Program ini memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati percutian yang berbeza dan murah yang mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah yang menyertai program ini dan merasai sendiri bagaimana tuan rumah menjalani kehidupan seharian mereka. Pengalaman ini dapat meningkatkan pengetahuan pelancong mengenai cara hidup dan budaya penduduk tempatan di destinasi yang mereka lawati. Program Homestay dilihat sebagai satu produk pelancongan alternatif yang berpotensi untuk mendapat sambutan memandangkan terdapat peningkatan dalam permintaan yang tinggi di kalangan pelancong antarabangsa terhadap pelancongan yang mempunyai ciri-ciri peningkatan pengetahuan, termasuk memerhati, mengalami dan mempelajari cara hidup penduduk tempatan di destinasi yang dilawati. Di samping menjadi satu produk pelancongan alternatif yang menawarkan percutian dengan harga yang rendah kepada pelancong, Program Homestay juga merupakan satu strategi yang diambil kerajaan untuk meningkat dan membangunkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam perancangan dan pembangunan pelancongan. Justeru itu, Program Homestay juga boleh dilihat sebagai projek komuniti yang dapat memupuk perpaduan dan dalam masa yang sama dapat mendorong kearah kemajuan komuniti.