaan baginda, negara Brunei telah mempunyai Perlembagaan Bertulis ( Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hj. Hakip 1995:211 ). Perlembagaan ini telah diilhamkan dan diperjuangkan baginda menerusi beberapa perundingan dengan kerajaan British sejak 1953 masihi lagi dan dipersetujui dalam perundingan pada tahun 1959. Perjanjian ini adalah merupakan perjanjian yang penting kerana dengan termeterinya perjanjian itu, maka Brunei mengambil alih pemerintahan dalam negeri. Ianya merupakan tahap peralihan yang besar kerana pentadbiran dalam negeri adalah ditadbir oleh anak negeri. Dengan perlembagaan tersebut, kuasa pemerintahan tertinggi ialah sultan dengan dibantu oleh menteri besar dan timbalan menteri besar. Mereka ini dibantu pula oleh setiausaha kerajaan yang menjalankan tugas-tugas mengenai hal ehwal pentadbiran, peguam negara yang bertanggungjawab mengawal undang-undang negara dan pegawai kewangan negara yang bertanggungjawab mengawal perkara-perkara yang berkaitan dengan kewangan negara. Di dalam perlembagaan itu juga mensyaratkan jawatan menteri besar, timbalan menteri besar dan setiausaha kerajaan mestilah dijawat oleh anak Melayu jati Brunei yang beragama Islam dan bermazhab Ahli Sunnah Wal Jama’ah ( Othman Hj. Mat Don 1990:11 ). Setelah pemasyhuran kemerdekaan oleh Sultan Hassanal Bolkiah pada 11 Januari 1984, struktur pentadbiran yang baru telah diumumkan. Sistem pentadbiran tersebut ialah sistem berkementerian iaitu, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Undang-undang, Kementerian Perhubungan, Kementerian Pelajaran dan Kesihatan dan Kementerian Pembangunan ( ibid ). KESIMPULAN Sejarah Islam di Brunei sangat unik dan menarik sekali di mana dapat diperhatikan menerusi kronologi yang panjang, sungguhpun ia hampir-hampir dijajah oleh Sepanyol dan akhirnya berada di bawah telunjuk British untuk beberapa abad ternyata Islam tidak mudah goyah sendinya akan senario tersebut. Sesuatu yang amat menarik juga untuk diperhatikan ialah bagaimana peranan yang ditonjolkan oleh para sultan khususnya pada zaman Sultan Sharif Ali, Sultan Bolkiah, Sultan Omar Ali Saifuddin dan terakhir juga masih menduduki takhta sehingga ke hari ini ialah Sultan Hassanal Bolkiah bukan sahaja bertindak sebagai kepala negara, bahkan turut terlibat sama dalam menegakkan ajaran Islam di Brunei Darussalam. _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 8 _______________________________________________________________________ _ Tuntasnya, inilah sebenarnya yang ingin kita lihat dalam mana-mana negara Islam hari ini, yang mana sultan bukan setakat lambang kedaulatan negara Islam beraja bahkan juga sebagai pendiri agama sebagaimana yang nyata terlukis pada kanvas sejarah Islam yang silam. Perseteruan dan kacau bilau dalam negara adalah rencam yang meninggikan peradaban, namun sejauh manakah bentuk penyelesaiannya benar-benar dapat mengampukah kegemilangan Islam. Ironisnya, kesultanan Brunei telah membuktikannya. Maka bagaimana pula dengan negara-negara Islam yang lain?. Persoalan ini harus dijawab oleh setiap diri yang mengaku dirinya Muslim. Kelemahan umat Islam pada hari ini tidak wajar diletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap penjajah, tetapi pandanglah ke dalam diri, sejauhmana tahap peratusan ‘kerosakan’ diri kita. Di sana barulah akan ditemui apakah bentuk rawatan yang paling sesuai untuknya. Wallahu A’lam

_______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 9 _______________________________________________________________________ _

BIBLIOGRAFI Awang Mohd. Zain Hj. Serudin. 1996. Brunei sebuah negara Islam: latarbelakang keislamannya. Brunei Darussalam : Universiti Brunei. Awang Muhammad Jamil al-Sufri. 1990. Tarsilah Brunei, sejarah awal dan perkembangan Islam. Brunei Darussalam: Jabatan Pusat Sejarah. Awang Muhammad Jamil al-Sufri. 1992. Liku-liku perjuangan pencapaian kemerdekaan negara Brunei Darussalam. Brunei Darussalam: Jabatan Pusat Sejarah. David Leake, Jr. 1990. Brunei, the modern southeast-Asian Islamic sultane. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. D.S Ranjit Singh. 1984. Brunei 1839-1983, The problems of political survival. Singapore: Oxford University Press. Hashim Hj. Abdul Hamid, Hj. 1992. Melayu Islam Beraja, satu kesinambungan sejarah Brunei. Jurnal Darussalam 1:77 85. Mohammad Hj. Abdul Rahman, Dr. 1996. Peranan para sultan dalam perkembangan Islam di negara Brunei Darussalam. Prosiding Seminar Antarabangsa Kesultanan Melayu Brunei di Nusantara, 1:123 128. Mohd. Alwi Hj. Abd Razak, Hj.1996. Brunei Darussalam. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka. Muhammad Abd. Latif, Hj. 1992. Latarbelakang Islam di Brunei. Jurnal Darussalam 1:111 119. Othman Hj. Mat Don. 1990. Pentadbiran Brunei Darussalam, Suatu Tinjauan Ringkas. Pusaka 3:5 30. Othman Mohd. Yatim. 1992. Penyelidikan dan Penulisan Sejarah Kedatangan Islam Ke _______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Kesultanan Brunei Darussalam 10 _______________________________________________________________________ _ Nusantara, Suatu Tinjauan Kembali. Jurnal Darussalam 1:54 60. Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hj. Hakip. 1995. Sejarah Brunei menjelang kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sanib Said. 1992. Pembentukan kerajaan Brunei Lama, teori penghijrahan dari Sumatera. Jurnal Darussalam 1:89 98

_______________________________________________________________________ _ Adlin 2001 / Masyarakat Muslim Asia Tenggara

Related Documents