Pantun Brunei Di Sabah

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pantun Brunei Di Sabah as PDF for free.

More details

  • Words: 2,524
  • Pages: 17
Tradisi Pantun Suku Brunei di Sabah Lokman Abdul Samad Pengenalan. Suku kaum Brunei yang lebih dikenali sebagai urang Barunai, memang terkenal dengan tradisi pantun. Sebahagian besar mereka mendiami kawasan pantai barat Sabah meliputi kawasan Sindumin, Sipitang, Weston, Menumbok, Binsulok, Pimping, Membakut, Bongawan, Papar dan Kota Kinabalu. Sebahagian warga tua Brunei masih lagi mengekalkan budaya berpantun. Tradisi pantun adalah salah satu daripada sastera warisan yang masih subur dan sangat digemari oleh masyarakat Melayu Brunei. Pada masa kini tradisi pantun masih boleh ditemui dalam masyarakat kampung apabila suatu upacara sosial diadakan. Sudah menjadi kelaziman kepada orang-orang Melayu Brunei zaman dahulu suka berpantun, berseloka ataupun bergurindam dalam segala macam pekerjaan yang dilakukan. Nelayan yang sedang berkayuh di laut mempunyai lagu dan nyanyian yang boleh menghiburkan hati dan menghilangkan penat. Kaum wanita yang sedang berkumpul berjaga-jaga di dalam satu-satu upacara akan mengalunkan pantun sebagai penghibur hati. Sewaktu majlis keramaian, disulam tarian yang ditingkah dengan pantun berbalasbalas secara spontan. Begitu juga sewaktu anak-anak kecil sedang bercanda di sungai sambil menyanyikan pantun secara beramairamai: Anyut bangkai kuda Anyutnya ka tabasan Bamain sama muda Inda balapasan Anyut kayu sabarkas Kadamparan kait-kait Anjungku kan balapas Urak tikar baik-baik (Pg. Hj. Abd Rahman)

1

Badundang Badundang, dundang atau badondang merupakan satu keistimewaan suku kaum Brunei di Sabah. Badundang berbeza dengan dengan dondang sayang. Ia memerlukan alat bunyi-bunyian seperti kulintangan dan tetawak. Secara tradisinya badundang akan dijalankan dalam istiadat perkahwinan. Oleh kerana majilis perkahwinan adalah salah satu cara menghimpunkan seluruh keluarga dan penduduk kampung, secara lazim atur cara perkahwinan diadakan selepas musim menuai. Kerja-kerja sawah padi yang dilakukan secara mamuncang atau gotong royong dan dilanjutkan lagi menerusi kenduri kahwin menambahkan lagi kemeriahan majlis berkenaan. Tambahan pula hasil beras yang banyak boleh menampung kenduri menjamu kaum keluarga dan jiran tetangga semasa malam berjaga. Badundang pada ketika dulu merupakan acara yang ditunggutunggu ketibaannya. Pada waktu inilah golongan teruna dan dara berkesempatan melampiaskan rasa hati, kehendak dan kerinduan pada pasangan masing-masing. Bagi teruna dan dara, pada malam berjagajaga, merupakan masa yang terbaik untuk mendekati pasangan masing-masing menerusi jual beli pantun. Anjung atau loteng disediakan di tingkat atas rumah bagi menempatkan golongan dara. Pengasingan golongan dara dan teruna, merupakan satu kaedah bagi menambahserikan lagi majlis badundang. Oleh kerana, terpisah maka hanya suara yang kedengaran Menjelang tengah malam, majlis dundang akan diadakan dengan dimulakan menerusi paluan tetawak dan kulintangan. Pusingan pertama, pihak lelaki akan menghabiskan penjualan pantun dengan dimulakan secara beramai-ramai dengan : Dundang, dundang, dundang Sayang sidundang Sianak urang (3 X) Seorang teruna akan mengambil giliran pertama dan diikuti oleh rakan-rakan yang lain. Lazimnya dundang pembukaan dikenali sebagai dundang pengenalan: Mampalam di ujung tanjung Dibawa budak maraji kain Salamualaikum orang di anjung Bulikah kami tumpang barmain Mampalam tagantung-gantung Dijolok oleh abang Brahim Salamualaikum orang dianjung 2

Marilah kita barsatu rahim Semasa pihak lelaki mengalunkan dundang, anak gadis yang berada di atas anjung cuba mengecam suara berkenaan. Penjual pantun lelaki akan mengesan pantunnya disambut dengan pengulangan semula maksud pantunnya yang dipakai sebagai pembayang oleh pihak wanita. Suara yang dikenali atau yang menjadi idaman hati, lazimnya ditujukan pada seseorang. Sekiranya ada dundang pihak teruna yang tidak disambut atau dijawap oleh dara idaman, maka ia akan cuba memujuk dengan dundang yang berbunyi: Kalau karbau katakan karbau Kalau sapi katakan sapi Kalau babau katakan babau Jangan kami tarnanti-nanti Pihak gadis yang bakal menjawab sentiasa berwaspada, supaya soalan berkenaan benar-benar ditujukan pada empunya diri. Apabila yakin ia ditunjukkan pada empunya diri, dundang disambut dengan : Si maulana maulani Talur tarubuk barpinggan-pinggan Tuan di sana saya di sini Saperti pungguk rindukan bulan Apabila sudah memperoleh jawapan daripada pihak gadis, yang manjawab semua dundang yang dikemukakan maka berakhirlah pusingan pertama. Pusingan seterusnya dalam majlis badundang lazimnya akan berlanjutan hingga menjelang waktu subuh. Kelebihan bagi para pemantun ini, adalah unsur spontan yang bersahaja tetapi mempunyai ciri khas yang berupaya membawa kedua-dua pemain ini ke jinjang pelamin. Menurut beberapa orang informan yang ditemui mengakui bahawa acara dundang sememangnya sangat istimewa oleh sebab menjadi tempat pencari jodoh. Sudah ramai pasangan yang menemukan jodoh hanya kerana masing-masing berjaya meluahkan hati menerusi pantun yang dijual beli. TEMA PANTUN MELAYU BRUNEI Secara keseluruhan memang telah diakui bahawa kedudukan pantun bukan alat hiburan semata-mata. Keupayaan pantun dalam melestarikan nilai, adat dan budaya leluhur Melayu yang 3

bertunjangkan agama masih terpelihara. Antara sebahagian tema pantun yang menonjol dalam pantun Brunei termasuklah: 1. Pantun kasih sayang 2. Pantun jenaka 3. Pantun kanak-kanak 4. Pantun ibarat dan sindiran 5. Pantun nasihat 6. Pantun teka-teki 7. Pantun politik 8. Pantun agama 9. Pantun tempat 10. Pantun erotik Pantun kasih sayang Dalam masyarakat Melayu Brunei tradisional, pantun kasih sayang lahir daripada cetusan emosi yang mengandungi perasaan cinta. Pantun ini juga membayangkan harapan dan pengalaman bagi pasangan yang dilamun cinta. Seperti pantun Melayu, pantun kasih sayang Melayu Brunei juga terdapat dalam beberapa fasa atau peringkat, iaitu : (a)

Peringkat perkenalan atau usik-mengusik : Cabuk-cabuk batali rambai, Sudah rambai batali purun, Orang di tabuk kancang malambai, Kalau sudi ke mari turun. Ayam putih manuk siapa, Mari bergantung di atas jambu, Anak putih anak siapa, Ditinguk mata tiada jamu.

(b)

Peringkat berkasih mesra, merindu : Gundatur di tapi rimba, Anak kina pargi mancari, Kalau betul hati adinda, Minta tanda cincin di jari. 4

Labuan tidak berbukit, Ada bukit di Batu Arang, Harap tuan bukan sedikit Dari dulu sampai sekarang.

(c)

Peringkat perpisahan dan kekecewaan ; Cakuk manis digulai manis, Bulih mamupul di pulau gatah, Jangan adik tunduk manangis, Bukan kami bercarai batah. Aing pasang bangat di ulu, Rumah basar barsarang madu, Kalau tarkanang masa dahulu, Jantung baparang dangan hampadu.

Pantun Jenaka Isi pantun jenaka dalam pantun masyarakat Melayu Brunei lazimnya mengandungi unsur jenaka atau humor yang boleh mencuit hati dan membangkitkan rasa ceria. Biasanya pantun jenaka dituturkan sambil bermain dan bergurau senda. Selain unsur lucu, corak isi pantun jenaka kadang-kadang mengandungi nada ejekan dan sindiran. Tibadak nangka, Baguring dari bukit, Adik rangka, Inda mau sedikit. Giling-giling kucapi, Babulu talinganya, Di mana kaling mati, Di ulu banuanya. 5

Pantun kanak-kanak Dari segi struktur, pantun kanak-kanak lebih mudah daripada pantun biasa. Bahasanya sederhana dan mudah difahami, sesuai dengan dunia kanak-kanak itu sendiri. Dalam masyarakat Melayu Brunei, pantun ini lazimnya dilagukan ketika menidurkan anak. Pok amai-amai, bilalang kupu-kupu, tapuk beramai-ramai, diupah jangan susu. Unggat-unggat papan, Papan tagiu-giu, Lambat bapa datang, Membawa salai yu. Pantun kias dan ibarat Pantun jenis ini bernada agak serius dan ditujukan kepada seseorang atas perlakuan-perlakuan yang dirasakan tidak sesuai pada pandangan masyarakat. Ia juga membawa maksud pengajaran sama ada secara sosialisasi atau keagamaan. Sulangkir mirah matanya, Kambang payung si obor-obor, Mungkar Nangkir datang batanya, Apa panjawap di pintu kubur. Pandai pipit mengata dulang, Kambiri tumbuh di batu, Pandai mengata orang, Sandiri nombor satu.

Kalau tuan pargi manuba, 6

Manuba ikan tanggiri, Kalau tuan mancari nama, Cari saja nama sandiri.

Pantun nasihat Pantun nasihat dalam masyarakat Melayu Brunei mengandungi unsurunsur didaktik, mengandungi pengajaran tentang kehidupan bermasyarakat, keagamaan dan norma-norma adat. Anak itik si anak angsa, Di bawa ka tanah mirah, Jangan ditilik kapada bangsa, Sama kita badarah mirah. Pagi-pagi manggulai batik, Sakit tangan manutuk sambal, indak guna isteri cantik, Asalkan pandai manutuk sambal.

Pantun teka-teki Pantun teka-teki lazimnya mengandungi soalan dan memerlukan satu jawapan sekurang-kurangnya. Tujuannya untuk berhibur sambil menguji pengetahuan si pendengar. Lagung-lagung bunyi rabana, galagah patung mana sulinya, jika tuan bijak laksana, langit bagantung mana talinya ? lagung-lagung bunyi rabana tudung saji tarindak badan langit tagatung mana talinya sudah takdir darinya Tuhan Pantun Politik 7

Bagi masyarakat Brunei, pantun turut digunakan sebagai bahan kempen semasa pilihan raya. Pihak pembangkang mahupun kerajaan memanipulasi pantun sama ada menerusi ucapan, kain rentang ataupun risalah-risalah politik. Suasana politik Sabah yang kerap bergelora dan akhirnya kemasukan UMNO ke sabah banyak membawa perubahan, sebagaimana yang diungkapkan dalam pantun berikut: Mantri marancang rakyat mambikin Baru kita mandapat maju Puas sudah masuki parti Parti UMNO banyak mambantu Aing panuh dalam parigi, kapal balarai dari sandakan, parti Umno mamarintah nagari, bangunan ramai saganap pakan. Ambil karis di atas pati, buah anggur dari Mairi, salama parti PBS manang baundi, banyak panganggur banyak pancuri Ikan jurung-jurung Masuk bawah kolong Barisan kita sokong PBS kita potong

Pantun Agama Masyarakat Melayu Brunei yang rata-rata beragama Islam turut memasukkan dakwah secara tidak langsung menerusi kaedah berpantun: Angkut-angkut basarang tanah Anak balari dari sakulah Indaku takut urang mamitnah Sarahkan jua kapada Allah Anak balari dari sakulah Orang mancahat dalam parahu Manyarah diri kapada Allah Baik jahat ia yang tau 8

Pantun tempat Sesuai dengan kehidupan masyarakat tradisonal yang sangat bergantung dengan alam. Maka tidak menghairankan kelompok berkenaan begitu menghargai dan menyanjung alam sekitaran yang telah banyak memberi nafkah kehidupan. Dengan demikian rasa kesyukuran berkenaan ditumpahkan menerusi bait-bait pantun iaitu memanjatkan pujian keindahan dan kehebatan sesuatu tempat seperti berikut: Pulau dinawam tampat bakilah Singgah mari tanjung rambutan Kampung Bongawan tampat batuah Budaya dundang dapat sambutan .

Di Di Di Di

Binoni pasang mariam, Bongawan pasang pedati, Binoni tampat ku diam, Bongawan dihati-hati.

Pakan Papar kampung Surati Tampat urang bajual bali Balajarlah kita ilmu yang tinggi Supaya inda buta dan tuli Bartulak kami dari Binoni, Sarat mambawa batang kukuran, Rasa kami kan mulih, Aing bangat angin jujulan. Pantun unsur erotik Pantun adalah cerminan realiti masyarakat yang melahirkannya sama ada untuk bergurau usik mengusik ataupun menyindir perlakuan seseorang. Tidak dinafikan juga bahawa sindiran yang dikemukakan dalam pantun lebih pedas dan berbisa kerana disampaikan secara kias ibarat.

9

Pantun dua rangkap di bawah, menunjukkan adanya perbuatan tidak senonoh yang berlaku di antara dara dan teruna dan akibatnya si gadis mengandung. Ka darat manjarat pipit Tajarat pipit kelabu Nyaman-nyaman tidur baimpit Nda sadar parut balabu Kutiting abit-abit Di taruh atas salaya Sidayang lakas damit Sudah basar kupiara Tangah malam mimpikan bulan Bulan dipagar bintang tujuh Tangah malam mimpikan tuan Mimpi batukar kain di tubuh.

CIRI-CIRI PANTUN MELAYU BRUNEI Aspek luaran merujuk pada binaan atau struktur keseluruhan pantun yang boleh dilihat secara visual setelah disampaikan secara lisan. Ringkasnya pembahagian bentuk pantun boleh diperincikan dengan kaedah: (a)

Bait dan rangkap.

Bait atau rangkap-rangkap pantun adalah berasingan dalam rangkapan tertentu. Setiap rangkap terjadi daripada baris-baris sejajar dan bersifat berpasangan . Lazimnya, serangkap pantun Melayu Brunei mempunyai empat baris. (b)

Pembayang/sampiran dan maksud Setiap bait atau rangkap pantun terbahagi kepada dua unit atau bahagian iaitu pembayang atau sampiran dan maksud. Pembayang atau sampiran lazimnya menggambarkan alam sekeliling kehidupan masyarakat Melayu Brunei itu sendiri. Maksud pula merupakan tema yang berkait dengan corak kehidupan mereka.

10

Panjat papan tali tergantung, ] Landak dan itik di tengah laman, Hajat kami setinggi gunung, Akan memetik bunga di taman. ]

(c)

pembayang/sampiran maksud

Suku kata dan bilangan perkataan Setiap baris mengandungi antara tiga hingga sepuluh suku kata. Jumlah perkataan sebaris pula di antara tiga hingga lima perkataan. Mau/li/ni si/mau/la/na, 2 perkataan / 7 sukukata Te/ngah te/ngah po/kok meng/ku/du, 3 perkataan / sukukata Ma/u di/si/ni ma/u di/sa/na 4 perkataan / 10 sukukata Sa/ma-sa/ma me/nang/gung rin/du 3 perkataan / 9 sukukata

9

Pantun yang baik mengandungi tidak lebih daripada dua belas suku kata dan tidak kurang lapan suku kata dalam tiap-tiap kerat dan bilangan suku kata yang baik sekali ialah antara sembilan hingga sebelas suku kata. Si/ A/wang/ ba/ta/nam/nya ta/bu Sa/lam/bar da/un man/dua ja/ri Ja/rang-ja/rang ki/ta ba/ta/mu Da/lam sa/ta/hun man/dua ka/li

9 sukukata 9 sukukata 9 sukukata 9 sukukata

Tiga perkataan sebaris Bakayuh/ manyiring/ tunjang/ Keguguran /buah/ lingggayun/ sebaris Bakayuh/ manganga/ tuning/ Kadapatan /manganyam /bayung/ (d)

3 perkataan sebaris 3 perkataan 3 perkataan sebaris 3 perkataan sebaris

Rima akhir dan bilangan baris pantun 11

Lazimnya kita dikemukakan dengan pantun dengan gaya rima yang sama atau konsisten dengan bunyi a-b-a-b ataupun a-a-a-a. Dalam pantun Brunei ada sedikit kelainan dengan wujudnya kepelbagaian rima selain daripada bentuk rima yang sering diperkatakan. Pantun dua baris dengan rima a-a Ting-ting kapala tikus Usin satusin jadi saratus ( Shuhaibun Yusuf, Papar 2003) Pantun dua baris dengan rima a-b. Calapa gugur barisi Pamata gugur takait bibir ( Shuhaibun Yusuf, Papar 2003) Pantun empat baris dengan rima a-b-a-b. Anjalai dimakan pipit, Singgah baranti si batu satu, Sabab lalai kami sadikit, Mangunjar bunga si nombor satu. Bali kain apa balahnya, Kain anjung di dalam pati, Barmain apa salahnya, Bukan salah di dalam hati. Tarbang burung acang ku, Urai-urai di atas kain, Bartamu sama bujangku, Usai-usai kita barmain.

12

Pantun lima baris dengan rima - aabab Urang mamatik datang balari Singgah mambawa sabuting padi Disimpannya mari di atas caramin Hajat maksud datang kamari Untuk maminang Awang Bunyamin ( Tasan Ahmad, Bongawan 2001) Pantun lima baris dengan rima- abc,bcb Awang ali turun batikam Batikam lumba-lumba Badastar bakatitir Babaju bakasumba Mun kurang-kurang bapikir Siapa jadi hamba ( Shuhaibun Yusuf, Papar 2003) Pantun enam baris dengan rima aaa,aaa, Pak katipak katipong Satu tagak dua bagantung Pura-pura bingung Dalam kain basabung-sabung Bagaimana la dik parut takambung Adik mambangkang abang manyurung ( Zulkifli Kassim, Papar 2004) Pantun enam baris dengan rima abc,abc Kaluang mamatuk padi Padi dipatuk burung sapanggal Pisau mija barmata ampat Ada uang sarba manjadi Bukit tinggi bulih dipanggal Anak raja bulih didapat (Aminah Ismail, Menumbuk 2001) (e)

Jeda 13

Jeda ialah pemberhentian suara sebentar untuk menandakan batas hubungan antara bahagian-bahagian ayat. Ulak-ulak / si linggi-linggi, Buah lampun / tagua-gua, Kami bertolak / negeri sanani, Minta ampun / semua-mua. Tanda / di tengah baris menunjukkan adanya pemberhentian suara sekejap antara bahagian ayat. PERANAN PANTUN DALAM MASYARAKAT MELAYU BRUNEI Pantun memainkan peranan dan mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu secara umumnya dan tidak terkecuali juga bagi masyarakat Melayu Brunei tradisional. Sebagaimana diringkaskan seperti berikut: (a)

Berperanan sebagai alat hiburan untuk menghilangkan penatlelah semasa melakukan pekerjaan atau setelah penat bekerja seharian.

(b)

Berperanan sebagai gambaran masyarakat Melayu Brunei dari segi sosiobudaya dan persekitaran kehidupan mereka.

(c)

Berperanan sebagai alat komunikasi intelek dalam upacara dan adat seperti meminang.

(d)

Berperanan sebagai alat didaktik yang memberi panduan, nasihat, tunjuk ajar dan sindiran atau kritikan.

(e)

Berperanan sebagai ‘ penyampai maksud ‘ atau curahan hati terutama di kalangan golongan muda yang berkasih-kasihan.

KESIMPULAN Pantun Melayu Brunei mempunyai peranannya yang tersendiri dalam kehidupan masyarakat Melayu Brunei terutamanya masyarakat Melayu Brunei tradisional. Walau bagaimanapun, peranan pantun dilihat seolah-olah semakin kurang penting dalam masyarakat Melayu Brunei hari ini. Pantun tidak lagi dianggap sebagai medium hiburan utama. 14

Ini mungkin kesan daripada kemajuan teknologi masa kini yang menyediakan pilihan hiburan yang lebih banyak. Ini secara tidak langsung telah meminggirkan sedikit sebanyak peranan pantun sebagai medium hiburan. Pantun di kalangan masyarakat Melayu Brunei hari ini hanya dimiliki atau dituturkan oleh golongan tua sahaja. Golongan muda kelihatannya tidak begitu berminat untuk mewarisi pantun-pantun ini, walaupun di kalangan keluarga pemantun itu sendiri. Mungkin generasi muda Melayu Brunei beranggapan bahawa pantun tidak lagi relevan dengan kehidupan mereka. Hari ini, pantun hanya boleh didengar pada majlis-majlis perkahwinan di tempat-tempat tertentu seperti Binsulok, Bongawan dan Membakut. Walau bagaimanapun di kawasan-kawasan lain, tradisi pantun seolah-olah semakin dilupakan. Dalam hal ini, suatu usaha perlu dibuat bagi memastikan khazanah berharga masyarakat Melayu Brunei ini tidak hilang begitu saja. BIBLIOGRAFI Harun Mat Piah. 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Lokman Abdul Samad. 2002. Badaub: Pantun Masyarakat Bisaya di Sabah. Kertas Kerja dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing Kedua, 8-15 Oktober, Beijing. Lokman Abdul Samad. 2006. Motif Dalam Pantun Sabah. Jurnal Melayu 66- 91. jilid 1(5). Informan Pengiran Abdul Rahman, Bongawan 2001 Shuhaibun Yusuf, Papar 2003 Zulkifli Kassim, Papar 2004 Aminah Ismail, Menumbuk 2001 Tasan Ahmad, Bongawan 2001

15

16

17

Related Documents

Brunei
December 2019 17
Brunei
May 2020 19
Brunei
December 2019 18
Brunei
December 2019 22