Pembinaan Jatidiri melalui Kegiatan Seni Budaya Melayu Serumpun
Oleh: Azhar Abdul Latiff1 M.A. (UM), B.Eng (UTM) Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)
1.0
Pendahuluan
Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran yang memiliki warisan seni budaya yang sama dan hubungan serantau yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Warisan seni-budaya kedua-dua negara ini saling berkait rapat sehingga mewujudkan identiti Melayu Serumpun dalam bidang kesenian tradisi seperti muzik, tari dan puisi tradisional. Kegiatan seni budaya Melayu Serumpun memiliki pelbagai fungsi guna di dalam masyarakat. Pada masa kini kegiatan seni budaya bukan hanya digunakan untuk menghiburkan masyarakat malah menjadi alat untuk memantapkan dan membina jatidiri generasi muda. Program Latihan Insitut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan Pesta Gendang Nusantara (PGN) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah adalah contoh kegiatan seni budaya Melayu serumpun di Malaysia yang berperanan membina jatidiri generasi muda. Kegiatan-kegiatan ini melibatkan kerjasama institusi-institusi seni budaya Malaysia-Indonesia dalam rangka program yang dilaksanakan meliputi aktiviti-aktiviti seperti 1) pertemuan intelektual Seni Budaya, 2) persembahan dan latihan seniman serumpun, dan 3) pendokumentasian seni budaya. Proses pembentukan jatidiri ini dapat menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, reality bangsa dan kemudian memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Generasi muda akan menggunakan kekuatan jatidiri ini bagi mengharungi cabaran globalisasi sehingga mampu melahirkan masyarakat Melayu Glokal. Gagasan Glokal yang diperjuangkan oleh Dato’ Sri Mohd. Najib bersifat pemikiran yang bertaraf antarabangsa dan menjangkau seluruh dunia. Disamping itu, kita wajar bersifat nasional. Melayu Glokal yang berakar nasional dan berakal internasional. Berperanan diperingkat antarabangsa serta hebat dalam negara. Malaysia dan Indonesia, dua buah negara berjiran di Kepulauan Melayu Nusantara yang memiliki hubungan yang erat dari segi seni budaya. Kedua-dua negara memiliki teras kebudayaan yang sama iaitu kebudayaan dan ketamadunan Melayu yang telah wujud beratus-ratus tahun lamanya. Proses interaksi budaya kedua-dua negara telah wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Hindu-Majapahit, Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan masyarakat Eropah (Inggeris di Malaysia dan Belanda di Indonesia).
1
Penulis adalah jurulatih muzik di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dari tahun 2002-2007. Pernah menyertai Pesta Gendang Nusantara (PGN) tahun 1995 – 2004 dan membuat pemerhatian ke atas PGN tahun 1995-2007.
1
Dewan Bahasa dan Pustaka (1994) melalui Kamus Dewan mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran dan akal budi. Satu definisi yang telah dipersetujui masyarakat antarabangsa melalui Deklarasi Universal Pelbagai Budaya Unesco (2002) iaitu “budaya merangkumi kelompok bersama spiritual, kebendaan, intelektual dan emosi masyarakat atau kumpulan sosial, ditambah dengan seni, kesusasteraan, gaya hidup, cara hidup bersama, sistem nilai, tradisi dan kepercayaan.” Hakikatnya budaya memiliki isi berupa tujuh unsur kebudayaan yang universal iaitu ; i) bahasa ii) sistem teknologi iii) mata pencarian dan ekonomi iv) organisasi sosial v) sistem pengetahuan vi) agama vii) kesenian (Muhammad Takari, 2006:1). Antara bidang budaya yang telah lama berkembang di dalam proses hubungan Malaysia Indonesia ialah kesenian. Sejak dari dahulu lagi, seni budaya di Malaysia mempunyai persamaan dan menerima pengaruh daripada Indonesia terutama dalam bidang seni persembahan. Bidang seni persembahan muzik, tarian, puisi dan teater tradsional yang ada di Malaysia memiliki pelbagai persamaan dengan sama ada dari segi struktur persembahan mahupun fungsinya dalam terhadap masyarakat Melayu. Kesenian seperti muzik caklempong di Negeri Sembilan, Malaysia dibawa daripada daerah Sumatera Barat, Indonesia oleh masyarakat Minangkabau yang berhijrah ke Tanah Melayu. Wayang Jawa yang wujud di sekitar negeri Johor dikenali sebagai Wayang Purwa tanah Jawa, Indonesia dan dibawa daripada tanah Jawa oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke Tanah Melayu. Tarian joget dan zapin yang sering dipersembahkan di Malaysia turut ada di kepulauan Melayu Riau. Muzik Gamelan di Istana Pahang dan muzik nobat yang ada di Istana Terengganu pula berasal daripada Kerajaan Riau-Lingga di Indonesia. Kewujudan kesenian-kesenian ini di kedua-dua negara memaparkan hubungan budaya kedua-dua negara yang bersatu sebagai bangsa serumpun iaitu bangsa Melayu yang memiliki identiti budaya yang sama. Terdapat pelbagai jenis fungsi seni budaya di dalam masyarakat. Alan P.Merriam (1964:210) telah menggariskan 10 fungsi seni muzik di dalam masyarakat iaitu 1) meluahkan emosi, 2) penghayatan estetika, 3) hiburan, 4) komunikasi, 5) perwakilan simbolik, 6) tindak balas fizikal, 7) penguatkuasaan nilai-nilai tradisi dan norma sosial, 8) institusi sosial, 9) menyumbang kepada kesinambungan dan kestabilan budaya,dan 10) menyumbang kepada integrasi sosial. Kewujudan fungsi-fungsi ini di dalam seni budaya Melayu Serumpun mampu menyumbang kepada pembinaan identiti masyarakat dan pembinaan jatidiri generasi muda. Sehingga kini, Malaysia banyak menganjurkan pelbagai kegiatan seni budaya Melayu serumpun yang dijalankan bukan sahaja tujuan untuk menghiburkan masyarakat malah berusaha membina jatidiri generasi muda Antara program yang bertujuan mendukung misi tersebut ialah Program Latihan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan Pesta Gendang Nusantara (PGN) anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
2
2.0
Kegiatan Seni Budaya di Institut Seni Malaysia Melaka
Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) merupakan sebuah institusi seni budaya yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Melaka. Insitutsi ini berperanan sebagai pusat kegiatan dan pengembangan bidang kebudayaan kebangsaan terutama seni warisan yang menggambarkan jati diri Melaka. ISMMA2 pada awalnya dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama Akademi Seni Melaka (ASM) pada tahun 1994. Aktiviti yang dijalankan pada masa itu ialah mengurus tadbir Kumpulan Kebudayaan Briged Seni dan menjalankan kursus kemahiran seni jangka pendek. Bermula 1996 ASM telah menjalankan program Diploma dalam bidang seni. Pada tahun 1997 nama ASM ditukar kepada Institut Teknologi Seni Malaysia (ITTSM) dan insitusi ini berperanan mengembangkan program Diploma yang menjurus ke arah teknologi seni. Bagi merealisasikan pembangunan yang seimbang nama ITTSM telah ditukar kepada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) pada tahun 2001 dengan harapan dapat melahirkan warga seni Melaka yang mempunyai jati diri dalam pelbagai bidang yang diamalkan penuh dengan disiplin dan kesopanan. Bermula pada tahun 2001 ISMMA yang di pengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar telah mula memperluaskan aktiviti-aktiviti yang dijalan meliputi, 1) persembahan, 2) latihan amali, 3) bengkel, 4) seminar, dan 5) penerbitan. Berikut ialah program-program3 seni budaya Melayu Serumpun yang disertai dan dan anjurkan ISMMA. 2.1
Persembahan
ISMMA telah menyertai dan menganjurkan pelbagai persembahan kesenian sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Antara persembahanpersembahan yang telah disertai dan dianjurkan ISMMA ialah: i. ii.
iii.
iv.
2
3
persembahan kebudayaan di acara-acara seperti Konsert ISMMA 2006, seminar dan kem latihan seni budaya anjuran ISMMA, persembahan jemputan pihak dalam dan luar negara seperti persembahan kesenian sempena Pertemuan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam di provinsi Bangka-Belitung, Bengkalis dan Kalimantan Barat di Indonesia sert Festival Seni Tari Serumpun di Singapura, persembahan acara-acara kerajaan negeri Melaka seperti persembahan kebudayaan sempena Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam, Pesta Gendang Nusantara,Festival Songket dan Batik dan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Melaka, dan Perkampungan Seniman Melayu Serumpun (2002-2006) dan Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun (2003-2006).
Bersumberkan laman web: ismma.melaka.org.my Berdasarkan pemerhatian penulis ke atas aktiviti-aktiviti ISMMA sepanjang tahun 2006-2007.
3
Kumpulan kesenian ISMMA menerapkan unsur-unsur seni budaya serumpun apabila membuat persembahan daripada yang berskala kecil menggunakan ensambel muzik asli sehingga ke persembahan yang berskala besar menggunakan ensambel Orkestra Simfoni Warisan. Persembahan yang dibuat biasanya menggunakan muzik dan tradisional seperti persembahan dondang sayang, zapin, inang dan joget. Lagu-lagu yang sering dimainkan sewaktu persembahan terdiri daripada lagu-lagu asli Melayu Serumpun seperti Dondang Sayang, Zapin Budi, Makan Sirih, Gunung Banang, Aladom dan Joget Serampang Laut. Persembahan kumpulan kesenian ISMMA turut memuatkan persembahan puisi tradisional Nazam dalam perbagai bentuk seperti nazam asli, nazam Tangjung dan nazam kreatif. Persembahan yang diadakan ISMMA turut disertai bersama-sama dengan kumpulankumpulan kesenian daripada Institusi-institusi seni budaya daripada Indonesia khususnya yang datang daripada Kepulauan Melayu seperti Riau, Bangka-Belitung, Aceh, Palembang, Jambi, Medan, Sumatera Barat, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau dan Bandung. Irama muzik Melayu Serumpun yang popular ialah zapin, joget, inang dan senandung(asli).
2.2
Latihan dan Bengkel
ISMMA telah menyusun beberapa program latihan dan bengkel seni budaya untuk generasi muda bagi memenuhi objektif untuk menghayati, mendidik dan memperkembangkan warisan seni budaya kepada generasi muda. Antara program yang telah diadakan ialah 1) program sekolah angkat ISMMA, 2) Kem Muzik Satu Parlimen Satu Orkestra (Tarian, Biola dan Rebana Keras), 3) Bengkel Nazam Peringkat DUN, 4) Bengkel Marhaban dan Berzanji, 5) Bengkel Qasidah, 6) Bengkel Silat, 7) Bengkel Mengenali dan Penggunaan Songket, dan 8) bengkel tarian serumpun. Pada awalnya, latihan seni budaya ISMMA boleh dibahagikan kepada tiga iaitu latihan biola, latihan gendang dan latihan tarian. Latihan ini dijalankan secara mingguan bertempat di sekolah-sekolah sekitar negeri Melaka dan studio latihan ISMMA. Bermula daripada tahun 2001, ISMMA telah pun mengambil seramai 4 orang jurulatih daripada Indonesia bagi memperkasakan program latihan seni budaya yang dianjurkannya. Jurulatih-jurulatih yang dimaksudkan ialah: i) ii) iii)
jurulatih biola - Rita Dewi (Banda Aceh) dan Yade Suraya (STSI Padang Panjang), jurulatih orkestra dan gendang – Drs Andranova (STSI Padang Panjang), Muhammad Takari dan Fadlin Djafar (Universitas Sumatera Utara), dan jurulatih tarian – Rezal (Lhoksumawe Aceh) dan Dr. Nefi Imran (Universitas Negeri Padang).
Jurulatih-jurulatih daripada Indonesia ini telah berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan jurulatih-jurulatih tempatan dalam membina jatidiri para pelajar kearah menghayati seni budaya Melayu Serumpun. 4
Bagi melengkapkan lagi program latihan seni budaya Melayu Serumpun di ISMMA, beberapa sesi bengkel seni budaya telah diadakan pada musim cuti sekolah berpusat di Kompleks Seni Budaya Muara Sungai Duyong. Bengkel ini berperanan menyelaraskan program latihan mingguan yang telah diadakan sepanjang sesi persekolahan. Di dalam bengkel ini latihan intensif biola, gendang, tarian dan serunai diadakan secara tiga sehingga tujuh hari berturut-turut dengan bantuan jurulatih-jurulatih ISMMA (tempatan dan Indonesia). Selain daripada bengkel muzik (biola, gendang dan serunai) dan tarian, ISMMA turut mengadakan beberapa siri bengkel yang bertujuan memartabatkan puisi tradisional nazam, qasidah, marhaban, permainan rebana keras dan silat untuk generasi muda. Beberapa kumpulan nazam, qasidah, marhaban, rebana keras dan silat daripada sekitar negeri Melaka telah dikumpulkan dan diberikan latihan secara berpusat dengan bantuan jurulatih-jurulatih ISMMA dan pakar-pakar jemputan yang diundang khas (dalam dan luar negara). Pengisian bengkel-bengkel seni budaya ISMMA diisi dengan ceramah pakar, latihan praktikal berkumpulan dan latihan praktikal individu. Selain daripada latihan kesenian, program bengkel ISMMA turut memasukkan elemen membina jatidiri serta melahirkan individu yang berdisiplin melalui program berkawad dan senam silat. Diakhir sesi bengkel, satu persembahan dan sesi ujian akan diadakan bagi mengenal pasti tahap keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Sesi ujian dan persembahan ini juga ada kalanya diadakan dalam bentuk pertandingan antara kumpulan. Hasil daripada program-program latihan dan bengkel seni budaya ISMMA ialah modal insan yang berkualiti dan memiliki jatidiri Melayu Serumpun selaras dengan moto ISMMA iaitu ‘Seni yang berilmu dan bersopan’.
2.3
Seminar
Selain daripada persembahan dan bengkel, ISMMA turut menganjurkan bersama beberapa seminar seni budaya yang bersifat keilmuan. Program ini bertujuan bagi percambahan ilmu kepada penggiat seni dengan menjemput tokoh - tokoh seni dalam dan luar negara terutama daripada negara jiran Indoenesia sebagai penceramah. Ia juga menghimpun semua penggiat seni terutamanya sasaran kepada penuntut sekolah dan belia sebagai 'pewaris seni' serta pemimpin semua peringkat. Topik seminar anjuran ISMMA biasanya menfokus kepada aspek-aspek seni budaya Melayu Serumpun. Antara seminar-seminar yang telah diadakan ialah Seminar Sosio-Budaya sempena Pertemuan Dunia Melayu Dunia Islam (Mac 2006), Seminar Songket (September 2006), Seminar Adat Melayu (2004-2006), Seminar Jatidiri Seni Budaya Melaka dan lain-lain.
5
2.4
Penerbitan
Hasil penulisan ilmiah sarjana seni budaya yang telah dibentang di dalam seminarseminar ISMMA biasanya akan diterbitan dalam bentuk buku. Sehinggan tahun 2007, ISMMA telah menerbitkan empat buah seni budaya iaitu: i) Buku Kepimpinan Adat Perkahwinan Melayu Melaka (Abdul Latiff Bakar & Hanipah Husin – 2004), ii) Buku Kepimpinan Adat Melayu Serumpun (Abdul Latiff Abu Bakar 2004), iii) Buku Pantun dan Ungkapan Indah Perkahwinan Melayu (Abdul Latiff Abu Bakar & Rosli Salehuddin 2004), dan iv) Buku Busana Melayu Serumpun (Abdul Latiff Bakar & Nefi Imran 2004). Buku-buku yang telah diterbitkan ini menjadi rujukan kepada pelbagai pihak terutama para pengkaji seni budaya dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi. Buku-buku, kaset serta DVD terbitan ISMMA bukan sahaja memainkan peranan penting mengembangkan ilmu seni budaya serumpun dan mempertingkatkan lagi penghayatan jati diri masyarakat terhadap seni budaya Melayu Serumpun. Selain daripada penerbitan buku, ISMMA juga pernah menerbitkan dua album rakaman audio iaitu rakam kaset muzik dan puisi-puisi tradisional Melaka. ISMMA juga telah menerbitkan kesenian tradisional negeri Melaka dalam bentuk dokumentasi audio visual iaitu DVD Mari Belajar Nazam, Rebana Keras, Marhaban/Berzanji/Qasidah dan Silat Bunga. Proses pendokumentasian seni budaya Melayu Serumpun melalui penerbitan buku dan kaset telah melengkapkan misi pembinaan jati diri Melayu Serumpun melalui kegiatan-kegiatan ISMMA bermula dengan latihan seni budaya, bengkel seni budaya, persembahan seni budaya seterusnya seminar keilmuan Melayu Serumpun.
3.0
Pesta Gendang $usantara
Pesta Gendang Nusantara (PGN)4 merupakan sebuah program seni budaya Melayu Serumpun bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan para seniman daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura di dalam satu acara persembahan menggunakan alat muzik rumpun Melayu gendang sebagai elemen persembahan dengan tema ‘Serentak Sebudaya, Senada Seirama’. Program ini diadakan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak tahun 1995 dan menjadi acara tahunan sehingga tahun 2007. Diadakan pada 14 April setiap tahun, PGN menjadi acara kemuncak sempena sambutan pengiystiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. 4
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat penulis ke atas Pesta Gendang Nusantara (PGN) tahun 1995 – 2007.
6
Kumpulan-kumpulan yang menyertai PGN datang dari negeri-negeri di seluruh Malaysia seperti Melaka, Wilayah Persekutuan KL, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis, Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak. Manakala kumpulankumpulan daripada Indonesia datang daripada provinsi-provinsi seperti Aceh, Sumatera Barat, Riau, Bangka-Belitung, Sumatera Selatan , Kalimantan Barat dan Sumatera Barat. Selain itu turut diundang ialah kumpulan daripada negara Singapura.Turut dijemput untuk menyertai PGN ialah kumpulan daripada negara Thailand dan Filipina. Terdapat pelbagai program yang diadakan sempena temasya PGN dan semua delegasi yang terlibat menyertai program-program yang dijalankan sepanjang PGN berlangsung selama lebih kurang 1 minggu. Antara aktiviti yang disusun penganjur ialah 1) Perkampungan Seniman, 2) Persembahan Perdana, 3) Persembahan Kumpulan, dan 4) Bengkel dan Seminar anjuran ISMMA.
3.1
Perkampungan Seniman PG$
Para peserta yang menyertai PGN diundang seminggu lebih awal bagi menyertai Perkampungan Seniman. Di dalam perkampungan seniman para peserta akan berkumpul bersama-sama dan menyertai pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh penganjur. Antara aktiviti yang dijalankan di Perkampungan Seniman PGN ialah pertemuan seniman serumpun serta seminar PGN, latihan bersama untuk Persembahan Perdana PGN dan latihan kumpulan. Pada tahun 1995 and tahun 1997, Perkampungan PGN yang diadakan di Kompleks Muara Sungai Duyong telah mengadakan Seminar PGN. Seminar ini berperanan mengumpulkan ahli-ahli seni budaya Melayu Serumpun yang terdiri daripada tokoh-tokoh, ahli-ahli akademik dan para seniman seni budaya rumpun Melayu dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang seminar berlangsung ialah diskusi dan pembentangan kertas kerja. Topik-topik yang dibincangkan di dalam seminar PGN meliputi aspek sosiobudaya dan seni persembahan rumpun Melayu seperti muzik, tarian dan puisi tradisional. Antara tajuk-tajuk pembentangan kertas kerja seminar PGN 1995 ialah: i. Hikayat Prang Sabi Gendrang Prang Nusantara, ii. Rentak dan Pukulan Gendang Sebagai Muzik Pengiring Lakon dan Pengantar Agenda Dalam Teater Tradisional Rumpun Melayu di Riau, iii. Seni Gendang – Ke mana arahnya?, iv. Peralihan Rentak Gendang, v. Jenis dan Irama Gendang Melayu Riau, vi. Muzik Gendang di Minangkabau, vii. Transformasi Sosio-Budaya dan Kaitannya Dalam Menghasilkan Rentak, Pelbagai – Tipe Gendang Melayu Pesisir Timur Sumatera Utara, dan viii. Ensambel Muzik Gendang di Minangkabau.
7
Di dalam PGN 1997 pula terdapat empat kertas kerja yang dibentangkan iaitu: i. Penggunaan Pantun, Tari dan Seni Muzik Sebagai Sistem Komunikasi ada Konteks Upacara Perkahwinan Dalam Kebudayaan Melayu Sumatera Timur, ii. Dari Mak Inang, Ronggeng, Chalti sampai ke Dangdut, iii. Seni Pertunjukan Sebagai Ekspresi Komunikasi pada Kebudayaan Masyarakat Nusantara, dan iv. Pengembangan Muzik Tradisional Minangkabau Sebagai Kreativiti Muzik. (Abdul Latiff Abu Bakar. 2000) Para pembentang kertas kerja seminar PGN terdiri daripada ilmuan seni budaya rumpun Melayu yang pakar dengan bidang masing-masing. Antara pembentangpembentang kertas kerja seminar PGN ialah 1) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Universiti Malaya (UM), Malaysia, 2) Ahmad Usop dari Majlis Kebudayaan Negeri Melaka, 3) Muhammad Takari & Fadlin Djaafar dari Universiti Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia, 4) B.M. Syamsuddin dari Pekan Baru, Riau, 5) Elizar & Hanefi dari Akademi Seni Kerawitan Indonesia (ASKI) Padang Panjang5, 6) Ahmad Azmi dari Singapura Pembentangan kertas kerja seminar PGN tidak hanya disampaikan secara teori sahaja malah turut disertakan dengan contoh-contoh praktikal melalui persembahan secara langsung oleh para penceramah. Persembahan ini dibantu peserta-peserta PGN yang mewakili kumpulan-kumpulan persembahan dari negeri dan provinsi masingmasing. Selepas mengadakan persembahan, pembentangan kertas kerja akan diakhiri dengan sesi soal jawab dan peserta seminar akan menanyakan soalan, bertukar-tukar buah fikiran dan berbincang mengenai sebagai isu yang berkaitan dengan seni budaya Melayu serumpun. Selain daripada seminar PGN, aktiviti Perkampungan Seniman PGN turut diisi dengan sesi latihan bersama kumpulan-kumpulan kesenian. Latihan bersama ini dibuat sebagai persediaan untuk menghadapi acara kemuncak temasya PGN iaitu Persembahan Perdana. Saudara Bob Khalil dari Pusat Kebudayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tanggungjawab untuk melatih dan memimpin latihan Persembahan Perdana PGN yang dijalankan di Perkampungan Seniman. Latihan ini diadakan pada setiap malam sepanjang temasya PGN berlangsung. Latihan penuh akan diadakan pada malam terakhir sesi latihan bertempat dilokasi Persembahan Perdana PGN. Latihan kumpulan yang diadakan di Perkampungan Seniman PGN dibuat bagi memastikan setiap kumpulan yang menyertai temasya ini bersedia untuk membuat persembahan kumpulan yang diadakan disekitar Bandar Melaka. Latihan ini dikendalikan oleh sesama kumpulan dan dipantau oleh jawatankuasa penganjur. Selain itu latihan
5
Nama Akademi Seni dan Kerawitan Indonesia (ASKI) Padang Panjang kini telah ditukar kepada Sekolah Tinggi Seni Indonesia (STSI) Padang Panjang.
8
kumpulan juga digunakan untuk setiap kumpulan memantapkan persembahan yang bakal dipersembahkan pada malam Persembahan Perdana PGN 3.2
Persembahan Perdana PG$
Malam Persembahan Perdana merupakan acara kemuncak PGN dan juga merupakan acara kemuncak kepada sambutan Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. Persembahan diadakan di lokasi strategik dan bersejarah di negeri Melaka seperti Kota A.Famosa (1995), Light and Sound Kota Melaka (1997), Dataran Sejarah Air Keroh (2000–2005), Melaka International Trade Centre (MITC)(2006) dan Dataran Bandaraya MBMB (2007). Persembahan Perdana PGN menjadi acara rasmi Kerajaan Negeri yang dihadiri pemimpin-pemimpin Melayu Serumpun seperti Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Gabenor Provinsi-Provinsi daripada Indonesia, Ketua Menteri Melaka dan wakil-wakil kerajaan daripada luar negara. Turut hadir menonton persembahan ini ialah orang ramai yang terdiri daripada rakyat negeri Melaka, pelancong tempatan dan pelancong asing yang pernah mencecah sehingga 20,000 orang pada satu malam persembahan. Aturcara Persembahan Perdana PGN dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff dan dipimpin oleh Bob Khalil (DBKL) dan dibantu oleh ahli-ahli professional di dalam bidang seni persembahan rumpun Melayu seperti Drs. Andanova (STSI Padang Panjang), Muhammad Takari (USU Medan) dan Fadlin Djaafar (USU Medan). Semua peserta akan berhimpun di atas pentas persembahan dan disusun mengikut kumpulan. Persembahan Perdana PGN disusun secara berstruktur dan didahului dengan penyampaian puisi (deklamasi sajak) dengan iringan paluan gendang gabungan kumpulan-kumpulan yang menyertai temasya. Seterusnya ensambel gendang gabungan (gabungan kumpulan-kumpulan peserta PGN) akan bersama-sama memainkan overture persembahan yang terdiri daripada lagu-lagu tradisional Melayu Serumpun seperti lagu Dondang Sayang dan Lancang Kuning. Overture ini turut diisi dengan persembahan tarian oleh penari-penari PGN daripada kumpulan-kumpulan peserta. Persembahan overture PGN akan disambung dengan persembahan solo kumpulan-kumpulan secara satu persatu. Setiap kumpulan akan mempersembahkan elemen muzik, tarian dan puisi tradisional rumpun Melayu selama lima minit. Setiap kumpulan akan mempersembahkan kesenian yang bercirikan kebudayaan tempat kumpulan tersebut samaada elemen-elemen yang dipersembahkan kepada penonton adalah elemen tradisi mahupun karya kreatif (yang diilhamkan daripada unsur-unsur tradisional). Di akhir persembahan, kesemua kumpulan akan digabungkan semula membentuk ensambel gendang serumpun dan ensambel ini akan memainkan lagu-lagu Melayu serumpun yang berentak cepat seperti zapin (Zapin Ya Salam) dan joget (Joget Bercerai Kasih). Persembahan ini bukan sahaja diiringi oleh semua pemuzik malah semua penaripenari PGN. 9
Finale persembahan ialah persembahan lagu Joget Serampang Laut yang dimainkan secara beramai-ramai. Pantun lagu yang disampaikan oleh para penyanyi daripada yang mewakili delegasi-delegasi yang dipilih samaada daripada tuan rumah (Melaka) mahupun tetamu daripada Indonesia. Trancang akan dimainkan secara crescendo di akhir lagu Joget Serampang Laut akan menutup tirai persembahan. Melodi trancang yang semakin lama semakin laju akan meningkatkan nilai espresif dan kemeriahan persembahan yang diiringi dengan muzik gendang dan tarian. Selepas melodi trancang berakhir peserta PGN beramai-ramai akan melaungkan tema PGN iaitu ‘Serentak Sebudaya Senada Seirama’.
3.3
Persembahan Kumpulan PG$
Setiap kumpulan-kumpulan peserta PGN akan mengadakan persembahan kumpulan di beberapa lokasi di sekitar Bandar Melaka sepanjang temasya PGN berlangsung.Lokasi persembahan kumpulan PGN ialah pusat tumpuan orang ramai dan tumpuan pelancong seperti 1) tempat-tempat bersejarah iaitu Kota Melaka dan Istana Melaka, 2) pusat-pusat membeli-belah iaitu Mahkota Parade, Jaya Jusco dan Kota Mas, dan 3) tempat-tempat rekreasi orang ramai iaitu Pantai Puteri dan Taman Mini Malaysia. Persembahan kumpulan PGN dikenali sebagai pocket show dipersembahkan pada waktu pagi bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 5.00 petang dan setiap kumpulan membuat persembahan mengikut jadual yang disediakan oleh pihak penganjur.Setiap kumpulan akan membuat persembahan kumpulan selama 1 jam di atas pentas yang disediakan oleh penganjur sambil disaksikan oleh orang ramai yang terdiri daripada rakyat negeri Melaka, pelancong tempatan dan pelancong luar negara. Elemen yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan ialah kesenian tradisional seperti muzik, tarian dan puisi tradisi yang dibawa daripada tempat asal kumpulankumpulan tersebut. Sebagai contoh, delegasi daripada Aceh mempersembahkan tarian Rapae Geleng, Seudati dan Dabus yang berasal daripada daerah-daerah Nangroe Aceh Dar-al Islam. Delegasi daripada Padang (Sumatera Barat) mempersembahkan tari piring, muzik taklempong dan randai. Delegasi daripada Johor (Malaysia) pula mempersembahkan tarian zapin tegelu, zapin pekajang dan muzik ghazal.
4.0
Proses Pembinaan Jatidiri Melalui Kegiatan Seni Budaya
Erik Erikson merupakan salah seorang daripada ahli psikologi Barat terawal yang berminat mengkaji identiti manusia. Kerangka Eriksonian yang dikenali sebagai ego identity membahagikan identiti kepada dua iaitu 1) identiti personal: idiosinkresis personal yang memisahkan individu daripada yang lain dan, 2) identiti budaya atau identiti sosial: peranan-peranan sosial yang dimainkan oleh seseorang. Pembinaan identiti budaya yang kuat berlaku apabila ego identity berinteraksi dengan masyarakat dan 10
budaya yang kukuh. Kesan daripada penolakkan identiti budaya akan membawa kepada krisis dan kekeliruan identiti. (Cote 2002:17) Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara yang memiliki rumpun budaya yang sama iaitu kebudayaan Melayu. Melalui kegiatan seni budaya bersama, rakyat kedua-dua negara yang dipisah oleh sempadan politik dapat disatukan melalui medium-medium penyatuan seperti muzik, tarian dan puisi tradisional Melayu. Penyatuan rakyat kedua-dua negara melalui kegiatan-kegiatan ini khususnya dikalangan generasi muda menggalakkan pembinaan identiti budaya yang dikenali sebagai jati diri Melayu serumpun. Kegiatan seni budaya Institut Seni Malaysia Melaka dan temasya Pesta Gendang Nusantara merupakan contoh kegiatan seni budaya yang dapat membina jati diri yang mampu memperkukuhkan hubungan Melayu serumpun terutama Malaysia-Indonesia. Berdasarkan kedua-dua kegiatan ini, maka langkah-langkah pengukuhan jati diri Melayu serumpun dapat dikenalpasti seperti berikut:
i) Menggalakkan pertemuan intelektual seni budaya Melayu serumpun Para intelektual seni budaya Melayu serumpun yang terdiri daripada tokoh-tokoh budaya, ahli-ahli akademik dan professional dalam bidang kebudayaan harus dipertemukan dan berdikusi menerusi majlis-majlis ilmu seperti seminar, persidangan dan konvensyen seni budaya. Seminar PGN, Perkampungan Seniman PGN,Seminar Songket dan Seminar Sosio-Budaya DMDI merupakan contoh-contoh kegiatan seni budaya yang berbentuk keilmuan. Melalui kegiatan-kegiatan ini juga ahli-ahli seni budaya Melayu serumpun berpeluang bertukar-tukar dan berkongsi pengetahuan. Peningkatan pengetahuan terhadap seni budaya ini mampu mengukuhkan lagi kesedaran individu dalam usaha mengenal identiti budaya sendiri.
ii) Mengadakan kegiatan kesenian, persembahan dan latihan seni budaya bersama Aktiviti-aktiviti seperti persembahan bersama dan latihan bersama melalui kegiatan kesenian boleh mengeratkan hubungan sesama ahli serumpun. Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara (PGN) dan Konsert ISMMA merupakan contoh aktiviti bersama Malaysia-Indonesia menerusi bidang kesenian yang menggunakan muzik, tarian dan puisi tradisional Melayu sebagai media tradisional dan seni yang menjadi warisan Melayu serumpun. Rakyat Malaysia dan Indonesia juga boleh disatukan menerusi program-program berbentuk pendidikan seni budaya seperti latihan seni budaya ISMMA, bengkel-bengkel 11
seni budaya ISMMA dan latihan persembahan Persembahan Perdana PGN. Melalui kegiatan-kegiatan ini rakyat kedua-dua negara khususnya generasi muda dapat mengenali identiti budaya bersama yang dikenali sebagai jati diri Melayu serumpun.
ii) Mendokumentasian unsur-unsur seni budaya Melayu serumpun Aktiviti mendokumentasi seni budaya Melayu serumpun boleh membantu individu memahami dan menghayati identiti-identiti yang ada pada kebudayaan Melayu. Proses pendokumentasian ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk sebagai sama ada buku, jurnaljurnal ilmiah atau pun rakaman audio-visual. Selain daripada boleh membantu proses pembinaan jatidiri Melayu serumpun, proses pendokumentasian turut bertujuan untuk memelihara dan memulihara seni budaya yang semakin terancam dengan pengaruh budaya negatif Barat yang tidak bersesuaian dengan norma-norma kehidupan masyarakat Melayu dan bercanggah dengan ajaran agama Islam dan budaya Melayu.
5.0
Penutup
Antara ancaman kepada kesinambungan identiti budaya Melayu serumpun ialah proses globalisasi. Dato’ Seri Najib Tun Razak (2005) menerusi idea Melayu Glokal6 telah menggariskan beberapa cadangan sebagai persedian orang Melayu untuk menghadapi cabaran globalisasi dan antaranya ialah memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui transformasi budaya. Proses pembinaan jatidiri Melayu serumpun kini memerlukan formula baru yang lebih dinamik agar perubahan budaya yang berlaku bersifat tempatan (lokal) dan mampu bersaing diperingkat global. Kegiatan seni budaya Melayu serumpun seperti kegiatankegiatan ISMMA dan temasya Pesta Gendang Nusantara (PGN) dapat disimpulkan bahawa kegiatan seni budaya Melayu serumpun memerlukan pembaharuan sebagai persedian mengharungi arus globalisasi. Kerjasama pelbagai pihak daripada kedua-dua negara Malaysia-Indonesia terutama pihak kerajaan kedua-dua negara, NGO-NGO dan Institusi Pengajian Tinggi amat diperlukan dalam usaha mengukuhkan jati diri Melayu serumpun yang menjadi milik kedua-dua negara. Melalui kegiatan seni budaya, pembinaan jatidiri Melayu serumpun dapat direalisasikan melalui tiga formula iaitu 1) pertemuan intelektual seni budaya, 2) aktiviti kesenian bersama melalui persembahan dan latihan seni budaya, dan 3) mendokumentasi seni budaya.
6
Glokal: Ia adalah gabungan antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global bermaksud, antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, Melayu Glokal ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional.
12
Semoga gagasan Glokal yang disarankan oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dapat direalisasikan dalam kegiatan seni budaya Melayu serumpun bagi memantapkan lagi jatidiri Melayu Malaysia dan Indonesia. Negeri Melaka di bawah kepimpinan Y.A.B. Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka telah berjaya melaksanakan usaha murni ini dengan mengadakan program Pesta Gendang Nusantara (PGN) dan mewujudkan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) sebagai medan memartabatkan seni budaya dan memperkasakan warisan tamadun Melayu yang bersifat GLOKAL.
Rujukan Abdul Latiff Abu Bakar, 2000. Media dan Seni Warisan Melayu Serumpun Dalam Gendang usantara. Media dan Seni Warisan Melayu Serumpun dalam Gendang Nusantara. Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya & maslis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah.
Alan P. Merriam, 1964. The Anthropology of Music. Northwestern University Press, United States of America.
Cote, James E. and Charles Levine (2002). Identity Formation, Agency, and Culture. New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates.
Kamus Dewan , Edisi Ketiga, 1994. Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur. Muhammad Takari. 2005. ‘Studi Banding antara Tangga ada Pentatonik dan Diatonik’ dalam Jurnal Etnomusikologi, Department Etnomusikologi Universiti Sumatera Utara, Medan, Indonesia.
Mohd Najib Tun Abd Razak. 2005. Ucapan Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UM O 2005, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur
UNESCO. 2002. Universal Declaration on Cultural Diversity. www.unesco.org/education/imld_2002/unversal_decla.shtml
13