Al Quraan Kunci Kejayaan

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Al Quraan Kunci Kejayaan as PDF for free.

More details

  • Words: 710
  • Pages: 2
Tazkirah Remaja: Al-Quran kunci kejayaan ummah Bersama Mohd Zawawi Yusoh [email protected] KEKUATAN dalaman ke arah pembinaan generasi silam ialah beriman kepada alQuran yang datang sebagai buku rujukan kehidupan. Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar manusia cara menguruskan kehidupan, soal ekonomi, cara berpolitik, pembinaan rumah tangga, melayan tetamu, hak anak terhadap ibu bapa, hak ibu bapa terhadap anak, hak pemimpin terhadap rakyat dan rakyat terhadap pemimpin. Al-Quran juga mengajar hidup bermasyarakat sesama Muslim dan kaedah berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam. Malah, segalanya dimodulkan dalam al-Quran, ada secara terperinci dan umum yang diperjelaskan oleh hadis. Kitab suci ini tetap terpelihara daripada sebarang gangguan dan campur tangan manusia. Ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan menjaganya” (surah alHijr:9). Seorang penulis Barat iaitu Sr William Menin dalam bukunya ‘Life Of Muhamad’ berkata: “Berkemungkinan besar tidak ada satu kitab pun di dunia ini yang mampu bertahan seperti al-Quran selama berabad-abad dalam keaslian yang terpelihara.” Kandungan al-Quran yang sama seperti dulu sepatutnya dihayati generasi kini agar jenis manusia serupa dilahirkan, iaitu manusia generasi al-Quran. Inilah kejayaan utama Rasulullah s.a.w iaitu menterjemahkan al-Quran daripada ayat yang dibaca kepada perbuatan dan tingkah laku. Lahirlah generasi al-Quran yang bergerak dan berada di mana-mana. Kandungan utama al-Quran pertamanya jawapan muktamad mengenai tauhid. Kedua, panduan hidup dalam bentuk sistem muamalat dan undang-undang, ketiga mengenai perkara ghaib, seterusnya soal hari kebangkitan, balasan akibat daripada perbuatan dosa dan pahala, induk segala ilmu dan alat pembersih jiwa. Sekiranya kita baca sejarah berkesannya ayat al-Quran meresap di dalam jiwa sahabat ialah peristiwa pengharaman arak. Ketika turun ayat 90 surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya minum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta menilik nasib adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” Menurut Anas bin Malik: “Ketika mengedarkan arak di rumah Abu Talhah, tiba-tiba kami terdengar suara seorang lelaki di halaman rumah lalu kami keluar untuk melihatnya.” Lelaki itu berkata: “Wahai kawan-kawan, mulai hari ini arak diharamkan.” Abu Talhah berkata: “Wahai kawan-kawan cepat keluar, tumpahkan arak.” Mereka semua mencampakkan arak, ada yang sedang meletakkan arak dibibirnya untuk minum bila terdengar ayat itu, itulah kali terakhir menyentuh arak.

Al-Quran sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada umat Islam. Layanan itu bukan hanya cara mengambil meletak dan membacanya tetapi yang lebih utama isi serta penghayatan suruhan dan menjauhi larangannya. Menurut Ibnu Qayyim, suasana inilah yang melonjakkan umat terdahulu ke tahap tertinggi indeks kecemerlangan. Kecemerlangan yang dicapai bukannya dalam satu bidang tertentu saja malah dalam segala bidang. Malangnya generasi ini sudah lama meninggalkan kita. Walaupun mereka tiada bersama, sejarah mereka tetap utuh tersimpan, masih segar jika mahu ditelaah dan dipelajari. Mereka membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama malah menjadikannya buku panduan hidup. Ia bukan saja untuk kesempurnaan fardu ain tetapi juga fardu kifayah. Cuba lihat apabila mereka membaca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan berlumba-lumba membeli kain di pasar untuk menutup aurat tetapi mereka berfikir lebih jauh daripada itu. Mereka berfikir bagaimana hendak mencipta pakaian, membina kilang pakaian, malah merancang untuk menguasai pasaran pakaian dan fesyen. Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan saja hendak membersihkan najis tetapi juga mencari idea bagaimana hendak mencipta teknologi alat kebersihan, kilang, malah import eksport barang berkenaan. Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi yang mempunyai akhlak yang tinggi. Begitulah al- Quran memberi inspirasi berfikir dan berzikir. Sewajarnya remaja mendekati al-Quran untuk turut mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi. Caranya dengan membaca al-Quran, banyak mendengar al-Quran, memahami al-Quran, menjadikannya ubat mujarab menyelesaikan masalah sosial dan akhirnya dijadikan sumber hukum. Masalah remaja bermula apabila kita mengambil satu sikap memulaukan al-Quran, tidak membacanya. Jika dulu, waktu Maghrib suara membaca al-Quran sayup-sayup kedengaran dari rumah tetapi kini yang kedengaran hanya suara dari televisyen dan radio. Bahkan, ramai generasi hari ini, jika membaca al-Quran pun banyak kesalahan, tidak cuba memahaminya, tidak menjadikannya sebagai panduan untuk merawat penyakit masyarakat dan kemanusiaan. Kalau adapun dijadikan untuk hantaran perkahwinan. Ketika empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan orang Islam, pemimpin Rom berbicara sesama sendiri dengan penuh kagum mengenai tentera Muslim. Antara komen mereka, orang Islam adalah mereka yang suka bersolat pada malam hari dan berpuasa siang hari, menepati janji, menyeru orang melakukan kebaikan, melarang daripada kejahatan dan membahagikan harta rampasan perang sama banyak di antara mereka.

Related Documents

11 Kunci Kejayaan
November 2019 11
Urdu Quraan Al Kareem
December 2019 8
Urdu Quraan Al Kareem
October 2019 14
Urdu Quraan Al Kareem
May 2020 12
Kejayaan
May 2020 37