Ramadan bulan menggandakan ibadah Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu kefarduan bagi seluruh umat Islam yang bergelar mukalaf. Ini difahami daripada firman Allah s.w.t., “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, mudahmudahan kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183) Antara budaya kita pada hari ini adalah terdapat sebilangan umat Islam apabila hampir kedatangan bulan yang mulia ini, mereka pada kebiasaannya mulai sibuk pergi membeli-belah khususnya bagi mendapatkan pakaian, langsir, kelengkapan rumah dan sebagainya untuk digantikan dengan yang baru. Pada hakikatnya tujuan utama mereka adalah bagi menyambut Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri dan bukannya bulan Ramadan al-Mubarak. Walaupun begitu, budaya ini bukanlah salah 100 peratus, malah ada kebaikan yang tersendiri. Apa yang menonjol adalah sambutan kemeriahan hari raya lebih mendominasi daripada sambutan bulan Ramadan, sedangkan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadi impian orang mukmin untuk menjejakkan kaki mereka ke dalamnya dan bersungguh-sungguh melipatgandakan amalan. Ini kerana bulan Ramadan sahaja yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Malah bulan ini juga menjanjikan keampunan daripada Allah s.w.t. sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.: Daripada Abi Hurairah, Nabi bersabda, solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya adalah penebus kepada dosa-dosa (kecil) yang dilakukan antara kedua-duanya bila dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Muslim) Budaya sebegini juga diwarisi turun-temurun yang menyebabkan keghairahan menyambut ketibaan Ramadan kurang dirasai. Ini jauh berbeza dengan sikap para sahabat yang amat ternanti-nanti kedatangan bulan mulia ini dengan penuh keriangan dan pemergian bulan ini pula amat ditangisi.Selain itu juga, bulan mulia ini juga dicemari dengan gambaran yang negatif seperti bulan yang letih, lapar, dahaga, tidak produktif, kurang proaktif dan sebagainya. Pada hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan diri kepada Allah. Sejarah awal Islam juga telah membuktikan bahawa banyak kemenangan dicapai pada bulan Ramadan. Antaranya peperangan Badar, beberapa peperangan Tabuk, pembukaan Kota Mekah dan sebagainya. Jika dilihat dari sudut ini, tercatatnya kemenangan ini mencerminkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam. Oleh itu, tanggapan negatif terhadap Ramadan wajar dihilangkan dengan memberi pemahaman yang tepat berkaitan bulan ini.Bagaimanakah cara yang tepat bagi menyambut kedatangan Ramadan? Antara bentuk persediaan terbaik ialah: Pertamanya: Kita hendaklah sentiasa berdoa agar diberi peluang dan berkesempatan bertemu Ramadan tahun ini. Di samping itu, hendaklah dipohon agar dikurniakan kesihatan tubuh badan supaya dapat melakukan seberapa banyak ibadat pada bulan tersebut. Kedua: Mengulangkaji serta mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah puasa sama ada melalui pembacaan, pertanyaan, menghadiri kuliah agama dan sebagainya. Antara ilmu-ilmu tersebut, dari segi fikah merangkumi persoalan rukun puasa, syarat puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Hikmah Aspek falsafah puasa termasuklah hikmah disyariatkan puasa. Selain itu, ilmu-ilmu berkaitan bentukbentuk amalan yang sepatutnya dilipatgandakan dalam bulan yang mulia ini juga patut diketahui untuk dijadikan pengisian utama selaras dengan sunah Rasulullah s.a.w.. Ketiga: Mengetahui tahap orang yang berpuasa sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali. Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tahap puasa diklasifikasi kepada tiga iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus. Puasa umum adalah tahap yang paling rendah iaitu menahan daripada makan, minum dan jimak pada siang hari. Puasa khusus, di samping menahan yang tiga tadi, ia juga memelihara seluruh anggota tubuh daripada perbuatan maksiat atau tercela. Sedangkan puasa khusus yang lebih khusus adalah puasa hati daripada segala kehendak hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah. Puasa tahap ketiga ini adalah puasa para nabi-nabi, siddiqin dan muqarrabin. Sedangkan puasa tahap kedua adalah puasa orang-orang soleh. Selanjutnya imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu. Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada tiap-tiap yang mengganggu dan melalaikan daripada mengingat Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, Barang siapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya. Kedua, menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca al-Quran. “Dua perkara merosakkan puasa,” sabda Rasulullah, “iaitu mengumpat dan berbohong.”
Ketiga, menjaga pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik kerana tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, bersekongkol dalam dosa. Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain daripada perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut daripada memakan yang syubhat dan haram. Kelima, tidak berlebih-lebihan semasa berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat merasai manfaat dan hikmah puasa. Keenam, hatinya sentiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Sekiranya cadangan persediaan awal Ramadan ini dihayati, maka untuk membuahkan puasa yang berkualiti akan lebih mudah dicapai. Pada masa yang sama, ia menjadikan semua gerak kerja kita seharian sebagai ibadah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda lagi, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ketaatan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari) Inilah antara kemurahan Allah kepada umat Nabi Muhammad. Sabda Rasulullah s.a.w., “Telah diberikan kepada umatku pada bulan Ramadan perkara yang belum pernah diberikan kepada seseorang nabi sebelumku. Pertama, pada permulaan bulan Ramadan Allah melihat kepada umatku, barang siapa Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-lamanya. Kedua, bau mulut mereka pada waktu petang lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi. Ketiga, para malaikat memohon ampun untuk mereka pada setiap hari dan malam. Keempat, Allah menyuruh kepada syurganya serta berkata kepadanya bersiap sedialah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku, mereka hampir beristirehat daripada kepayahan dunia menuju ke negeri-Ku dan kemuliaan-Ku. Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah mengampuni semua dosa mereka, seorang lelaki daripada kalangan sahabat bertanya: Adakah itu malam Lailatul Qadar, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tidak, Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja, apabila mereka telah selesai daripada pekerjaan mereka, maka diberikan upah-upah mereka.” (Riwayat Ibn Abi al-Dunya). - Muhammed Yusof ialah tutor di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.