ANDA ADALAH ANDA Hiduplah hari ini seolah- olah anda seorang yang istimewa.Hiduplah pada hari ini seolaholah anda hidup untuk berjaya.Hiduplah pada hari ini seolah- olah segala peluang terbentang di hadapan anda.Sepanjang hari ini sedarlah bahawa setiap pemikiran, perasaan , bauan , pandangan dan rasaan adalah suatu keajaiban kerana anda hidup pada hari ini untuk menikmatinya. Fikirkanlah betapa semua itu adalah satu anugerah yang amat berharga kerana anda adalah anda dan bukannya orang lain. Hiduplah pada hari ini dengan menyedari bahawa apa yang akan terjadi lebih penting daripada apa yang telah anda miliki. Hiduplah pada hari ini dengan penuh kesedaran tentang anda adalah sebahagian daripada realiti kehidupan ini biar siapa pun anda dan di manapun anda berada. Ketepikan kekecewaan kerana anda mampu melakukan . Hadapi masalah sebagai satu peluang kerana begitulah hal yang sebenarnya. Hidup dengan penuh matlamat dan tujuan , terfokus dan ceria kerana begitulah halnya dan itulah realiti kehidupan anda. ANDA BOLEH Anda boleh menikmati kehidupan sebagaimana yang anda inginkan. Malah anda boleh mendapatkan apa sahaja yang and idamkan daripada kehidupan ini. Anda boleh memenafaatkan diri anda ke tahap yang paling tinggi dan paling baik. Anda boleh hidup dengan penuh bahagia dan ceria. Anda boleh memulakannya pada hari ini dan hari- hari seterusnya selagi yang anda mahu dan anda mampu. Anda mampu menangani sebarang cabaran dan halangan. Anda boleh mewujudkan sesuatu yang hebat yang belum pernah anda lakukan dan ujudkan sebelum ini. Anda boleh hidup dengan penuh kesepaduan di dalam dunia serba mencabar ini. Masa hadapan anda ada di dalam tangan anda sendiri. Masa lalu boleh anda lupakan. Setidaktidaknya anda boleh belajar untuk melupakannya. Anda sekarang boleh mengikuti apa jua impian yang anda idam- idamkan sejak lama dahulu. Anda boleh, pasti anda boleh melakukannya, di sini dan sekarang ini! Itupun jika anda memutuskan untuk bertindak, sekarang !
ATASI KERAGUAN Setiap tindakan yang anda ambil adalah satu kemenangan ke atas keraguan anda. Teruskan dan ambil daya usaha yang berterusan. Teruskan dan atasi segala halangan. Pasti anda mempunyai keraguan sama seperti orang yang lain juga. Sungguhpun begitu jangan biarkan ia menghentikan langkah- langkah anda. Teragak- agak di dalam bertindak akan memberikan kekuatan kepada keraguan. Semakin kuat ia semakin sukar untuk anda bergerak. Jika anda mengalah dengan cepat ia akan menjadi impian yang menjadi kenyataan. Tetapi apabila anda mula bertindak keraguan mula kehilangan kuasa . Semakin jauh anda bertindak maka semakin ia lumpuh dan menghilang . Apabila anda berhenti seketika ia akan kembali tetapi dengan kadar yang perlahan sehingga tidak mampu untuk menggugat langkah anda. Ambil langkah pertama itu dan lihatlah bagaimana keraguan berundur. Setapak anda mara , setapak ia berundur dan akhirnya semakin jauh anda meninggalkannya. BANGUN SEMULA Anda tidak akan dapat melarikan diri daripada cobaan dan dugaan. Walaubagaimanapun anda boleh menjadikan satu prioriti kepada diri anda sendiri untuk bangun semula meneruskan cabaran biar bagaimana kuat segala cobaan dan dugaan yang menghalang. Di dalam setiap usaha seumpama itu pasti akan ada gangguan , kekecewaan dan mungkin kadangkala musibah dan bala. Masa yang diperlukan untuk pulih amat besar bergantung kepada keputusan yang anda ambil.Masa dan tenaga yang anda curahkan di dalam kemarahan dan menangisi nasib diri sendiri akan memanjangkan masa untuk anda bangun semula. Terimalah cobaan dan dugaan yang datang dan apabila ia berlaku tentukan dan putuskan bahawa anda akan melepasinya dengan kadar yang segera. Carilah yang positif di dalam setiap satunya dan ia akan membantu anda untuk kembali mengekalkan fokus dan maju ke arah matlamat anda yang asal. Orang yang berjaya dan orang yang gagal kedua- duanya tumbang dan tungganglanggang pada sesuatu masa dan ketika. Tetapi orang yang berjaya adalah mereka yang cepat bangun semula untuk meneruskan cabaran biar bagaimana kuat sekalipun badai cobaan dan dugaan yang datang melanda.
BERCITA- CITA TINGGI ATAU SOMBONG Ramai yang terkeliru di antara bercita- cita tinggi dan sombong dan menduga- duga mengapakah ia berakhir dengan kegagalan? Perbezaan di antara kedua-duanya amat tipis dan kadangkala kedua-duanya kelihatan sama sahaja.. Walaubagaimanapun hasilnya amat jauh berbeza. Bercita- cita tinggi bermaksud mengharapkan yang terbaik. Sombong pula meyakini bahawa anda adalah lebih baik daripada orang lain. Bercita- cita tinggi ialah keinginan untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Kesombongan pula percaya bahawa anda tidak ada pengganti yang hampir. Bercita- cita tinggi bermaksud melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencapai apa yang patut dicapai sedangkan kesombongan pula bermaksud bahawa dunia ini berhutang dengan anda dan anda perlu melakkukan apa sahaja untuk mendapatkannya kembali. Bercita- cita tinggi bermaksud berdisiplin dan berlembut. Kesombongan pula mendesak. Bercita- cita tinggi bermaksud bertanggungjawab dan terhormat manakala kesombongan pula memusnahkan dan menjijikkan. Adakah anda di dorong oleh cita- cita tinggi atau kesombongan ? Kesombongan akan membenamkan anda ke tanah manakala cita- cita tinggi akan menjulang anda ke langit. BERGEMBIRALAH Dunia tidak boleh membuat anda gembira. Hanya anda sahaja yang mampu untuk melakukannya, dan ia adalah lebih mudah daripada yang anda sangkakan. Anda boleh bergembira dengan hanya memutuskan untuk bergembira. Walaupun ia kelihatannya agak mudah , tetapi dengan pendekatan yang sebegitu rupa ia sebenarnya adalah pendekatan yang berkesan. Untuk menggunakan potensi yang ada sepenuhnya, anda perlu terlebih dahulu menghargai apa yang anda ada.Adakah cara yang lebih baik dengan memutuskan untuk merasa gembira dan bertuah dengan anda dan kehidupan anda sendiri? Adakah mungkin untuk berasa gembira sedangkan apa yang berlaku adalah tidak seperti yang anda inginkan, atau sesuatu yang menyedihkan menimpa anda ? Boleh! Apa yang berlaku dan mengelilingi anda bukanlah diri anda. Merasa sedih adalah sesuatu yang biasa dan tidak memudaratkan bahkan kadang- kadang sesuatu yang perlu. Kesedihan biar bagaimana tinggi sekalipun darjahnya tidak sepatutnya menggugat anda. Anda boleh merasa kecewa dengan apa yang berlaku ke atas diri dan persekitaran anda , tetapi dalam masa yang sama anda boleh merasa gembira dengan diri anda dan apa yang anda miliki di dalam masa yang sama. Di dalam kegembiraan ada tenaga yang cukup hebat dan dapat digunakan untuk mengatasi kesedihan dan kekecewaan. Bergembiralah --bukan kerana sengaja di ada- adakan tetapi kerana anda tahu kelebihan dan kekuatannya. Bergembiralah dan jadilah yang terbaik dengan potensi diri yang anda miliki.
BERIKAN BONUS KEPADA KEHIDUPAN ANDA Selesaikan projek yang sedang anda usahakan sekarang. Kejutkan seseorang dengan memberi lebih daripada apa yang mereka harapkan daripada anda Luangkan masa untuk mempelajari sesuatu yang baru. Tawarkan persahabatan dan keselesaan kepada sesiapa sahaja yang mungkin memerlukannya. Ajarkan sesuatu yang anda tahu kepada seseorang yang lain. Cari kesempatan untuk memahami pandangan orang lain yang berbeza. Berikan seseorang pujian yang okhlas. Lapangkan masa untuk berjalan- jalan. Bersihkan kertas yang berselerak di atas meja atau di dalam bilik anda. Ambillah langkah yang berani menggantikan langkah yang terlalu berhati- hati yang selalunya anda ambil di dalam bertindak. Ucapkan terima kasih kepada seseorang. Dengar dengan bersungguh- sungguh apa yang diperkatan oleh orang lain. Lakukan sesuatu yang menggembirakan untuk diri anda dan orang lain.Jadilah seorang yang sabar terhadap diri anda sendiri dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling anda. Kehidupan ini adalah istimewa jika anda bercita- cita untuk menjadikannya istimewa. Berikan diri anda sesuatu bonus pada hari ini dan lihatlah nanti betapa cerahnya hari esok hasil daripada tindakan anda itu.
BERITA BAIK Hari ini berjuta- juta orang memandu ke tempat kerja pergi dan balik dengan penuh selesa dan selamat tanpa sebarang kemalangan. Hari ini berjuta- juta orang jatuh cinta dan cinta itu kekal sepanjang usianya. Hari ini berjuta- juta orang mendermakan masa dan wang ringgit mereka kepada yang memerlukannya. Hari ini berjuta- juta orang di seluruh dunia hidup dengan penuh aman damai dan produktif sepanjang hari. Hari ini penemuan yang mengkagumkan telah berjaya dibuat. Rumah kediaman yang baru tegak terbina.Imaginasi terpancar. Kehidupan terpelihara.Persahabatan diperbaharui. Anak- anak dididik dengan sempurna. Antara hari ini dan besok , berjuta- juta perkara yang baik terjadi. Hari ini penuh dengan peluang yang positif dan kebanyakan daripada disedari dan dipergunakan sebaiknya. Apakah tidak ada bencana dan kesengsaraan di dunia ini ? Sudah pasti ada. Tetapi kebaikan juga tetap ada. Bahkan kebaikan oleh kerana terlalu banyak dan terlalu kerap sehingga sudah tidak menjadi berita sensasi lagi. Apabila sahaja anda mendengar tentang perkara yang negatif , ingatlah perkara ini: terlalu banyak yang positif di mana- mana. Banyak yang telah kita abaikan kerana terlalu biasa. Secara keseluruhannya, hari ini
adalah terlalu indah dan menakjubkan melebihi daripada apa yang dapat diucapkan oleh kata- kata dan perkataan. BERSEDIA UNTUK BERJAYA Sudah pasti anda sentiasa berharap untuk "hari yang dinanti-nantikan" itu, tetapi sudahkah anda bersedia jika ia adalah pada hari ini? Walau bagaimana besar sekalipun peluang yang jatuh ke riba anda , tidak akan ada ertinya jika anda tidak bersedia untuk menerimanya. Bersedia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah sukar dan memenatkan. Ia juga boleh menjadi sesuatu yang mengecewakan dan meletihkan. Sungguhpun begitu ia adalah amat penting. Sering kita melihat hasil dan melupakan usaha yang telah dicurahkan untuk mendapatkan hasil tersebut. Persediaan sering dilakukan secara tersembunyi tetapi ia adalah sesuatu yang mesti dilakukan tanpa kecuali. Bersedia selalunya tidak menghiburkan.Ia selalunya kerja yang kuat dan keras. Setiap orang yang pernah mengecapi walau sekecil mana sekalipun madu kejayaan, pasti tahu pahitnya jadam persediaan. Apakah yang telah anda lakukan sekarang sebagai persediaan untuk menerima peluang yang anda cari selama ini ? Tanpa persediaan yang mencukupi semua peluang itu adalah kosong belaka. Sebaliknya jika anda bersedia , semua peluang terbuka luas umpama suatu keajaiban . Yang mana satukah pilihan anda? Pilihlah untuk membuat bayaran yang setimpal dengan mengambil dayausaha yang sepatutnya untuk bersedia. Apa sahaja yang datang kepada anda selepas itu adalah sesuatu yang setimpal dengan bayaran yang telah anda buat di dalam bentuk membuat persediaan yang secukupnya secara fizikal, mental, spiritual dan sosioemosional. BERSEMANGAT Apa sahaja yang anda lakukan , lakukanlah dengan penuh semangat. Hampir setiap orang yang berusia 30 -an dan keatas, berasa ingin kembali muda semula. Apakah salah satu ciri terpenting orang muda? Bersemangat! Apabila masa berlalu dan semakin meningkat usia , kita seolah- olah kehilangan dan kekurangan semangat sama ada dengan sengaja atau kerana memikirkan bahawa itu satu hakikat dan kenyataan yang patut diterima. Semua ini adalah karut belaka. Anda mahu berasa muda dan bertenaga? Cari sesuatu yang boleh menjadikan anda bersemangat. Semangat akan menyalakan kembali lampu yang semakin suram di dalam diri anda. Semangat akan membawa anda melayari lautan kehidupan yang penuh dengan badai dugaaan dan cobaan. Semangat akan mendorong anda untuk maju ke hadapan dan meninggalkan saingan anda di belakang. Semangat adalah sesuatu yang tidak dapat di tahan- tahankan. Ia juga membuahkan kegembiraan, keceriaan dan keberkesanan. Carilah jalan untuk ke sana. Ia adalah sesuatu yang berbaloi!
BIAR APAPUN KIRANYA.. Inovasi atau penciptaan benda- benda baru datangnya daripada orang dan keadaan yang bermasalah. Kreativiti muncul daripada kalangan mereka yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Penemuan yang terhebat adalah datangnya daripada mereka yang juga berhadapan dengan cabaran dan halangan yang besar dan hebat juga. Kecemerlangan tidak akan dicapai oleh mereka yang hanya mampu berkata:" Saya akan mulakan apabila ada masa dan wang ." Kecemerlangan dan kehebatan datangnya daripada mereka yang mencari ruang dan peluang untuk menjayakan apa sahaja biar apa sekalipun cabaran dan halangan ataupun terhadnya sumber- sumber yang ada. Apakah yang melambatkan anda? Adakah kerana kekurangan sumber, seperti yang selalu anda ingatkan diri anda, atau adakah ia hanya alasan belaka? Cara yang paling mudah selalunya bukanlah cara yang satu itu sahaja . Ada banyak cara lain untuk mencapai sesuatu tujuan atau matlamat. Bilakah kali terakhir anda berkata kepada diri anda sendiri " biar apapun kiranya.."? Jangan menunggu sehingga sesuatu perkara itu sempurna. Halangan akan sentiasa ada menunggu di mana- mana. Mereka tidak akan pergi begitu sahaja. Carilah jalan untuk melalui menerusi dan mengatasi mereka. Berhenti menunggu untuk " kalaulah.." dan mulalah hidup anda dengan " biar apapun kira…". CABARAN DAN KRITIKAN Ramai orang mula mengkritik apabila sesuatu yang ingin mereka lakukan menghadapi cabaran. Kritikan ialah menunjukkan apakah yang salah.Cabaran pula ialah menunjukkan kepada kemungkinan.Kritikan boleh menjadi sesuatu yang menghancurkan.Ia melenyapkan daya usaha dan ikhtiar.Sebaliknya cabaran adalah sesuatu yang membina dan patut dilakukan kepada orang lain.Ia menjadikan seseorang itu terfokus, bertenaga , bermotivasi dan bersemangat tinggi untuk berusaha. Apabila anda cuba untuk mengkritik orang lain terlebih dahulku tanyakan kepada diri anda apakah tujuan sebenarnya anda mengkritik tersebut.Adakah tujuan anda untuk membina atau memusnahkan ?Jika anda bertujuan untuk memusnahkan , mengapakah anda perlu melakukannya? Anda tidak dapat membina diri anda sendiri dengan memusnahkan orang lain. Jika anda bertujuan untuk membina, tukarkan kritikan kepada cabaran. Lihat kepada dua penyataan berikut: "Cara persembahan anda lemah, sudah pasti anda tidak akan mendapat sebarang pesanan." dan " anda tentu akan mendapat pesanan daripada pelanggan sekiranya anda memperkemaskan lagi cara persembahan anda." Kedua- dua pernyataan tersebut menunjukkan kelemahan yang ada. Tetapi satu memusnahkan manakala yang satu lagi membina. Tidak perlu kritikan yang
memusnahkan kepada sesiapapun pada bila- bila masapun. Ia tidak memberikan sebarang menafaat.Daripada menunjukkan kesalahan , cubalah mencari jalan untuk menunjukkan kemungkinan. Itulah yang baik dan bermenafaat. CARA YANG PALING MUDAH Apabila ada sesuatu yang perlu dilakukan, anda mempunyai pilihan yang banyak. Anda boleh merungut, anda boleh mencari alasan, anda boleh tidak mengendahkannya,anda boleh mencari hujjah- hujjah yang rasional untuk menentangnya atau yang paling mudah ialah melakukannya tanpa banyak bicara. Memang benar bahawa pada akhirnya nanti anda akan terpaksa melakukannya juga. Melakukannya dengan segera tanpa banyak bicara memerlukan tenaga yang paling minimum. Melambat- lambatkan kerja, merungut dan mencari- cari alasan akan menghabiskan tenaga dan menjadikan tugasan tersebut lebih sukar untuk dihadapi nanti. Jadikan diri anda malas dengan mengambil langkah yang sepatutnya dengan segera.Jimatkan tenaga dengan bertindak segera secepat yang mungkin. Kebanyakan orang cuba untuk mengelak daripada berusaha dan bertindak menyelesaikan sesuatu tugasan, keluarkanlah diri anda daripada senarai orang yang begini. CARILAH JALAN Berapa kalikah sesuatu yang pada mulanya bermula dengan 'tidak' tetapi berakhir dengan 'ya' ? . Berapa kalikah sesuatu yang dianggap mustahil pada mulanya tetapi berakhir dengan penuh kegemilangan? Sejarah peradaban manusia adalah satu siri perubahan di dalam harapan dan siri yang berkesinambungan di dalam sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan. Hanya ada satu sahaja jalan untuk menjadikan sesuatu itu mustahil iaitu dengan tidak mencubanya. Sebaliknya banyak cara untuk menjadikan sesuatu yang mustahil itu tidak mustahil. Dalam keadaan ini usaha menjadi penentu sama ada sesuatu itu boleh atau tidak boleh dijayakan. Kejayaan dimulai dengan keputusan untuk melakukan sesuatu kemungkinan dan kemudian mengikutinya dengan komitmen dan kesungguhan. Cubaan yang tidak membuahkan hasil atau tidak menepati tahap yang telah ditetapkan bukanlah satu kegagalan. Ia sebenarnya adalah pengalaman pembelajaran yang menjurus kepada kejayaan dan pencapaian seperti yang diharapkan atau ditetapkan.Ia membekalkan ilmu dan kekuatan untuk mencari jalan ke arah matlamat tersebut. Pasti ada jalan yang membawa anda dari tempat anda berada sekarang ini ke tempat tujuan anda. Pasti ada onak dan duri, cobaan dan dugaan di dalam perjalanan ke sana , tetapi semuanya akan ke tepi sekiranya anda memutuskan untuk meneruskannya dengan tabah dan sabar ke puncak jaya. Jadi apa yang sebelumnya dianggap sebagai mustahil akhirnya terbukti tidak mustahil lagi.
CARILAH YANG TERBAIK Keceriaan dan kepuasan bukan sahaja sesuatu yang mudah diperolehi tetapi juga sukar dielakkan sekiranya itulah yang anda cari dengan penuh ikhlas. Kecemerlangan adalah matlamat anda. Tidak ada gunanya jika anda mengenepikan hidup ini dengan tidak berusaha ke arah sesuatu yang terbaik yang boleh anda fikirkan. Apa ertinya hari ini jika tidak kita memutuskan kepada diri sendiri bahawa kita akan menghayati setiap saat dengan penuh keceriaan? Keceriaan yang sebenar bukanlah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Tetapi ia adalah sesuatu yang penuh pertanggungjawaban. Menghidupkan impian anda bermakna bertanggungjawab memberikan sesuatu yang terbaik yang dapat anda berikan. Adalah sesuatu yang malang apabila kita sering mengaitkan kegembiraan dan kepuasan dengan sesuatu yang negatif seperti membalas dendam, mengelakkan daripada tugas dan tanggungjawab dan mencari- cari peluang untuk berehat sepanjang masa. Kegembiraan dan keceriaan sebenar berpunca daripada tindakan- tindakan yang kreatif, produktif dan berdisiplin. Gembira dan ceria bererti memberikan segala yang terbaik yang anda mampu berikan . Apa sahaja yang anda cari dari segi pemikiran dan tindakan pada setiap masa akan menjadi agenda anda pada hari ini, dan pasti anda akan menemuinya.Anda tidak akan dapat mengelak daripadanya. Jadikanlah ia persembahan terbaik semampu dan seupaya anda. DALAM KE LUAR Kebanyakan daripada apa yang ada di luar ini datangnya daripada dalam sama ada dari dalam kepala ataupun hati kita. Situasi luaran adalah keputusan atau hasil daripada apa yang berlaku terhadap nilai dan pemikiran. Malangnya seringkali kita membiarkan situasai luaran yang mengawal dan mempengaruhi perasaan dan pemikiran dan seterusnya mempengaruhi kesan persekitaran dalaman diri kita. Hasilnya kita terperangkap di dalam pemikiran dan realiti yang negatif. Pemikiran dan perasaan anda adalah terpisah daripada dunia luar. Sudah pasti anda boleh menjadikannya berkaitan dengan dunia luaran dan sebaliknya tetapi yang pasti yang dalam itu adalah milik anda dan anda boleh menjadikannya milik anda sahaja tanpa dapat dipengaruhi oleh orang , persekitaran ataupun peristiwa luaran. Anda berkuasa untuk mengawal walaupun bagi seseorang yang mempunyai kelemahan dan kecacatan fizikal yang teruk, tetapi beliau masih boleh mengawal pemikiran dan perasaannya sendiri. Tidak ada sebab untuk pemikiran anda menekankan apa jua bentuk negatif kepada dunia luar. Jika adapun terimalah ia seadanya dan jangan berikan ia kuasa . Musnahkan ia pada peringkat awal lagi. Ambil yang positif sahaja daripada pemikiran dan perasaan anda dan serlahkannya ke dunia luar dan lihat apakah kesan yang akan dilhasilkannya terhadap diri anda sendiri , keluarga , masayarakat, negara dan dunia keseluruhannya.
DUNIA SERBA BERKEMUNGKINAN Anda boleh membuat perubahan yang positif. Anda boleh bergerak ke hadapan dari sini, tanpa mengira siapakah anda atau apakah yang anda miliki atau apakah yang telah anda lakukan pada masa lalu. Walaupun masa lalu mempunyai kesan yang mendalam terhadap apa dan siapa anda sekarang ini, ia tidak dapat menghalang anda daripada bergerak ke hadapan apabila anda dengan penuh keyakinan memutuskan untuk melakukan sesuatu perkara. Tidak ada sesuatu apapun yang akan dapat menghalang atau memperlahankan pergerakan anda apabila anda tidak mengendahkannya sama ada orang , kumpulan ataupun keadaan. Orang lain yang sama seperti anda telah dapat melalui dan melepasi halangan yang kelihatannya sangat besar dan mencabar walaupun terhadap seseorang yang penuh dengan sikap optimistik. Orang yang seperti anda telah mencapai perkara yang tidak disangka dan diharapkan akan berjaya oleh orang lain. Tidak terkira banyaknya jalan dan haluan yang boleh anda ikuti dari sini. Ada setengahnya mencabar dan ada setengahnya amat menyenangkan. Pilihan tentang arah dan haluan yang akan anda pilih adalah terletak secara langsung di tangan anda. Bayangkan masa hadapan yang anda harapkan dan tetapkan hati serta berusahalah untuk memilih jalan yang sesuai yang akan menmbawa anda ke sana. JADIKAN SETIAP GANGGUAN BERHARGA Anda duduk di meja dengan hasrat untuk menyelesaikan tugasan anda. Tetapi setiap beberapa saat terdengar komputer anda berbunyi . Semakin kerap ia berbunyi semakin anda merasa terganggu.Akhirnya anda sampai ke suatu tahap di mana anda sudah tidak boleh bersabar lagi dengan bunyi gangguan tersebut. Selepas menyiasat puncanya anda mendapati bahawa setiap kali komputer anda berbunyi RM 50 dimasukkan ke dalam akaun anda. Kini bunyi yang mengganggu tadi menjadi satu bunyi yang merdu, indah dan menghiburkan semasa anda menyelesaikan tugasan anda. Apabila sela masa di antara bunyi itu menjadi panjang dan lama anda menjadi risau dan tertanya- tanya mengapa ia tidak berbunyi lagi. Anda cuba mencari- cari jalan untuk membuatkan ia berbunyi dengan lebih kerap lagi. Kita semua terganggu sekali seketika oleh sesuatu perkara. Tetapi di manakah punca gangguan tersebut? Adakah ia berpunca daripada gangguan itu sendiri ataupun daripada cara atau persepsi kita menerima gangguan tersebut ? Apakah yang sebenarnya membuat anda merasa terganggu? Bagaimana jika anda dapat menemukan cara untuk menjadi setiap gangguan itu berharga dan bernilai?/ Adakah ia masih tetap satu gangguan? Sering kita goyah untuk meneruskan impian dan cita- cita kita kerana gangguan yang terpaksa dihadapi di dalam merealisasikannya. Tindakan boleh menjadi satu gangguan. Memakai tali leher contohnya, mungkin membuat anda berasa tidak selesa dan terganggu. Terperangkap di dalam kesesakan lalulintas membuat anda merasa terganggu.
Mengemaskinikan buku akaun anda juga satu gangguan.Tetapi orang- orang yang cemerlang dan berjaya mesti menghadapi gangguan di dalam kehidupan mereka dan kadang- kadang lebih daripada apa yang pernah kita alami. Apakah yang berlaku sekiranya anda cuba mengelakkan sesuatu yang anda anggap sebagai gangguan tetapi sebenarnya ia adalah batu loncatan yang dapat membawa anda kepada kejayaan? Apabila dapat anda merasa selesa dengan gangguan dan ketidakselesaan yang perlu untuk mencapai kejayaan, pulangan dan imbuhan yang menanti anda sesuangguhnya amat memberangsangkan. HARAPKAN IA Jarang anda akan mendapat lebih dariada apa yang anda harapkan. Jadikanlah satu tabiat untuk mengharapkan yang terbaik. Harapan anda bukan menjadi realiti dengan sendirinya, tetapi ia menyediakan halatuju ke arah itu. Apakah yang anda harap akan dicapai pada hari ini, minggu ini atau pada bulan ini? Bagaimana anda mengharapkan orang lain akan berhubung atau berkomunikasi dengan anda? Harapan adalah petunjuk kepada tindakan- tindakan yang bakal kita ambil. Jika kita mengetahui dengan pasti apakah yang diharapkan daripada kita , ia memberikan perancangan yang jelas tentang apakah yang akan kita lakukan. Apa sahaja yang anda harapkan dengan ikhlas, bekerja ke arahnya, memupuknya, anda akan memberikan segala perhatian , tenaga dan usaha kepada anda kepadanya .Perkara tersebut akan membantu menjadikan harapan anda sebagai satu realiti. Harapan berkuasa mempengaruhi tindakan anda sama ada secara sedar atau diluar sedar. Jika anda mengharapkan hari ini akan membosankan, maka ia akan menjadi kenyataan. Jika anda mengharapkan hari ini akan menjadi hari yang produktif dan memberangsangkan , anda akan mendapati diri anda melakukan perkara dan tindakan yang menuju ke arah itu. Jadikan mengharapkan sesuatu yang terbaik itu satu tabiat dan kemudian tetapkan hati, pemikiran dan perasaan anda untuk menjurus ke arah pengharapan- pengharapan tersebut. InsyaAllah ia akan menjadi kenyataan. HORMAT Apabila anda menunjukkan rasa tidak hormat kepada seseorang, apakah yang anda dapat sebagai balasannya ? Tidak ada apa- apa. Ia adalah salah satu cara untuk membazirkan masa dan tenaga dengan mudah.Sebaliknya apabila anda menunjukkan rasa hormat kepada seseorang yang lain, sebagai balasannya anda akan lebih dihormati. Adakah semua orang berhak menerima rasa hormat daripada anda? Tidak semuanya. Tetapi penghormatan yang diberikan bukanlah satu anugerah . Ia lebih kepada alat di dalam memahami dan berkomunikasi sesama manusia. Apabila anda menunjukkan rasa tidak hormat, anda sebenarnya menunjukkan kelemahan anda kepada orang lain. Untuk apa anda perlu menunjukkan kelemahan anda? Orang yang anda hormati anda membalas penghormatan yang diberikan kepada mereka dengan setimpal dan ini akan membuka banyak pintu- pintu kemungkinan yang positif.
Melaburlah di dalam kekuatan anda dengan menunjukkan rasa hormat kepada orang lain. Rasa hormat tidak semestinya memberi makna anda bersetuju dengan mereka di dalam segala hal. Malahan pertelingkahan yang penuh dengan rasa saling menghormati akan menjadi pemangkin kepada perkembangan dan pencapaian yang positif. Berfikirlah dengan penuh hormat, bercakap dengan penuh hormat, dan bertindak dengan penuh hormat kepada orang lain.Sudah pasti ia akan menjadikan anda lebih dihormati dan ia adalah pelaburan yang menjanjikan dividen dan bonus yang berpanjangan untuk masa yang akan datang…. IA BOLEH DILAKUKAN Sepanjang perjalanan meniti hari ini perhatikan beberapa barang dan perkara yang amat berguna kepada manusia yang lahir daripada sifat kreativiti seseorang. Perhatikan bagaimana berkuasanya komputer dan menafaat yang dibawanya sehinggakan anak- anak sekolah sudah pandai untuk menggunakannya. Begitu juga halnya dengan telefon yang semakin kecil saiznya tetapi memberi kemudahan kepada anda untuk menghubungi sesiapa sahaja di muka bumi ini dengan segera. Perhatikan juga buku- buku oleh penulis yang hebat- hebat, peralatan dan teknologi yang canggih, hasil seni yang mengkagumkan, rumah yang selesa dan selamat dan senarai ini tidak ada kesudahannya. Semua ini ujud kerana seseorang mengetahui bahawa ia boleh dilakukan. Seseorang mempunyai keyakinan terhadap sesuatu idea, dan mengambil langkah yang sesuai untuk memperkembangkannya, sering pula bekerjasama dengan orang lain untuk menjadikannya sebagai suatu realiti. Ke mana sahaja anda melemparkan pandangan, anda dapat melihat bukti yang jelas nyata dan konkrit bahawa ia boleh dilakukan. Kemana sahaja anda melihat pencapaian manusia , semuanya di dasari oleh keyakinan bahawa ia boleh dilakukan. Orang lain telah mencapai dan menyempurnakan matlamat mereka sebagai memenuhi cabaran. Ini adalah kerana mereka percaya bahawa ia boleh dilakukan. Mereka menegaskannya bahawa ia boleh dilakukan dan mereka membuktikannya. Anda juga boleh. Dan sememangnya ia boleh dilakukan. Dan sekaranglah masa yang paling sesuai untuk memulakannya. INTUISI/ILHAM/PSIKIK Persepsi anda mungkin boleh pergi lebih dalam daripada yang anda sedari. Pernahkah anda mengalami perasaan bahawa anda mengetahui sesuatu dengan terperinci sebelum sesuatu itu berlaku dan kemudian melihat ia berlaku seperti yang anda rasakan itu? Atau pernahkah anda terfikir tentang seseorang yang sudah lama tidak berjumpa dan tidak berapa lama kemudian anda bertemu dengannya? Sungguhpun ia kelihatannya luarbiasa , sebenarnya ia ujud. Ia adalah kesedaran dalaman persepsi anda tentang sesuatu. Apabila anda memikirkan sesuatu perkara dengan mendalam , banyak perkara yang dapat anda lihat dengan terpeinci sebaelum ia menjadi kenyataan. Apabila anda menanam benih bunga, anda sudah mengetahui bahawa suatu hai nanti benih itu akan membesar dan mengeluarkan bunga.
Intuisi nemenghubungkan antara perkara yang berlaku dengan perkara yang akan berlaku, antara sebab dan akibat. Dan nia memberikan anda persepsi melebihi daripada sekadar apa yang sedang berlaku di hadapan mata anda sekarang. Kita sering merendahrendahkan intusisi kita dan sering menganggapnya sebagai tidak logij dan luar daripada kebiasaaan . Tetapi ia amat berguna bagi kita. Berilah perhatian yang wajar terhadap intuisi anda dan uia akan membantu anda melihat lebih daripada apa yang sedia ada. Hormati apa yang didedahkannya dan anda akan lebih memahami dengan mendalam apa yang sedang berlaku di sekeliling anda . JADIKAN LEBIH BAIK Jika anda tidak berpuas hati dengan apa yang ada, jadi anda perlu menyibukkan diri anda membayangkan apa yang anda idamkan/inginkan. Memperbaiki dau menggantikan apa yang tidak diingini adalah lebih efektif daripada hanya sekadar menolaknya sahaja. Mengerjakan sesuatu ke arah kebaikan dan penambahbaikan adalah lebih baik dari sekadar merungut sahaja. Daripada menghabiskan masa dan tenaga anda dengan merungut ,desak diri anda agar memperbaiki keadaan. Menolak diri anda ke hadapan adalah lebih baik daripada menentang apa yang tidak anda ingini. Di dalam setiap situasi akan ada orang yang merungut dan akan ada yang bersedia untuk menjadi mangsa untuk dipersalahkan. Dan akan sentiasa ada serta perlu ada orang yang melihat peluang yang terselindung dan tersembunyi di dalam setiap sesuatu keadaan. Yang mana satukah pilihan anda ? Jika ada sesuatu yang tidak anda sukai di dalam apa jua keadaan , peristiwa dan perorangan, jadikan ia lebih baik. Bukannya sukar untuk melihat sesuatu yang tidak diingini daripada perspektif yang membina dan membayangkan bagaimana sesuatu situasi itu boleh dijadikan lebih baik. Berusahalah biar bagaimana sedikit sekalipun untuk memperbaiki keadaan dan jangan habiskan masa dan tenaga anda dengan merungut dan mencari sesuatu untuk dipersalahkan. Jadikan sesuatu itu lebih baik. JADILAH SEORANG YANG KUAT Anda perlukan kekuatan untuk bersopan terhadap seseorang yang kurang-ajar terhadap anda. Anda perlukan kekuatan untuk mengatakan kebenaran walaupun pada ketika itu kebohongan lebih mudah. Anda perlukan kekuatan untuk melakukan sesuatu yang kelihatannya tidak selesa dan tidak menyenangkan untuk diselesaikan. Kekuatan diperlukan untuk menghadapi halangan walaupun lebih mudah untuk menyerah kalah. Anda perlukan kekuatan untuk membina masa hadapan. Kekuatan diperlukan untuk mengalahkan godaan.Kekuatan diperlukan untuk melakukan sesuatu yang betul. Kekuatan diperlukan untuk berusaha melakukan sesuatu walaupun lebih mudah untuk mencari alasan. Di dalam masa yang sama kekuatan datangnya daripada melakukan apa yang betul.Kekuatan datangnya daripada kebenaran .Kekuatan datangnya daripada membina masa hadapan. Kekuatan datangnya daripada usaha, kekuatan datangnya daripada ketabahan. Jadilah seorang yang kuat dan anda akan menjadi lebih kuat. Kekuatan akan memberikan
kemegahan.Kekuatan anda akan memberikan kejayaan . Anda mempunyai kekuatan dalam pelbagai bentuk dan gaya yang tersendiri.Carilah dan gunakanlah ia dengan sebaik mungkin untuk memperbanyakkan usaha- usaha ke arah kebaikan
KALAULAH…. Kalaulah anda bercadang untuk melakukan sesuatu, sekaranglah masanya. Kalaulah anda ingin menjadi seperti seseorang yang anda idamkan, sekaranglah masa untuk bermula. Kalaulah anda ingin memenuhi kemungkinan yang sudah pastinya milik anda , sekaranglah masanya untuk memulakannya. Kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan kekayaan adalah di tangan anda , tetapi ia tidak akan datang bergolek dan melayang begitu sahaja. Ia memerlukan penglibatan yang menyeluruh dan bersungguh- sungguh. Sekaranglah masa untuk menjadikannya sebagai satu kenyataan. Masa lalu telah lama pergi menghilang dan masa akan datang belum pasti milik anda. Sekarang adalah sesuatu yang sudah pasti di dalam gengaman anda. Sekaranglah masanya untuk membuat sebarang perubahan. Apakah impian, harapan dan cita- cita anda? Sekarang adalah masa untuk mengikuti semua itu dan menjadikannya sebagai satu kenyataan. Sekaranglah masanya untuk bertindak. Menangguhkanya akan membuat anda tertipu dan menjadikan impian, harapan dan cita- cita sebagai satu angan kosong. Lakukanlah, bertindaklah dan hiduplah dengan sebenarnya sekarang! Sekaranglah peluang yang terbesar yang pernah jatuh keribaan anda lebih daripada apa yang dapat anda impikan. KATAKAN 'YA' Saban hari kita dihadapkan dengan berbagai perkara yang memerlukan kita untuk mengatakan 'tidak'. Jika ini tidak kita lakukan maka kita akan terasak dan terjerat oleh perkara dan maklumat yang datang kepada kita pada setiap saat. Malangnya tabiat mengatakan 'tidak' akan menjadikan kita terbatas dari segi pemikiran dan tindakan. Kita perlu belajar untuk mengatakan 'tidak' pada kebanyakan masa dan bersedia untuk memberikan ruang kepada diri kita sendiri untuk mengatakan 'ya' pada beberapa ketika yang lain.Di celah- celah kebisingan dan gangguan yang datang kepada kita ada terselit harta karun yang amat bernilai. Selalunya yang terbaik adalah yang paling tidak selesa sekali untuk kita menerimanya. Walaupun mengatakan 'tidak' itu satu keperluan , berhatihatilah agar ia tidak menjadi satu alasan semata- mata. Perhatikanlah perkara- perkara yang mempunyai nilai yang murni untuk anda mengatakan 'ya' kepadanya.Cabarlah diri anda untuk keluar daripada kepompong keselesaan sedikit demi sedikit setiap hari. Carilah peluang untuk mengembangkan diri anda ke arah horizon yang menambahkan kekayaan di dalam segenap aspek kehidupan. Di dalam keinginan anda untuk mengelak daripada yang negatif, berhati- hatilah agar anda tidak mengenepikan yang positif. Tetapkan diri anda waras dan terfokus pada setiap masa dengan mengatakan 'tidak' di samping menjadikan kehidupan anda bersinar dengan bersedia untuk mengatakan 'ya'.
KAWALAN Jika anda sedang membaca ini, cuba sentuh hujung jari telunjuk kiri anda dengan hujung jari telunjuk kanan anda . Sentuh sekadar mempertemukan hujung jari sahaja. kelihatannya ia suatu perkara yang cepat dan mudah. Tetapi sebanarnya anda telah melakukan satu perkara yang amat berkuasa dan kompleks. Anda telah dengan tepat menenang dan menuju ke arah sasaran anda dengan begitu tepat dan cepat sekali. Anda juga telah mengawal regangan dengan baik dengan sekadar menyentuhnya sahaja dan tidak menekan. Latihan ini menunjukkan bahawa anda mempunyai kawalan terhadap segala tindakan anda . Setiap detik anda mempunyai kawalan terus terhadap diri anda. Anda mengawal makanan yang masuk ke dalam badan melalui mulut dan anda mengawal perkataan yang keluar daripada mulut anda. Anda mengawal setiap pergerakan anda sejak bangun tidur pada awal pagi sehinggalah anda kembali merebahkan badan setelah hari berakhir pada malam nanti. Kawalan anda pada masa lalu telah membawa anda ke sini pada hari ini. Dengan mengawal tindakan anda boleh membawa diri anda ke mana sahaja yang anda inginkan. Apabila terlintas sahaja di dalam fikiran anda untuk mencapai sesuatu yang berada di luar jangkauan anda ingatlah latihan yang telah anda lakukan di atas. Anda yang mengawal dan anda mampu melakukan apa sahaja yang anda inginkan. KEBENCIAN Kebencian ialah suatu ikatan. Ia membentuk ikatan yang cukup kuat di antara anda dengan orang yang anda benci. Adakah itu yang anda inginkan ? Masa dan tenaga yang diambil oleh kebencian itu adalah masa anda. Adakah itu caranya untuk anda menggunakan masa anda? Anda tidak perlu menyukai seseorang sebagai ganti kebencian anda kepadanya. Bersedialah untuk memaafkannya. Membawa bersama perasaan marah dan benci adalah suatu beban. Bayangkan bagaimana bahagia dan berharganya kehidupan ini tanpa dibebani oleh kedua- dua perasaan tersebut. Tidak semestinya anda mesti menerima sebarang kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan begitu sahaja. Dan bukan ertinya anda memberikan kebenaran ia berulang. Ia memerlukan agar anda bersedia untuk melepaskannya begitu sahaja. Melepaskan ia berlalu dan memaafkan tidak menyelesaikan masalah dan kesulitan yang timbul tetapi ia membebaskan anda daripada perasaan kebencian itu. Carilah jalan untuk melakukannya dan ubah fokus anda untuk masa hadapan KEINGINAN YANG MELUAP- LUAP Adalah suatu keinginan yang meluap- luap untuk kita memperolehi sesuatu tanpa perlu melakukan sesuatu apapun. Adalah juga suatu keinginan yang meluap- luap bahawa di dalam setiap perkara ada jalan ringkas ke sana. Begitulah juga halnya apabila anda berfikir bahawa anda boleh mengelakkan kesan yang negatif hasil daripada gelagat anda yang memusnahkan dan merosakkan. Apabila kita mempunyai keinginan yang meluap-
luap untuk melakukan sesuatu , ada kekeliruan yang mungkin timbul. Mungkin ganjaran yang terlalu diharapkan ataupun perasaan terlalu suka atau keinginan yang melulu sehingga kita melihatnya sebagai sesuatu yang teramat perlu dilakukan. Kita mungkin gagal melihat akibat atau kesan buruk yang mungkin terjana hasil daripada pemikiran dan tindakan kita nanti. Menjadi seorang yang positif tidak semestinya mengenepikan kesan negatif yang mungkin terhasil daripada tindakan yang kita ambil. Hidup dengan positif datangnya daripada usaha mengelakkan kesan yang negatif daripada gelagat yang merosakkan yang sudah pasti membawa kita ke sana. Apa sahaja yang akan anda lakukan pada masa akan datang yang kelihatannya bertentangan dengan kesedaran anda , ingatlah bahawa ia sebenarnya suatu pembohongan yang akan membuat anda menyesal tanpa kesudahan. Jadilah seorang yang positif dengan melihat sesuatu yang negatif dengan jelas dan cuba untuk mengelakkan diri daripadanya. KEJAYAAN TANPA SYARAT Kejayaan akan datang dengan lebih pasti dan pantas kepada sesiapa yang tidak meletakkan sebarang syarat ke atas segala usahanya. Sikap mementingkan keselesaan tidak akan membawa anda ke mana- mana . Sikap " Berkorban apa sahaja" adalah sesuatu yang hampir- hampir mustahil untuk di gugat. Apakah prioriti anda ? Keselesaan atau kesungguhan? Apakah yang lebih anda pentingkan? Keselesaan atau pencapaian? Adakah anda mencari jalan mudah ataupun cara yang paling berkesan untuk maju ke hadapan ? Usaha dan kesungguhan tanpa syarat akan membuahkan kejayaan tanpa syarat juga. Apabila peluang menunjukkan muka jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja. Keselesaan adalah pilihan manakala ketidakselesaan ada kemestian. Anda akan diganggu ketika menonton rancangan kegemaran anda di tv untuk memandu ke luar bandar atau terbang ke seberang sana dunia. Anda mungkin perlu menemui muka- muka yang baru , belajar kemahiran yang baru atau bangun pada awal- awal pagi. Apa sahaja yang datang biar berapa lama masa yang diambilnya, ia pasti akan membuahkan hasil. KEJUTAN Setiap hari penuh dengan kejutan. Ada setengahnya menggembirakan manakala ada setengahnya mendukacitakan. Terimalah hakikat bahawa semua itu akan berlaku juga tanpa anda perlu risaukan tentangnya.Rancang dan bertindaklah dengan bijak tetapi jangan risau dan merungut. Ia tidak akan membawa anda ke mana- mana. Habiskan masa dan tenaga anda dengan kreatif dan produktif tanpa perasaan marah, cemburu atau risau . Lakukanlah segala sesuatu dengan terbaik tanpa terlalu memikirkan bagaimana untuk melakukannya dengan sesempurna mungkin. Layanilah orang lain dengan ikhlas tanpa terlalu memikirkan apakah yang mereka fikirkan tentang diri anda. Jadilah diri anda yang sebenarnya tanpa merasa takut. Terimalah segala sesuatu seadanya dan bergeraklah dari situ ke arah mana sahaja yang
anda impikan. Anda mempunyai banyak masa , tenaga dan sumber yang sedia untuk digunakan , lebih daripada mencukupi untuk membina kehidupan yang anda ingini. Jangan bazirkan semua itu untuk sesuatu yang tidak berfaedah dan sia- sia. Kejutan akan sentiasa datang. Terimalah dengan penuh persediaan tanpa sebarang ketakutan.Hidupkanlah setiap saat daripada kehidupan ini dengan tujuan yang positif dan setiap hari anda anda menjadi hari yang penuh bererti. KEKECEWAAN Pernahkah anda mengalami kekecewaan ? atau dikecewakan ? Pertimbangkan ini. Kekecewaan tidak datang daripada persekitaran dan keadaan. Keadaan dan persekitaran yang sama boleh membuat seorang yang lain gembira manakala yang lain tidak. Kekecewaan datangnya daripada pengetahuan anda bahawa keadaan boleh menjadi lebih baik. Masalah timbul apabila anda tidak mampu untuk membayangkan keadaan yang lebih baik itu. Apabila anda kecewa itu adalah kerana anda mempunyai visi yang positif , anda melihat dan tahu bagaimana baiknya kehidupan ini sepatutnya. Fikirkan tentangnya. Tidakkah ia sesuatu yang hebat ? Pada masa akan datang jika anda kecewa atau dikecewakan, sedarlah bahawa anda sebenarnya sibuk membayangkan kehidupan lain yang lebih baik atau yang sepatutnya lebih baik daripada apa yang sedang anda capai sekarang. Fokuskan kepada keadaan yang ada sekarang dan bukannya kemungkinan (apa yang sepatutnya berlaku ). Kekecewaan yang terfokus ini akan menjadi satu tenaga penggerak yang cukup besar yang dapat membawa anda keluar daripada lingkungan kekecewaan itu kepada sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat. Gunakan tenaga yang terpendam di dalam kekecewaan itu untuk menzahirkan kemungkinan yang anda harapkan KEINGINAN Keinginan memisahkan sesuatu yang mungkin dengan sesuatu yang mustahil dicapai. Segala sesuatu adalah di dalam lingkungan berkemungkinan untuk dicapai sekiranya anda mempunyai keinginan yang secukupnya untuk menjadikannya sebagai suatu kenyataaan. Pengetahuan, bakat, keupayaan dan sumber yang dimiliki akan terarah dengan sendirinya ke arah sesuatu yang anda berikan keinginanan yang lebih daripada yang lain. Jika keinginan anda lebih kepada mendaki gunung, anda akan mendapat jalan untuk menjayakannya. Begitu juga halnya jika keinginanan anda ialah duduk - duduk dengan santai di hadapan peti televisyen sambil mengunyah kacang, maka anda akan menemui jalan untuk mencapainya. Jika keinginan anda kelihatannya tidak bermaya itu adalah disebabkan oleh kekurangan pengetahuan ataupun maklumat. Kita tidak boleh menginginkan sesuatu yang tidak kita ketahui dengan pasti.Yakinkan diri anda bahawa kehidupan ini menawarkan apa sahaja yang terbaik untuk anda , maka keinginan anda akan bersemarak dan membara. Kita telah berjaya memenuhi dan mencapai keinginan kita yang sebenar . Apa sahaja yang anda inginkan dengan tulus dan ikhlas sudah pasti anda akan dapat memilikinya. Belajarlah
untuk menjuruskan keinginan anda kepada apa sahaja yang terbaik yang ditawarkan oleh kehidupan ini kepada anda.
NILAI KETAKUTAN Ketakutan ada gunanya jika anda memutuskan untuk menjadikan ia sesuatu yang berguna. Ketakutan bukan untuk menghentikan anda , tetapi ia membuat anda bersedia. Ketakutan kadangkala amat kuat sehingga ia boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan sesuatu perkara. Kekuatan yang sama apabila di arahkan kepada cara dan tujuan yang positif akan menjadikan segala tindakan yang diambil menjadi lebih efektif. Ketakutan mempertajamkan kesedaran anda. Ini sebenarnya memberikan banyak kelebihan kepada anda. Ketakutan menunjukkan apakah kesilapan yang mungkin berlaku supaya anda bersedia untuk berhadapan dengan sebarang halangan yang mungkin akan timbul. Ketakutan memberikan anda kejutan yang boleh disalurkan menjadi semangat lebih bernyala. Ketakutan akan membuat anda terfokus lebih daripada yang lain. Dengan fokus yang mencukupi tidak ada had kepada apa yang mungkin anda capai. Rasakan ketakutan anda dan jangan cuba untuk bersembunyi daripadanya. Terimalah ia seadanya. Gunakan ia untuk menggerakkan anda dengan penuh kuasa dan tenaga ke hadapan KETEPIKAN SEGALA YANG NEGATIF Amat mudah untuk menjadi seorang yang positif apabila hari begitu cerah dan segala sesuatu berjalan seperti yang telah dirancangkan. Sukar untuk tidak menjadi seorang yang positif pada hari yang begitu sifatnya.. Keberkesanan untuk menjadi seorang yang positif teruji apabila hari muram dan apabila segala yang dirancang tidak berjalan dengan baik. Hari- hari yang begitu sifatnya sebenarnya penuh dengan peluang untuk mengubah diri, keluarga, masyarakat dan dunia keseluruhannya. Bagaimana untuk melakukannya? Apabila anda di dalam keadaan yang negatif dari segi pemikiran, perkataan , perasaan, dan perbuatan/tindakan, sukar untuk menjadi positif kerana anda cenderung untuk mengkritik segala sesuatu walaupun terhadap keinginan anda untuk menjadi positif. Cara keluar yang paling mudah ialah dengan menggunakan perasaan negatif itu sendiri untuk menghancurkan dirinya sendiri. Daripada bersusah payah mencari jalan untuk menjadi positif, cari jalan untuk mengkritik dan mempersoalkan perasaan negatif anda itu. Anda sememangnya sedang mengkritik segala sesuatu, jadi sudah pasti mudah untuk anda mencari kelemahan di dalam pandangan anda yang negatif itu. Katakan kepada diri anda:" Perasaan negatif ini tidak membawa sebarang faedah. Bagaimana boleh saya menghabiskan masa dan tenaga untuk kerja yang tidak berfaedah ini?." Jadilah seorang yang benar- benar negatif terhadap pandangan negatif anda itu sehingga anda tidak mempunyai peluang yang lain selain daripada menjadi seorang yang positif. Daripada
menghabiskan masa untuk menawan perasan yang gundah-gulana , berikan ia kuasa untuk memusnahkan dirinya sendiri. Akhirnya anda tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjadi seorang yang positif secara jujur dan ikhlas terhadap diri anda sendiri.
KEYAKINAN Setiap tindakan yang anda ambil memberikan anda keyakinan untuk mengambil langkahlangkah selanjutnya. Keyakinan datangnya daripada tindakan. Jika anda kekurangan keyakinan, lakukan sesuatu terhadapnya. Lakukan sesuatu. Ambil sebarang tindakan. Tidak kira biar bagaimana kecil sekalipun keyakinan yang anda miliki , pasti ada sebarang tindakan yang boleh anda ambil dengan keyakinan yang sedikit itu. Teruskan dan ambil sebarang tindakan. Ambil langkah yang pertama itu. Teruskan sedikit demi sedikit sehingga anda mempunyai keyakinan untuk mengambil langkah yang seterusnya. Keyakinan adalah sesuatu yang terbina dengan tindakan. Tidak ada sesiapa yang dapat memberi atau menjualnya kepada anda. Keyakinan mesti datang daripada anda sendiri. Bagaimana kekurangan keyakinan menghalang anda ? Apa yang boleh anda lakukan untuk membina keyakinan yang anda perlukan ? Apakah tindakan yang kecil yang anda mempunyai keyakinan untuk melakukannya yang dapat meletakkan anda di atas landasan yang dapat memberikan anda lebih banyak keyakinan? Bermulalah di mana sahaja anda berada sekarang ini. Pasti ada sesuatu yang boleh anda lakukan. Ambil daya usaha ke arah itu. Bina keyakinan anda sedikit demi sedikit dan ia pasti akan menjadi pembantu anda yang paling setia kelak. KITARAN BALAS REAKSI Apa sahaja perkara yang positif yang anda lakukan merupakan satu reaksi yang bakal menggamit tindakbalas. Ia adalah satu perkara yang berkitar dan berkesinambungan sehingga amat sukar untuk kita mengira apakah kemungkinan yang akan dihasilkannya. Apa sahaja yang anda lakukan kepada orang lain akan kembali kepada anda dengan kesan yang berganda. Apa sahaja yang anda perkatakan, lakukan atau fikirkan akan menyelinap masuk kedunia nyata dan akan kembali kepada anda berkali- kali ganda kesannya sama ada dengan cepat ataupun lambat. Lebih lambat kembalinya kepada anda lebih besar kesannya kepada anda. Apakah dunia yang ingin anda harapkan untuk meneruskan kehidupan ini? Apakah kitaran balas reaksi yang anda harap akan berputar mengelilingi anda ? Adalah dianggarkan bahawa anda secara personalnya terikat dengan orang lain di dunia ini tidak lebih daripada enam ganda bagi sesuatu masa dan keadaan. Dengan kitaran balas yang anda hasilkan melalui pemikiran, perkataan dan tindakan akan menjadi lebih kuat dan kembali ke puncanya melalui arah yang tidak dapat anda pastikan ataupun jangkakan. Ia kelihatannya sebagai sesuatu yang ajaib, tetapi itulah hakikat kehidupan
yang perlu anda terima sama ada secara rela ataupun terpaksa. Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh pemikiran, perkataan dan perbuatan anda terhadap dunia dan seisinya yang menjadi pentas kehidupan anda ini. Pergunakanlah ia dengan sebijaksana mungkin.
KUASA AKIBAT Setiap sesuatu yang anda lakukan ada akibatnya. Mungkin ia sesuatu yang membawa kepada menafaat ataupun sebaliknya bergantung kepada apa yang anda lakukan. Anda bukanlah seperti bulu sehelai yang boleh ditiup angin ke mana- mana. Anda mempunyai kuasa dan kawalan ke atas nasib anda, berdasarkan kepada tindakan yang anda ambil. Jika tindakan anda tidak ada kesannya , ertinya anda tidak mempunyai kuasa ataupun pengaruh. Akibat dan kesan daripada perbuatan kita menunjukkan beban atau tanggungjawab yang kita pikul. Kuasa dan pengaruh yang anda miliki untuk mempengaruhi dunia anda adalah terletak di dalam akibat yang terhasil daripada tindak-tanduk anda.Anda mengambil tindakan dan terhasillah keputusan. Sama ada ia negatif atau positif , baik ataupun buruk bukan bergantung kepada keputusan itu sendiri tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh bagaimana anda menggunakan keputusan yang terhasil itu untuk sesuatu yang lain. Fahami dan terimalah implikasi daripada akibat dan hasil serta kesan daripada perbuatan anda dan anda mempunyai kuasa untuk pergi ke mana sahaja anda idamkan. KUASA DI DALAM MEMAHAMI Banyak masalah yang boleh diselesaikan atau dielakkan jika ramai yang mengambil usaha cuba untuk memahami dan menilai segala sesuatu dari sudut pandangan orang lain. Banyak peluang dan kemungkinan akan diperkembangkan jika mereka yang terlibat mencari ruang dan peluang untuk lebih memahami orang lain. Empati dan kefahaman yang mendalam bukan sekadar satu perkara baik yang perlu dilakukan. Ia adalah satu strategi yang cukup berkuasa yang dapat membantu anda mencapai keberkesanan. Semakin baik anda mengetahui sudut pandangan orang lain , semakin berjaya anda berurusan dengan orang tersebut. Peluang dan nasib baik di dalam dunia ini terbentuk dan terujud kerana ada seseorang yang memahami apa yang sebenarnya diperlukan oleh orang lain. Tidak kurang banyaknya peluang yang terjejas dan terlepas kerana sematamata tidak memahami. Atau tidak cukup memahami. Di dalam dunia yang serba pantas ini , ramai yang tidak mengambil endah dan peduli tentang orang lain di sekeliling mereka. Apatah lagi mengambil usaha dan inisiatif untuk memahami mereka. Ini adalah satu kerugian yang cukup besar dan cukup mahal harganya. Ambillah daya usaha untuk menyedari, menimbangkan dan memahami serta menghargai orang- orang lain di sekeliling anda. Ia adalah salah satu cara yang amat berkuasa untuk mempertingkatkan kehidupan anda. Tidak semestinya anda terpaksa
bersetuju dengan pandangan dan pendapat orang lain di dalam sesuatu perkara, hanya cubalah untuk memahami mereka. Ia akan membuahkan hasil yang cukup besar dan membawa kepada perubahan yang positif kepada semua yang terlibat.
LAKUKAN JUGA Walaupun anda telah berusaha dengan sebaik mungkin tetapi masih gagal mencapai kesempurnaan yang anda idam-idamkan, jangan berhenti, terus lakukan juga apa yang sedang anda lakukan sekarang. Jika anda memikirkan masalah yang mungkin menghalang., lakukan juga. Jika orang lain sentiasa mengkritik apa sahaja yang anda lakukan, terus lakukan juga. Banyak alasan untuk tidak melakukan sesuatu perkara, lakukan juga. Pada masa yang lepas sering anda dikecewakan, lakukan juga. Cabaran akan menjadikan anda berasa kecil dan tidak selesa, lakukan juga. Banyak masa dan tenaga akan diperlukan, lakukan juga. Anda tahu apa yang perlu anda lakukan . Anda juga tahu apakah tindakan yang akan membuahkan hasil yang anda harapkan. Anda tahu juga dengan pasti apakah yang betul dan salah. Anda boleh menghabiskan masa untuk mencari alasan , tetapi apakah faedahnya ? Berusahalah seupaya mungkin untuk mencari kecemerlangan dengan melakukan perkara yang betul. Lakukan apa yang semestinya dilakukan. Lakukan juga walaupun banyak alasan boleh diberikan . Lakukan juga. Ujudkan perubahan . Pergilah ke tahap yang lebih jauh dan lebih tinggi daripada tahap di mana anda berada sekarang. LAYAN DIRI ANDA DENGAN BAIK Apakah yang akan anda lakukan jika ada seseorang yang melayan anda sama seperti anda melayan diri anda sekarang ini? Bagaimanakah tindakan anda sekiranya seseorang mengkritik anda sama seperti caranya anda mengkritik diri sendiri ? Apakah yang akan terjadi sekiranya ada seseorang yang memaksa anda bergelagat dengan gelagat yang merendah- rendahkan diri sendiri seperti yang sedang anda lakukan sekarang ini? Bagaimana jika ada seseorang yang menghalang anda daripada menikmati kehidupan ini sama seperti anda menghalang diri anda sendiri daripada menikmati keindahan kehidupan ini? Sudah barang pasti tanpa ragu- ragu lagi anda akan berasa marah dan amat tersinggung.Mungkin anda akan membawa kes ini ke mahkamah atau membuat laporan polis ataupun cuba membalas dendam.Tetapi itulah yang sedang anda lakukan terhadap diri sendiri tanpa anda sedari. Jika anda tidak akan membenarkan seseorang melayan anda sebegitu rupa bagaimana mungkin anda membenarkan anda melayan diri anda sendiri sebegitu rupa? Anda mempunyai kawalan terhadap tindakan, pemikiran dan perasaan anda sendiri.Hentikan gelagat yang melemahkan dan merendah- rendahkan diri anda sendiri ini. Izinkan diri
anda untuk hidup , benarkan diri anda untuk berjaya dan biarkan diri anda menikmati kehidupan ini. Berlaku baiklah terhadap diri sendiri . Diri anda memang layak dan amat memerlukan layanan yang baik. LEBIHKAN BELAJAR Apa sahaja ilmu pengetahuan yang sudah sedia ada sebenarnya adalah satu asas yang cukup kukuh untuk anda belajar dengan lebih mendalam. Malangnya ia juga kadangkadang boleh menjadi batu penghalang yang cukup kukuh. Sering semakin banyak yang kita ketahui tentang sesuatu perkara , semakin kurang keinginanan anda untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Pemikiran ini adalah diasaskan kepada andaian bahawa di sana ada batas dan sempadan kepada pembelajaran. Sebenarnya ilmu pengetahuan tidak mempunyai batas dan sempadan. Dunia sedang berubah dengan kadar yang begitu cepat. Di dalam bidang ilmu yang khususpun, maklumat bertambah dengan begitu cepat dari hari ke hari. Ilmu pengetahuan yang telah sedia anda miliki akan dapat banyak membantu anda memahami perkara yang baru. Sebenarnya apa yang telah anda ketahui banyak bergantung kepada keinginan anda untuk menjadikannya asas untuk mengetahui perkara yang sama dengan lebih lanjut dan mendalam lagi. Jangan berhenti belajar . Cabar dan pupuk ilmu pengetahuan yang sedia ada setiap hari untuk menjadikannya dinamik dan hidup. MEMENUHI HARI Setiap hari yang mendatang adalah umpama sebuah kotak yang kosong yang minta diisi. Ia boleh disikan dengan barang yang berharga ataupun sampah sarap yang tidak berguna lagi. Banyak perkara yang dimasukkan ke dalam kotak tersebut kerana ia sudah menjadi tabiat kita dan proses ini berlaku tanpa berfikir kerana ia mudah dan selesa. Sehingga kadang- kadang ia tidak memberi ruang dan peluang kepada perkara yang lain. Jika anda akan membuka kotak tersebut setahun dari tarikh hari ini, apakah yang anda harapkan ia akan menjadi sesuatu yang benar- benar berharga pada masa tersebut ? Bolehkah kotak ini dibezakan daripada kotak- kotak yang lain? Sebaik sahaja kotak pada hari ini dipenuhi ia terus tertutup dengan rapat. Anda tidak boleh lagi mengisi atau mengeluarkan satu apapun kepada ataupun daripadanya. Apabila sesuatu hari berakhir maka berakhirlah peluang anda untuk menjadikannya harta benda yang bernilai ataupun membiarkan ia dipenuhi dengan sampah sarap . Walaubagaimanapun subuh esok sebuah kotak akan diberikan kepada anda lagi untuk diisi dengan segala kemungkinan. Setiap hari adalah penuh dengan seribu satu macam peluang. Jadikan ia sesuatu yang istimewa. Penuhkan mereka dengan kehidupan . Terimalah ia sebagai sesuatu yang terlalu berharga untuk dibazirkan begitu sahaja. MENCARI KESEMPURNAAN Kesempurnaan dapat dicari melalui pengalaman. Pengalaman pula penuh dengan kesilapan. Jika tidak begitu halnya tidak banyak yang dapat kita pelajari daripadanya.
Adalah sesuatu yang menjadi impian kepada semua orang untuk mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan, tetapi suatu kesilapan besar jika mengharapkan ia tercapai tanpa sebarang kesilapan. Ada harga yang perlu dibayar untuk mengharapkan yang terbaik daripada diri anda sendiri. Anda juga perlu membayar untuk menjadi seorang yang realistik, jadi bersabarlah. Kesempurnaan adalah satu tahap yang diharapkan akan dapat dicapai dan bukannya satu titik permulaan. Biarkan keinginan menolak anda ke arahnya, tetapi janganlah sampai ketiadaan keinginan melambat dan menghentikan pergerakan anda. Jika anda ingin menyudahkan sesuatu, anda kena memulakan sesuatu . Anda perlu bermula di mana anda berada sekarang ini. Dalam dunia yang serba cepat dan cekap ini segalanya berbentuk segera. Tetapi sesuatu yang bernilai dan tahan lama memerlukan masa dan usaha yang banyak dan berkekalan. Tujuilah kecemerlangan dan kesempurnaan dan carilah jalan yang kurang selesa ke sana agar anda tidak terlalai kerana terlalu lama berada di atas lebuhraya sempurna untuk mencari dan menuju ke arah kesempurnaan. MENCUKUPI Dalam kesibukan hidup di dunia yang serba cepat ini sering kita menafikan nikmat yang selama ini kita nikmati. Bagaimana rasanya jika kita mempunyai segalanya di dalam kuantiti yang mencukupi - cukup wang, cukup masa, cukup ramai kawan, cukup besar rumah, cukup banyak perkara yang menarik untuk dilakukan…..Jika anda sentiasa berusaha untuk mendapat lebih daripada segala yang anda ada ertinya anda tidak berkecukupan dengan apa yang anda ada. Perasaan berkecukupan ini adalah hasil daripada sikap yang berfungsi sama seperti akaun di bank. Jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi anda akan berasa bahagia dan gembira.Mempunyai jumlah deposit yang mencukupi di bank tidak menghalang anda untuk mencari wang yang lebih untuk didepositkan lagi dan lagi. Sebaliknya mempunyai sesuatu dalam jumlah yang mencukupi sering menggalakkan kita untuk mendapatkannya di dalam jumlah yang lebih banyak. Kemewahan mengalir di dalam kehidupan ini selari dengan sikap bersyukur seseorang. Tetapi sukar untuk menunjukkan sikap bersyukur sekiranya anda berterusan memfokuskan perhatian anda kepada usaha untuk mendapatkan lebih banyak segala sesuatu. Bagaimana mungkin anda seorang yang bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang anda sedangkan anda sibuk mencari lebih banyak lagi ? Bagaimana mungkin anda menikmati pengalaman kemewahan sekiranya pemikiran anda dipenuhi dengan ketidakcukupan? Adakah cita- cita terhenti apabila kita berkecukupan? Tidak, seiring dengan rasa bersyukur yang ikhlas kerana mempunyai sesuatu di dalam jumlah yang mencukupi datang seiring dengan keinginan yang juga ikhlas untuk menambahkan apa yang sedia ada. Teruskanlah memfokuskan perhatian anda kepada mempersembahkan potensi anda yang terbaik dengan apa yang anda miliki dan anda akan sentiasa mempunyai segala sesuatu di dalam jumlah yang mencukupi.
MERDEKA DIRI Adakah anda ingin merdekakan diri anda daripada segala bebanan . Lakukanlah sesuatu terhadapnya. Walaubagaimana kecil sekalipun sesuatu perkara itu ia akan menjadi semakin besar dan membebankan dari masa ke masa. Sesuatu perkara yang tidak diselesaikan akan mengambil masa anda setiap kali anda memikirkan tentangnya. Ia mencengkam minda anda dengan kebimbangan dan keraguan. Ia melambatkan pergerakan anda dan menjadikan anda sebagai hambanya. Semakin segera tindakan anda ambil segalanya akan berubah. Daripada menjadi hamba kepada sesuatu masalah , anda menjadi tuan kepada persekitaran yang melingkungi anda. Fikirkan bagaimana hebat rasanya apabila anda dapat menyelesaikan sesuatu yang sejak lama dahulu menghantui pemikiran anda. Kenapa perlu anda bertangguh walaupun sesaat lagi ? Berapa banyak tenaga yang terbang begitu sahaja setiap hari apabila anda risaukan tentang sesuatu yang perlukan perhatian dan tindakan? Berapa banyak perkara lain yang boleh anda lakukan jika anda tidak terbeban dengannya ? Mengenepikan masalah tidak akan menyelesaikannya. Ia hanya disebelahkan untuk seketika dan akan terus menyedut tenaga anda setiap masa dan setiap hari selagi ia belum diselesaikan. Merdekakan diri anda daripada segala bebanan dengan melakukan sesuatu yang positif terhadapnya, sekarang juga! PANDANG KE HADAPAN Punca utama kekecewaan ialah andaian bahawa masa hadapan adalah sama dengan masa lalu. Adalah sukar untuk meneruskan kehidupan ini apabila pengalaman lalu memberikan banyak kekecewaan. Kenyataannya hidup ini bukanlah satu garislurus. Anda boleh menukar haluan apabila anda fikirkan perlu. Pencapaian yang hebat dan agung selalunya datang daripada pengalaman yang pahit. Daripada anda dihantui oleh pengalaman pahit masa silam, bukankah baik jika anda mencari ruang dna peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah? Setiap hari dan setiap saat adalah peluang yang terbentang luas tanpa memperdulikan apakah yang berlaku sebelumnya. Belajarlah daripada pengalaman lalu tetapi habiskan banyak masa untuk melihat masa hadapan . Masa lalu mungkin penuh dengan kekecewaan tetapi anda tidak perlu hidup di sana lagi. Kediaman baru anda sedang di bina pada masa hadapan dan anda boleh menjadikannya sebagai istana impian jika itu yang anda mahu.
PEMILIKAN Adakah anda memiliki atau dimiliki ? Pemilikan anda lebih daripada sekadar pemilikan kewangan dan kebendaan semata- mata. Anda juga turut memiliki kebanggaan, ilmu pengetahuan, andaian dan pendapat. Semua pemilikan ini , kebendaan dan lainnya, boleh menjadi hamba yang baik, tetapi mereka adalah tuan yang buruk. Kebanggaan sebagai contohnya. Bawalah ia ke dalam pekerjaan dan perawakan anda dan ia akan mendorong anda untuk mempersembahkan yang terbaik. Tetapi jika ia adalah satu- satunya matlamat
di dalam kerjayaa anda ia berubah menjadi pengaruh yang negatif yang membawa anda kepada kehancuran. Begitu jugalah halnya dengan wang. Ia dapat menjadi hamba yang boleh disuruh untuk membantu anda mencapai tujuan dan matlamat hidup anda yang tertinggi. Tetapi jika ia menjadi matlamat hidup semata- mata, ia akan memusnahkan. Anda mempunyai harta-benda di dalam pemiklikan anda. Ia meliputi kepingan syiling yang berada di dalam poket anda sehinggalah kepada apa yang ada di dalam kepala dan pemikiran anda. Jika anda membiarkan mereka mengawal anda, anda akan dibebankan dengan kehancuran. Pastikan mereka sentiasa dikawal. Mereka adalah alat untuk mencapai sebarang tujuan tetapi bukannya tujuan itu sendiri. PENZAHIRAN Ada sesuatu yang baik dan bernilai di dalam diri anda yang bersedia dan menunggu untuk dizahirkan. Zahirkanlah ia, berikan ia kehidupan. Jadikan ia satu kenyataan. Apakah yang terlebih baik gunanya untuk masa dan tenaga anda selain daripada menzahirkan kecemerlangan yang sememangnya telah didaftarkan di atas nama anda sejak dahulu lagi ? Zahirkan segala sesuatu yang telah lama berada di dalam imaginasi anda . Kongsilah kemungkinan- kemungkinan yang istimewa dengan seluruh isi dunia ini. Keindahan dan kecemerlangan yang menunggu- nunggu untuk dizahirkan di dalam diri dan minda anda . Zahirkanlah ia. Apakah kemungkinan terbaik untuk dunia ini yang anda idamkan? Apakah yang dapat anda lakukan untuk menjadikan ia satu kenyataan? Terlalu banyak yang boleh anda lakukan sepanjang hari ini. Impian anda bukannya kosong. Ia adalah hadiah dan tanggungjawab yang diberikan kepada anda. Terimalah ia dengan penuh penghormatan. Berikan ia perhatian yang sepatutnya. Jadilah seorang yang terbaik yang boleh anda banyangkan. Lakukan perbezaan yang unik milik anda. Biarkan yang terbaik daripada diri anda di zahirkan. Anda ditakdirkan untuk menyerlahkan dan mewarnai kehidupan ini dengan serlahan dan warna yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Hidupkanlah ia dan biarkan ia mengalir dengan cara istimewa yang dapat anda zahirkan , hari ini dan setiap saat.
PERGI LEBIH TINGGI Kita memilih untuk pergi ke bulan bukan kerana ia sesuatu yang mudah tetapi kerana ia sesuatu yang sukar. - John. F. Kennedy Tiga puluh tahun yang lalu pada 20 July 1969, selepas 250,000 batu perjalanan, dua orang angkasawan Neil Armstrong dan Edwin Aldrin telah menjejakkan kaki ke bulan untuk pertama kali di dalam sejarah manusia. Kesungguhan, fokus, usaha, pengorbanan
dan kerjasama di dalam kumpulan , matlamat menghantar manusia ke bulan telah berjaya dicapai. Ini telah mengajar kita keyakinan, ilmu pengetahuan, kemahiran, pengalaman, teknologi dan semangat serta keyakinan kepada kemungkinan untuk meneruskan pencapaian yang lebih baik pada masa hadapan. Teknologi, inovasi dan semangat pengembaraan adalah sesuatu yang pasti tidak mengecewakan jika diarahkan dan digunakan dengan sebaik mungkin. Ia menjadikan kita lebih baik dari masa ke masa. Ada sesuatu yang patut dilakukan hanya kerana menyahut cabaran sahaja.Kita perlukan semangat ini dan orang - orang seperti ini yang sanggup mengambil risiko untuk mengubah sejarah. Ia menjadikan manusia cuba untuk mencari dan menyerlah sesuatu yang terbaik di dalam dirinya. Cabaran seperti ini menggalakkan kita untuk meletakkan standard yang lebih tinggi untuk menjelajah sebarang kemungkinan. Pada hari ini kita meraikan pengkhayal, peneroka, dan penjelajah yang menggalakkan kita untuk meletakkan horizon pemandangan kita lebih tinggi. Mereka telah membuktikan bahawa apa yang dikhayalkan dan yang difikirkan oleh manusia boleh menjadi kenyataan. Semoga semangat dan api obor ini akan terus menyala dengan maraknya dan membakar semangat kita untuk terus mempunyai keinginan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran yang paling hebat. PERUBAHAN Setiap orang yang hidup akan sentiasa berubah. Sesungguhnya intipati kehidupan ini adalah perubahan itu sendiri. Setiap unit anggota badan kita juga turut berubah. Perasaan anda juga berubah jam demi jam. Badan anda juga turut berubah. Pemikiran, perhubungan , harapan dan persekitaran juga turut sentiasa berubah. Di dalam setiap perubahan penuh sarat dengan peluang. Perubahan adalah satu kenyataan di dalam kehidupan ini. Ia akan tetap berlaku dan berlalu sama ada dengan atau tanpa persetujuan daripada anda. Pertumbuhan, perkembangan, pencapaian dan kejayaan adalah bentuk - bentuk perubahan. Perubahan akan mengambil bentuk- bentuk positif ini apabila dengan secara sedar kita mengawal dan mengarahkannya.Tenaga di dalam perubahan sama ada boleh mengangkat dan menjatuhkan anda. Semuanya tidak bergantung perubahan itu sendiri tetapi lebih kepada apa yang anda lakukan dengan dan terhadapnya. Perubahan akan tetap berlaku.anda tidak boleh menghalang dan mengelakkannya.Jika anda melakukannya ertinya anda cuba melarikan diri daripada kenyatan hidup.Sebaliknya, lihatlah peluang yang terkandung di dlam setiap perubahan yang berlaku. Arahkan tenaga yang tidak terbatas yang dibawa bersama oleh perubahan untuk mencapai matlamat dan pilihan anda. Genggam erat perubahan yang berlaku dan berlalu dan seraplah peluang yang datang bersama- sama dengannya.
PETANDA KEKUATAN Kekuatan selalunya bersifat senyap dan tersembunyi. Kekuatan yang diwar-warkan, ditunjukkan dan diiringi dengan gelagat yang menyakitkan hati adalah petanda kelemahan. Menunjuk- nunjuk memerlukan usaha yang sedikit sahaja. Bekerja di sebalik tabir untuk menjayakan sesuatu perkara adalah sebenarnya tanda kekuatan dan komitmen. Tidak ada atau amat sedikit perasaan untuk menunjuk- menunjuk apabila anda mempunyai kebolehan untuk menjayakan sesuatu perkara. Kekuatan yang sebenar ialah pemurah, kesabaran, berfikir sebelum bertindak , memahami dan berkesan. Sesiapapun yang penakut boleh menjadi kasar dan kurang-ajar , tetapi ia memerlukan kekuatan dan keyakinan untuk menjadi seorang yang pemurah dan bersopan. Amat mudah untuk merungut, tetapi ia memerlukan kekuatan untuk mengikuti langkah- langkah yang positif ke arah menyelesaikan sesuatu masalah. Untuk mencari kekuatan, jangan lihat kepada orang yang mendakwa memilikinya. Lihat kepada mereka yang hidup bersama- sama dengannya.Tidak ada apa yang diperlukan untuk membuat janji walau bagaimana besar sekalipun. Anda akan menemui bukti kekuatan yang nyata dan keberkesanan di dalam keputusan atau hasil dan bukannya janji atau pengakuan yang kosong. PILIHAN ANDA Apa sahaja perasaan anda sama ada baik atau buruk adalah sebenarnya menggambarkan pilihan yang telah anda buat. Apa yang anda lakukan ketika marah dan apa yang anda lakukan dengan penuh kasih sayang adalah juga pilihan anda Menjadi seorang yang berkesan adalah juga pilihan anda sama seperti halnya jika anda memilih untuk menjadi seorang yang hidup tanpa tujuan dan haluan. Membuat perubahan yang positif adalah pilihan anda . Sesungguhnya segala sesuatu yang mempengaruhi kualiti kehidupan anda adalah amat bergantung kepada pilihan yang anda buat. Ada banyak perkara yang berada di luar kawalan atau yang anda kawal pada kadar yang amat kecil.Tetapi anda mempunyai kawalan kepada semua tindakbalas anda terhadap rangsangan yang datang atau dihadapkan kepada anda. Anda tidak boleh menentukan cuaca. Tetapi anda boleh menentukan untuk menikmati hari ini dengan sepenuhnya walau apapun cuaca pada hari ini. Anda juga tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tahap ekonomi dunia ataupun persekitaran bisnes anda pada hari ini. Tetapi anda mempunyai kawalan sepenuhya untuk menentukan reasksi dan tindakbalas anda terhadap apa jua keadaan tersebut. Hidup ini ditentukan ertinya bukan melalui apa yang dapat anda capai tetapi lebih kepada bagaimana anda menggunakan dengan sebaik- baiknya apa yang telah , sedang dan akan anda capai, miliki dan perolehi. Tetapkanlah untuk menjadi seorang yang berjaya.. Tetapkanlah untuk gembira, ceria dan bahagia. Pilihlah dengan pasti untuk mengadakan perubahan dan pasti akan dapat anda mencapainya
REALISTIK YANG POSITIF Menjadi seorang yang positif tidak semestinya anda mengenepikan yang negatif. Menjadi seorang yang positif bererti mengatasi yang negatif. Itulah perbezaan yang paling ketara. Sering orang yang menunjukkan sesuatu masalah dicap sebagai seorang yang berfikiran negatif.Sungguhpun begitu amat penting untuk menyedari tentang masalah ayang mungkin timbul sekiranya anda ingin bertambah baik di dalam menyempurnakan sesuatu tugasan. Sifat suka merungut , mengadu dan mencari- cari kesalahan dan alasan adalah sesuatu yang negatif , tetapi mengatasinya dengan kejujuran dan ketelusan adalah amat positif. Jika anda bercadang untuk menjadi positif dengan mengenepi dan mengabaikan yang negatif anda adalah tidak realistik. Apabila anda menyedari dan melihat serta memahami aspek- aspek yang negatif , dengan visi dan misi yang jelas, barulah dapat anda menjana kuasa yang sebenarnya daripada pemfokusan yang positif. Jadilah seorang yang positif dan juga realistik. Ia adalah kombinasi yang cukup berkuasa. Lihat sesuatu situasi itu sebagaimana sepatutnya dan kemudian mengambil laangkah- langkah yang perlu untuk memperbaikinya. Kukuhkan pemfokusan anda yang positif terhadap apa jua perkara bukan dengan mengabaikan dan mengenepikan yang negatif tetapi memilih untuk tidak menerimanya. -
REGANGAN Di dalam ketidakselesaan dan ketidaktentuan tentang sesuatu yang tidak pasti, ketika itulah penemuan yang hebat berjaya dilakukan. Kemungkinnan yang tidak teruji adalah sesuatu yang berkecenderungan besar untuk mengubah dunia ini. Melakukan sesuatu yang biasa akan memberikan sesuatu yang biasa anda perolehi. Panjangkan jangkauan anda melepasi sesuatu yang biasa. Jelajahlah ke dalam sesuatu yang tidak pasti dan tidak diketahui. Jelajahi kemungkina yang akan sayapnya terkembang ke segala arah pada saat ini. Ambillah langkah- langkah baru yang jauh daripada yang biasa anda lakukan yang akan mencabar kemampuan anda. Jangan biarkan matlamat anda terpendam di bawah tempurung keselesaan anda. Ada banyak cara untuk menyerlahkan cinta dan kasih sayang yang akan mengkagumkan anda, sesuatu yang akan menghiburkan anda lebih daripada biasa, sesuatu yang akan menjadikan kehidupan anda lebih meriah dan ceria dan mengkagumkan. Regangkan diri anda daripada tempat anda berada sekarang . Anda dilahirkan untuk berkembang , belajar dan menjelajah, tanpa hentinya…
SEKARANG! Apa yang salahnya sekarang ini? Tidak ada apa- apa yang salah. Adakah sesuatu yang ingin anda ubah? Sudah tentu. Istimewanya masa kini atau sekarang ialah ia memberi anda ruang dan peluang untuk bermula dan kebijaksanaan untuk mengetahui halatuju anda pada masa hadapan. Tidak ada apa salah dan silapnya sekarang ini. Ia adalah masa terpenting di dalam kehidupan anda. Sebarang masalah yang anda sedari adalah berdasarkan kepada interpretasi anda sendiri terhadap orang , keadaan , peristiwa , masa dan tempat. Tidak ada apa yang silap melainkan anda sendiri yang memilih dan memutuskan bahawa kesilapan berlaku. Pilihlah untuk melihat dan menghidupkan hari ini dan sekarang dengan penuh kebaikan. Lupakan masa lalu yang menghad dan menghalang anda daripada melakukan yang terbaik. Bebaskan diri anda dan berikan yang terbaik Teguklah keindahan dan serapkan tenaga hari ini ke dalam diri anda sekarang.Dunia yang serba berkemungkinan terbentang luas di hadapan untuk anda jelajahi. Semuanya bermula dengan sekarang. Hidup ini melimpah ruah dengan rahmat dan sekarang adalah masanya untuk anda menjadikannya lebih baik lagi.
SELAMAT DATANG KEHIDUPAN Terimalah hari yang mendatang dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang, ia akan menjadi hari yang produktif. Terimalah segala cabaran , halangan sebagai sesuatu yang mesti dan ia akan menjadikan anda lebih kuat. Terimalah pendapat dan pandangan orang lain terutamanya yang amat berlainan dengan pandangan dan pendapat anda sendiri dan dengan sendirinya perspektif anda akan menjadi lebih luas. Terimalah hari ini dengan segala sesuatu yang datang bersamanya dan ia akan meningkatkan keupayaan anda untuk melakukan apa sahaja dengan apa yang anda untuk menjayakan apa sahaja yang anda idamkan. . Hiduplah seolah- olah segala sesuatu mengandungi kebaikan di dalam setiap keadaaan dan anda pasti akan menemuinya. Terimalah hari yang mendatang dan raikan segala yang baik dan buruk yang datang bersama dengannya. Anggap segala yang buruk itu ada rahmat dan kebaikan yang tersembunyi di dalamnya. Carilah sebanyak mungkin pengajaran dan nilai yang tersembunyi di sebalik kekalahan dan kesilapan yang telah dilakukan seperti juga halnya anda mencari perkara yang sama di dalam setiap kejayaan yang telah dicapai. Keindahan cahaya suria tidak akan ada ertinya jika tidak adanya kelam malam. Usaha tidak akan ada tanpa rehat yang mencukupi. Jika anda mencari beberapa perkara sahaja daripada kehidupan ini akan hilanglah keindahan keseluruhan kehidupan itu sendiri. Terimalah dunia ini dengan segala isinya dengan menghidupkan hari ini dengan penuh keceriaan
SEMINIT BERLALU Seminit baru sahaja berlalu. Mungkin anda menggunakannya untuk belajar tentang sesuatu atau melakukan sesuatu. Atau mungkin anda sedang menyudahkan kerja atau bergerak ke arah matlamat yang anda idamkan. Mungkin juga anda menggunakannya untuk mengucapkan terima kasih kerana bantuan atau pertolongan yang anda terima atau anda melakukan sesuatu untuk mengubah hidup orang lain yang paling anda sayangi. Atau mungkin anda membiarkan sahaja ia berlalu dan pergi begitu sahaja. Seminit itu telah berlalu dan tidak akan kembali lagi kepangkuan anda sampai bila- bila. Begitulah halnya dengan minit- minit lain sebelum ini , pergi dan tidak akan kembali lagi. Berjuta perkara dapat anda lakukan dengan setiap minit yang ada di dalam hidup anda. Di dalam seminit impian sedang dilaksanakan, kehidupan diteruskan, bandaraya yang hebat dibangunkan, seni yang indah dicipta,mesin yang canggih dibina, institusi keluarga diperkukuhkan dan perniagaan diperbesarkan. Setiap minit menjanjikan peluang untuk melompat ke arah kecemerlangan dan kejayaan .Semuanya bergantung kepada bagaimana anda menggunakannya. Seminit baru sahaja berlalu dan akan terus berlalu….
SENARAI IDAMAN Bayangkan begini. Anda bangun pada suatu pagi dan mendapati apa sahaja ayang anda idamkan akan menjadi kenyataan di hadapan mata anda sendiri. Anda idamkan sebuah kereta 'sport' dan tiba- tiba ia muncul di garaj anda.Anda idamkan badan yang tegap sasa dan tiba- tiba ia menjadi kenyataan. Amat menakjubkan dan menghiburkan sekali. Anda idamkan jutaan ringgit di dalam akaun anda di bank, dan ia menjadi kenyataan dengan tiba- tiba. Kemudia anda mendapati bahawa wang bukan lagi satu keperluan kerana tidak ada apa yang perlu dibeli lagi kerana semuanya berada di hadapan mata anda sekarang. Anda idamkan sebuah komputer yang terbaru dan yang tercanggih , binatang peliharaan yang comel dan manja, rumah bak mahligai dan pasangan yang penyayang. Semuanya menjadi kenyataan dan hadir di hadapan mata dengan sekelip mata sahaja . Lama kelamaan ia menjadi sesuatu yang melampau, apa sahaja yang anda fikirkan walaupun perkara yang remeh - temeh , akan menjadi kenyataan dan semuanya bertimbun di hadapan mata.Ia menjadi sesuatu yang membosankan . Apa gunanya semua 'sampahsarap' ini ? Anda akhirnya cuba untuk mengurangkan keinginan anda kerana ia akan membuat kehidupan anda penuh dengan sampah. Anda tidak dapat lari ke mana- mana lagi. Akhirnya anda berharap untuk tidak mempunyai kuasa ini lagi dan keinginan inipun tercapai dan segala yang berada di hadapan mata anda hilang meninggalkan anda sama seperti sebelumnya dengan pengalaman dan sedikit kebijaksanaan. Semua ini memberikan anda pengertian tentang betapa pentingnya usaha dan ikhtiar di dalam memperolehi sesuatu perkara yang anda idamkan. Anda menyedari bahawa keinginanan
bukanlah boleh dipenuhi dengan perkara yang anda ingini tetapi ialah pengalaman dan kebijaksanaan yang anda perolehi di dalam proses merealisasikan impian dan idaman anda itu. Anda akhirnya menyedari bahawa kehiudpan ini dengan segala masalah, kesulitan dan cabaran yang ada bersamanya adalah lebih baik daripada mempunyai kuasa untuk menzahirkan idaman dan impian anda di dalam sekelip mata tanpa sebarang usaha. Usaha dan ikhtiar itulah yang menjadikan keinginan dan idaman yang dicapai sesuatu yang menggembirakan dan membahagiakan dan menjadikan kehidupan ini lebih bermakna.
SYURGA Adakah anda sedang berada di syurga sedangkan anda tidak menyedarinya? Adakah anda melihat bahawa di sekeliling anda penuh dengan buah- buah yang manis dan masak dengan ranumnya tetapi anda mencari- cari buah yang masam? Adakah anda sedang melalui jalan yang penuh dnegan taburan intan dan berlian di kiri dan kanan jalan tetapi anda tidak memperdulikannya apatah lagi untuk berhenti dan mengambilnya? Adakah anda terlepas peluang keemasan setiap hari kerana mengunci diri di dalam penjara keselesaaan yang anda bina untuk kehidupan anda? Adakah had dan batasan yang memisahkan di antara anda dengan pencapaian sebenar. Setiap saat ada emas yang menunggu-nunggu untuk dilombong. Di dalam setiap persahabatan anda keceriaan yang menunggu-nunggu untuk dinikmati. Bukalah mata anda dengan seluas- luasnya. Bukalah pintu hati anda selebar- lebarnya.Lihatlah disekeliling anda, melihat dengan mata dan hati yang terbuka, dan lihatlah keindahan dunia yang tersedia untuk anda nikmati, jika itulah yang anda inginkan…
TAKUTKAN KRITIKAN Bagaimanalah agaknya hidup penuh dengan kritikan? Jika anda melakukan sesuatu yang anda ketahui sebagai betul, apakah alasan untuk anda merasa takut dengan kritikan daripada orang lain ? Adakah anda merasa bahawa kritikan dan komen daripada orang lain akan merosakkan imej dan harga diri anda ? Adakah anda takut mengeluarkan pendapat dan bertindak kerana khuatir perasaan anda akan dilukai ? Jika anda ingin memperbaiki imej dan harga kendiri jangan biarkan orang lain menentukan apa yang anda perkatakan atau lakukan. Sebaliknya berusahalah untuk melakukan sesuatu yang bernilai kepada kemanusiaan keseluruhannya. Lakukan
perubahan yang positif. Memuji diri sendiri ada baiknya tetapi anda akan berasa selesa dengan diri anda apabila sesuatu yang anda perkatakan dan lakukan mendatangkan faedah. Dapatkan pengajaran yang positif daripada kritikan yang anda terima. Sedarlah bahawa ia tidak akan menyakiti hati dan perasaan anda. Sebaliknya ia adalah alat yang amat berguna jika dipergunakan dengan sebaik mungkin. Teruskanlah apa yang sedang anda lakukan sekarang dengan kesedaran bahawa ia akan mendatangkan faedah. Pastinya ia akan mendatangkan faedah terhadap diri sendiri, keluarga, masayarakat dan negara. TANGGUNGJAWAB YANG SERIUS Anda tidak akan dapat memberikan menafaat kepada sesiapapun walaupun kepada diri anda sendiri sekiranya anda tidak menjadi seperti yang sepatutnya.Apabila anda memutuskan untuk menerima kekalahan ia akan pergi lebih jauh daripada itu.Ia menghampakan dan mengecewakan kepada kehidupan ini dan merendahkan mertabat kehidupan dan kemanusiaan yang menjadi punca kepada segala kejadian Tuhan di muka bumi ini. Bukan pilihan atau hak untuk anda hidup pada setiap hari dan memenuhi kehidupan itu dengan keceriaan dan penyempurnaan tugas dan tanggungjawab, tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang serius terhadap diri sendiri dan juga kepada dunia keseluruhannya.Bukanlah sesuatu yang bersifat mementingkan diri sendiri sekiranya anda cuba untuk memenuhi apa yang anda harapkan akan dapat dicapai. Mementingkan diri sendiri ialah apabila anda mengabaikannya. Tingkatkan diri anda dengan ketulusan dan kesepaduan dan segala yang berada di sekeliling atau persekitaran anda akan juga turut dipertingkatkan. Anda hidup bukanlah untuk diri anda sendiri semata- mata. Seluruh alam ini bergantung dan berharap kepada anda agar mempersembahkan yang terbaik.Apa yang sepatutnya anda lakukan, tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Ia pastinya adalah satu tanggungjawab yang besar dan berat . Terimalah ia dengan hati terbuka dan bawalah ia ke mana sahaja anda pergi dan apa sahaja yang anda lakukan dan kecemerlangan akan pasti berada di dalam genggaman anda.
TERAPUNG KE ATAS Adakah prioriti dan komitmen anda memberikan lebih tenaga ataupun memenjarakan anda ? Jika anda berasa terperangkap dan terpenjara dengarlah nasihat ini: pergilah berenang.. Jika anda cuba untuk menggenggam air, ia akan meleleh keluar dan kering. Jika anda masuk kedalam air , tanpa rasa untuk memegangnya dan mengapungkan diri anda dengan selesa dan membiarkan ia mengelilingi diri anda dengan bebas , anda akan dapat menikmati pengalaman itu selama yang anda ingini. Jika anda melawan dan bertindak menentang arus air anda akan meletakkan diri anda sehingga ke tahap membahayakan . Tetapi apabila anda bertenang dan relax, daya apungan anda yang
semulajadi beserta dengan usaha yang amat sedikit, akan membenarkan badan anda terapung tanpa mengira berapa dalamnya air di sekitar anda. Adakah anda mendapati diri anda bergelut dengan segala sesuatu yang ingin anda capai ? Berhentilah seketika. Ingatkan kembali berapa banyak masa dan tenaga yang telah terbuang dengan sia- sia tanpa hasil yang diharapkan. Hentikanlah daripada pergelutan yang sia- sia itu dan bertenanglah dengan mengapungkan diri anda di dalam arus kehidupan ini. Usaha anda akan lebih berkesan jika diarahkan dengan baik ke arah matlamat yang ingin anda capai tanpa terburu- buru atau dipaksakan untuk mencapai apa yang anda idamkan. Apabila ketekanan membuat anda berasa lemas di dalam arus kehidupan ini, bayangkanlah di dalam fikiran anda bahawa anda sedang berenang. Biarkanlah komitmen yang anda berikan terhadap segala sesuatu menyokong anda untuk terus terapung daripada membuat anda merasa kelemasan.
TERIMALAH HAKIKAT Setiap sesuatu ada akibatnya. Sama ada kehidupan anda akan penuh dengan kegagalan ataupun kegembiraan banyak bergantung kepada tindakan yang anda ambil. Adakah kenyataan ini mengganggu anda ? Adakah ia satu berita yang buruk ? Jika begitulah halnya maka anda perlu menilai kembali tindakan yang telah anda ambil. Sebaliknya jika ia menggembirakan dan merangsang anda , mungkin anda sedang mengikuti langkah atau haluan yang akan membawa anda kepada kehidupan yang ideal yang anda idamidamkan. Apakah yang anda lakukan sekarang untuk memenuhi impian anda ? Apakah tindakan yang mungkin akan anda ambil pada hari ini untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan terhadap diri anda? Apakah idaman dan impian anda dan bagaimana mungkin anda menggunakan segala masa dan tenaga yang ada untuk mencapainya ? Fikirkan sejenak tentang betapa hebatnya hakikat bahawa segala tindakan yang anda telah sedang dan akan ambil mendatangkan kesan dan akibat yang tersendiri. Segala sesuatu yang agung yang telah dicapai adalah merupakan akibat. Capailah apa jua kejayaan yang anda idamkan dengan menjadikan akibat daripada segala perbuatan anda menjuruskan anda kepada kejayaan yang anda idam- idamkan.
ADAKAH ANDA TERLEBIH MENCUBA? Apa yang anda lakukan kadang- kadang kelihatannya tidak berhasil dan tidak berkesan. Anda memujuk diri agar terus mencuba. Anda menghebahkan kepada orang lain betapa anda telah mencuba dengan seupaya mungkin. Hakikatnya anda hanya dikatakan mencuba apabila apa yang anda cuba itu dapat mencapai matlamatnya. Apa akan jadi sekiranya anda menghapuskan perkataan "mencuba' daripada kamus hidup anda ? Yang
pastinya ia akan menjadikan anda lebih spesifik. Daripada berkata :" Saya cuba menyelesaikan tugasan ini.." anda akan lebih tepat berkata begini:" Saya sedang cuba menyiapkan laporan prestasi pelajar saya semester yang lalu!" Jika anda tidak memikirkan tentang "mencuba' anda akan terfokus untuk meneruskan apa yang sedang anda lakukan dan memilih untuk memastikannya mencapai matlamat atau objekif yang telah ditetapkan. Berusaha dengan ikhlas adalah amat baik, tetapi berusaha dengan hanya mencuba- cuba, adalah tidak berapa baik. Jangan biarkan anda terperangkap di dalam percubaan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan tetapi sebenarnya anda hanya melakukan tugasan yang berbentuk serpihan dan cabang sahaja. Lupakan tentang cuba untuk menyelesaikan sesuatu. Tetapi bangun dan berusaha bersungguh- sungguh menyelesaikan apa yang sepatutnya anda selesaikan.
TERLIBAT SAMA Adakah keadaan persekitaran menghalang pergerakan anda atau ia menggambarkan berapa banyak anda menahan diri daripada terlibat ? Tidak ada keadaan persekitaran dan nasib yang dapat mengatasi kuasa yang terdapat di dalam komitmen dan kesungguhan. Apabila anda membiarkan sesuatu halangan menghentikan anda, apakah yang sebenarnya menghalang anda? Adakah halangan itu atau diri anda sendiri ? Berita yang paling buruk yang patut anda ketahui ialah andalah yang sebenarnya menghalang diri anda daripada mencapai sesuatu yang sepatutnya anda capai. Berita baiknya pula ialah anda telah memperlahankan pergerakan anda sehingga anda berupaya untuk mengubah nasib anda pada bila- bila masa yang anda suka. Daripada menghabiskan tenaga bertelagah dengan masalah dan halangan , arahkan tenaga tersebut ke arah impian dan cita- cita anda. Anda boleh memilih untuk terlibat sama di dalam kejayaan ataupun di dalam menentukan nasib tidak baik anda . Semuanya itu akan membawa perubahan yang besar kepada kualiti hidup anda. Setiap keputusan di dalam setiap saat putuskan untuk terlibat secara menyeluruh ke arah tindakan, pemikiran dan perasaan yang positif, produktif dan kreatif. Pilihlah untuk dunia ini menerima yang terbaik sahaja daripada anda. TETAPKAN MATLAMAT YANG KECIL Tetapkan satu matlamat yang kecil dan cubalah untuk mencapainya. Jadikan ia besar sedikit dan cubalah juga untuk mencapainya. Ini akan membina keyakinan anda. Hidup dengan bermatlamat menjadikan hidup ini bermakna. Ketenangan mempunyai erti yang cukup besar. Ia memberikan kelegaan, relax dan penyempurnaan. Tetapi hanyut di dalam ketenangan kerana tidak tahu apakah yang akan di lakukan kemudian adalah satu sumber pembaziran kepada masa yang amat berharga itu. Setiap pencapaian yang besar adalah datangnya daripada banyak matlamat- matlamat kecil yang telah kita tetapkan. Orang yang bekerja dengan mengetahui apakah yang ingin mereka capai adalah seseorang yang sentiasa menyelesaikan kerjanya. Mereka menanamkan tabiat menetapkan matlamat dan berusaha mencapainya. Ia bukanlah sesuatu yang rumit ataupun sukar sangat. Tetapi ia
memberikan keajaiban yang sentiasa dicari- cari oleh semua orang. Tentukan apa yang ingin dicapai dan terus berusaha untuk mencapainya. Jika kelihatannya sukar dicapai, pecahkan ia kepada beberapa bahagian yang kecil yang boleh atau terjamin untuk dicapai. Matlamat yang kecil amat bererti , ini kerana ia menyediakan satu tapak atau asas yang kukuh untuk didirikan matlamat lain yang lebih besar dan mencabar. Patuhilah matlamat anda dan pasti akhirnya anda akan sampai ke puncak idaman yang anda harapharapkan TIADA ALASAN Alasan adalah batu asas yang paling penting kepada segala kegagalan. Sama ada anda memberi atau menerimanya , ia adalah satu petanda bahawa anda sedang menyimpang daripada jalan yang sebenar. Tindakan yang telah difikirkan dan dipertimbangkan dengan semasak mungkin adalah petanda ke arah keberkesanan manakala alasan adalah petanda kepada ketidakberkesanan. Setiap kegagalan ada sebabnya. Setiap kesalahan ada sebab dan puncanya. Anda boleh menerima segala sebab tersebut dan mempelajari sesuatu yang positif daripadanya ataupun anda boleh menjadikannya sebagai alasan dan membiarkannya mengalahkan anda. Setiap alasan adalah kekalahan yang kecil , dan ia boleh bertambah dan membesar dengan begitu cepat sekali . Strategi yang paling baik ialah mengelakkannya.Perjelaskan kedudukan yang sebenar tetapi jangan cuba untuk mencari alasan. Perdengarkan sebab tetapi jauhi alasan yang tidak berasas. Alami kehidupan ini tanpa alasan. Keberkesanan anda dan mereka yang berada di sekeliling anda akan membuahkan hasil dan kecemerlangan yang menjadi harapan dan idaman anda, mereka dan kita semua.
TIGA LANGKAH KE ARAH KEJAYAAN Tiga langkah ke arah kejayaan untuk mencapai segala sesuatu ialah langkah terakhir, langkah pertama dan langkah berikutnya. Langkah terakhir ialah langkah penghabisan yang anda ambil untuk mencapai matlamat yang anda cari atau yang telah anda tetapkan. Ini adalah langkah yang diambil setelah matlamat anda di jelaskan dan diperincikan dengan setepat mungkin. Ia juga adalah langkah terpenting di dalam menentukan arah dan perancangan dan tindakan yang spesifik . Untuk membentuk perancangan yang realistik ke arah matlamat anda, mulakan dengan langkah yang terakhir. Kemudian tentukan langkah sebelumnya dan bekerjalah dengan mengundur sehingga anda membentuk satu hubungan yang kukuh di antara di mana anda sekarang dengan ke manakah anda akan pergi. Langkah pertama juga adalah penting. Apabila anda telah menetapkan apakah langkah- langkah yang perlu di ambil, adalah tersangat penting anda terus melakukannya tanpa bertangguh - tangguh lagi. Tidak ada gunanya menetapkan sesuatu matlamat tetapi tidak berusaha ke arahnya dengan secepat mungkin. Tidak kira apakah matlamat yang telah anda tetapkan terhadap diri anda, akan selalu ada sesuatu langkah yang boleh anda ambil sekarang . Adalah tersangat penting anda melakukan perkara tersebut. Langkah berikutnya adalah yang sangat- sangat penting. Daripada mula anda menetapkan sesuatu matlamat, akan sentiasa ada langkah yang menunggu- nunggu
untuk di ambil . Teruskan mengambil langkah demi langkah, dan anda pasti akan mencapai matlamat yang telah anda tetapkan tersebut.
USAHA MAMPAN Adakah anda terikat dengan usaha- usaha lalu yang mudah dan dapat diselesaikan dengan cepat dan betul serta memberikan imbuhan dan ganjaran yang segera ? Usaha yang cepat ada tempatnya. Ia menjadikan anda terburu- buru atau memberikan perubahan di dalam rentak bekerja . Memang benar melakukan sesuatu lebih baik daripada tidak melakukan suatu apapun. Namun di sana ada tempat yang memerlukan anda melakukan usaha yang lebih mampan serta kompleks. Berhati -hatilah agar tidak menjadikan usaha yang cepat dan segera sebagai satu- satunya tumpuan perhatian anda. Berikan lebih masa untuk usaha yang bersifat jangkapanjang dan sederhana serta lebih kompleks sifat . Ia berkuasa merubah kehidupan anda . Penghargaan dan kepuasan yang bersifat segera amat menghiburkan. Hasil dan keputusan yang berkekalan memerlukan usaha yang juga berterusan dan berkekalan. Anda boleh berusaha ke arah perubahan yang positif sama ada dengan cepat dan sementara atau dengan lambat tetapi berpanjangan ataupun melakukan kedua- duanya pada masa yang sama. Seimbangkan usaha anda . Dalam masa anda menikmati hasil daripada usaha yang cepat dan segera pastikan anda menyediakan tenaga secukupnya untuk menghadapi cabaran yang lebih kompleks dan menggegarkan. USAHA TAMBAHAN Berusaha secukupnya untuk mencapai apa sahaja yang anda idamkan akan hanya membawa anda kepada 95% daripada kecemerlangan yang sebenar. Jika anda sekadar memnuhi harapan dan cita- cita sahaja , usaha tambahan akan membawa anda ke tahap yang lebih tinggi. Walaupun begitu tidak ramai yang mengambil inisiatif untuk berusaha lebih daripada sepatutnya. Ini adalah lebih banyak disebabkan oleh sikap dan sifat berbanding dnegan kemahiran ataupun keupayaan. Seringkali kita berhadapan dengan keadaan yang menghalang usaha yang berlebihan dan kecenderungan untuk mengelakkannya apabila ada kesempatan. Oleh sebab itu sebahagian besar daripada kita hanya memberikan usaha yang ala kadar sahaja dan berjuang untuk mengekalkan tempat yang sedia ada. Tetapi dengan sdikit usaha tambahan , tiba- tiba anda akan mendapati bahawa anda telah tersenarai di kalangan mereka yang mempunyai pencaoapaian yang luar biasa. Jika anda berusaha ala kadar , sebenarnya anda sudah memang sedia ada di sana. Malang jika anda beerterusan selamanya di sana. Anda senebenarnya lebih hampait r kepada kecemeralngan lebih dekat daripada yang anda fikirkan. Apa yang diperlukan ialah sedikit usaha tambahan , dengan bekerja lebih berkesan . Usaha tambahan yang kecil dan sedikit tetapi berkekalan akan membawa perubahan dan perbezaan yang besar. Apabila anda telah berusaha lebih anda akan membentuk momentum yang akan melajakkan anda ke hadapan dengan lebih cepat . Berusahalang lebih sedikit dan ia pasti akan membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan anda.
YAKINKAN DIRI ANDA Anda tidak akan menerima segala tindakan mengalah seperti sekarang ini sebelum terlebih dahulu menyakinkan diri anda untuk menerimanya. Begitulah jugalah halnya apabila anda memutuskan untuk memilih jalan yang akan membawa anda kepada kejayaan. Anda perlu terlebih dahulu meyakinkan diri anda untuk menerimanya. Anda mempunyai kuasa untuk meyakinkan diri anda sama ada untuk kebaikan ataupun keburukan. Anda yang mengawal pemikiran anda dan tidak akan mengambil dan mengekalkan sebarang tindakan tanpa terlebih dahulu dengan sedar dan niat yang jelas untuk melakukannya. Cabaran pertama yang perlu anda hadapi di dalam mencapai apa sahaja yang anda idamkan ialah pertama terlebih dahulu anda perlu meyakinkan diri anda. Apabila anda telah diyakinkan untuk menerima atau menolak sesuatu nilai anda akan menemui jalan untuk menjayakan apa sahaja. Sentiasa ingatkan diri anda sekerap mungkin tentang nilai yang terkandung di sebalik tindakan yang anda ambil dan anda pasti akan bertemu dengan hasil yang anda harapkan. Meyakinkan diri sendiri adalah lebih mudah berbanding dengan orang lain. Anda tahu apa yang penting terhadap diri anda dan anda turut mengetahui apakah yang memotivasikan anda. Hakikatnya anda cukup bijak untuk meyakinkan diri anda sendiri. Anda melakukannya setiap masa. Arahkan kuasa dan kebolehan itu kepada tujuan dan arah yang positif, kreatif dan tidak ada had apa yang bakal anda capai nanti.