Hillel
Mengapa Harus Kau Musnahkan Bumi?
MENGAPA HARUS KAU MUSNAHKAN BUMI?
Di sini burung-burung masih lagi berkicauan di dahan pohonan. Cengkerik masih lagi berlagu di sebalik timbunan daun kekeringan. Air masih lagi mengalir deras di celah batuan. Dedaun masih lagi berdesir menari dengan hembusan angin lalu. Awan cerah di selimuti awan putih melayang lembut dianyam tiupan angin kelambu utara. Udara suci mengisi jiwa dan nurani. Tenang, aman, tenteram sahaja yang terbias dari suasana ini. Tidak mungkin wujud kata lawan bagi gambarangambaran itu. Kerana di sini seolah-olah tidak ada yang berubah sejak manusia mula belajar bicara. Kalau tuhan jadikan bumi ini dari satu titik mula, barang kali di sinilah ia. Titik di mana alam kini ada mula menjalar, membesar dan akhirnya menampung hayat manusia. Jika alam ini perlu musnah, biarlah di sini ia berakhir juga. Mengapa tidak perlu merasa romantis dengan suasana seindah ini. Alam ini bermula seperti ini. Manusia wujud di dalamnya entah untuk apa. Pasti bukan untuk memusnahkannya. Apa tidak wujudkah perasaan itu padamu. Mendengarkah kau dengan telinga tuli. Melihatkah kau dengan mata buta. Merasakah dengan tangan lumpuh. Hilang sudahkah hati dan nurani dibawa asap hitam kemajuanmu itu. Atau asap hitam itu sudah mengelabui matamu dan semua yang kau lihat hanya kemusnahan dan kesengsaraan. Dengarlah masa depan yang kau impikan adalah punca segala kehancuran pada bangsa manusia yang sebenarnya hanya menumpang. Dengarlah alam ini bukan dijadikan untuk berubah menurut kehendak manusia tapi manusia yang semestinya berubah menurut kehendak alam maya. Sebaliknya. Kepuasan akan terpancar melihat pepohon berusia ratusan tahun rebah menyembah bumi sebelum di tarah, di takik, di kuliti dan akhirnya mencantikkan ruang tamu dan menjadikan manusia selesa. Aliran arus sungai yang mengalir lembut itu tidak bermakna apa-apa jika ia tidak diempang dan menjadi sumber tenaga untuk menggerakkan segala macam mesin dan jentera. Senyum kemenangan terserlah bila melihat burung-burung disumbat di dalam sangkar dan dijadikan hiasan di rumah-rumah atau di taman-taman haiwan sebagai pameran dan pendidikan. Angin lembut, suci dan bersih yang berlalu hanya akan lebih bermakna dengan diiringi kepulan asap hitam dari serombong-serombong kilang, paip-paip ekzos kenderaan para pekerja. Tidur juga akan lebih nyenyak tanpa bunyi cengkerik dan riang-riang berlagu di tengah malam buta. Jadi benarlah asap hitam itu telah membawa pergi hati nuranimu. Jika itu makna kemajuan padamu aku pasti ia hanyalah untuk memenuhi kehendak nafsu serakahmu. Sampai bilakah akan kau berfikiran begitu. Jika kau kekalkan ideal kemajuanmu itu nampaknya penghujung dunia semakin cepat menjangkau umur kita. Semua petanda jelas di kelopak mata, di batang hidung dan di kuping telinga. Tapi menjadi buta, pekak dan bisu sahaja kau terhadap itu semua. Gunung-ganang yang dulunya hijau sejauh mata memandang kini semakin rendah di ganti pula dengan gunung-ganang pelbagai warna dan bentuk dari sampah sarap buatan kita. Sungai yang dulunya mengalir jernih dan deras menjadi sumber kehidupan penduduk desa dan kotaraya, kini hitam, jijik mengalir lesu tidak bermaya penuh dengan segala sisa yang tidak diingini sendiri oleh manusia. 1
Hillel
Mengapa Harus Kau Musnahkan Bumi?
Berkorban. Tiada nikmat kelebihan makanan hari ini kalau bukan kerana racun-racun yang disemburkan di ladang-ladang dan sawah-sawah. Bagaimana mampu kita menyimpan makanan bertahun lamanya di dalam balang-balang dan tin-tin jika tanpa diproses mesin yang bekerja dengan menyedut bahan bakar yang pelbagai rupa. Tanpa minyak dari perut bumi diperah mampukah kita menjelajah pantas dari satu negara ke satu negara. Jangan lupa juga bahawa kilang-kilang pembuatan racun-racun serangga, kilang-kilang proses makanan, pelancongan serta pengangkutan memberikan peluang pekerjaan bagi rakyat negara yang sentiasa bertambah. Masihkah kau anggap aku buta, tuli dan tidak tahu merasa. Jelas sekali masalah dalam idealismemu. Memaksa alam ini berputar lebih pantas daripada seharusnya hanya penyelesaian sementara. Apa ada terlintas di fikiranmu yang bakal berlaku apabila telah diperah habis sumber minyak dan gas asli dari perut bumi. Bagaimana kilang-kilang pembuatan racun serangga, proses makanan, syarikat pelancongan dan pengangkutan milikmu mahu terus beroperasi. Bolehkah air yang telah kau cemari kini menjadi ganti minyak, gas asli dan arang batu yang telah habis kau gali. Bagaimana pula dengan ratus ribuan pekerja yang terpaksa diberhentikan, akan kembalikah mereka bercucuk tanam di atas tanah yang telah tercemar terkontang mati akibat racun perosakmu. Jika tidak ada lagi tanah untuk bertani, jika tidak ada lagi lautan dan sungai untuk dijelajahi, fikirkan dari manakah sumber makanan akan kita perolehi. Fikirkan. Kajian. Banyak sekali kajian telah dijalankan untuk mencari pengganti sumber tenaga yang semakin berkurangan. Angin, air, malah cahaya matahari sudah ada yang berjaya mengubah dan menjadikannya sumber tenaga yang berpotensi. Tidak usah khuatir juga tentang tanah tanih kerana dengan teknologi terkini tanah bukan lagi media utama untuk bertani. Protein dari ikan dan haiwan, sudah lama haiwan akuatik diternak dalam sangkar begitu juga dengan ayam, lembu dan kerbau yang sudah sekian lama diberikan hormon untuk cepat membesar. Semuanya penyelesaian telah pun difikirkan. Semua langkah awal sudah pun dilaksanakan. Tidak ada yang perlu dirisaukan. Mudah sekali jalan fikirmu. Tapi masih lagi terlalu dangkal. Oleh sebab itu sering sahaja penyelesaianmu berakhir dengan lebih banyak masalah. Jika sedari awal lagi telah kau cemari sumber air, sungai, tasik dan lautan, bagaimana bisa kau gunakan ia untuk menggantikan tanah untuk teknologi aeroponik dan hidroponikmu. Jika sedari awal lagi semua teknologi untuk mendapat sumber tenaga alternatif dibolot oleh syarikat-syarikat gergasi berapakah harganya apabila ia diberikan kepada rakyat. Jika semua haiwan ternakan diberikan hormon dan teknologi bertani tanpa tanah bergantung sepenuhnya kepada racun dan baja kimia, apakah nasib rakyat yang memakannya. Penyelesaianmu membawa lebih banyak masalah. Bagaimana harus aku tidak terus bimbang. Fikirkanlah wahai sahabatku. Udaramu yang berasap hitam, sungaimu yang jijik dan lesu, gunung-gunung sampahmu yang busuk dan meloyakan tekak, tanah tanihmu yang kering dan kontang, tanam-tanamanmu yang bermandikan racun, haiwan ternakanmu yang dipenuhi hormon, mungkin semua itu perlu. Tetapi tidak lebih daripada sebagai tanda bahawa kita telah berkorban untuk mencapai kemajuan ini. Tetapi tidak lebih daripada sebagai tanda peringatan bahawa kita perlu 2
Hillel
Mengapa Harus Kau Musnahkan Bumi?
segera berubah. Idealismemu ada benarnya, sahabatku, aku akui. Tapi jika nafsu serakahmu yang menjadi asas idealisme itu aku bantah hingga ke akhir hayat ini. Aku tinggalkan kau dengan sebuah renungan sahabatku, ada pepatah penduduk asli di Amerika yang berbunyi: “Bumi ini bukannya kita warisi dari nenek moyang kita, tetapi kita pinjam ia dari anak cucu kita.” Peringatanku buatmu sahabatku! Jangan berani kau sentuh bumiku yang masih suci ini.
Hillel 06 0220 June 2006 © HAK CIPTA TERPELIHARA
3