Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Melalui aktiviti sukan dan permainan, saya yakin dan pasti bahawa kita dapat membina golongan remaja yang berketerampilan dan berkewibawaan. Selain dapat mengangkasakan kebudayaan Malaysia dalam usaha mempromosikan permainan tradisional, kita juga dapat mengangkasakan permainan tradisional mahupun sukan rakyat. Jikalau sepak takraw dan sukan badminton yang satu ketika dahulu dianggap permainan kampung, kini permainan ini sudah menjadi acara maslahat dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik. Generasi yang bersedia menyahut cabaran inilah yang dapat membuat sesuatu untuk mempopularkan permainan nenek moyang kita. Semangat inilah perlu ada pada modal insan. Selain memiliki personaliti unggul, merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Keberanian, kecekalan dan kesungguhan yang tidak pernah menemui titik noktah ialah harapan kita. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara! Kita mempunyai tanggungjawab berat untuk membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan. Kita juga mesti memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan memperluas dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita mestilah mula mengorak langkah proaktif agar modal insan yang diimpikan dapat dicanai mengikut acuannya demi membentuk generasi yang patriotik. Dengan ini, sukan dan permainan yang dapat membentuk warga yang cinta akan negara akan memastikan Wawasan 2020 menjadi realiti, bukan fantasi lagi!