Tajuk Syarahan: Akhlak Cemerlang , Negara Terbilang. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang dimuliakan saudari pengerusi majlis,barisan para hakim yang adil lagi bijaksana,guru-guru,rakan-rakan serta hadirin hadirat para pendengar sekalian. Anak Seluang, Anak Sembilang, Anak Haruan di atas papan, Akhlak Cemerlang Negara Terbilang, Syarahan ingin saya perdengarkan. Tuan/puan, para hadirin sekalian, Berbicara mengenai akhlak atau budi pekerti sangat luas medannya, bagaikan lautan yang tidak bertepi. Makin dalam diselami makin banyak perbendaharaan yang didapati sehingga tidak habis untuk dibahas dan dikaji. Tanpa membuang masa kita lihat kejadian Allah pada diri kita ini. Allah menjadikan kita cukup sifat dibekalkan anggota tubuh dengan berbagai- bagai, urat saraf dan pancaindera, akal dan fikiran, watak dan tabiat semulajadi, adat dan kebiasaan yang diwarisi. Dengan tenaga berfikir serta semangat dan kemahuan manusia itu sendiri, ia dapat melayakkan dirinya mencapai taraf makhluk yang paling mulia dan mendapat darjat yang setinggi-tingginya.Dalam mengharungi kehidupan ini, pelbagai pengalaman yang dilalui dapat memberi pengajaran dalam menentukan dan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, yang berguna dan yang berbahaya yang mendatangkan faedah dan mudarat. Para pendengar Yang Dihormati sekalian, Akhlak yang cemerlang dapat menentukan sesuatu bangsa itu berkedudukan rendah atau mulia.Umat yang baik akhlak dan budi pekertinya itu tandanya ada kemuliaan dan keutamaan. Sebaliknya umat yang budi pekertinya buruk akan sentiasa berada dalam kerendahan biarpun dilimpahi dengan kemewahan dunia dan kebesaran serta kebanggaannya.Ini kerana kemuliaan sesuatu umat itu kekal selagi mewarisi akhlak dan budi pekerti yang mulia. Akhlak yang mulia dan cemerlang menjadi pelita menyinari diri dan orang lain menuju jalan yang selamat dalam mencari keredhaan Allah. Ia menjadikan manusia patuh dan tunduk kepada Tuhan serta berusaha untuk berbakti. Disinilah bermulanya tuntutan berakhlak mulia seiring dengan hidup mesti berusaha dan bekerja. Setiap makhluk yang hidup mestilah bekerja kerana bekerja merupakan roh atau jiwa kepada kehidupan. Oleh itu hidup mestilah berperaturan . Kita boleh himpunkan hal tersebut dalam empat perkara:
1. Hendaklah taat kepada undang-undang negara dan berpegang teguh dengan ajaran dan tuntutan agama yang benar. 2. Cekal dan tabah dalam segala pekerjaan dan gigih dalam segala lapangan hidup. 3. Bersungguh-sungguh untuk menundukkan nafsu sebelum nafsu dapat menundukkan dirinya. 4. Menggunakan seluruh hidupnya seberapa yang terdaya untuk mencapai kemajuan dan memahami sesuatu hakikat. Para Hadirin /Hadirat sekalian, Biarlah saya terangkan sedikit tentang perkara di atas. Taat kepada undang-undang negara dan patuh kepada ajaran agama pasti akan membawa kebahagiaan seseorang dalam mengharungi hidup di dunia dan akhirat.Seseorang yang sedar melalui akhlak yang mulia dan cemerlang sahaja yang boleh menjadikan dirinya berjaya. Ini dapat dilihat dengan kegigihan mengusahakan sesuatu pekerjaan dengan sempurna. Bersungguh –sungguh dalam menundukkan hawa nafsu agar tidak menyimpang daripada matlamat murni amalannya. Seterusnya ia pasti akan menggunakan seluruh daya kuasanya untuk mencapai kemajuan sama ada untuk dirinya dan orang lain. Jelas sekali kita lihat disini, akhlak yang cemerlang akan menghasilkan sebuah negara yang terbilang. Insan-insan yang berakhlak yang cemerlang sahaja berjaya memahami kehendak duniawi dan ukhrawi dengan jelas dan terang yang dapat dilahirkannya dalam bentuk usaha-usaha yang cemerlang pula. Allah memuji Nabi Muhammad s.a.w dengan firmanNya:
"وإنك لعلى خلق عظيم “ sesungguhnya engkau ya Muhammad
mempunyai budi pekerti yang baik”
Melalui Nabi kita Muhammad s.a.w akhlak yang mulia dapat dicontohi uutuk panduan pergaulan sesama manusia . Hasil daripada itu akan mendatangkanazam melakukan kebaikan dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai sesuatu matlamat dan cita-cita. Kalau kita panjangkan lagi pandangan kita , sudah pasti usaha-usaha yang baik untuk sesuatu matlamat kepada negara tidak akan sia-sia dengan usaha dan kabajikan yang dilakukan bersngguh-sungguh tadi.Sudah pasti akhlak cemerlang akan menghasilkan negara terbilang. Para Pendengar sekalian, Berakhlak mulia amat dituntut oleh Islam walau di mana sahaja kita berada. Manusia menilai tinggi seseorang bukan dengan hartanya yang banyak malah dilihat pula pada ketinggian akhlak dan pekertinya.Bak kata pepatah buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Nabi kita Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud” Berilah makan orang yang lapar, berilah minum orang yang haus, suruhlah orang berbuat kebajikan dan tegahlah
dari mengerjakan kejahatan. Kalau engkau tidak sanggup, tahanlah lidahmu. Jangan memperkatakan yang tidak baik.” Betapa tinggi akhlak yang diajar kepada kita semua. Hasilnya adalah untuk kesejahteraan kita bersama.Setiap anggota yang Allah anugerahkan kepada kita, perlu kita jaga dengan pakaian akhlak yang mulia. Akhlak mulia menghasilkan insan yang berdaya maju dan cemerlang dalam kehidupan dunia dan akhirat. Seterusnya ini sudah pasti akan mejalin satu pergaulan yang sihat antara masyarakat dalam sesebuah negara. Sudah pasti akhlak yang cemerlang tadi membawa terhasilnya sebuah negara yang terbilang. Tuan-tuan dan puan-puan, hadirin, hadirat sekalian. Berazamlah kita untuk berakhlak dengan akhlak yang cemerlang. Kita bina sebuah keluarga , masyarakat dan negara yang terbilang. Ini kerana agama Islam yang kita anuti. Adalah agama satu-satunya yang dapat membimbing akhlak dengan sempurna.Ingatlah! Mulia sesuatu bangsa itu adalah dengan ketinggian akhlaknya dan runtuhnya sesuatu bangsa itu pula adalah kerana rosak akhlak dan budi pekertinya. Sekian, Wallahu A`lam bis sawab. Wabillahi Taufiq Walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.