lulusan kemahiran bakal terima bantuan kuala lumpur 30 mac – semua lulusan pusat latihan kemahiran di bawah kelolaan kementerian pembangunan usahawan dan koperasi bakal menerima bantuan dalam bentuk peralatan sekiranya mereka berminat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. menterinya, datuk noh omar berkata, bantuan peralatan itu merupakan sebahagian daripada strategi kementeriannya untuk melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia melayu. beliau berkata, pinjaman kewangan pula hanya diberikan selepas mereka memulakan perniagaan dalam jangka masa tertentu bagi mengelakkan ia disalahgunakan. “sebagai contoh lulusan pusat giat mara atau institut kemahiran mara (ikm), jika mereka nak jadi usahawan kita akan bantu dari aspek peralatan dahulu umpamanya mesin pateri. “jika perlukan suntikan modal selepas memulakan perniagaan kita akan bantu, kalau terus beri bantuan kewangan kita takut mereka bagi macam-macam alasan pula bila dah dapat,” katanya kepada utusan malaysia di sini hari ini. kata noh, selain daripada aspek keusahawanan, para pelatih itu turut diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sekiranya mereka berminat. katanya, bagi memastikan para pelatih terbabit mendapat pekerjaan selepas menamatkan kursus kelak, satu memorandum persefahaman (mou) juga akan ditandatangani dengan beberapa syarikat besar. katanya, melalui mou itu, syarikat terbabit akan mengambil lulusan pusat latihan kemahiran untuk bekerja dengan mereka. “ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjayakan belia-belia bumiputera, kita akan pastikan segala dasar itu sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.