Laman Kampus

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Laman Kampus as PDF for free.

More details

  • Words: 967
  • Pages: 3
LAMAN KAMPUS Kemahasiswaan Bukan Pembaziran Oleh: Ummu Hani Abu Hassan (www.ummuhani.com) Suatu hari di tahun 2004, saya dipanggil oleh Puan Nor Raudah Hj Siren, Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ke biliknya. Dia menyuakan draf karangan pendeknya kepada saya. “Mohon pertolongan Ummu jadikan cerita ini sebagai sebuah skrip drama pentas,” katanya. Tajuk cerita itu adalah Kasih Kekasih. Dengan perasaan segan untuk menolak, saya menerima draf itu seperti kemahuannya. Di kolej, saya termenung lama di hadapan komputer manakala draf tersebut terkedang di atas timbunan buku. Itulah kali pertama saya ‘cuba-cuba menulis’ sebuah skrip. Kisah yang ingin diangkat oleh pensyarah saya itu mirip dengan kisah yang berlaku sebelum keislaman Saidina Umar al-Khattab. Kami tidak menetapkan ianya sebagai teater moden atau tradisional, yang penting menurut Puan Nor Raudah, mestilah teater Islam yang menggabungkan elemen seni Melayu iaitu syair dan silat. Kasih Kekasih kelihatan feminisme kerana protagonist utamanya terdiri daripada dua watak wanita bernama Aisyah dan Sumayyah. Manakala, watak-watak utama lelakinya adalah antagonist. Dalam teater ini, Aisyah dan Sumayyah telah menyebarkan agama Islam di sebuah perkampungan yang kaum wanitanya menjadi hamba nafsu lelaki. Mereka mengajarkan Islam dan seni mempertahankan diri kepada wanita-wanita muda di kampung tersebut. Kesannya, tidak ada lagi wanita yang mahu menjadi hamba nafsu lelaki dan menjalani hidup sebagai muslimah. Namun, perubahan itu mengundang kemarahan tiga tokoh lelaki yang digambarkan mempunyai akhlak seperti Abu Jahal dan rakan-rakan jahiliahnya. Sebagai teater Islam, dakwah menjadi intipati yang menggerakkan karya. Golongan Islamik hendaklah menunjukkan contoh tauladan yang berhikmah dalam menyampaikan Islam. Misalnya, watak Aisyah dalam teater ini daripada seorang gadis yang lemahlembut menjadi gadis waja yang sanggup berpedang melawan musuh Islam. Akhirnya, dengan kekuatan jiwa, akhlak dan keberanian gadis-gadis da’ie ini, hancurlah kezaliman para lelaki di perkampungan tersebut. Lebih mengharukan, semua yang tidak beriman dalam teater ini menyatakan keislaman mereka dan memberikan sokongan kepada kumpulan pendakwah menyampaikan Islam. Sedar tak sedar, sudah enam tahun pengalaman itu berlalu. Waima, ia tidak luput di ingatan saya malahan peristiwa sepanjang musim mahasiswa ijazah pertama dahulu menjadi gula-gula di perjalanan dewasa kini. Mementaskan teater Kasih Kekasih adalah salah satu peristiwa yang paling manis dikulum ingatan. Daripada sebuah assignment kelas, Puan Nor Raudah menggerakkan kami (kira-kira 35 orang pelajar) untuk mementaskannya secara perdana bertempat di Komplek Perdana Siswa, Universiti Malaya. Tetamu agung yang hadir ialah Sultan Azlan Shah dan isteri, Permaisuri Tunku Bainun selaku Canselor Universiti Malaya disertai pasukan para pensyarah UM. Malam persembahan tersebut, nama para pensyarah dan pelajar Jabatan Dakwah mendadak naik.

Tuaku sultan mengucapkan tahniah dan berharap akan lebih banyak teater berunsur Islam dipentaskan. Pada malam itu juga, Naib Canselor, Prof. Dr Hashim Yaacob berkenan untuk menaja persembahan kami di Negeri Kelantan pula. “Metod dakwah beginilah yang kita mahukan dari para pelajar Akademi Pengajian Islam,” katanya. Saya mengucapkan tahniah kepada para pensyarah yang menjadi guru seni kami. Mereka bukan sahaja berteori di dalam kelas, tetapi sabar mengasuh kami menjadi manusia ‘berani’. Tahniah buat Puan Nor Raudah Hj Siren dan Prof Madya Dr Amida Abdul Hamid atau Kak Anis selaku pengarah bagi teater ini. Peluang di Mana-Mana Universiti adalah sebuah kota ilmu tanpa sempadan. Ilmu khusus didapati di dalam kelas, manakala ilmu umum boleh didapati di luar kelas. Tidak ramai yang sedar bahawa kehidupan seharian mereka di universiti setiap saatnya adalah ilmu. Pelbagai pengalaman ditempuhi para mahasiswa, baik yang manis mahupun pahit ketika meredah gelaran pelajar. Seorang rakan saya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menganggotai program usrah yang melibatkan mahasiswa antarabangsa kerana mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan Arabnya. Dia tidak jemu berinteraksi dengan pelajar yang datang dari Yaman, Magribi, Syria, India dan banyak negara lain dalam dua bahasa tersebut. Selain interaksi, sang teman juga banyak mengumpul filem dan nasyid berbahasa Inggeris dan Arab. Setiap hari mulutnya pasti mengalunkan kalimah-kalimah Arab sehingga mahir. “Setiap kali membaca kitab-kitab Arab, saya pasti terpesona dengan kalimah-kalimahnya. Pasti ada pelajaran baru di sebalik kalimah tersebut,” kata si teman yang kini menulis tesisnya menggunakan bahasa Arab. Berdasarkan pengalaman tersebut, kita yakin bahawa penguasaan bahasa tidak muncul setakat di bilik kuliah. Ia mestilah dilazimi dan keduanya dicintai. Kata si teman, “Jika tidak kerana cinta saya kepada bahasa Arab, saya tidak berkawan dengan para pelajar luar. Menariknya, saya belajar bahasa Arab dengan mereka dan mereka pula belajar bahasa Melayu daripada saya.” Teman saya itu benarbenar memanfaatkan persekitarannya untuk ilmu. Tidak perlu dia bersusah-payah melanjutkan pengajian di luar negara jika dia mampu memperolehinya di universiti tempatan. Kita Pada Hari Esok Setelah menulis lima buah buku (empat daripadanya telah diterbitkan), ramai yang beranggapan saya menulis setiap hari. Ada pula yang berkata, “Penulis adalah insan yang rajin.” Sebenarnya, anggapan tersebut tidak tepat. Setiap manusia mempunyai turun naik semangat dan kerajinannya. Ketika rasa malas menggeluti diri yang mampu hanyalah berjuang. Berjuang untuk mengatasi rasa malas. Adik Nik Nur Madihah, pelajar terbaik SPM 2008 berkata dalam satu ceramahnya, jika ada ubat untuk sifat malas tidak adalah orang yang malas. Bagaimana mengatasinya? Fikirlah tentang risiko jika kita tidak dapat menyiapkan kerja pada waktu yang ditetapkan. Fikirkan juga bahawa kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan setiap nikmat masa yang diberikanNya kepada kita.

Kata asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, “Sesungguhnya kerja-kerja dakwah lebih banyak daripada masa yang ada.” Jika kita mampu menyelesaikan kerja dan amanah pada hari ini, belum tentu kita dapat melakukannya pada esok hari. Namun, jika kita tidak melakukannya pada hari ini, jadikanlah esok hari lebih baik dan berisi. Semangat boleh diraih dengan pelbagai cara. Saya sendiri jika berasa berat untuk menulis, maka saya alihkan keinginan pada pembacaan. Jika berasa berat untuk membaca dan menulis, saya akan keluar mencari ‘sang penyembuh hati’. Mereka adalah keluarga, teman-teman dan guru-guru yang boleh menyimbah api kemalasan saya dengan nasihat. Kesimpulannya, corakkan kemahasiswaan anda dengan pelbagai ilmu dan aktiviti bermanfaat kerana masa bukanlah sampah yang perlu dibazirkan pada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Pesan Rasulullah SAW kepada anakandanya Fatimah yang bermaksud, “Raihlah keperitan dunia untuk mengecap kemanisan akhirat.”

Related Documents

Laman Kampus
May 2020 37
Laman Utama
November 2019 33
Kit Laman
June 2020 20
Tugas Kampus
April 2020 32
Alamat Kampus
November 2019 33
Membina Laman Web
May 2020 26