1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak - Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. - Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anakanak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik. - Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka. 2. Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan - Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. - Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. 3. Memberikan perhatian dan kasih sayang - Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. - Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. - Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.
4. Memberikan didikan agama dan moral - Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah. - Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan. 5. Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak - Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi. Penutup - Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan barsama.