Kontrak Sosial

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Kontrak Sosial as PDF for free.

More details

  • Words: 4,891
  • Pages: 19
1

10

PENGENALAN

Pembentukan negara bangsa merupakan satu usaha yang paling mencabar bagi sesebuah negara yang mempunyai kumpulan kaum yang majmuk. Amalan ialah perbuatan yang biasa dilakukan, kebiasaan, manakala sistem sosial ialah satu tingkah laku atau Organisasi yang saling berkaitan dengan hak dan kewajipan yang ditentukan oleh masyarakat bagi orang yang menduduki posisi tertentu di dalam masyarakat. Sistem sosial merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya, pendidikan, agama dan hukum. Kesan daripada peristiwa 13 Mei telah menunjukan betapa pentingnya perpaduan kaum. Justeru itu jelaslah bahawa perpaduan amat penting bagi negara kita yang mempunyai penduduk yang majmuk. Antara amalan yang dapat dilihat dengan jelas berkenaan dengan isu perpaduan adalah kontrak sosial. Di Malaysia, Kontrak sosial wujud di antara orang Melayu dengan orang Cina serta India yang pada hari ini merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak. Ianya adalah bertujuan untuk: i. menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok masing - masing. ii. memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing. iii. memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun kerana persetujuan dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan. iv. memastikan setiap pihak yang bersetuju mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan. Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Isu kontrak

sosial ini sering ditimbulkan dan dipertikaikan mungkin kerana

kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara

2

elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara

Malaysia.

Perlembagaan

Persekutuan

pada

tahun

1957

memberikan

kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli. Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami, berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

2.0

KONTRAK SOSIAL

Menurut Mohd Salleh Abas (1985), unsur-unsur tradisi meliputi bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan

3

Sarawak serta pemerintahan beraja. Ia amat penting dibicarakan kerana menjadi faktor utama untuk memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Unsur tradisi merupakan satu kontrak sosial yang telah dipersetujui semasa menggubal Perlembagaan. Unsur tradisi berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan oleh Suruhanjaya Reid menekankan faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2001). Unsur-unsur tradisi juga merupakan satu prasyarat dan permuafakatan yang diterima oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Prasyarat ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu yang lebih dikenali sebagai kontrak sosial. Kontrak Sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Oleh sebab pemimpin-pemimpin

Melayu

bersetuju

untuk

melonggarkan

syarat-syarat

kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak. Dua isu penting yang dibincangkan di dalam teori Kontrak Sosial ini ialah: i. Institusi yang baik dan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat ialah ‘Negara’ di mana setiap individu melepaskan dirinya dan kuasanya kepada ’kehendak umum’. ii.

Negara diwujudkan ekoran dari sebuah ‘perjanjian

Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

4

Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini. Terdapat beberapa elemen utama yang perlu difahami dalam kontrak sosial ini. Antara unsur tradisi yang terkandung dalam kontrak sosial ini adalah: 2.1

Bahasa Melayu

Bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada unsur tradisi yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia. Ia disentuh dalam perlembagaan melalui Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Namun begitu, tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, selain daripada maksud rasmi), atau mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain (Perlembagaan Persekutuan, 2005). Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kemudiannya, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa pengantar pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan seterusnya dalam Akta Pendidikan 1996 (Saifullah Zulkifli, 2005). Bahasa Melayu memang wajar dijadikan bahasa kebangsaan. Pada hakikatnya, perkara yang termaktub dalam perlembagaan adalah sesuatu yang adil untuk semua. Hal ini dinyatakan dalam perlembagaan bahawa bahasa-bahasa lain boleh digunakan selain daripada maksud rasmi. Maknanya kaum bukan Melayu bebas menggunakan bahasa mereka dalam pertuturan seharian. Di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), mereka bebas menggunakan bahasa ibunda sendiri walaupun subjek Melayu wajib dipelajari. Pembelajaran Bahasa Melayu tidak mungkin menggugat bahasa ibunda mereka jika pertuturan seharian adalah dalam bahasa ibunda masing-masing. Sebagai buktinya, di sekitar Petaling Street khususnya, kebanyakan peniaga di sana menggunakan dialek Kantonis dengan berleluasa

5

walaupun bahasa tersebut tidak diajar di sekolah Cina. Jelas terbukti bahawa walaupun bahasa tersebut tidak dijadikan bahasa pengantar di sekolah, ia tetap digunakan dan tidak tergugat. Rasional pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah kerana Bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara sejak berabad-abad lamanya, lebih mudah dipelajari dan bersifat tekal dari segi istilah dan sebutan berbanding bahasa lain. Menyentuh Bahasa Melayu sebagai lingua franca, William Mars ada menjelaskan (Mohd. Salleh Abas, 1985): ”Bahasa Melayu dianggap berasal dari semenanjung Tanah Melayu dan telah berkembang melalui kepulauan timur dan menjadi lingua franca di dunia tersebut, dituturkan di mana-mana di sepanjang pantai Sumatera dan digunakan tanpa campuran apa-apa di negara Kepulauan Minangkabau dan tanah jajahannya dan difahami ke setiap bahagian pulau.” 2.2

Agama Islam

Kedudukan agama Islam di negara kita melalui perlembagaan telah memperuntukan bahawa agama Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan menurut perkara 3 (1). Perkara ini telah diterima setelah diteliti dengan melihat komposisi penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik dan kepelbagaian kepercayaan. Ini menunjukkan bahawa usaha orang melayu mempertahankan kesucian agama Islam sepanjang masa malah sebelum kuasa British masuk lagi tidak sia-sia setelah agama Islam diperuntukan sebagai agama persekutuan. Adalah tidak adil sekiranya kewujudan agama Kristian, Hindu dan Buddha yang dibawa oleh kaum lain semasa dalam penjajahan British tidak diberi pertimbangan oleh Persekutuan. Oleh itu, perkara 3 memperuntukkan suatu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Persekutuan”. Kebebasan untuk beragama dijamin terhadap semua agama, bahawa setiap orang berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal 4, untuk mengembangkannya dan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk menguruskan hal-ehwal agamanya sendiri; menubuh dan menyelenggara institusi-institusi

6

bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan memperolehi dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang. Terdapat tiga had kebebasan yang diperuntukkan didalam perlembagaan, pertama ialah kebebasan menganut agama dibatasi oleh keperluan memelihara ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak. Kedua ialah kebebasan beragama tidak bererti bahawa sesiapa pun tidak boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan daripada cukai itu diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagian daripadanya bagi maksud-maksud sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri. Ketiga ialah hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang Negeri, atau undang-undang Persekutuan dalam kes Wilayah Persekutuan atau pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang sudah menganut agama Islam. 2.3

Kedudukan Istimewa Orang Melayu Dan Bumiputera Sabah Dan Sarawak

Menurut Perlembagaan Malaysia (perkara 160), Melayu ditakrifkan sebagai golongan yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu manakala bumiputera Sabah Dan Sarawak pula golongan kaum asli di negeri terbabit. Dibawah perkara 153, Yang Di-Pertuan Agong dikehendaki melaksanakan dasar melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak mengikut

batas-batas

perlembagaan

dan

undang-undang

persekutuan.

Menjadi

tanggungjawab Yang Di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153 ini. Antara keistimewaan orang melayu dan bumiputra sabah da Sarawak adalah:

2.3.1

Keistimewaan Dalam Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan awam adalah badan yang bertugas bagi melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan tahap kecekapan, ketelusan, dan keberkesanan system penyampaian perkhidmatan kerajaan di samping merupakan sebuah perkhidmatan yang profesional dan terkecuali dari segi sistem politik seperti Jabatan Perkhimatan Awam (JPA). Perkara 153 secara jelas membuat peruntukan tentang kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan

7

pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu. Bagaimanapun, selepas diwujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 (di waktu mana orang Melayu hanya memiliki sebahagian kecil kekayaan ekonomi negara), hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak diperluas kepada bidang lain, termasuklah ekuiti dalam perbadanan awam, dan diskaun antara 5 peratusa hingga 15 peratus untuk membeli harta tanah. Perkara 153 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan adalah menjadi satu tugas Yang Di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, selain memastikan kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa, permit serta lesen dan sebagainya. Ini adalah bertujuan meramaikan penyertaan golongan kaum Melayu dalam sektor awam. 2.3.2

Keistimewaan Dalam Ekonomi

Menurut perkara 153 dalam perlembagaan negara, sebarang permit atau lesen diperlukan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, justeru Yang Di-Pertuan Agong bertanggungjawab dengan sebarang peruntukan bagi perizaban sebarang perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak diwujudkan, namun begitu Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan atau memberi kuasa dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen golongan bukan Melayu. Antara keistimewaan kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dari sudut ekonomi yang berlandaskan perkara 153 ini ialah kemudahan lesen perniagaan dan premis perniagaan yang strategik. Walaubagaimanapun, kerajaan melaksanakan dasar perkara 153 ini kerana bertujuan untuk merapatkan perbezaan jurang ekonomi di antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Hal ini demikian kerana jurang pendapatan kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu sangat tinggi. Daripada Banci Penduduk (1979) oleh Jabatan Perangkaan, sebanyak 64.8 peratus kemiskinan dikalangan bumiputera berbanding 26 peratus daripada kalangan bukan bumiputera. Justeru adalah wajar kaum Melayu dibantu dan dibimbing dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian (MPPB) agar penyertaan masyarakat bumiputera bertambah dalam sektor ekonomi. 2.3.3

Keitimewaan Dalam Pendidikan

8

Antara kepentingan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini adalah kerajaan wajib memberikan para pelajar Melayu biasiswa jika mereka diberi tempat belajar di mana-mana institusi dalam atau luar negara dan mereka tidak boleh dikenakan syarat untuk membayar semula biasiswa yang mereka terima daripada kerajaan. Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa setiap orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang berkelayakan adalah diberi hak biasiswa secara automatik. Ini jelas dari Perkara 153 (3) yang antara lain memperuntukkan pengrizaban bagi orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahankemudahan khas, Yang Di-Pertuan Agong boleh memberi apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab atas pemberian biasiswa, bantuan atau lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas. 2.4

Pemerintahan Beraja

Dalam sistem ini, kuasa sultan hanya terhad kepada hal-hal keagamaan dan adat istiadat Melayu sahaja. Selepas mencapai kemerdekaan, institusi pemerintahan beraja itu diteruskan dan beberapa pindaan dibuat agar selaras dengan konsep demokrasi berparlimen yang diaplikasikan. Bagi kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua kerajaan Persekutuan pula, baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat kabinet manakala raja bagi setiap negeri pula hendaklah bertindak selaras dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan. Yang di-Pertuan agong dipilih daripada raja-raja sembilan buah negeri Melayu dan merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan serta mempunyai kuasa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman orang-orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera dan kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Baginda merupakan salah satu unsur badan perundangan persekutuan, iaitu Parlimen yang membolehkan baginda melantik jawatanjawatan penting dalam kerajaan. Bagi memastikan kesinambungan institusi beraja, pembesar-pembesar yang memerintah dan lain-lain gelaran ketua dan pembesar adat Melayu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan membuat peruntukan khas bagi menjamin hak seseorang raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan

di

sisi

perlembagaan

bagi

seseorang

raja

dalam

negeri

itu.

9

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa pihak berkuasa persekutuan berhak untuk campur tangan dalam hal ehwal negeri atau menyebelahi mana-mana pihak dalam pemilihan calon-calon bagi raja. Sebarang pertikaian mengenai warisan takhta sebagai raja mana-mana negeri hanya boleh diputuskan oleh mana-mana pihak berkuasa dan mengikut apa-apa cara sejajar dengan perlembagaan negeri itu seperti yang diputuskan oleh mahkamah persekutuan. Raja berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan dibawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf raja sebagai ketua negara. Raja berperlembagaan yang moden biasanya menggunakan konsep trias politica, atau politik tiga serangkai. Ini bermaksud Raja adalah hanya ketua simbolik di dalam rangkai eksekutif dan kuasanya adalah terhad oleh perlembagaan negara. Pada hari ini, raja berperlembagaan lazimnya digabungkan dengan perwakilan demokrasi. Oleh itu, kerajaan masih dibawah kuasa rakyat tetapi raja mempunyai peranan tradisional di dalam sesebuah negara. Pada hakikatnya Perdana Menteri, iaitu pemimpin yang dipilih oleh rakyat, yang memerintah negara dan bukannya Raja. Bermula dengan pengorbanan berkongsi tanah air dengan kaum lain. Bangsa Melayu kemudiannya rela berkongsi kuasa kerana itu sahaja formula yang terbaik untuk negara. Walaupun permuafakatan itu sedikit tercalar oleh peristiwa pada 13 Mei 1969, namun ia cepat dilupakan kerana kalau diungkit ia tidak membawa keuntungan kepada sesiapa. Setiap kaum perlu jelas dan faham tentang kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negeri Borneo sepertimana diperuntukkan dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam laporan yang disediakan oleh Federation of Malaya, Constitutional Commission 1956 – 1957 yang dikenali sebagai Reid Commission (Suruhanjaya Reid), hak keistimewaan orang Melayu telah diakui dan diiktiraf sebagai hak asasi (fundamental right) sebelum merdeka.

3.0

DASAR-DASAR

YANG

MENYOKONG

KONTRAK

SOSIAL

DAN

MEMBANTU MENIGKATKAN PERPADUAN. Untuk merialisasikan sebuah negara bangsa Malaysia, sesuatu dasar yang mempunyai tujuan menyatupadukan pelbagai bangsa harus dibentuk. Kerajaan harus merancang dasar

10

pembangunan negara yang berobjektifkan yang dapat membentuk persepaduan rakyat, pengukuhan perpaduan bangsa dan sebagainya agar kesinambungan objektif dasar-dasar perpaduan tersebut dapat membentuk dan seterusnya dapat mengukuhkan perpaduan negara bangsa tersebut. Dasar-dasar pembangunan negara merujuk kepada usaha kerajaan bersama dukungan rakyat untuk melakukan perubahan dalam aspek sosial, kebudayaan, politik, dan ekonomi secara yang seimbang dan adil bagi semua kaum (Shamsul Amri Baharuddin : 2007). Oleh yang demikian, keseimbangan dan keadilan terhadap semua kaum amat penting agar tidak berlaku perselisihan faham antara kaum. Dasar-dasar yang dipilih adalah untuk melihat kepada tahap pencapaian usaha kerajaan sehingga perpaduan rakyat dapat dicapai dan diperkukuhkan. 3.1

Dasar Ekonomi baru (DEB).

Dasar pecah perintah oleh british mewujudkan jurang pengelasan

kaum seterusnya

menghalang interaksi antara kaum menjadi antara punca utama peristiwa 13 mei 1969. Sejak 1957 sehingga 1960, pembangunan ekonomi telah dipengaruhi oleh kuasa pasaran. Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi amat baik, namun disebabkan oleh pengagihan tidak seimbang telah mewujudkan satu jurang antara kaum. Golongan yang miskin, kebanyakannya kaum Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai petani, masih ramai dan mundur, manakala kaum cina dan orang asing pula menguasai bidang perindustrian, perniagaan dan sektor korporat (www.isis.org.my : 1 September 2009). Penyusunan bangsa yang dilakukan telah mewujud ketidak seimbangan pendapatan ekonomi masyarakat, yang menetap dibandar semakin kaya, sedangkan yang menetap dikawasan pembangunan tidak dapat membangunkan ekonomi mereka dengan disebabkan oleh faktor persekitaran. Justeru itu, DEB dikenalkan pada tahun 1970 selepas belakunya peristiwa rusuhan pada tahun 1969. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata ialah untuk penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Usaha yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk menambahkan lagi pendapatan golongan miskin dan penduduk di kawasan luar bandar, miningkatkan lagi tahap kemodenan dalam sektor pertanian, meningkatkan tahap pelajaran dikalangan

11

penduduk kawasan luar bandar serta menambahkan lagi pegangan ekuiti korporat Bumiputera. Hal yang demikian dilakukan agar dapat merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar, kerana jurang yang wujud ketika itu telah memisahkan persepaduan serta dapat mewujudkan sikap buruk sangka antara bangsa. Ketetapan peratusan turut ditentukan oleh kerajaan terhadap kuota pegangan ekuiti korporat dan peratusan pekerja. Sasaran juga ditetapkan iaitu 30 % pegangan ekuiti korporat oleh Bumiputera, penetapan kuota kemasukan pelajar Bumiputera di universiti dan 30 % daripada bilangan pekerja mestilah Bumiputera (www.isis.org.my : 1 September 2009). Tindakan yang dilakukan ini adalah untuk memastikan bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera harus ada dalam pegangan ekuiti korporat dan peningkatan pendidikan dengan menyambung pelajaran di universiti agar masyarakat Bumiputera dapat bersaing dan meningkatkan tahap ekonomi seperti kaum-kaum lain yang menetap di bandar. Peningkatan taraf hidup ini dapat merapatkan jurang antara masyarakat dan dapat membentuk satu bangsa negara Malaysia yang bersatu padu. DEB yang digubal oleh kerajaan juga jelas sekali untuk meningkatkan pendapatan masyarakat Bumiputera yang jelas dilihat amat miskin ketika itu. Memperbetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum dan wilayah, mempertingkat penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan(Shamsul Amri Baharuddin : 2007). Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) iaitu pada tahun 1986 sehingga 1990 yang masih meneruskan DEB menunjukan bahawa keberkesana dasar tersebut dan perlu dikekalkan sehingga hari ini. Dalam Rancangan Malaysia Kelima ( RML 1986-1990) langkah membasmi kemiskinan memerlukan pendekatan mikro iaitu menumpukan kepada keluarga dan kampung( Wan Azmi Ramli : 1993). Strategi yang digunakan untuk membasmi kemiskinan ialah dengan menghantar agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk terus ke kampung-kampung untuk melihat individu-individu yang ditakrifkan sebagai golongan termiskin. Kemiskinan yang wujud ketika ini tidak sama dengan kemiskinan dua dekad yang lalu, ia tidak terhad kepada kemiskinan fizikal tetapi juga mental ( Wan Azmi Ramli : 1993). Selain itu juga dapat dilihat bahawa pada tahun 2005 telah menunjukan kejayaan yang dicapai oleh DEB iaitu penurunan terhadap kadar kemiskinan dan peningkatan kepada taraf pendidikan kaum Bumiputera. Yang paling menonjol ialah penurunan kadar

12

kemiskinan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005(www.isis.org.my : 1 September 2009). Pendapatan penduduk di luar bandar telah meningkat dan seterusnya dapat mengurangkan pengangguran. Kemudahan asas yang telah wujud seperti jalan raya, sekolah dan sebagainya telah menunjukan peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar. Hal ini telah menunjukan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar semakin rapat, usaha kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat untuk mencapai negara bangsa Malaysia semakin tercapai. Selain itu, pegangan ekuiti korporat Bumiputera turut meningkat dari 2.4% pada 1970 kepada 19% pada tahun 2000 (www.isis.org.my : 1 September 2009). Walaupun capaian tidak mencecah sehingga 30 %, namun peningkatan yang dilihat dari tahun 1970 sehingga 2000 dapat menunjukan bahawa usaha kerajaan telah membuahkan hasil yang agak ketara. Pengagihan ekonomi yang seimbang amat penting demi mewujudkan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu, sejarah peristiwa hitam 13 mei 1969 membuktikan bahawa perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati keseimbangan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Oleh yang demikian, usaha DEB sangat penting dalam mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan inilah yang akan membentuk sebuah negara bangsa Malaysia. 3.2

Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Dasar kebudayaan kebangsaan (DKK) merupakan asas daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, pembentukan kebudayaan yang nasional amat penting agar dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Sebagai usaha untuk membentuk sebuah negara bangsa perlu ada persefahaman antara kaum-kaum yang terdapat dinegara kita. Hal ini kerana dengan cara mengenali budaya kaum lain dan menghormati dengan apa yang mereka amalkan dapat mewujudkan keamanan di negara kita. Perselisihan faham yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap kepentingan diri sendiri dan sikap tidak menghormati kaum lain serta iri hati yang wujud disebabkan oleh berbeza kepercayaan. Dalam setiap penggubalan dasar, objektif amat diutamakan kerana dengan penetapan objektiflah kita dapat melihat tahap pencapaian dasar tersebut. Antara objektif

13

DKK mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan, memperkayakan dan mempertingkatkankualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi (www3.pmo.gov.my: 1 september 2009). Oleh itu, dapat diteguhkan bahawa matlamat yang cuba dicapai oleh dasar tersebut ialah untuk mewujudkan lagi kesepaduan antara kaum dinegara kita. Dalam memastikan DKK dapat bergerak baik, kerajaan telah menetapkan tiga prinsip utama dalam pembentukan budaya Malaysia.

berteraskan kepada kebudayaan

rakyat asal (Melayu) rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan (http://momentumuiam.blogspot.com: 1 september 2009). Dasar ini akan menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara. Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, rantau ini sebagai pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan melayu. Kebudayaan melayu sebagai teras kepada kebudayaan kebangsaan. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima, unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yg sesuai dan wajar diberi pertimbangan

dan

penerimaan

dalam

Kebudayaan.

Tidak

bercanggah

dengan

perlembagaan dan prinsip Rukun Negara dan agama. Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi serta nilai-nilai Islam yang telah sedia dibawa oleh sebahagian besar rakyat. Antara strategi dan perlaksanaan yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk mencapai matlamat dan objektif DKK ialah meningkatkan taraf dan kualiti kesenian melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya, memperbanyakkan pertunjukan kebudayaan untuk memupuk perasaan bangga selain menarik menat masyarakat, memupuk kesedaran dan perasaan menghormati kebudayaan etnik-etnik Malaysia bagi melahirkan semangat nasionalisme Malaysia, memberi latihan dan bimbingan kepada peminat-peminat kebudayaan, dan menyelidik di samping memulih dan memelihara kebudayaan agar tidak hilang ditelan zaman ( Wong Khek Siang: 2004). Antara perlaksanaan yang dilakukan pihak kementerian ialah melakukan penyelidikan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti pengajuran program

14

kebudayaan akan dilakukan bersama kompleks Budaya Negara, muzium negara, jabatan arkib negara dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan. Hasil daripada uasaha yang dijalankan oleh kerajaan ini pelbagai pencapaian dapat dicapai seperti identiti kewarganegaraan dapat dilihat dalam perayaan-perayaan. Yang kedua ialah rrangkaian-rangkaian televisyen dan radio membantu menonjolkan lagi identiti kebangsaan. Hasil usaha rangkaian media ini dapat mendidik setiap capaian khalayak untuk lebih memahami akan amalan dan budaya-budaya yang diamalkan oleh kaum lain seperti cara dan jenis makan, tarian, pakaian dan sebagainya. Selain itu ialah penggunaan bahasa kebangsaan secara menyeluruh di sekolah. Walaupun masih ada penggunaan bahasa Cina dan Tamil tetapi Subjek BM menjadi subjek wajib untuk lulus SPM. Oleh yang demikian, dapat dinilaikan bahawa DKK merupakan dasar yang relevan kerana banyak progam yang dijalankan mendapat sambutan rakyat, identiti negara dapat diwujudkan secara beransur-ansur. Hasil usaha mulia kerajaan ini dilihat sebagai didikan dan pengenalan budaya-budaya kaum lain terhadap kaum tertentu. Melalui cara ini budaya Malaysia dapat dibentuk kerana tidak semestinya budaya asing melanggar landasan agama Islam. Tindakan ini dapat mewujudkan persefahaman antara kaum dinegara kita, seterusnya mewujudkan perpaduan yang bakal membentuk sebuah negara bangsa. 4.0

JABATAN PERPADUAN DAN INTERGRASI NASIONAL (JPNIN)

Sebagai salah sebuah agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan bagi membantu kerajaan untuk memelihara, meningkat serta mengukuhkan perpaduan dan memantapkan integrasi nasional, maka Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional sentiasa berusaha menyemai dan menyuburkan semangat kerjasama serta toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Disamping melaksanakan program dan aktiviti penggalakan perpaduan, usaha ke arah menyebarkan pengetahuan dan maklumat di kalangan masyarakat mengenai perhubungan kaum, integrasi nasional dan perpaduan negara juga dipergiatkan melalui saluran media termasuk internet. JPNIN mendukung misi ‘Memupuk Kesefahaman Dan Semangat Muhibbah Melalui Jaringan Dan Interaksi Sosial Ke Arah Pembentukan Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu Dan Beridentiti Nasional’. Antara tugas Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional adalah seperti :

15

i. Menggubal, menyelaras dan melaksanakan dasar yang boleh mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional ii. Merancang, menyelaras dan melaksanakan program / aktiviti yang boleh memupuk dan mengukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional serta meningkatkan semangat patriotik di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini iii. Menubuhkan kawasan rukun tetangga dan tabika perpaduan berdasarkan kelulusan yang diberi oleh agensi pusat iv. Memberi bimbingan dengan menerapkan nilai-nilai murni serta perpaduan di kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun melalui program pendidikan pra sekolah di tabika perpaduan v. Melaksanakan penyelidikan mengenai perpaduan dan integrasi nasional secara berterusan dan saintifik vi. Memantau iklim perpaduan dan integrasi nasional melalui pengesanan perhubungan sosial vii. Meningkatkan publisiti dan mempromosi perpaduan dan integrasi di peringkat negeri dan kebangsaan melalui media cetak dan elektronik

Antara tindakan JPNIN adalah seperti: 4.1

Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN)

IKLIN ditubuhkan seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu. Kenyataan ini bermaksud rakyat Malaysia dari setiap lapisan masyarakat perlu memahami hasrat murni yang tersirat ini dengan syarat mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang yang berkaitan.Oleh itu, sebagai sebuah institusi perpaduan yang memberi fokus kepada aspek kajian dan juga latihan dalam bidang perpaduan dan integrasi nasional, IKLIN bukan sahaja perlu mempunyai struktur yang mantap malahan kepimpinan di dalam IKLIN juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. IKLIN ini mempunyai misi iaitu ‘Menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan, idea, latihan, kajian dan penyelidikan serta konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi memacukan ilmu dan pendidikan dalam bidang Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. 4.2

Penubuhan kelab atau organisasi kecil dibawah JPNIN

16

i. Rukun Tetengga (RT) Memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara ii. Skim Rondaan Sukarela ( SRS ) adalah seperti berikut : Membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial, Membantu menguatkuasakan undang-undang, Memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda, Mempertingkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk setempat, Memulihkan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera

iii. Kelab rukun negara (KRN) Memperkenalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, Memberi pengertian dan kefahaman

tentang

lima

prinsip

Rukun

Negara.,

Menyubur

dan

mempertingkatkan kesedaran kerohanian akan kepentingan Rukun Negara sebagai asas norma kehidupan. Menjadikan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang berterusan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, setia, bersatu padu, berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara. 4.3

JPNIN turut melaksanakan pelbagai aktiviti seperti : i. Debat Perpaduan ii. Kursus Pengurusan Perhubungan Kaum iii. Kursus Taska Komuniti iv. Bengkel Pemantapan Kerjaya dan Aktiviti Tabika Perpaduan v. Kursus Pemantapan Pengurusan Perpaduan vi. Kursus Pengendalian Aktiviti Rukun Tetangga yang berkesan vii. Kursus Latihan Perhubungan Komuniti

17

5.0

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, dapat dinilaikan bahawa amalan sosial yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak 50 tahun yang lampau sebenarnya dapat mencorak negara bangsa Malaysia. Usaha kerajaan sejak dari terciptanya Kontrak Sosial merupakan satu usaha utama yang dijadikan pegangan untuk menggubal dasar-dasar pembangunan negara untuk mencapai matlamat dan seterusnya dapat membentuk negara Bangsa yang mengutamakan perpaduan. Ternyata selepas hampir 50 tahun kemerdekaan Malaysia, formula kontrak sosial yang telah dipakai telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia tanpa berlaku sebarang konflik perkauman. Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum. Namun begitu, disebabkan oleh kepercayaan sesetengah kaum yang masih ingin mengekalkan kepentingan sendiri seperti kepentingan budaya asal sehingga tidak mahu menerima budaya lain telah membantutkan usaha kerajaan. Kelakuan sesetengah pemimpin politik yang ingin menjaga status diri banyak mengurangkan kepercayaan sesetengah kaum terhadap usaha kerajaan. Sebagai contohnya usaha kerajaan untuk

18

menubuhkan Sekolah Wawasan, disebabkan oleh risau akan kepupusan bahasa ibunda telah menyebabkan sesetengah ibubapa tidak mahu menghantar anak ke Kompleks Sekolah Wawasan tersebut kerana gara-gara dipengaruhi oleh ketua mereka yang hanya ingin menjaga status dan kepentingan sendiri. Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Adalah penting untuk menjaga keharmonian dimana semua rakyat dapat hidup bersatu padu, setia dan cinta akan negara. Justeru itu, dalam mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia, elemen sistem sosial yang terkandung dalam kontrak sosial perlu dititikberatkan dan dipelihara agarnya ianya terus kekal sejahtera.

Rujukan Abdul Aziz Bari. 2001. Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dr. Mahani Zainal Abidin.1 September 2009.Pembangunan Keseimbangan dengan Dasar Ekonomi Baru di Malaysia. http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=538 http://momentumuiam.blogspot.com/2008/07/ kontrak-sosial-dan-dasar-kebudayaan.html Mohamed Suffian Hashim. 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd. Salleh Abas. 1985. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia.

Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Shamsul Amri Baharuddin.2007. Modul Hubungan Etnik. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). MASKHA SDN BHD. Kuala Lumpur. Wan Azmi Ramli.1993. Dasar Awam Di Malaysia. Jilid 1. Golden Books Centre Sdn Bhd. Syarikat Percetakan Ihsan, Kuala Lumpur. Wong Khek Siang, Raminah Hj. Sabran, Kok Meng Kee. 2004. Pengajian Am. Fajar Bakti Sdn Bhd. Shah Alam. Selangor.

Penerbit

19

Related Documents