Novel : Merdeka! Merdeka SINOPSIS Bab 1
Kudin terperanjat bercampur gembira dan terharu kerana dipilih untuk menyampaikan ucapan dalam majlis perhimpunan di Kuala Lumpur. Mak Bibah, iaitu emak Kudin turut berasa bangga walaupun suatu masa dulu dia tidak menyetujui penglibatan Kudin dalam perjuangan menentang penjajah. Malah, Mak Bibah memberikan sebahagian wang hasil jualan kuih-muihnya kepada pejuang-pejuang kemerdekaan. Kudin terdengar bunyi tembakan. Dia tahu bahawa komunis sedang menyerang kubu pertahanan kampung. Pengganas memang berhasrat menawan Kampung Teras Jernang. Bapa Kudin, Pak Awang pula diberi amaran oleh majikannya, Tuan White supaya tidak terlibat dalam perjuangan menentang Inggeris. Sementara itu, Bustam memberitahu Kudin bahawa Pak Karim mati dibunuh oleh dua orang pemuda yang tidak dikenali.
Bab 2… Mesyuarat Persatuan Pahlawan Kemerdekaan di rumah Tuk Ketua membincangkan tragedi pembunuhan Pak Karim. Lantaran itu, Kumpulan Pengawal Kampung ditubuhkan untuk mengawal keselamatan kampung dan Murad dilantik untuk mengetuainya. Seterusnya mereka berbincang tentang persiapan ke Kuala Lumpur. Dalam perhimpunan agung di Kuala Lumpur nanti, Persatuan Pahlawan Kemerdekaan ditugaskan mengendalikan urusan keselamatan dan penyusunan acara program. Kudin dijemput menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung itu. Penghormatan itu diberikan kepadanya sebagai menghargai pengorbanannya yang mewakili generasi muda di Kampung Teras Jernang berjuang menentang penjajah Inggeris. Kudin pernah bertungkuslumus meyakinkan orang ramai untuk menghidupkan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan kembali. Kepetahan Kudin berucap dengan penuh semangat memang diakui oleh penduduk kampung. Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Pak Awang selaku Pengerusi Persatuan Pahlawan Kemerdekaan dijemput hadir ke Kuala Lumpur. Namun, dia tidak dapat pergi kerana bimbang diintip oleh pihak Inggeris. Akhirnya keputusan diambil dengan mewakilkan Ibrahim pergi bersama Kudin.
Bab 3… Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, Kudin ingin menjenguk rakan-rakannya di kubu pertahanan di dalam hutan. Kubu tersebut dijadikan penghalang kemaraan pengganas ke kampungnya. Sebenarnya, orang kampung menghadapi dua ancaman, iaitu pengganas komunis dan penjajah Inggeris. Dalam perjalanan ke khemah di dalam hutan itu, Kudin teringat akan kekejaman komunis yang telah membunuh Pak Cik Barman selepas Jepun berundur dan ketika itu Inggeris belum tiba lagi. Kudin juga teringat akan pengalamannya belajar menggunakan senjata api daripada ayahnya. Orang-orang kampung kebanyakannya bersemangat tinggi
untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan kampung, namun mereka kekurangan peralatan seperti senjata dan peluru. Di khemah pertahanan kampung di hutan, rakan-rakan Kudin sibuk menggali kubu pertahanan. Kudin memaklumkan pemergiannya ke Kuala Lumpur kepada mereka. Rakan-rakan Kudin berasa bangga kerana Kudin dijemput untuk menyampaikan ucapan. Sementara itu, Ujang pula bersedih kerana ternampak akan ayahnya di pihak komunis semasa pertempuran semalam. Ujang tidak menyangka bahawa ayahnya menyertai perjuangan pengganas komunis.
Bab 4… Ibrahim dan Kudin bertolak ke Kuala Lumpur. Mereka menaiki bas dari Gerik ke Kuala Kangsar lalu menaiki kereta api ke Kuala Lumpur. Ibrahim dan Kudin berjalan kaki dari stesen kereta api ke Bangunan Sultan Sulaiman. Di sana, mereka menemui Encik Hasmun. Encik Hasmun bercerita tentang Inggeris yang tidak menunaikan janjinya untuk memberikan kemerdekaan kepada MPAJA. Perjuangan menuntut kemerdekaan pun bermula. Di samping orang Melayu, orang Cina juga berjuang menuntut kemerdekaan. Kudin gembira kerana berpeluang menemui Datuk Onn, iaitu tokoh yang menjadi pujaannya.
Bab 5… Mesyuarat persatuan-persatuan dipengerusikan oleh Datuk Onn. Tujuan mesyuarat itu ialah untuk membincangkan cara yang terbaik menentang Inggeris. Datuk Onn menjelaskan sikap Inggeris yang memaksa sultan-sultan supaya bersetuju dengan penubuhan Malayan Union. Dalam perbincangan tersebut, mereka yang hadir telah bersepakat untuk menentang penubuhan Malayan Union. Raja-raja Melayu juga mesti dipujuk untuk memulaukan majlis pengisytiharan Malayan Union itu. Dalam mesyuarat itu juga, Datuk Onn memperkenalkan Kudin sebagai seorang pemuda yang berani menentang pengganas komunis. Datuk Onn menegaskan bahawa perjuangan mereka ialah perjuangan serampang dua mata, iaitu menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris. Mereka juga telah mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan raksasa di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada 1-4 Mac 1946. Mereka akan mencuba mengatasi masalah kewangan melalui pungutan derma.
Bab 6… Sebaik saja tiba di kampung, Kudin terperanjat dan sedih kerana sahabatnya, Bustam telah dilarikan oleh pengganas komunis ke dalam hutan. Walaupun masih keletihan, Kudin terus ke khemah dengan bapanya untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kejadian penangkapan Bustam itu. Kudin berhasrat untuk menyelamatkan Bustam tetapi keadaan amat bahaya. Kudin sedar bahawa mereka kekurangan senjata, peluru, makanan, dan pakaian. Dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu lalu pulang ke rumah dengan kehampaan.
Bab 7… Kudin terdengar akan perbualan bapanya dengan Osman dan Kassim. Mereka datang ke rumah kerana disuruh oleh Tuan White. Tuan White memberi kata dua kepada Pak Awang, iaitu berhenti berjuang atau berhenti bekerja. Pak Awang amat marah dan mengambil keputusan nekad, iaitu berhenti kerja. Pak Awang pergi ke rumah Ibrahim bersama dengan Kudin. Mereka membuat pungutan derma daripada orang kampung. Jumlah pungutan tidak begitu banyak tetapi sumbangan itu membuktikan bahawa orang kampung menyokong perjuangan menentang Malayan Union. Sementara itu, ayah Bustam, iaitu Pak Kasa dan saudara-maranya bertekad untuk menyelamatkan Bustam. Pak Awang menyertai keluarga Pak Kasa dalam misi mencari dan menyelamatkan Bustam. Kudin pula meneruskan pungutan derma bersama dengan Ibrahim.
Bab 8… Pak Awang dan keluarga Pak Kasa belum pulang setelah tiga hari masuk ke dalam hutan. Mak Bibah dan Kudin berasa bimbang. Dalam masa yang sama Kudin bersiap-siap untuk pergi ke Kuala Lumpur. Perbincangan di rumah Tuk Ketua untuk mencari Pak Awang tidak mencapai kata sepakat kerana tugas itu berbahaya. Mesyuarat dihentikan apabila mereka terdengar bunyi tembakan di kawasan pertahanan sebelah hilir. Pada malam itu Kudin tidur di khemah bersama rakan-rakannya. Kudin tiba di Bangunan Sutan Sulaiman pada awal pagi. Mereka membincangkan persiapan dan atur cara perhimpunan selama empat hari itu. Sultan Selangor bersetuju untuk merasmikan perhimpunan raksasa tersebut. Datuk Onn dan Kudin akan menyampaikan ucapan. Perhimpunan itu akan membincangkan penentangan terhadap Malayan Union dan hal pelajaran. Tugas yang banyak di Kuala Lumpur menyebabkan Kudin lupa akan peristiwa yang berlaku di Kampung Teras Jernang.
Bab 9…
Perhimpunan 1 Mac 1946 mengumpulkan pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh negara. Padang Kelab Sultan Sulaiman dan bangunannya dibanjiri oleh berpuluh-puluh ribu orang. Kudin terharu akan semangat tinggi orang Melayu yang bersatu padu dan menentang Malayan Union. Namun Kudin bersedih apabila mendapat berita bahawa rombongan Pak Kasa dan bapanya mati dibunuh oleh pengganas komunis. Kudin mencuba untuk menyembunyikan kesedihannya itu. Dalam ucapan perasmian baginda, Sultan Selangor menekankan peri pentingnya orang Melayu bersatu padu. Za’ba selaku Pengerusi menerangkan tujuan perhimpunan, iaitu untuk menentang Malayan Union. Datuk Onn dalam ucapannya pula menyarankan orang Melayu mengubah nasib bangsa melalui perpaduan dalam persatuan yang dinamakan UMNO. Kudin menyampaikan ucapannya dengan penuh semangat dan menyeru kaum bapa dan kaum ibu supaya sanggup berkorban untuk negara. Menurutnya, generasi muda akan mengikut jejak mereka apabila dewasa kelak. Datuk Onn dan Za’ba mengucapkan tahniah kepada Kudin. Sultan Selangor turut memuji kebijaksanaan Kudin.
Bab 10…
Dalam perhimpunan itu juga, cadangan untuk menubuhkan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) mendapat sokongan daripada semua perwakilan. UMNO akan menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Keputusan yang dibuat ialah meminta raja-raja Melayu memulaukan hari perasmian Malayan Union. Perarakan membantah penubuhan Malayan Union akan diadakan juga. Mereka turut membincangkan sistem pelajaran dan ekonomi orang Melayu yang perlu diperbaiki. Dalam pada itu, Encik Hasmun berhasrat untuk mendidik Kudin menjadi seorang tokoh politik yang berjaya. Hasrat Encik Hasmun disokong oleh Datuk Onn. Kudin pulang ke kampung. Dia sedih kerana jambatan dan khemah telah dimusnahkan oleh pengganas komunis. Kudin menziarahi pusara bapanya. Mak Bibah pula tidak membantah sekiranya Kudin hendak tinggal di Kuala Lumpur.
Bab 11… Penduduk Kampung Teras Jernang termasuk Kudin membina kubu dan khemah di sekeliling kampung. Pada waktu tengah hari itu, Encik Hasmun datang ke rumah Kudin dan mengajaknya menghadiri perarakan di Kuala Kangsar. Perarakan menentang Malayan Union bermula di Padang Polo, Kuala Kangsar hingga Bukit Chandan. Selepas perarakan, Kudin dan Encik Hasmun bertolak ke Kuala Lumpur. Kudin membantu kerja-kerja pejabat seperti menyusun fail, membuka surat, menaip surat, dan menyusun agenda mesyuarat. Mesyuarat diadakan kerana pihak Inggeris telah merasmikan penubuhan Malayan Union dan melantik Sir Edward Gent sebagai Gabenor yang pertama. Hari perasmian Malayan Union akan diadakan pada bulan April. Raja-raja Melayu digesa supaya memulaukan Malayan Union dan orang Melayu akan berkabung selama seminggu. Kudin mengikut Datuk Onn dan Encik Hasmun ke Johor Bahru untuk menyertai perarakan di sana. Seterusnya Kudin menjelajah ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Kudin mendapati semangat orang Melayu menentang Malayan Union berkobar-kobar. Perarakan anti-Malayan Union diadakan di seluruh negara.
Bab 12… Raja-raja Melayu bersedia menghadiri upacara perasmian Malayan Union pada 1 April 1946 di Hotel Stesen, Kuala Lumpur. Orang Melayu dari seluruh negara berkumpul di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Mereka berarak ke Hotel Stesen dengan membawa ratusan sepanduk yang mengecam penjajah. Datuk Onn menemui raja-raja Melayu dan menerangkan hasrat orang Melayu menentang Malayan Union. Raja-raja Melayu melihat orang Melayu berhimpun di luar Hotel Stesen. Apabila melihat kesungguhan rakyat jelata, raja-raja Melayu mengambil keputusan memulaukan majlis perasmian Malayan Union dan bertindak meninggalkan Hotel Stesen. Dengan itu, penubuhan Malayan Union telah dapat digagalkan. Datuk Onn mengingatkan orang Melayu supaya terus berjuang menuntut kemerdekaan. Perhimpunan bersurai dan Kudin terus tinggal di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.
TEMA Tema bagi novel ini ialah perjuangan menentang penjajah Inggeris demi kemerdekaan tanah air… Kudin yang berusia lima belas tahun berganding tenaga dengan generasi dewasa telah berusaha gigih menentang penubuhan Malayan Union. Usaha ini mendapat sokongan daripada semua persatuan di seluruh negara hingga tertubuhnya UMNO yang diketuai oleh Datuk Onn. Datuk Onn dan orang Melayu berjaya mempengaruhi raja-raja supaya memulaukan majlis perasmian Malayan Union. Akhirnya, Malayan Union gagal ditubuhkan oleh kerajaan Inggeris.
PERSOALAN Keberanian mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh Golongan pemuda seperti Kudin, Bustam, Murad, dan Badur berani mempertahankan kampung daripada ancaman pengganas komunis. Kekejaman pengganas komunis Pengganas komunis melakukan kekejaman dengan membunuh demi mencapai cita-cita mereka. Pak Karim, Pak Kasa, dan Pak Awang mati dibunuh oleh pengganas komunis. Sanggup berkorban demi tanah air Pak Awang sanggup kehilangan pekerjaan kerana tidak mahu tunduk akan kehendak penjajah Inggeris. Pak Awang tidak mahu berhenti berjuang walaupun telah diberi amaran oleh Tuan White. Semangat bersatu padu orang Melayu Semangat ini dapat dilihat di Kampung Teras Jernang. Penduduknya bekerjasama menjaga keselamatan kampung mereka. Orang Melayu bersatu padu demi menggagalkan penubuhan Malayan Union. Kegigihan berjuang untuk kemerdekaan negara Kudin, Datuk Onn, Encik Hasmun, dan orang Melayu gigih berusaha untuk menghalang Inggeris daripada terus menjajah di Tanah Melayu. Mereka menghadap raja-raja untuk mendapatkan sokongan untuk menggagalkan rancangan pihak Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union. Pemimpin Melayu yang bijaksana Kebijaksanaan ini dapat dilihat dengan jelas pada watak Encik Hasmun, Kudin, dan Datuk Onn. Encik Hasmun bijaksana dalam melahirkan pemimpin pelapis yang bakal menerajui kepimpinan negara. Dia berhasrat untuk melatih Kudin menjadi seorang
tokoh politik seperti Datuk Onn. Kudin bijak berucap hingga dapat mempengaruhi penduduk kampung dan membakar semangat orang dewasa supaya sanggup berkorban demi tanah air. Datuk Onn pula bijak mengatur strategi untuk menggagalkan penubuhan Malayan Union.
WATAK dan PERWATAKAN Watak Utama Kudin.. Kudin merupakan watak yang memainkan peranan penting dari awal hingga ke akhir cerita. Dia ialah anak tunggal Pak Awang dan Mak Bibah. Kudin berusia lima belas tahun. Rambutnya kerinting dan bersuara nyaring. Perwatakan Seorang yang berpendirian tegas Kudin berpendirian tegas. Dia tetap mahu berjuang bersama walaupun tidak dipersetujui oleh emaknya. Seorang yang cerdas Kudin mempunyai otak yang cerdas tetapi pelajarannya terbantut kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Kecerdasannya membolehkannya menguasai bahasa Jepun. Seorang yang cinta akan tanah air Kudin mempunyai semangat cinta akan tanah air. Dia berjuang bersama-sama dengan Datuk Onn untuk menggagalkan Malayan Union.
Seorang yang berketokohan sebagai pemimpin Kudin berketokohan sebagai pemimpin dan mengetuai kumpulan pemuda di kampungnya. Dia berucap mewakili golongan pemuda dalam Persidangan Kongres Agung di Kuala Lumpur. Seorang yang rajin Kudin rajin. Dia bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk perhimpunan raksasa di Padang Kelab Sultan Sulaiman dan perarakan di Hotel Stesen. Seorang yang berkebolehan Kudin berkebolehan berucap dengan baik, lancar, dan bersemangat. Ucapannya dapat mempengaruhi orang yang mendengarnya
Watak Sampingan Pak Awang. Pak Awang ialah ayah Kudin dan suami Mak Bibah. Pak Awang menjawat jawatan Pengerusi Persatuan Pahlawan Kemerdekaan di Kampung Teras Jernang. Dia bekerja sebagai kerani rendah dengan Tuan White. Tetapi dia tidak dapat dipengaruhi oleh Tuan White supaya menjadi tali barut Inggeris. Pak Awang mati dibunuh oleh pengganas komunis semasa menyertai gerakan mencariBustam di dalam hutan. Perwatakan Seorang pemimpin yang bertanggungjawab Pak Awang ialah pemimpin yang bertanggungjawab. Dia sanggup menyertai Pak Kasa untuk mencari Bustam yang dilarikan oleh pengganas komunis. Seorang yang gigih berusaha Pak Awang seorang yang gigih berusaha. Dia berusaha untuk menghidupkan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan (PKK) semula. Seorang yang sanggup berkorban demi tanah air Pak Awang sanggup berkorban demi tanah airnya. Dia sanggup berhenti kerja dengan Tuan White kerana tidak mahu meninggalkan perjuangannya. Seorang yang bersungguh-sungguh Pak Awang komited dalam perjuangan menentang penjajah dan pengganas komunis. Kesungguhannya dalam perjuangan menyebabkan dia dikenali oleh Datuk Onn. Seorang yang berpengaruh Pak Awang merupakan seorang yang berpengaruh. Dia dihormati oleh penduduk kampung termasuklah Tuk Ketua. Mak Bibah.. Mak Bibah ialah emak Kudin dan isteri Pak Awang. Mak Bibah berusia empat puluh tahun. Perwatakan Seorang yang penyayang Mak Bibah bersifat penyayang. Dia sayang akan anaknya, Kudin. Dia senantiasa menasihati anaknya supaya berhati-hati. Seorang yang rajin bekerja Mak Bibah rajin bekerja. Dia membuat kuih-muih untuk dijual di kedai. Hasil jualan kuih-muih dibelanjakan untuk menyara keluarga. Seorang yang cinta akan tanah air Mak Bibah cinta akan tanah air. Dia sanggup mendermakan sebahagian daripada pendapatannya untuk perjuangan kemerdekaan.
Seorang yang tabah menghadapi dugaan Mak Bibah tabah menghadapi dugaan. Walaupun suaminya mati dibunuh oleh pengganas, dia tetap menggalakkan anaknya, Kudin untuk berjuang menentang penjajah Inggeris. Encik Hasmun.. Encik Hasmun seorang yang periang, berbadan besar, berperut buncit, dan berkaca mata. Encik Hasmun ialah pejuang kemerdekaan. Dia berjuang bersama dengan Datuk Onn dan pejuang lain seperti Kudin dan Ibrahim. Perwatakan Seorang yang gigih berusaha Dia gigih berusaha. Dia berusaha mengumpulkan pejuang-pejuang tanah air di Kuala Lumpur untuk menentang Malayan Union. Seorang yang bijak Encik Hasmun bijak dalam mengenal pasti ketokohan seseorang. Dia percaya bahawa Kudin berpotensi menjadi seorang tokoh politik terkemuka pada masa akan datang. Dia mahu mendidik Kudin ke arah itu. Seorang yang cinta akan tanah air Encik Hasmun mempunyai semangat cinta akan tanah air yang mendalam. Dia sanggup menjelajah serata negeri dan menyertai perarakan menentang Malayan Union. Seorang yang tegas semasa melakukan sesuatu kerja Encik Hasmun suka bergurau tetapi semasa melakukan sesuatu kerja dia seorang yang tegas. Datuk Onn.. Datuk Onn berbadan kurus tinggi, berhidung mancung, dan berkaca mata putih tebal. Datuk Onn mempunyai kebolehan berucap. Ucapannya lancar dan dapat mempengaruhi rakyat untuk menentang Maayan Union. Beliau tokoh pejuang kemerdekaan yang ulung. Beliaulah yang mengasaskan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Kejayaan Datuk Onn ialah menggagalkan penubuhan Malayan Union dan menyatupadukan orang Melayu. Perwatakan Seorang pemimpin yang bijak Beliau pemimpin yang bijak bertindak. Beliau berusaha menyatupadukan orang Melayu untuk menentang Inggeris. Seorang yang bersemangat politik Datuk Onn bersemangat politik dan berusaha menyelamatkan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Seorang yang berani menegakkan kebeneran Datuk Onn seorang yang berani menegakkan kebenaran. Beliau sanggup menghadap raja-raja dan menceritakan tujuan penubuhan Malayan Union.
LATAR Latar Masa Kisah dalam novel ini berlaku pada zaman penjajahan Inggeris, iaitu selepas Perang Dunia Kedua. Jangka masa cerita ini berlaku lebih kurang dua bulan sahaja, iaitu pada awal tahun 1946 hingga 1 April 1946. Pada 1 hingga 4 Mac 1946 berlaku perhimpunan raksasa, Perhimpunan Kongres Kebangsaan. 1 April 1946 berlaku tunjuk perasaan di kalangan orang Melayu yang menentang Malayan Union. Latar Tempat Kampung Teras Jernang – menjadi sasaran pengganas komunis. Kampung ini didiami oleh penduduk yang bersemangat patriotik. Di rumah Pak Awang – didiami oleh Pak Awang, Mak Bibah, dan Kudin. Rumah ini didatangi oleh Ibrahim, Kassim, dan Osman. Di rumah Ketua Kampung – tempat anggota Persatuan Pahlawan Kemerdekaan mengadakan mesyuarat. Di tebing sungai – tempat orang kampung mendirikan khemah dan menggali kubu mempertahankan kampung daripada ancaman pengganas komunis. Bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur merupakan tempat penting yang menghimpunkan persatuan-persatuan Melayu untuk bermesyuarat dan mengadakan kongres peringkat kebangsaan. Di Hotel Stesen dan kawasan sekitarnya – tempat orang Melayu mengadakan tunjuk perasaan menentang Malayan Union dan mencuba memujuk raja-raja untuk memulaukan perasmian Malayan Union. Latar Masyarakat Masyarakat kampung, iaitu Kampung Teras Jernang yang terdiri daripada orang Melayu. Kebanyakannya adalah pesawah padi, menjual kuih-muih, dan ada juga yang bekerja dengan kerajaan Inggeris. Masyarakat yang hidup bersatu padu dalam menghadapi ancaman pengganas. Contohnya, golongan pemuda menggali kubu pertahanan, bergilir-gilir mengawal, dan meronda. Masyarakat yang berjiwa patriotik yang berjuang untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Contohnya, Kudin dan Datuk Onn menentang penubuhan Malayan Union sehingga Malayan Union dibubarkan oleh kerajaan Inggeris. Masyarakat yang sanggup berkorban demi tanah air. Contohnya, Mak Bibah rela menyumbangkan sebahagian hasil jualan kuih-muih untuk perjuangan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Masyarakat yang gigih berusaha tanpa jemu untuk mencapai cita-cita. Contohnya, orang Melayu di seluruh negara berusaha menggagalkan rancangan penubuhan Malayan Union dengan cara berkabung, mengadakan tunjuk perasaan, dan memujuk raja-raja Melayu.
Masyarakat yang berani berjuang menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris. Contohnya, penduduk Kampung Teras Jernang berani bertempur dengan pengganas komunis.
GAYA BAHASA Diksi 1. Aspek pemilihan kata yang bertepatan dengan maksud yang hendak disampaikan menjadikan cerita mudah difahami. Contohnya: Wajah Pak Awang dan Kudin mula ditumbuhi rasa gelisah. Rasa berpasir tekaknya. Dia melemparkan pandangannya melalui tingkap yang terbuka. Alam menghijau di bawah cahaya matahari petang.
2. Pemilihan kata istana. Contohnya, beta, baginda, bertitah, berangkat, berdatang sembah, dan daulat tuanku. Ayat 1. Ayat pendek. Contohnya: Kudin tersenyum pahit. Rasa berpasir tekaknya. 2. Ayat panjang. Contohnya: Dia bercadang hendak ke rumah Ibrahim dahulu, hendak memastikan dengan ayahnya dan Ibrahim tentang pungutan derma yang dimaksudkan itu. [hal. 78] Penggunaan Bahasa Asing 1. Bahasa Inggeris. Contohnya, Malayan People anti Japanese Army, British Military Administration, Malayan Union dan United Malays National Organisation. 2. Bahasa Arab. Contohnya, Insya-Allah, Allahu-akbar, Qul Hua Allah dan Alhamdulillah. Repitisi Banyak terdapat pengulangan kata yang digunakan. Contohnya: “Tuk Ketua memang nak jumpa dengan kau, Kudin. Tapi kau tak ada. Kau lama di khemah tu. Buat kubu.” [hal. 1] Sinkof Pengarang menggunakan sinkof atau singkatan kata, bersesuaian dengan gaya bahasa dialog. Contohnya, dah, kau, tak, tu, nak, tau, dan ni. Metafora
Unsur gaya bahasa metafora digunakan juga. Contohnya, lubuk hati, taring kekuatan, gelombang semangat, dan lautan manusia. Personifikasi Unsur personfikasi, iaitu memberikan sifat manusia kepada benda atau perkara tertentu dimasukkan juga oleh pengarang. Contohnya: Ucapan itu menusuk-nusuk jantung kalbunya. Bunyi tembakan di hutan menguasai telinga dan hatinya. Simile Beberapa banyak unsur simile ada digunakan oleh pengarang. Contohnya: …terhampar luas seperti padang menghijau …dadanya bagai ditimpa gunung besar Peribahasa Unsur peribahasa turut disertakan pengarang. Contohnya: biar putih tulang, jangan berputih mata musang berbulu ayam
NILAI MURNI Cinta akan tanah air Contohnya, Kudin dan Datuk Onn berjuang menentang Malayan Union dan seterusnya menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Inggeris. Rajin Contohnya, Mak Bibah rajin membuat kuih-muih untuk menampung perbelanjaan keluarga. Bekerjasama Contohnya, penduduk kampung bekerjasama mendirikan khemah dan menggali kubu untuk menghalang serangan pengganas komunis. Simpati Contohnya, Pak Awang bersimpati kepada Pak Kasa kerana anaknya, Bustam telah dilarikan oleh pengganas komunis. Berani Contohnya, Kudin berani berjuang menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris walaupun baru berusia lima belas tahun. Bersatu padu Contohnya, orang Melayu bersatu padu mengadakan perarakan dan tunjuk perasaan menentang Malayan Union. Gigih berusaha Contohnya, Datuk Onn, Encik Hasmun, dan Kudin gigih berusaha untuk menggagalkan rancangan Malayan Union. Berpandangan jauh Contohnya, Encik Hasmun hendak mendidik Kudin supaya menjadi tokoh politik menggantikan Datuk Onn pada masa akan datang.
PENGAJARAN Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan tanah air dan rela berjuang untuk menuntut kemerdekaan.
Contohnya, keluarga Pak Awang memiliki semangat tersebut hingga rela berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Kita hendaklah berani berjuang menentang musuh negara demi kesejahteraan hidup. Contohnya, penduduk Kampung Teras Jernang berjuang mempertahankan kampung mereka daripada ancaman pengganas komunis. Janganlah kita membelot dan mengkhianati tanah air sendiri. Contohnya, ayah Ujang mengkhiati negara dengan cara menyertai perjuangan pengganas komunis. Kita hendaklah bersatu hati dalam melaksanakan sesuatu cita-cita. Contohnya, orang Melayu bersatu hati di bawah pimpinan Datuk Onn untuk menentang Malayan Union. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya, penduduk Kampung Teras Jernang bermuafakat membina khemah dan menggali kubu untuk menghalang kemaraan pengganas komunis ke kampung mereka. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai sesuatu cita-cita.
Contohnya, Datuk Onn dan orang Melayu mengadakan Persidangan Kongres Agung, perarakan raksasa, berkabung, tunjuk perasaan, dan memujuk rajaraja demi menghapuskan Malayan Union. Kita sebagai generasi muda mestilah menyokong perjuangan orang dewasa supaya masa depan negara terjamin. Contohnya, Kudin berjuang dalam usia lima belas tahun bersama-sama dengan Datuk Onn menentang Malayan Union.