MAKYONG Pengenalan Negeri Kelantan memang terkenal dengan pelbagai jenis tarian tradisional yang diwarisi turun temurun sejak zaman berzaman dan kini menjadi seni kebanggaan negara kita. Antara permainan tarian yang masih lagi mendapat perhatian dan sambutan daripada penduduk setempat ialah makyong, wayang kulit, menora, main petri, wau, gasing, kertuk, rebana ubi dan lain-lain lagi. Di kalangan masyarakat silam, kebanyakan tarian ini dipersembahkan pada waktu kelapangan sebagai salah satu cara untuk menghibur dan juga di majlis-majlis perayaan seperti sambutan hari keputeraan diraja dan upacara perkahwinan. Adakalanya sesetengah daripada tarian ini dipersembahkan ketika menyambut kedatangan pemimpin ataupun meraikan majlis bersejarah. Makyong merupakan salah satu bentuk tarian tradisional yang masih lagi digemari oleh orang ramai dan kini ianya dipersembahkan dalam bentuk taridra untuk pertunjukan di peringkat antarabangsa. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan selepas sahaja orang-orang kampong selesai menuai padi di bendang. Makyong dapat didefinisikan sebagai satu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang ‘distailais’, muzik vokal dan instrumental lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama tari ini dipertontonkan terutamanya di Pattani dan Kelantan. Persembahan Makyong biasanya dimainkan atau dilakonkan oleh sekumpulan pemain yang professional. Kumpulan Sri Temenggung merupakan kumpulan yang terawal dan termasyur di Kelantan. Lain-lain kumpulan yang wujud selepas itu termasuklah kumpulan Tiong Emas, Kumpulan Hiburan Dagang dan banyak lagi kumpulan-kumpulan yang terkenal.