Memori beraya di angkasa Setahun sudah berlalu. Memori angkasa yang dicatat pada 10 Oktober 2007 kembali menerpa. Apa yang dikenangnya? Wartawan ADHAM SHADAN dan jurugambar NASIRRUDDIN YAZID melaporkan.
LANGIT senja berbalam-balam. Kepalanya didongakkan ke arah langit. Ada senyuman yang terukir di bibir. Jika ketika berusia 10 tahun, dia gemar merenung langit sambil membendung rasa ingin tahu. Kini, dia memandangnya kerana mengenang kembali memori di angkasa. "Ya, aku pernah berada di situ!" getus suara hatinya setiap kali memandang ke langit. Setahun lalu, tarikh hari ini akan dikenang bukan sahaja oleh empunya diri, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 36, bahkan seluruh rakyat Malaysia. Detik 9.21 malam (waktu Malaysia), tanggal 10 Oktober 2007 menjadi saat penting apabila roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar meluncur ke angkasa. Pemergiannya ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menghitung hari meraikan Aidilfitri, melayakkan dia menjadi angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan berhari raya di angkasa.
KEBANGGAAN Malaysia. Sheikh Muszaphar ketika mengadakan telesidang bersama pemimpin negara dari ISS, Oktober tahun lalu.
Berada di angkasa dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi memenuhi misi negara ketika itu meletakkannya dalam dua kemungkinan iaitu kembali ke bumi dengan jasad yang bernyawa atau mati tidak berpusara. "Sudah setahun ya... Rasa seperti baru semalam sahaja," kata Sheikh Muszaphar sebaik sahaja saya cuba merungkai perasaannya setelah setahun meninggalkan angkasa di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Nadanya seakan tidak menyedari masa yang pantas berlari. "Tentu sekali saya merinduinya. Ia pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Setiap angkasawan pasti merindui untuk kembali ke angkasa," ujarnya. Katanya, ketika di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kebanyakan masa diisi dengan melakukan kerja-kerja penyelidikan. Beliau sendiri menjalankan penyelidikan mengenai mikrob di angkasa, kajian terhadap sel leukemia dan sel kanser hati dan kajian-kajian melibatkan kesan sel radangan dan tulang serta pengkristalan protein.
SHEIKH MUSZAPHAR ketika menikmati rendang yang terapung di ISS.
Dia juga melakukan kajian saintifik dinamakan Platform Orbit Berpusing (TOP) dan menjalankan kajian mengenai makanan bercirikan tradisi Malaysia. "Masing-masing sibuk melakukan kerja 15 atau 16 jam sehari. Apabila tiba masa makan, barulah kami semua berkumpul," ujarnya. Namun, seperkara yang tidak dapat dia lupakan ialah perasaan takjub berada di angkasa raya dan melihat Bumi dari tingkap kecil ISS. "Di sana, saya rasa begitu dekat dengan Allah, Tuhan yang menjadikan alam semesta ini. "Kadang-kadang saya tidak tidur malam. Sering kali saya mencuri pandang untuk melihat Bumi dari tingkap kecil ISS. Asal sahaja melihat Bumi, bulu roma saya pasti meremang. Mata saya tidak berkelip. Indah sungguh Bumi ciptaan Allah. Saya masih boleh nampak biru air laut, gunung-ganang dan kepulan awan dengan jelas memandangkan ISS hanya terletak 400 kilometer dari Bumi. Ketika itu, saya merasakan seperti mencapai infiniti dalam kehidupan. "Tetapi, saya cuma pergi selama 11 hari. Saya berharap untuk berada di sana lebih lama," cerita doktor ortopedik yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik secara panjang lebar dan bersungguh-sungguh. Walaupun berada jauh nun di atas angkasa, Sheikh Muszaphar berkata, dia tetap menunaikan ibadah solat dan puasa. Dia sempat berpuasa selama dua hari. Untuk menunaikan solat pula, dia mengikat kaki supaya lebih seimbang dalam keadaan mikrograviti. Cara beribadat dipraktikkannya berasaskan garis panduan yang telah diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Memandangkan saya adalah angkasawan Islam pertama menjelajah angkasa pada bulan Ramadan, ramai yang bertanya cara menunaikan solat dan berpuasa. Topik ini tidak pernah dibincang secara terperinci sebelum ini walaupun saya hanyalah orang Islam kesembilan di angkasa. "Kalau diikutkan, saya perlu melakukan solat sebanyak 80 kali sehari kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari. Matahari pula terbit dan terbenam setiap 45 minit. Tetapi, Jakim menetapkan bahawa solat dilakukan lima kali sehari seperti biasa mengikut waktu Kazakhstan.
SHEIKH MUSZAPHAR (berbaju hitam) berbual mesra bersama abang-abangnya dan isteri dan bakal isteri mereka.
Ditanya bagaimana penerimaan krew-krew lain terhadapnya. Sheikh Muszaphar berkata: "Mereka menghormati saya sebagai orang Islam dan begitu juga saya menghormati agama mereka. Penerimaan mereka amat baik. "Semasa hari raya, saya turut menjamu mereka hidangan Malaysia yang dibawa bersama untuk dikaji seperti sate ayam, rendang daging, nasi himpit, nasi beriani, kuih bangkit dan gegulung pisang," katanya sekali gus memori Aidilfitri di angkasa setahun yang lalu kembali bertandang. "Mereka mengucapkan Selamat Hari Raya kepada saya. Kami menjamu selera dan mereka sukakan makanan Malaysia. Mula-mula sekali, saya jamu mereka sate sebab ia kegemaran saya. Masih terngiang di minda, pengalaman kami beramai-ramai makan kuih bangkit terapung, terbang dan 'ngap!' di udara," katanya sambil menjelaskan semua makanan adalah dalam bentuk ketulan yang dibeku kering dan dipaket. Ditanya apakah rasa makanan-makanan itu di angkasa, Sheikh Muszaphar berkata:
"Di angkasa, tunas rasa sedikit berubah mengikut individu. Saya rasa menakjubkan sebab makanan kita rasa sedap, barang kali lebih sedap! Tetapi, makanan kegemaran saya seperti kentang lecek yang saya beria-ia pesan untuk dibawa langsung tidak disentuh. Ini kerana, rasanya berubah menjadi tidak sedap." Sheikh Muszaphar bercerita, dia juga sempat melafazkan takbir raya di angkasa pada hari raya pertama dan ada merakamkannya. Ditanya bagaimana pandangannya tentang program angkasa, Sheikh Muszaphar menyuarakan rasa kecewanya apabila ada sesetengah pihak skeptikal menganggap ia sebagai satu pembaziran. "Sepanjang setahun ini, saya pergi ke banyak negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman ketika di angkasa lepas. Begitu juga, saya menjelajah di dalam negara. Saya dapat lihat, semakin ramai kanak-kanak dan remaja berminat menceburkan diri dalam bidang aeroangkasa. "Sebagaimana Yuri Gagarin menjadi sumber inspirasi bagi orang Rusia dan Neil Armstrong mengubah pola pemikiran rakyat Amerika Syarikat, saya harap saya juga mampu membakar semangat rakyat Malaysia untuk mendalami ilmu angkasa," katanya yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat atas jemputan Syura Islamic Council California dan Washington yang 'dahagakan' ilmu tentang beribadat di angkasa.
MENJAMU selera seisi keluarga di Aidilfitri mengeratkan hubungan.
Ditanya bagaimana angkasa mengubah hidupnya, Sheikh Muszaphar berkata, dia tidak lagi menghiraukan perkara kecil dan remeh temeh. "Apabila saya tengok Bumi dari angkasa. Ia terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan alam semesta yang amat luas ini tetapi di situlah berlakunya peperangan dan
pelbagai persengketaan. Saya sedih. Ia sekali gus mengingatkan saya betapa kecilnya kita dan dunia ini begitu besar. Kini, saya lebih menumpukan kepada isu-isu global. Sempena Aidilfitri ini, Sheikh Muszaphar menitipkan pesanan: "Gunakanlah hari raya ini untuk merapatkan silaturahim antara kita. Minta ampun kepada ibu dan ayah. Katakan kepada mereka yang kita sayangkan mereka dan terhutang budi kepada mereka. Tunjukkan betapa kita menyayangi mereka."