KOTA BHARU 2 Okt. – Kewujudan premis Hais Kelantan Delights di Jalan Pasir Pekan, tidak jauh dari pusat bandar ini mudah mencuri perhatian mereka yang lalu-lalang di jalan utama itu. Melihat nama kedainya, mungkin ramai yang menyangka ia rangkaian sebuah restoran terkenal milik anak negeri di ibu negara yang menjual makanan eksotik Kelantan. Ada yang bertanyakan pemiliknya, Tan Boon Hai, 50, berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat untuk mendapatkan penjelasan, namun persamaan itu hanyalah kebetulan. Apa yang mungkin sama adalah kedua-duanya anak Kelantan dan tekad untuk memasarkan sesuatu yang mempunyai kaitan begitu dekat dengan masyarakat negeri ini. Premis itu yang baru dibuka beberapa hari lalu memasarkan produk-produk makanan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dari seluruh negeri ini dengan konsep dan suasana persekitaran lebih moden dan selesa. Kedai yang lengkap berhawa dingin dan beroperasi 24 jam mempunyai keluasan, menjangkau 280 meter persegi dan menyediakan kemudahan tempat meletak kereta. “Saya guna nama ini sejak dari 2005 lagi apabila membuka kedai di ruang bawah gedung beli-belah KB Mall di pusat bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya kelmarin. Di sinilah budu dijual dalam premis berhawa dingin bersama dengan beratus produk termasuk kerepek pisang, kerepek ubi, keropok, serunding dan ‘tahi musang’ iaitu sejenis asam. “Inilah kedai baru saya yang beroperasi 24 jam demi memudahkan anak-anak Kelantan yang merantau serta pelancong membeli barangan sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang,” katanya. Usaha Boon Hai sekali gus menaikkan taraf produk makanan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini dengan menjualnya di tempat yang lebih selesa, bukan sekadar di kaki lima pasar. Beliau berurusan sendiri dengan orang kampung di seluruh daerah termasuk Kota Bharu, Ketereh, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh tanpa membabitkan orang tengah. “Orang kampung ini buat produk pun di dapur rumah sendiri. Kalau ada orang tengah, habis penat lelah mereka. ‘‘Rugi jika pasaran untuk produk tradisional Kelantan yang lebih baik dan berkhasiat daripada makanan ringan buatan kilang besar tidak dipasarkan dengan luas,’’ katanya.
Beliau pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti menjual kereta dan insurans sebelum berhenti akibat kegawatan ekonomi pada 1997 dan kemudian meneruskan usaha ibunya yang sudah puluhan tahun menjual makanan kering di Pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). “Semua orang boleh tengok ramai yang berniaga deretan makanan kering buatan Kelantan ini dekat pasar dan tepi jalan. Saya fikir mengapa kita tidak cuba menjualnya di tempat yang lebih moden dan selesa seperti pasar raya. ‘‘Jadi, pada 2005, saya memberanikan diri buka kedai di KB Mall,” katanya yang menganggap tapak gerai di kaki lima Pasar MPKB yang masih diusahakannya sebagai ‘ibu pejabat’ utama,” katanya. Menurut Boon Hai, tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak melainkan simpanan sendiri, dia menjadi ‘tauke dan kuli’ di kedainya sendiri. “Nak upah orang pun mana boleh lagi. Kitalah yang kena bersusah payah dahulu,” ujarnya. Beliau mencari dan mencuba produk yang terbaik dan menjualnya di kedai sendiri dan juga secara bergerak dengan van dan lori di serata Kelantan, Terengganu dan Melaka. Bermula dengan menjual bahan yang dihasilkan sepuluh pengusaha kecil, Boon Hai kini berupaya memasarkan hasil daripada lebih 100 pengusaha seluruh Kelantan melibatkan kira-kira 200 jenis produk. “Saya beli secara tunai daripada mereka. Tidak ada ‘hutang-hutang’. Kalau dengan peniaga kecil, kita nak ambil barang mereka dengan berhutang, macam mana mereka nak hidup dan berkembang?” ujarnya. Boon Hai seterusnya berkata, ramai yang mungkin merasakan apa yang dijual di kedainya lebih mahal daripada yang terdapat di pasar atau kedai biasa. “Orang ingat bila kita jual dalam suasana macam di ‘pasar raya’, ada hawa dingin, maka harganya lebih mahal. Saya tidak buat begitu. Barangan makanan yang dibuat secara kecil-kecilan orang kampung ini mana boleh kita jual mahal-mahal. ‘‘Nanti hilang pasaran. Saya jual sama dengan harga di pasar, malah ada antaranya yang lebih murah lagi,” katanya. Katanya lagi, makanan tradisional Kelantan sedap dan dengan kesedaran yang semakin menggemari makanan yang mereka tahu asal usulnya, macam kerepek pisang yang dijual sehingga 4,000 bungkus setiap bulan.
Kini, selain di Pasar MPKB, KB Mall dan Pasir Pekan, Boon Hai juga akan membuka premis baru di Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) bulan ini dalam memenuhi impiannya agar Hais Kelantan Delights menjadi cermin perniagaan anak negeri. Boon Hai bangga kerana akhirnya premis di Pasir Pekan itu buat pertama kali mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai pusat pengumpulan produk IKS. “Setakat ini, saya dibantu 15 pekerja termasuk tiga anak saya. Saya bersyukur kerana selain mencari keuntungan untuk diri sendiri, saya dapat membantu pengeluar produk kecil-kecilan dan membuka peluang pekerjaan untuk anak-anak muda,” katanya.