Awan hitam amaran ribut akan melanda Oleh Nuri Angkasa KITA menyedari bahawa memancing sama ada di laut mahupun di sungai dan tasik adalah hobi yang masing-masing yang kadang kala berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan sama ada dalam perjalanan mahupun ketika berada di lokasi. Kali ini, ruangan Petua Pak Nuri menumpukan fokus ketika memancing di laut yang banyak perlu diketahui oleh pemancing terutama pemancing generasi muda yang baru berjinak dengan hobi berkenaan. Pertama, untuk memahami tanda-tanda ribut akan melanda. Ia bermula dengan kemunculan awan hitam (kelabu pekat) yang menebal menutup kaki langit terutama di bahagian sebelah barat. Ini kemudian disusuli dengan angin yang mula bertiup agak kencang daripada biasa. Ia turut diikuti dengan pecahan gelombang kecil yang memutih di sana sini. Guruh sesekali berbunyi dan kilat memecah antara kumpulan awan hitam. Sejuk terasa di cuping telinga serta diikuti dengan keadaan bot mula dirasakan terumbang-ambing kiri dan kanan. Ketika berdepan dengan keadaan begini, sama ada tekong mahu pun anda yang lebih arif dengan cuaca terpaksa meninggalkan kawasan lubuk dengan seberapa segera. Walau pun pada masa itu ikan sedang rancak memburu umpan, anda mesti mengutamakan keselamatan daripada ikan. Langkah keselamatan perlu diambil. Nyawa lebih utama daripada ikan yang boleh dipancing pada masa dan hari yang lain. Justeru, usaha mencari tempat berlindung perlu dilakukan serta-merta. Anda perlu memberikan kerja sama kepada tekong. Ini termasuk membantu tekong menarik tali sauh selain segera menggulung tali pancing dan kemudian bersiap sedia untuk bergerak mencari tempat berlindung. Kerjasama dalam detik sebegini sangat berguna. Amaran terakhir ribut akan tiba bersama gelombang besar ialah sebaik saja kilat muncul menegak dari laut ke langit atau pada penglihatan mata kasar kita nampak kilat memancar tegak dari langit ke laut (itu satu tafsiran mata). Namun apa pun jika isyarat pancaran kilat menegak itu berlaku maka itu dianggap sebagai amaran terakhir bahawa kita harus bertindak segera meninggalkan lokasi dan mencari tempat selamat. Ingat, usaha menyelamatkan diri mesti dilakukan dengan pantas. Jika tidak, kita akan berdepan dengan ribut dan gelombang besar yang akan menghempas bot atau sampan. Ketika ini, semua pemancing mesti berada dalam kabin bot dalam satu kumpulan. Anda tidak digalakkan berada di luar sambil berjalan termasuk di birai bot. Dalam keadaan angin kencang bertiup serta bot dilambung ombak besar maka bahaya yang mungkin anda lalui ialah tercampak ke laut atau jatuh dalam bot dengan kecederaan serius pada mana-mana bahagian tubuh seperti kepala, sendi lengan dan kaki atau tulang belakang. Sebagai langkah terbaik, berpandulah pada petua-petua yang dikaitkan dengan tanda-tanda ribut akan turun serta bertindak pantas demi keselamatan nyawa anda. Ikutkan rasa binasa, ikutkan hati mati, ikut sahajalah Petua Pak Nuri.