Kisah dua ekor kambing Kisah dua ekor kambing berkisar kepada cerita dua ekor kambing, Si Putih dan Si Hitam. Si Putih tinggal di kampung Barat manakala Si Hitam tinggal di kampung Timur. Kedua-dua kampung tersebut dipisahkan oleh sebatang sungai. Hanya sebatang titi kecil sahaja yang menjadi alat perhubungan. antara kedua-dua kampung tersebut. Pada suatu hari, Si Putih yang tinggal di kampung Barat ingin mencari makan di kampung Timur. Manakala Si Hitam pula ingin pergi ke kampung Barat untuk tujuan yang sama. Tatkala kedua-duanya sedang melalui titi yang kecil itu, tiba-tiba kedua-duanya bertembung di atas titi tersebut. Si Putih enggan berundur untuk memberikan laluan kepada Si Hitam dan begitulah juga Si Hitam. Kedua-duanya menyondol antara satu sama lain dan akhirnya keduadua kambing itu jatuh ke dalam sungai. Begitulah nasib Si Putih dan Si Hitam yang tidak ingin bertoleransi. Secara mudahnya, toleransi boleh difahami sebagai sikap dapat menerima atau menghormati pendapat, fikiran, dan kepercayaan orang lain. Individu yang mengamalkan toleransi akan sanggup untuk bersabar dan bertolak ansur, kerana dia menerima hakikat bahawa terdapat perbezaan antara dirinya dengan orang lain. Dalam realiti hidup bermasyarakat lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang bangsa, budaya, dan agama seperti Malaysia, nilai toleransi amat perlu dititikberatkan. Hal ini demikian kerana dalam masyarakat, terdapat pelbagai ragam manusia yang perlu difahami dan dihormati semata-mata untuk mewujudkan keadaan masyarakat yang harmoni. (206 P.P.)
Kematian seorang doktor veterinar, Yogeswary Narayanasamy pada Oktober 2008 akibat dihempap dinding konkrit rumahnya ketika cuba menyelamatkan seorang daripada tiga anaknya ialah satu tragedi yang malang. Mendiang tersebut dikatakan selamat pada mulanya bersama suami, cuba mencari anaknya yang terperangkap dalam keadaan gelap dan berjaya menyelamatkan mereka, tetapi tidak sempat menyelamatkan diri sendiri. Pada 30 November 2008,seorang ibu, Azizah Madun sanggup berlari sejauh tiga kilometer bagi mencari bantuan apabila rumahnya tertimbus dan memerangkap dua anak perempuannya, manakala suaminya terus berusaha menyelamatkan mereka dalam keadaan gelap gulita. Nilai kasih sayang terhadap keluarga telah ditonjolkan oleh kedua-dua ibu bapa di atas,mereka sanggup berkorban apa saja demi anak tersayang walaupun nyawa sendiri terancam. Kita lihat hari ini, ada anak yang sanggup membelakangkan ibu bapa sendiri hanya untuk kepuasan diri sendiri. Mereka tinggal di rumah mewah serba indah, tetapi ibu bapa sendiri terpaksa menghuni rumah buruk yang serba daif. Sedikitpun mereka tidak ingat bagaimana ibu bapa mereka satu ketika dulu membesarkan mereka dalam serba kepayahan. Orang kata, kasih ibu dan bapa mengatasi segala-galanya. Walaupun marah melihat tingkah laku anak yang nakal atau tidak mendengar kata, dalam hati kasih sayang itu tidak pernah berbelah bahagi. Biarpun hati pernah dilukai dengan tindak-tanduk anak yang menyakitkan hati, mereka tetap sanggup memaafkan mereka.
Penentangan Rentap Rentap merupakan seorang pahlawan Iban terkenal dalam sejarah Sarawak.Beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban menyerang pasukan British di Skrang kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan kegiatan memotong kepala dengan beberapa pembaharuan. Berlakulah pertempuran yang sengit antara kedua-dua pihak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap akibat pembunuhan Alan Lee daripada menantu Rentap yang bernama Layang. Selepas pertempuran berterusan selama 8 tahun, pihak British barulah berjaya menguasai pasukan orang Iban yang diketuai oleh Rentap di Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam.Kubukubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di Bukit Sibau. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya. Nilai sanggup berkorban untuk negara diamalkan oleh Rentap kerana beliau sanggup menyerahkan nyawanya kepada tanah air. Rentap juga mengamalkan nilai cinta akan negara kerana perasaan sayang kepada tanah air membolehkan beliau meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri. ( 205 P.P.)
Sungai Warisan yang Kian Tercemar Dalam keghairahan mengejar kepesatan pembangunan, pengamalan nilai menyayangi dan menghargai alam sekitar telah dilupakan oleh manusia.Sungai yang merupakan nadi kepada pembangunan negara pada masa lampau kini berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran. Air sungai semakin cetek, kotor, penuh dengan kelodak tanah, sisa buangan. Kualiti air sungai semakin merosot ekoran aktiviti ekonomi seperti penternakan, pertanian, perkilangan dan pembalakan yang dijalankan tanpa perancangan yang teliti. Sebagai contoh, pencemaran yang berlaku di Sungai Nipah, Batu Maung Pulau Pinang akibat bahan kimia daripada kilang besi yang berdekatan, telah mengganggu lebih kurang 300 orang penduduk berhampiran. Namun, setiap masalah ada penawarnya. Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi sebalik pihak kerajaan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kelompok komuniti dan individu perlu memainkan peranan yang langsung. Kempen kesedaran mungkin agak klise bagi kita tetapi sebenarnya kempen kesedaran yang berterusan jika dihayati dan diamalkan pasti membuahkan hasil.Bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Malah, kita juga boleh mengadakan program pembersihan sungai yang tercemar seperti yang pernah dilakukan di Singapura dan London. Secara tuntasnya, manusia harus mengamalkan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dari sekarang juga kerana gaya hidup masa kini menentukan masa depan alam sekitar. Kerakusan dan kealpaan manusia mengejar material telah mengakibatkan sungai semakin tenat. Kesedaran semua amat penting supaya usaha-usaha ini tidak terbantut. (199 P.P.)
MENGHORMATI HAK WANITA TANGGUNGJAWAB BERSAMA Pepatah Melayu mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario sebenar wanita-wanita pada hari ini. Kini wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu entiti penting dalam pembangunan negara. Sumbangan wanita kepada negara dapat dilihat menerusi penglibatan mereka dalam bidang politik. Tokoh-tokoh politik seperti Datuk Paduka Rafidah Aziz, Datuk Dr Ainum Mohd Saaid, Datuk Siti Norma Yaacob, dan sebagainya. Mereka inilah wanita-wanita besi yang menjadi tunjang negara dan membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna. Wanita hari ini telah menerima pendidikan yang sama dengan kaum lelaki. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka menjawat jawatan penting dalam syarikat-syarikat besar. Selain itu, sifat semula jadi wanita yang lemah lembut, penyayang dan penyabar menyebabkan mereka sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan seperti guru, jururawat dan kerja-kerja elektronik yang rumit. Dalam bidang sukan, atlit-atlit wanita bersama-sama atlit-atlit lelaki telah mengharumkan nama negara dalam sukan renang. Misalnya puteri renang yang tidak asing lagi seperti Nurul Huda dan lain-lain lagi. Nicole David pula telah mengharumkan nama negara dalam sukan skuasy. Kesimpulannya,merekalah anak, isteri, ibu, kakak atau adik dan dalam masa sama juga bertindak sebagai wanita berkarier yang menyumbang kepada pembangunan negara, oleh itu, setiap individu mestilah menghormati hak wanita dengan memberikan wanita untuk mendapat pendidikan dan pekerjaan, peluang kenaikan pangkat dan hak mendapat perlindungan daripada keganasan. ( 202 P.P.)
Peperangan merupakan hal yang tidak diinginkan oleh setiap umat. Perang bererti perbalahan menggunakan senjata sehingga membunuh antara sesama umat. Peperangan merupakan pertikaian yang seharusnya dapat dielakkan kerananya memberi impak yang sangat besar kepada rakyat. Rakyat di negara yang terlibat dalam peperangan tepaksa menanggung penderitaan. Penularan pelbagai jenis wabak penyakit akan berlaku kerana kemudahan seperti hospital, klinik dan pusat-pusat perubatan tidak akan berfungsi akibat mengalami kemusnahan. Penggunaan senjata canggih pada masa kini seperti bot atom, nuklear dan kereta perisai menyebabkan kemusnahan harta benda yang banyak. Negara tersebut akan mengalami kerugian yang amat besar dan hal yang demikian akan memberi kesan terhadap ekonominya. Sumber kewangan untuk membaik pulih negara yang telah mengalami kemusnahan menjadi terhad. Justeru, pembangunan negara tersebut akan terjejas. Selain itu, banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa akan terkorban. Penduduk juga terpaksa menjadi pelarian di negara mereka sendiri. Mereka juga akan mengalami kebuluran kerana kekurangan bekalan makanan. Apabila keadaan seperti ini berlaku, jenayah juga akan menjadi berleluasa. Rakyat tidak akan mensia-siakan peluang mencuri barang-barang keperluan terutamanya makanan. Konklusinya, nilai saling menghormati antara negara perlulah diamalkan terutamanya untuk negara yang kaya, maju dan mempunyai senjata yang berteknologi tinggi. Mereka tidak patut mengambil kesempatan untuk melancarkan peperangan ke atas negara yang sedang bergolak.