KEBERKESANAN TEKNIK PERMAINAN BAHASA DALAM PENGAJARAN KATA SENDI NAMA BAGI MURID TAHUN 5
Hafizuddin Fareis B. Fisal Pismk OUM – Pengajian Melayu
ABSTRAK
Satu kajian yang berlandaskan teknik permainan bahasa telah dijalankan ke atas pelajar tahun 5 Teratai di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 1, Besut, Terengganu yang bertujuan untuk menentukan keberkesanan teknik permainan bahasa dalam pengajaran kata sendi nama. Data kajian ini merangkumi maklumat yang dikumpulkan daripada tiga puluh empat orang pelajar Tahun 5 Teratai dalam sepuluh kali pertemuan yang membabitkan dua kali soal selidik dan dua kali ujian penilaian yang berasaskan kata sendi nama. Kajian ini membabitkan penilaian berkenaan kata sendi nama terhadap pelajar pada sebelum dan selepas teknik permainan bahasa dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran. Penganalisisan data dijalankan berdasarkan kajian soal selidik dan ujian penilaian. Data-data yang diperolehi ataupun hasil dapatan kajian dibandingkan dan dianalisis menggunakan frenkuensi, skor dan peratusan. Hasil kajian ini telah menunjukkan penggunaan teknik permainan bahasa adalah berkesan dalam pengajaran kata sendi nama bagi pelajar tahun 5 Teratai.