‘Eh, pehal rasa berat je kepala aku ni? Ekk???’ Dalam kekaburan itu aku cuba mencari sesuatu. ‘Aduh...!’ Sakit yang amat kepala aku ni. Mesti benjol ni. Mata yang mengantuk tadi makin jelas meneroka bilik 4 segi berlatarbelakang warna merah jambu. Bukan warna feveret aku, mama punya pasallah tu. Balik dari sekolah dah camni dah rupa bilik aku. Eh, sori korang tak lihat rupa-rupanya. Hihihi...Dah jadi macam bilik prasekolah ceria pun ada gamaknya. Apa taknya, warna dah cun-cun merah jambu. Ada berderet plak patung barbie kat atas satu meja khas. Pastu mak lekatkan pulak gambar-gambar kartun yang aku suka. Midori, sailormoon, shin chan, spongebob dan...hagemaru pun ada gak. Mama aku ni... Cerita pasal bilik aku ni, terlupa pulak aku ngan sakit kat kepala aku ni tadi. Sengal! Longlai kakiku melangkah ke bilik air. Aku perhatikan wajah kelamku yang baru bangun tidur ni dengan perasaan berbaur. Semua yang ada kat bilik tidur sampai ke bilik air, mama yang tolong sediakan untuk aku. Aku? Anak manja yang tak tahu buat apa-apa, mengharapkan mama dan terlalu bergantung kepadanya. Sebab tu, bila mama meninggal 2 bulan lepas, hidup aku jadi nanar. Dunia bahagia aku, mama & papa berakhir begitu saja. Aku tahu mama sakit. Dia kanser. Aku tahu dia akan pergi jua, tapi bukan secepat ini. Bukan pada waktu aku sedang bergelut menghadapi peperiksaan penting & bukan pada ketika aku masih terlalu bergantung kepadanya. Dunia ini sangat sepi bila hanya ada papa dan aku. Papa, dia sungguh tabah. Aku tak melihat air matanya mengalir. Dia hanya biarkan aku melihat matanya berkaca dan menakung kepedihan yang dalam. Aku tidak pasti papa mengerti ruang hatiku yang masih dilanda kegalauan ini. Sikap papa yang seolah-olah tiada apa berlaku membuatkan aku tidak tahu dia memahami hati ini atau tidak. Kebisuan papa membuatkan duniaku terlalu sepi. Papa yang aku kenal tegas orangnya tetapi sangat penyayang. Dia tak banyak cakap, tetapi dia pandai mengambil hati. Mungkin itulah yang mendorong arwah mama jatuh cinta kepadanya. Kata mama, papa sebenarnya baik walaupun dia marah-marah. Itu pujukan mama ketika aku merajuk dengan papa lama dahulu. Umur dah 15 tahun, dah jadi anak dara, tetapi bilik aku macam tongkang pecah. Huru-hara dengan pakaian yang tergantung di sana sini. Huh! “Manjakan sangat dia tu. Sekali-sekala awak suruhlah dia buat kerja. Nanti dia dah terbiasa begitu...” ujar papa agak tinggi. Masa tu aku memang sakit hati dengan kata-kata papa. Bilik aku suka hati akulah. Tapi, bila aku terkenang kini, memang menakutkan gak bilik aku time tu. Entahlah aku ni bakal jadi anak dara yang macam mana agaknya... Aku turun ke bawah untuk bersarapan pagi. Rumah sunyi, macam biasa. Papa tentulah sudah pergi bekerja. Dah pukul 9.45 pagi, aku je yang baru terhegehhegeh nak bersarapan. Maklum, semalam paper akhir untuk ujian SPM. Makanya aku hari ini macam ular sawa, tak dapat bangun-bangun. Apapun, tak kisahlah. Yang penting perut aku yang berkeroncong ntah lagu apa ni kena layan dulu. Tiada nasi goreng atau bubur telur kesukaanku di atas meja. ‘Come on, takkan tak biasa
sarapan dengan roti. Dah, papa mana sempat nak masak...’ Aku pujuk hati yang kukira agak terganggu sedikit. Ingatan buat mama makin kuat sehingga air mata tertahan-tahan untuk kualirkan. Jangan! Jangan menangis lagi. Aku harus kuat. Dengan semug nescafe segera dan bread yang disapu jem, aku bersarapan dengan berselera sekali. Sarapan sudah, tengah hari nanti aku nak makan apa ya? Masalah, masalah. Aku pura-pura menjenguk peti sejuk. Goreng telur pun tak master lagi, nak masak ayam, ikan, sayur ni lagilah. Dah, aku makan mi maggi je lah. Apa susah! Kalau setakat maggi tu, bolehlah aku masak. Sedap tak sedap, aku yang makan bukan orang lain pun. Deringan telefon di ruang tamu mematikan lamunan yang tak seberapa panjang. “Aku nak pergi rumah abang aku tak lama lagi. Kakak ipar aku baru je lepas melahirkan baby baru...Ish, tak sabar. Abang suruh aku jadi babysitter, tolong apaapa yang patut. Kau buat apa cuti ni?” Aku membisu. Pertanyaan rakan sekelasku, Anna itu membuat aku menerawang jauh. Semalam pun sepupuku, Izan bertanya benda yang sama. “Aku tolong mak dekat restoren dia cuti ni. Tak tahu nak buat apa lagi, mak pun kebetulan ajak aku kerja ngan dia kat situ. Kau tak nak ikut? Mak ada tanya pasal kau...” soalan itu pun aku tak jawab semalam. Sebenarnya masih buntu. Tak tahu nak buat apa & masih tak terjangkau pun dalam otak aku ni untuk bekerja. Korang pun tahu aku tak pandai buat satu benda pun. Macam mana tu? “Kalau betul-betul nak kerja, papa tak halang. Lagipun, duduk kat rumah pun Ari tak buat apa-apa. Yang penting Ari dapat pengalaman & buat kerja yang betul. Papa tak kisah...” Itulah komen papa bila aku kasi tahu dia pasal hasrat tak pasti aku ni. Emm, papa dah kasi can, tapi aku ni boleh ke kerja kat restoren tu? Hari pertam bekerja merupakan hari paling buruk yang pernah aku lalui. Apa taknya, aku menyusahkan sekalian manusia & alam ini dengan keadaanku yang serba-serbi tak tahu. Aku pecahkan tiga pinggan, 2 mug, tersalah bagitahu pesanan, terlanggar pelanggan dan paling haru tergelincir kat tempat mencuci pinggan mangkuk apa semua. Punyalah sakit punggung aku. Mujur bukan depan pelanggan-pelanggan yang tengah menikmati makan tengah hari. Izan apa lagi, syoklah ketawakan aku. Bukan nak tolong pun. Balik rumah, aku memang terus baring. Tahan sakitlah, apa lagi. Tapi, paling aku rasa bersalah ialah memecahkan salah satu mug kesayangan aunty, mak Izan. Mahal mug tu. Rasa bersalah sebab dah menghuru-harakan perniagaan dia gak. Apalah nak jadi dengan aku ni. Anak dara apa ni! Bila teringat apa yang papa cakap dengan arwah mama dulu, aku memang rasa menyesal kerana marah-marah ngan papa. Ya, arwah mama terlalu manjakan aku sebagai anak tunggal sehingga dia tak menyedari aku sudah menjadi gadis sunti yang tidak punya ciri-ciri seharusnya.
“Sakit lagi?” soal papa kepadaku malam itu. Aku mengangguk. “Esok dapat pergi kerja tak?” pertanyaan papa aku jawab dengan anggukan lagi. Aku lihat papa tersenyum nipis. Senyuman papa yang mampu menenangkan jiwaku yang resah. “Apa yang Ari buat hari ini akan jadi pedoman untuk Ari masa akan datang. Sakit kan pengalaman bekerja?” Aku terangguk-angguk. “Sekurang-kurangnya Ari kenal macam-macam perkara hari ini. Percayalah, hari ni Ari pecahkan pinggan mangkuk, esok-esok Ari akan beringat. Bukan bermakna kita gagal kita takkan mampu buat lagi. Papa percaya belum terlambat untuk Ari menjadi seorang gadis yang papa impikan, bukan sekadar cerdik tetapi berkemahiran juga...” kata-kata papa itu aku semat di hati. Memang benar, aku tak boleh mengharapkan segalanya sempurna untukku. Takkan sampai dah beranakpinak aku nak harapkan orang lain buat kerja untuk aku. Lagipun, dengan apa yang berlaku hari ini, aku sebenarnya menemui diriku yang terselindung di sebalik gelaran anak mak. Aku tak nak jadi anak mak yang meminta itu ini. Sekarang ni aku anak papa. Anak papa kena berusaha untuk majukan diri. Kena pandai menguruskan hal-hal di rumah. Aku tahu sebagai anak papa aku mesti menjadi gadis yang mampu bergelar wanita sejati. Aku anak papa yang kuat hatinya. Dan seperti tak tercapai dek akal, aku akhirnya berhasil jugak aku menghabiskan ‘pengajian’ di restoren mak Izan dengan kepujian. Walaupun tak cemerlang takpelah. Aku akan berusaha lain kali pulak. Lagipun sekarang aku kena mencapai satu lagi hasrat papa untuk melihat aku menyambung pelajaran. Bersyukur yang tak terhingga sebab aku cemerlang dalam SPM tempoh hari dan akan masuk matrikulasi tak lama lagi. Terima kasih kat papa sebab beri sokongan waktu aku tengah down masa mama takde. Kemudian, tetap menyokong aku walapun aku ni gelojoh, menyusahkan dan tak pandai buat apa-apa pun. Sekarang aku tahu napa mama selalu cakap papa tu kawan baik dia yang sangat rapat. Kerana papa memang seorang kawan yang sedia membantu di mana saja. Thanks, papa! You are my best buddy!