Ramadan uji kesabaran beramal, nafsu dan kepayahan Oleh Wan Aminurrashid Abd Hamid
RAMADAN al-Mubarak bagaikan setompok tanah subur yang dapat menumbuhkan segala macam tanaman dan menghasilkan manfaat. Umat Islam sewajarnya mempergunakan masa cukup berharga sepanjang Ramadan untuk memperbanyakkan amal dan mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun berpuasa itu pada zahirnya mengubah soal lahiriah seperti makan, minum dan hubungan kelamin pada siang hari, tetapi dari segi hakikatnya, puasa (Ramadan) itu diperintahkan bertujuan mengubah mental dan spiritual manusia. Puasa seharusnya mengubah seseorang tampil menjadi insan yang baik akhlak, tingkah lakunya, serta meninggalkan apa saja tabiat atau kebiasaan tidak baik lalu menggantikannya dengan akhlak mulia dalam waktu yang agak lama iaitu sebulan penuh. Ini bermakna suatu latihan yang berat bagi umat Islam untuk dijadikan amal selanjutnya, sehingga mereka akan menjadi insan muttaqin. Jelasnya, matlamat akhir daripada pelaksanaan puasa Ramadan itu ialah untuk membentuk manusia bertakwa. Ketakwaan itu ialah pemeliharaan diri daripada segala perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan seksa-Nya. Hal itu akan terlaksana dengan cara mentaati segala titah perintah Allah, mengawasi dan menjaga diri daripada godaan hawa nafsu serta membersihkan diri daripada segala macam sifat tercela. Antara rahsia penting berpuasa ialah melatih kita supaya bersifat sabar dan sifat sabar hasil didikan Ramadan itu mudah-mudahan terus diamalkan selepas tamat bulan mulia itu. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan, kerana terpaksa menahan diri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan suami isteri di siang hari. Jasmani menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian ghairah bekerja menjadi berkurang. Tetapi bagi Muslim yang taat, segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa akan diterima dan ditempuh dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah. Ada tiga macam kesabaran dalam ibadat puasa, iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.” Sesungguhnya Ramadan ibarat stesen bahan bakar yang membekal kekuatan jiwa manusia dan bekal rohani juga moral bagi perjalanan hidup, iaitu kesabaran. Terhadap orang yang sabar, Allah sudah berjanji menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96) Benarlah puasa adalah pusat latihan untuk memantapkan rohaniah atau jiwa manusia. Dengan berpuasa, setiap mukmin melatih diri sendiri untuk bersikap patuh dan taat terhadap Allah. Seorang yang sedang berpuasa, dalam rumahnya tersedia makanan dan minuman yang lazat rasanya tetapi dia mampu mengawal keinginannya itu, walaupun jika dilanggarnya tidak ada manusia lain yang melihat atau mengetahuinya. Inilah didikan puasa. Kemampuan menguasai keinginan itu sendiri adalah satu kepatuhan yang murni. Mukmin yang lulus dalam latihan sedemikian diharapkan akan lulus pula dalam mematuhi pelbagai peraturan lain dalam masyarakat dan negara. Ramadan memang bulan yang agung dan terbaik. Semoga Ramadan kali ini bermakna bagi kita iaitu dengan menghayati puasa dan beribadah sebaiknya. Jadikan Ramadan sebagai detik untuk berubah ke arah lebih baik, bukan meneruskan perbuatan membazir dan melekakan.