Nicol David kini adalah antara personaliti sukan yang paling terkenal dan diminati di negara ini buat masa ini. Tatkala ramai ahli sukan negara ini berfikir panjang dan berkira kira samaada mereka patut menjadi ahli sukan profesional (sepenuh masa), Nicol David menunjukkan kepada mereka bagaimana dia melakukannya dengan penuh bergaya. Nicol dilahirkan sebagai Nicol Ann David pada 26 Ogos 1983 di Pulau Pinang. Beliau adalah anak perempuan kepada Desmond David, seorang jurutera, dan Ann Marie David yang bertugas sebagai seorang guru. Nicol mula berjinak jinak dengan squash seawal usia 5 tahun, dan pada umur 8 tahun, beliau mula mengambil serius sukan tersebut dan melibatkan diri dengan latihan secara kerap dan menyertai perlawanan kompetitif. Beliau menerima persekolahan awalnya di Sekolah Menengah Convent, Pulau Pinang. Nicol mula menguasai gelanggang squash dengan memenangi kejohanan Asia dan juga menjadi wanita termuda menjuarai kejohanan remaja dunia. Beliau hanya berusia 15 tahun dan dalam proses menjadi juara dunia remaja termuda, beliau menewaskan dua pemain remaja lain yang berada pada senarai ranking 20 terbaik dunia. Beliau juga menjuarai kejohana remaja sebanyak 2 kali, dan menjadi salah seorang antara 2 pemain dalam sejarah squash yang memenangi gelaran tersebut sebanyak 2 kali. Sewaktu usianya menjangkau 16 tahun, Nicol sudahpun menduduki senarai 10 pemain terbaik dunia dan berada pada landasan terbaik untuk terus meningkatkan penguasaan dan rankingnya. Nama Nicol David begitu digeruni di Asia kerana kehebatannya menjuarai kejohanan Asia sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2006.
Pada bulan Disember 2005, Nicol sekali melakar sejarah apabila menjadi juara dunia termuda setelah menewaskan Rachel Grinham dari Australia pada perlawanan akhir kejohanan terbuka Hong Kong. Namanya terus harum apabila Nicol diumumkan menduduki senarai ranking teratas dunia pada bulan Januari 2006. Pada masa ini usianya hanya 23 tahun. Nicol menjadi wanita Asia pertama yang merangkul kejuaraan dunia dan menduduki ranking nombor satu dunia. Nicol yang kini bergelar pemain squash profesional, berlatih dan menetap di Amsterdam, Belanda. Beliau dilatih oleh bekas pemain nombor 2 dunia, Liz Irving. Keazaman dan kecekalan Nicol telah membawa beliau ke puncak yang dirasakan mustahil oleh ramai rakyat Malaysia.
Malaysia Boleh!