PENULISAN ILMIAH Perpaduan dan integrasi nasional merupakan dua konsep yang berkait rapat antara satu sama lain dan sering digunakan secara berganti-ganti. Akan tetapi, perpaduan dan integrasi merujuk kepada dua proses yang berbeza. Fadzil dan Ahmad (2010) menyatakan bahawa perpaduan dalam sebuah negara merujuk kepada satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh dengan identiti kebangsaan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Integrasi nasional pula merupakan satu proses dinamik yang merapatkan masyarakat antara negeri dan wilayah untuk membentuk satu bangsa negara yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Bagaimanapun, setelah berlakunya tragedi 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai dasar ekonomi dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional antara berbilang etnik di negara ini. Masalah ketidakseimbangan ekonomi di Malaysia ini telah wujud semasa era penjajahan pihak asing dan selepas kemerdekaan Malaysia yang menjejaskan hubungan antara etnik yang terdapat di negara ini. Antara faktor utama berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara etnik perlu diteliti melalui agenda kemasukan pihak British dalam menjajah Tanah Melayu dan melaksanakan dasar Pecah dan Perintah. Ramli dan Jamaludin (2011) menyatakan bahawa dasar Pecah dan Perintah ini digunakan untuk spesialisasi pekerjaan, segregasi tempat tinggal, pemisahan proses sosialisasi dan mobility, dan isolasi budaya. Kesan dasar Pecah dan Perintah oleh penjajah British telah menimbulkan dwi-ekonomi iaitu etnik bukan bumiputera dibiarkan maju dalam ekonomi moden seperti perniagaan, pembuatan, pengeluaran getah dan perlombongan bijih timah yang memberi pendapatan yang tinggi, manakala bumiputera dibiarkan bergiat terus dalam ekonomi pertanian tradisional (Ab Rahman, Daud & Ahmad, 2009). Contohnya, kebanyakan orang Melayu didapati bekerja dalam sektor pertanian tradisional dan dalam kerajaan manakala orang Cina dan India menguasai sektor perdagangan, pembuatan, perlombongan, binaan dan estet getah pada masa itu. Hal ini menyebabkan etnik Melayu mendapatkan pendapatan yang lebih rendah daripada etnik Cina dan India. Masyarakat petani berbangsa Melayu, peniaga Cina dan juga buruh ladang berketurunan India pada ketika itu merasa curiga antara satu sama lain serta tidak berkomunikasi secara langsung disebabkan oleh taktik kotor yang diterapkan oleh British. Ketidakseimbangan ekonomi antara etnik bertambah krisis lagi apabila jurang kemiskinan yang luas antara etnik berlaku disebabkan oleh dasar penjajahan pihak British. Etnik Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong lalu mereka sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam
ekonomi masyarakat Tanah Melayu. Sementara Etnik Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India pula kebanyakannya sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya, kegiatan ekonomi Etnik Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara etnik dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosioekonomi mereka tidak seimbang. Tujuan tempat tinggal dan penempatan pelbagai etnik ditempatkan di kedudukan yang berbeza-beza adalah kerana pihak British ingin mengelakkan dan menyekat sebarang usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan kepada penjajahan (Rahim, Jalal, Alias dan Ismail, 2018). British juga mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung untuk aktiviti pertanian bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas dan mereka tidak digalakkan berhijrah ke kawasan-kawasan perlombongan, ladang atau ke bandar untuk bekerja dengan Inggeris. Pola kependudukan ini telah menunjukkan ketidakseimbangan taburan antara etnik lalu akan menimbulkan prasangka dan stereotaip dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain. Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik dan persaingan ekonomi secara tidak sihat lalu menjadi salah satu pencetus kepada peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini menjadikan ekonomi di Tanah Melayu lagi teruk dan hubungan antara etnik menjadi amat tegang. Hasim (1986) menjelaskan kejadian 13 Mei merupakan satu rusuhan antara orang Melayu dan Cina yang disertai juga oleh orang India yang berlaku di Kuala Lumpur pada malam 13 Mei berikutan pilihan raya umum ketiga. Kejadian tragedi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda yang banyak dan menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Kejadian dahsyat ini telah membawa kerugian teruk kepada kerajaan kerana pelabur asing tidak lagi melakukan perdagangan dan pelaburan dalam negara ini. Hal ini menyebabkan ekonomi negara menjadi tidak seimbang. Etnik-etnik yang mengalami masalah ekonomi semestinya tidak mampu melihat etnik yang lain mempunyai keupayaan ekonomi yang lebih baik daripada dirinya. Hal yang demikian menyebabkan hubungan antara etnik terjejas akibat ketidakseimbangan ekonomi yang berlaku dalam sekeliling mereka. Ekoran daripada Peristiwa 13 Mei 1969, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah ditubuhkan bagi menggerakkan program-program yang boleh memupuk perpaduan dan muhibah dalam masyarakat (Ramli, 2018). Selanjutnya pelbagai program dari Rukun Tetangga sehingga kepada program Sekolah Wawasan dan Program Khidmat Negara, telah direka dan dilaksanakan untuk menangani dan memupuk perpaduan dan integrasi secara
lebih menyeluruh. Skim Rukun Tetangga telah dilancarkan untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadiankejadian yang menggugat perpaduan nasional seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Rukun Tetangga berkembang sebagai organisasi sukarela di peringkat akar umbi berlandaskan Akta Rukun Tetangga 2012 yang melaksanakan aktiviti atau perkhidmatan untuk tujuan memupuk, meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, kesejahteraan dan kualiti hidup di dalam kalangan masyarakat (Abidin, Lyndon & Rahim, 2018). Hubungan pelbagai etnik dapat dibaiki dengan menyertai aktiviti dan program yang dirancang oleh Jawatankuasa Rukun Negara. Melalui aktiviti seperti permainan sukaneka, masyarakat pelbagai etnik di tempat itu akan lebih mengenali sesama lain dari aspek agama dan budaya. Hal ini membolehkan mereka lebih saling memahami dan semangat perpaduan dan integrasi nasional dapat dipupuk. Dengan adanya perpaduan antara etnik, keseimbangan ekonomi antara etnik tidak terjejas kerana semua masyarakat dapat hidup dengan sejahtera. Langkah kerajaan yang seterusnya dalam menyeimbangkan ekonomi etnik dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional dalam negara adalah dengan memperkenalkan sekolah bestari dan diikuti dengan konsep sekolah wawasan. Razak (2009) memberi pendapat mengenai konsep sekolah ini adalah bertujuan menggabungkan beberapa sekolah yang terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kawasan yang sama. Kerajaan mewujudkan sekolah yang berkonsepkan sebegini adalah untuk melahirkan generasi yang boleh berinteraksi dan bekerjasama tanpa mengira kaum atau etnik. Kebanyakan kemudahan sekolah seperti padang sekolah adalah digunakan secara bersama oleh murid-murid yang pelbagai etnik. Dengan usaha ini, interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah yang berbilang etnik dapat digalakkan dan dapat mewujudkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi antara sesama lain. Dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di sekolah wawasan, murid-murid dapat mengenali kawan yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang lalu dapat memupuk semangat integrasi dan perpaduan di kalangan murid-murid. Generasi yang mempunyai semangat perpaduan dalam jiwa semestinya dapat mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dalam mengatasi masalah masyarakat seperti masalah ketidakseimbangan ekonomi antara etnik dengan mudahnya. Dasar kerajaan yang seterusnya dalam usaha menyeimbangkan ekonomi antara etnik adalah dengan melancarkan Program Latihan Khidmat Negara. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilancarkan buat pertama kali pada 16 Februari 2004 setelah diluluskan oleh parlimen dan program ini dianggap sebagai satu agenda nasional (Don, Shaari & Ajis, 2005). Program Latihan Khidmat Negara merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila
menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas. Dasar ini dilaksanakan bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri dan bermatlamatkan membina serta mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Walaupun program ini telah ditangguhkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak semasa mengumumkan semakan Belanjawan 2015 pada 20 Januari 2015 untuk tujuan penjimatan kewangan, tidak dapat dinafikan bahawa program ini mampu memupuk perpaduan dan integrasi nasional antara etnik (Keling & Mohamad, 2016). Hal ini kerana program ini melibatkan masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama, oleh itu, peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai etnik harus saling menolong dalam menyelesaikan latihan yang bertempoh lama ini. Peserta-peserta dapat mengeratkan hubungan sesama lain semasa aktiviti PLKN yang memerlukan semangat kerjasama yang tinggi. Peserta-peserta yang mengharungi tempoh latihan yang lama ini semestinya mempunyai semangat cinta akan negara yang tinggi lalu akan lebih memahami pentingnya mengekalkan hubungan baik dengan etnik lain dalam bersatu padu menjamin keseimbangan ekonomi di Malaysia ini. Kesimpulannya, Malaysia terdiri daripada etnik yang berbagai-bagai serta mempunyai budaya dan amalan yang tersendiri. Masyarakat yang berbilang etnik harus saling memahami dan menghormati etnik yang lain supaya tidak berlaku lagi peristiwa pahit yang boleh menjejaskan hubungan etnik seperti tragedi 13 Mei 1969. Seluruh rakyat harus mengambil iktibar daripada peristiwa yang lalu dan bersama-sama tidak membiarkan perkara yang sama diulangi. Inisiatif yang paling kukuh adalah dengan melalui memupuk perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan etnik-etnik di seluruh negara ini. Dengan adanya semangat perpaduan dan integrasi nasional yang kukuh, ekonomi negara akan bertambah baik, jurang ekonomi antara etnik juga dapat diseimbangkan lalu seluruh masyarakat dapat hidup dengan aman dan sejahtera.
RUJUKAN Ab Rahman, H., bin Daud, M., & binti Ahmad, N. (2009). Pembangunan Ekonomi dalam Hubungan Etnik. Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 185-198. Abidin, N. Z., Lyndon, N., & Rahim, M. H. A. (2018). IMPAK PROJEK INOVASI PENCEGAHAN
JENAYAH
KAWASAN
PERUMAHAN:
ANALISA
DARIPADA
PANDANGAN KOMUNITI LOKAL (The Impact of Crime Prevention Project Innovation of Housing Area: Analysis of the Views of Local Communities). e-Bangi, 13(5). Don, Y., Shaari, A. S., & Ajis, M. N. E. (2005). Penilaian Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melalui gagasan latihan fizikal. Fadzil, N. S. H., & Ahmad, J. (2010, November). Kepentingan Kokurikulum Dalam Pendidikan Di Sekolah Menengah. In Proceedings of The 4th International Conference on Teacher Education. Hasim, M. S. (1986). Pengaliran Berita Antarabangsa: Satu Kajian Terhadap Laporan Kejadian 13 Mei, 1969 Oleh Akhbar Barat. Akademika, 28(1). Keling, M. F., & Mohamad, M. H. (2016). Problems in the Malaysian Armed Forces (ATM) and its Effects on Malaysia's National Defense Policy. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 1(3), 66-82. Rahim, R. A. A., Jalal, A. F. A., Alias, A. W., & Ismail, H. (2018). Perbandingan Pendekatan Penjajahan British Dan Belanda. Jurnal Socio-Politica, 8(1), 111-126. Ramli, A. F. (2018). SEJARAH DIALOG ANTARA AGAMA DI MALAYSIA (A History of Interfaith Dialogue in Malaysia). Jurnal Hadhari: An International Journal, 10(2), 169190. Ramli, M. A., & Jamaludin, M. A. (2011). Uruf Majmuk: Konsep Dan Amalannya Dalam Masyarakat Majmuk Di Malaysia. Jurnal Fiqh, 8, 45-64. Razak, M. R. A. (2009). Pembinaan Negara Bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. JEBAT: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, 36, 90-106.