GENERASI BELIA DAN NIKMAT KEMERDEKAAN Oleh : Mahadi bin Abu Hassan Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (UTeM)
Tanggal 31 Ogos 1957, merupakan tarikh keramat dan detik 12.00 malam ketika Perdana Menteri Y.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan “Merdeka!”, “Merdeka”, “Merdeka” hingga ke hari ini telah menjadi satu simbolik kepada nikmat yang diperolehi rakyat Malaysia setelah sekian lama dijajah dari satu tangan ke satu tangan yang lain. Peristiwa menyambut kemerdekaan itu juga merupakan satu pengiktirafan bukan sahaja tentang perjuangan rakyat Malaysia menentang penjajahan untuk mengembalikan kedaulatan negara tetapi satu pergelutan dalam diri untuk mencari siapa kita yang sebenarnya. Menurut Kamus Dewan istilah ‘Merdeka’ bolehlah diertikan sebagai bebas, lepas, berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Manakala kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai ‘wilayah’ yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tidak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat. Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Perbicaraan ini juga turut memberikan tumpuan kepada generasi muda iaitu golongan belia yang berada di awal umur belia atau dikenali sebagai “belia-remaja”. Golongan ini perlu diberikan alternatif dan nafas baru untuk bangun membentuk sebuah tamadun bangsa yang mantap berasaskan kepada nilai keilmuan yang tinggi, semangat cintakan tanahairnya serta menghayati nikmat kemerdekaan negara. Golongan belia ini telah diberikan pelbagai definisi berdasarkan tahap dan peringkat umur. “Belia” mengikut definisi yang dibuat oleh pertubuhan UNESCO dan telah diterima pakai di peringkat antarabangsa ialah “mereka yang berada dalam lingkungan usia 15 hingga 40 tahun”. Negara kita Malaysia turut menerima pakai takrifan ini. Namun secara rasionalnya dapat disimpulkan mereka ini sebagai “orang muda yang masih belajar dari kehidupan dan diperakui oleh masyarakat umum sebagai tidak melewati tahap pertengahan dewasa”. Ini berasaskan kepada peringkat kitaran hidup manusia yang bermula dari seorang bayi (0–2 tahun), awal kanak-kanak (3–7 tahun), akhir kanak-kanak (8-12 tahun), remaja (13-21 tahun), awal dewasa (22-35 tahun), pertengahan dewasa (36-55 tahun) dan tua (55 tahun ke atas). Golongan belia merupakan golongan yang terbesar penduduk di negara ini, manakala pelajar atau mahasiswa pula adalah golongan yang terbesar jumlahnya dalam kategori belia. Jesteru itu, generasi belia adalah amat penting dalam membentuk sesebuah negara yang bakal menjadi pemangkin dan pewaris generasi kepimpinan serta tamadun yang akan datang.
1
Tahun 2008 ini genaplah usia 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Kita seharusnya berbangga kerana Malaysia berjaya melalui fasa-fasa kemerdekaan dengan gemilangnya. Pembangunan pesat yang kita nikmati hari ini, kesejahteraan antara kaum dan kestabilan politik menjadikan Malaysia tergolong dalam Negara yang pesat membangun dan menghampiri matlamat untuk mencapai status negar maju. Malaysia juga berjaya mengisi kemerdekaan dengan kemajuan dan kejayaan bukan sahaja untuk generasi hari ini sahaja, malah untuk generasi akan datang. Mengimbas kembali kronologi kegemilangan Malaysia yang kita capai hari ini, ianya bermula dengan rentetan yang panjang dan mendukacitakan. Walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah secara besar-besaran tetapi ia menuntut kecekalan diri yang bukan sekelumit. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan telah dirintis sejak Melaka di bawah cengkaman Portugis dan seterusnya Tanah Melayu dari imperialis Jepun dan British. Portugis mula berkuasa dalam bidang perdagangan sejak tahun 1511. Pengaruh mereka mula merosot sejak kedatangan Belanda pada tahun 1581 dan Belanda berjaya menakluki Melaka pada tahun 1641. Selepas itu Melaka diambil alih oleh kuasa British daripada Belanda melalui perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Pada Oktober 1945, British mencadangkan penubuhan Malayan Union dengan menghantar Sir Harold MacMichael untuk mendapatkan persetujuan dan seterusnya mendapatkan tandatangan Sultan Melayu untuk menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Setelah sedar akan tipu muslihat yang digunakan oleh MacMichael, orang Melayu bangkit menentang. Kemuncak kepada penentangan ini dengan berlangsungnya satu peristiwa khas pada 29 dan 30 Mac 1946 anjuran Kongres Melayu Se-Malaya. Dalam persidangan ini buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme negara, orang Melayu bersatu hati mengetepikan kepentingan kenegerian dan individu dengan bersatu padu untuk menentang Malayan Union. Penentangan raja-raja Melayu mencapai kemuncak dengan memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union yang sepatutnya berlangsung pada 1 April 1946. Kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu menyedarkan British bahawa sokongan orang Melayu adalah penting dalam pentadbiran mereka di Tanah Melayu. Justeru British telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menggubal sebuah Perlembagaan Melayu pada Julai 1946. Hari demi hari semangat nasionalisme semakin berkembang di kalangan masyarakat Melayu. Melaui Kongres Melayu Se-Malaya yang diadakan di Johor Baharu pada 11 Mei 1946, maka lahirlah sebuah parti politik yang dikenali sebagai UMNO. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga memberikan sumbangan yang besar dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Hj Muhamad dan ramai lagi bukan asing bagi kita dalam memupuk semangat nasionalis bangsa Melayu. Gabungan antara tiga parti utama kaum di Tanah Melayu iaitu UMNO, MCA dan MIC dinamakan Parti Perikatan. Ternyata gabungan ini telah memberikan kemenangan besar 51 kerusi dari 52 kerusi dalam pilihanraya umum tahun 1955. Satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Pengorbanan demi pengorbanan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita untuk mencapai kemerdekaan dan ianya berbaloi setelah negara berjaya mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Padang Pahlawan, Bandar Hilir Melaka telah menjadi saksi laungan kemerdekaan oleh Tunku dan beribu rakyat Tanah Melayu yang menyambut hari tersebut dengan linangan air mata gembira.
2
Generasi belia-remaja alaf baru kini perlu membentuk jiwa merdeka dan patriotik iaitu generasi yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka perlu tahu apa yang harus dikerjakan tanpa kerah tanpa perintah. Mereka perlu sentiasa berusaha ke arah mempertahankan diri mempertahankan tanah air daripada anasir-anasir yang tidak sihat yang dibawa dari Barat dan dipengaruhi oleh budaya pemikiran yang sempit oleh sesetengah pihak dinegara ini. Mereka perlu didedahkan dan memahami penghayatan ungkapan bermakna oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi : “Di atas robohan kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka”. Belia adalah merupakan modal insan dan aset penting bagi sesebuah negara. Dalam masa yang sama selain kesedaran diri di kalangan belia sendiri. Peranan ibu bapa juga penting dalam usaha membina potensi dan masa depan anak-anak mereka sedaya yang mungkin. Kesibukan yang berterusan sehingga gagal untuk membuka ruang untuk menilai prestasi anak-anak remaja adalah langkah yang akan meruntuhkan masa depan mereka. Demikianlah pesan Saidina Umar Ibn al-Khattab, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Kata-kata ini merupakan satu manifestasi kesedaran generasi pewaris dengan pendidikan yang semakin meluas di zaman moden ini.Belia-remaja perlu dibentuk dan dicorakkan kepada agenda baru. Ia seharusnya diertikan sebagai belia yang kembali memberikan komitmen dan perjuangan melalui nilai keilmuan yang tinggi , mampu menguasai dan mengolahnya dengan baik. Belia yang bangga menjadi Khaira Ummah, kerana ilmunya dan melihat kemajuan dan peradaban bangsa, agama dan negara berasaskan epistemologi dan mencintai kebijaksanaan. Mereka bersedia untuk menjana diri sendiri sebagai generasi yang berilmu melalui konsep yang disarankan oleh agama Islam. Belia yang berkualiti serapuh buih akan segera lenyap, tetapi belia yang berkualiti unggul dengan semangat jatidiri, kehadirannya akan membawa makna dan impak positif, merekalah yang mampu bertahan melintasi segala badai dan taufan sejarah yang melanda. Semangat dan sokongan untuk para belia mempelajari dan menguasai sebanyak mungkin bidang ilmu wajar diberikan perhatian. Generasi belia akan mempunyai daya ketahanan andainya kehidupan mereka diadun dan diolah dengan unsur keilmuan yang tinggi dan beretika. Oleh itu sewajarnya kita bersama-sama menghargai nikmat kemerdekaan dengan memupuk rasa cinta dan sayangkan tanahair agar dapat mengekalkan kemerdekaan dan seterusnya mempertahankan keamanan dan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini. Sebagai generasi pasca merdeka kita perlu mempertahankan dan berani menyahut cabaran untuk menobat dan mendaulatkan nama negara dipersada antarabangsa. Sekiranya kita tidak mampu memberikan sumbangan besar, cukuplah dengan menjadi bangsa Malaysia yang bermaruah dan bersatu hati.
3