Berbakti Kepada Ibu Bapa: Antara Sunnah Dan Adat Oleh: Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi Islam memandang tinggi peranan wanita di dalam kehidupan.Salah satunya ialah Islam mengangkat kedudukan ibu.Ibu ialah mereka yang telah melahir, memelihara dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang.Beban, kesukaran dan jerit perih mereka mengandungkan kita selama hampir sembilan bulan sehinggalah usia kita mencapai dua tahun digambarkan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya: Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.Dengan demikian Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembalimu(untuk menerima balasan). (Luqman 31:14) Allah s.w.t memerintahkan agar kita berbuat baik kepada ibu bapa selepas perintahNya agar menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu sepertimana firmanNya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.( al-Isra` 17:23) Berbuat baik kepada keduanya dengan sebaik-baiknya merangkumi keseluruhan bentuk kebaikan baik perkataan dan perbuatan kerana mereka berdua(ibu bapa) merupakan sebab wujudnya seorang hamba dan bagi mereka berdualah kasih sayang dan juga kebaikan yang dicurahkan kepada seorang anak.( Syeikh`Abdul Rahman Ibn Nasir asSa`di, Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannaan ms 488, Dar al Hadith Kaherah 1426H) Umum mengetahui berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan salah satu daripada perintah dan juga ajaran Islam.Malah kedudukannya sangat tinggi di dalam agama.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: “ Ya Rasulullah! Siapakah orang yang paling harus aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.w menjawab: “ Ayahmu.”( HR Bukhari no:5514)..Berkata Ibn Batthal: “ Hal ini(disebut Ibu sebanyak tiga kali mendahului seorang ayah) kerana kesusahan ibu merangkumi tiga keadaan yang susah iaitulah ketika mengandung kemudian melahirkan kemudian menyusukan, hal ini adalah kesusahan yang hanya ditanggung oleh seorang ibu manakala si ayah hanya berkongsi kesusahan bersama si ibu dalam mendidik(dan memberi nafkah)terhadap seorang anak.( Ibn Hajar al-`Asqalani, Fathul Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari 17/ 90, Maktabah Syamilah edisi ke -2) Jumhur ulama juga berpendapat wajib mendahulukan ibu berbanding ayah.Banyak lagi kelebihan berbuat baik terhadap ibu bapa yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith
Nabi s.a.w antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas`ud r.a katanya:Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “ Amalan apakah yang paling utama?” Jawab Nabi s.a.w: “ Solat pada waktunya” Aku bertanya lagi: “ Kemudian?” Jawab Nabi s.a.w: “ Berbuat baik kepada kedua ibu bapa…” (HR Muslim no:120) Di dalam riwayat yang lain Nabi ditanya tentang amalan apakah yang boleh mendekatkan diri ke syurga dan sangat dicintai oleh Allah lantas Nabi menjawab di antaranya ialah: “ Berbuat baik terhadap kedua ibu bapa” Jika kita teliti dan mentadabburi kalam Allah s.w.t yang Maha Indah dan Maha Benar serta petunjuk Nabi s.a.w maka kita akan mendapati perintah, kelebihan dan juga fadhilat berbuat baik terhadap kedua ibu bapa sudah cukup untuk menggalakkan kita agar berbakti terhadap kedua-dua orang tua sama ada ketika mereka masih hidup mahupun sesudah mereka meninggal dunia.Ketika mereka masih hidup kewajipan seorang anak ialah berbuat baik terhadap mereka dengan sentiasa manis muka terhadap mereka, berlemah lembut, merendah diri, mendoakan kesejahteraan mereka dan membantu mereka jika mereka memerlukan bantuan.Adapun setelah mereka meninggal dunia maka kita dituntut agar memperbanyakkan istighfar, dan mendoakan ke atas mereka,melangsaikan hutang mereka dan juga nazar mereka , berhubung dan menziarahi sahabat-sahabat baik mereka .Firman Allah ta`ala: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika waktu kecil" (al-Isra` 17:24) Petunjuk Nabi s.a.w yang telah sempurna tidak pernah mengajar kita untuk berbuat baik terhadap kedua orang tua selepas kematian mereka dengan menyedekahkan al-Fatihah, membuat majlis tahlilan, membaca yasin dan sebagainya.Apa yang di ajarkan Nabi s.a.w ialah dengan kita memperbanyakkan doa agar Allah mengampuni mereka dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka baik di dunia mahupun di akhirat.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “ Apabila matinya seorang manusia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak Soleh yang mendoakannya”. ( HR Muslim no:3084) Berkata para Ulama` ketika mensyarahkan Hadith ini: “ Bahawasanya (pahala)amalan si mati akan terputus disebabkan kematiannya kecuali dalam tiga perkara tersebut disebabkan ianya merupakan sebab(yang boleh si mati mendapatkan pahala) atas usahanya(ketika hidup) sesungguhnya anak itu adalah usahanya,begitu juga ilmu yang ditinggalkannya sama ada melalui pengajaran ataupun penulisan begitu juga sedekah jariah seperti hartanya yang diwakafkan ( anNawawi, Syarh Shahih Muslim 2/61, Maktabah Syamilah) Nabi s.a.w pernah bersabda: “ Sesungguhnya sebaik-baik makanan yang dimakan seseorang yang berasal dari usahanya dan anak adalah termasuk usahanya”.(Hadith Shahih riwayat Abu Daud no:3061 an-Nasaie no:4373,Ahmad no:22904 lihat Irwaaul Ghalil,7/230) Adapun pahala bacaan al-Quran untuk si mati adakah sampai atau tidak, menurut Imam Nawawi di sana terdapat khilaf di kalangan ulama` tetapi mazhab Syafi`e dan jumhur Ulama` berpandangan ianya tidak sampai.Penulis berpandangan ianya tidak sampai kerana amalan tersebut tidak pernah ditunjukkan oleh para sahabat dan juga ulama Salaf.Pendapat ini lebih dekat dengan firman Allah ta`ala: . Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.( an-Najm
53:39) Dan ingatlah setiap amalan yang tidak mengikuti petunjuk Nabi s.a.w maka ianya tertolak dan sia-sia.Sabda Nabi s.a.w: Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berdasarkan urusan(petunjuk)kami maka ianya adalah tertolak.( HR Bukhari no:2499) Adapun mengadakan kenduri arwah, tahlilan dan juga bacaan Yasin dirumah si mati maka hukumnya sudah thabit akan keharamannya di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jarir Ibn `Abdullah Ibn Bajalli r.a katanya: “Kami(Para Sahabat) memandang berkumpul di rumah si mati dan mengadakan jamuan makanan adalah sebahagian daripada ratapan”.( HR Ibn Majah no:1601, dinilai Shahih oleh al-Albani .Lihat Shahih Ibn Majah no:1612, 4/112) Nabi s.a.w melarang sekerasnya ratapan ketika menghadapi kematian dengan larangan yang keras malah amalan tersebut merupakan amalan kaum jahiliyyah, hal ini sepertimana yang diriwayatkan dari Abu Malik al-Asy`ari bahawasa Rasulullah s.a.w bersabda: “ Empat hal dari kebiasaan Jahiliyyah yang masih dilakukan umatku dan tidak juga ditinggalkannya, iaitu berbangga-bangga dengan keturunan, mengingkari keturunan, meminta hujan dengan ramalan bintang dan meratapi mayat.Wanita yang meratapi mayat, jika tidak bertaubat sebelum mati,maka pada hari kiamat kelak dia akan memakai baju yang diperbuat dari bara api yang bersalut besi”( HR Muslim no:1550,Ahmad no:21837) Justeru penulis menyeru agar kembalilah kita kepada al-Quran da as-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan kita termasuklah dalam niat kita untuk berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa kita.Janganlah kita berani menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t melalui lisan RasulNya s.a.w .Firman Allah ta`ala: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.( an-Nahl 16:116)
Taiping, 12:57 a.m 16 Jamadil Ula 1430H/ 11 Mei 2009 Menurut Kaca Mata Yang Shahih